CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1729|Reply: 0

[Lain-Lain] Aidilfitri dinanti

[Copy link]
Post time 14-7-2015 08:49 PM | Show all posts |Read mode

TAHUN ini merupakan tahun kedua sambutan Aidilfitri bagi personaliti cantik, Raisyyah Rania Yeap atau lebih dikenali dengan nama Felixia Yeap.

Memeluk agama Islam pada 3 Julai tahun lalu, perjalanannya sebagai Muslimah sejati telah melewati usia setahun dan sudah pastinya pada tahun ini, Aidilfitri yang dinanti lebih bermakna buatnya.

Menurut Felixia atau lebih mesra disapa Rara ini, dia melahirkan rasa teruja apabila tahun ini, Aidilfitri yang meriah bakal disambut bersama teman dan keluarga tersayang.

“Tahun ini Insya-ALLAH, saya akan sambut bersama keluarga dan teman. Sambutan tahun ini akan lebih bermakna kerana dapat bersama keluarga.

“Malah, Aidilfitri ini adalah kali pertama akan diraikan bersama teman dan keluarga. Insya-ALLAH, saya akan jemput ibu dan keluarga dari Ipoh untuk bersama saya beberapa hari supaya mereka pun dapat merasai suasana dan perayaan Hari Raya bersama.

“Tahun ini, saya cuma akan berada di sekitar Kuala Lumpur atau mengikut perancangan, teman dan keluarga sahaja,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pengertian Aidilfitri baginya sebagai saudara baharu, Rara mengakui yang dia masih lagi dalam proses pembelajaran dan cuba untuk memahami perayaan ini dengan lebih mendalam lagi.

“Saya masih lagi belajar untuk mengetahui lebih banyak tentang Aidilfitri. Apa yang saya tahu setakat ini, Aidilfitri semestinya dilengkapkan dengan hidangan makanan yang istimewa dan hari untuk berkumpul bersama keluarga,” katanya.


Belajar buat biskut raya

Ditanya mengenai hidangan istimewa yang diidamkan pada Aidilfitri nanti, Rara memberitahu, pada tahun lalu, dia telah merasai kelazatan hidangan Kelantan.

Katanya, untuk tahun ini, dia berharap dapat merasai kenikmatan hidangan asli turun temurun dari Johor pula.

“Sebenarnya, saya suka makan dan kalau boleh semua makanan saya mahu makan! Tapi, Aidilfitri ini bukanlah sekadar untuk memuaskan nafsu makan semata-mata.

“Bagi saya, sudah cukup bersyukur sekiranya kita dapat makan dan bersama-sama meraikannya bersama keluarga tersayang,” katanya lagi.

Jelas Rara, pada tahun ini juga, dia berhasrat untuk belajar dan membuat aneka biskut raya memandangkan sebelum ini dia tidak pernah berkesempatan untuk membuatnya.

“Insya-ALLAH, saya akan berusaha untuk belajar buat biskut raya, memandangkan saya tidak pernah buat biskut dan tidak pernah guna oven.

“Saya akan mendapatkan resipi untuk membuat biskut daripada keluarga saya dan berharap agar mereka dapat membantu saya nanti,” tambahnya lagi.

Memandangkan tahun ini adalah tahun pertama beraya bersama keluarga, Rara memilih untuk tidak terlalu terikat dengan jadual kerja.

“Saya lebih selesa dan berharap agar raya pertama ini dapat diraikan bersama keluarga dan kalau boleh, saya ingin kosongkan jadual kerja.

“Dengan cara itu, saya dapat meraikan Aidilfitri dengan hati yang lapang tanpa tekanan dan tidak perlu risau mengenai kerja sepanjang raya tahun ini,” katanya lagi.


Selesa masak di rumah

Bercerita mengenai pengalaman berpuasa pula, amalan ini bukanlah satu perkara yang ganjil buat selebriti cantik ini kerana dia telah mula berpuasa sejak tahun lalu.
Tidak seperti kebanyakan orang, Rara lebih selesa menyediakan sendiri juadah berbuka berbanding mengunjungi bazar Ramadan.

“Jika ada masa dan tenaga, sudah tentunya saya akan masak supaya lebih selesa untuk makan bersama keluarga di rumah.

“Lagipun, makan di rumah lebih sederhana dan jimat sambil dapat mengeratkan silaturahim ketika masak bersama keluarga.

“Namun, sekiranya saya ada urusan di luar yang perlu diselesaikan, tiada pilihan lain selain membelinya sahaja. Ia bergantung kepada situasi dan keadaan,” kata Rara.

Tambah Rara, memandangkan ini adalah tahun kedua berpuasa, dia masih belum biasa dengan hidangan istimewa yang diambil ketika berbuka puasa.

“Buat masa sekarang, belum ada lagi juadah istimewa yang perlu ada ketika berbuka puasa. Semuanya masih baharu untuk cita rasa saya.

“Malah, masih banyak juadah yang belum pernah saya rasai sebelum ini. Tetapi, setiap kali berbuka, hidangan nasi itu perlu ada.

“Untuk bersahur pula, saya memang akan bangun makan setiap pagi. Saya cepat lapar dan takut lapar. Lebih-Lebih lagi dengan gastrik, jadi saya mesti bangun untuk sahur dan makan secukupnya,” ujar selebriti yang popular dengan gelaran, ‘Amoi Berhijab’ ini.


Bukan sekadar menahan lapar dahaga

Walaupun masih lagi bertatih mengenai hal-hal agama, namun Rara tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama masyarakat Islam yang lain dalam menunaikan ibadah tarawih.

“Saya akan cuba untuk bersama-sama menunaikan ibadah tarawih di surau atau masjid-masjid berdekatan kerana masih banyak yang perlu saya belajar.

“Memang tahun ini, azam saya adalah untuk meluangkan masa dalam berbuat amal, belajar agama dan belajar memasak juadah untuk Hari Raya Aidilfitri.

“Selain itu, masa yang ada akan digunakan untuk bersama keluarga dan teman-teman rapat,” jelasnya.

Ditanya mengenai pengertian Ramadan buat selebriti ini, dia menyifatkan bulan mulia ini bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata.

“Ramadan juga mengajar kita kesabaran dan amanah, meningkatkan kesihatan diri dan menjauhkan diri dari sifat-sifat Mazmumah (keji) seperti tamak, sombong hasad dengki dan sebagainya.

“Yang paling nikmat adalah kita mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka (hari raya) dan ketika berjumpa dengan Tuhan-Nya pada hari kiamat. Insya-ALLAH,” katanya mengakhiri perbualan.
sinar harian

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Hari Raya Aidilfitri


    ADVERTISEMENT


    Forum Hot Topic

     

    ADVERTISEMENT


     


    ADVERTISEMENT
    Follow Us

    ADVERTISEMENT


    Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

    2-12-2024 07:24 AM GMT+8 , Processed in 0.042535 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

    Powered by Discuz! X3.4

    Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

    Quick Reply To Top Return to the list