Batu Pahat: Isteri vokalis kumpulan Spring, Sabariah Zakaria, 46, meminta supaya suaminya itu diberi ruang sekiranya dibebaskan dari Penjara Kluang esok.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, bakal dibebaskan selepas lima tahun dipenjarakan atas kesalahan dadah.
Menurut Sabariah, bukan niatnya untuk merahsiahkan perkara berkenaan sebaliknya mahu Ameng tenang dan berehat bersama keluarga.
"Berilah Ameng peluang untuk bertenang dan mengembalikan kekuatan dan keyakinan dirinya sehari dua ini.
"Abang Ameng akan bebas, tapi saya tidak mengesahkan pada mana-mana pihak yang beliau akan dibebaskan esok," katanya.
Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.
Hukuman itu bagaimanapun dipendekkan berikutan kelakuan dan disiplin cemerlang yang ditunjukkannya.