|
Waktu sudah melewati jam 12 malam. Mata juga terasa berat. Saya dalam perjalanan pulang ke Simpang Renggam setelah selesai menghantar barang ke Kuala Lumpur. Perjalanan untuk sampai ke Simpang Renggam masih berbaki lebih kurang satu jam lagi. Oleh sebab tidak tahan mengantuk, saya mengisyaratkan kepada kawan saya yang berada di lori belakang untuk berhenti di kawasan rehat dan rawat Pagoh.
Ketika itu, kawasan rehat itu masih lagi gelap. Belum ada lagi stesen minyak seperti sekarang. Kawasan rehat itu juga sunyi. Sebaik mematikan enjin, saya turun dari lori untuk ke tandas.
"Basuh muka dulu Man! Ngantuk," kata saya.
"Tu lah. Penatlah," balas Man kawan saya.
Keluar daripada tandas, saya dan Man duduk berehat di sebuah bangku. Kami menyalakan api rokok. Perjalanan saya sudah tidak jauh, tetapi Man perlu balik ke Johor Bahru. Sedang kami berborak-borak, kami nampak ada seorang lelaki tua memakai songkok menapak ke arah kami.
"Assalamualaikum dik! Boleh tolong pakcik?" sapa lelaki tua itu.
"Ye pakcik. Kenapa?" soal Man.
"Van pakcik rosak. Lampu semua tak menyala. Tak tahu kenapa," balas lelaki tua itu.
"Boleh pakcik. Kat mana van pakcik?" soal Man lagi.
"Ada kat tempat parking lori sana. Terima kasihlah sudi tolong," kata pakcik itu sambil menunjukkan jarinya ke arah parkir lori.
Saya dan Man mengekori pakcik itu dari belakang. Sambil berjalan menuju van, pakcik itu kata dia dari Kuala Lumpur hendak ke Tiram. Ada kerja katanya. Saya hanya diam sahaja waktu itu. Bukan apa, badan pun penat. Lagipun saya tak pandai sangat bab baiki kenderaan ni. Man yang beriya-iya sangat hendak membantu.
"Mana van pakcik?" soal Man.
"Ada tu sebelah lori merah," katanya.
Sebaik sahaja kami menapak berdekatan lori merah, kami ternampak sebuah van berwarna putih. Di dinding van tersebut terukir ayat suci al-Quran. Berderau seketika darah kami. "Weh! Van jenazah ni," kata saya.
Man juga terkedu. Seolah-olah terkejut melihat van itu. Sudahlah kawasan itu gelap dan sunyi, ada pula van jenazah. Dalam kepala saya mula memikirkan macam-macam.
"Ada isi ke ni pakcik?" soal saya.
"Ada. Jenazah nak dihantar ke Tiram," balas pakcik itu.
Aduh! Lagi haru dibuatnya. Siap ada jenazah lagi dalam van. Bukanlah takut, tapi seramlah juga. Saya berdiri di tepi van. Man pula cuba buat-buat pandai menggodek van. Padahal dia pun lebih kurang sama juga dengan saya. Bukan pandai sangat baiki kereta. Dia cuba menukar fius van, tetapi sama juga.
Enjin hidup, tapi lampu semua padam. Tak tahu kenapa. Hampir 20 minit mencuba, tapi gagal.
"Tak tahulah rosak apa ni pakcik. Saya pun tak tahu," kata Man.
Pakcik tu cuba merayu. Katanya jenazah perlu dihantar juga malam itu. Semua keluarga sudah menunggu. Dia memang tidak boleh meneruskan perjalanan kalau dalam keadaan sedemikian. Habis, apa yang kami boleh lakukan ketika itu. Memang tidak dapat berbuat apa-apa. Takkanlah kami nak pindahkan jenazah ke dalam lori kami pula. Kalau saya memang tak sanggup.
Man seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Dia kemudian menarik tangan saya jauh sedikit dari pakcik itu.
"Apa kata kalau kita escort pakcik ni," kata Man cuba bagi idea.
"Kau gila ke? Seram la pulak aku," balas saya.
"Alaaa... kesianlah kat pakcik ni. Niat aku nak tolong je," kata Man.
"Ok! Kalau kau nak sangat, aku taknak duduk belakang. Biar aku kat depan, kau kat belakang," kata saya lagi.
Man setuju. Dia kemudian memberitahu pakcik itu. Jadi malam itu terpaksalah saya naik ke Johor Bahru dahulu. Padahal kalau ikutkan saya hendak balik ke Simpang Renggam. Kami pun memulakan perjalanan.
Lori saya berada di depan, van jenazah di tengah, dan lori Man di belakang. Tidak mengapalah. Kalau difikirkan kesian juga pakcik tu. Takkan dia nak tunggu sampai pagi baru boleh meneruskan perjalanan.
Lebih kurang 15 minit perjalanan, kami tiba di bukit Pagoh. Kawasan itu jalannya tidak rata. Bergegar-gegar lori saya dibuatnya. Kawasan tidak rata itu lebih kurang dua kilometer juga jaraknya. Tiba-tiba saya terdengar suara deruman enjin yang sangat kuat.
Saya lihat di cermin sisi, saya lihat Man beberapa kali mengangkat lampu tinggi. Dia kemudian memecut laju memotong lori saya.
"Apa hal pula ni?" kata saya sendirian.
Tanpa bersoal panjang, saya pun terus memecut lori saya dengan laju. Saya memotong lori Man. Saya tidak pasti apa yang berlaku. Kenapa Man tiba-tiba memotong saya dengan laju. Sampai di simpang keluar ke Simpang Renggam, saya terus masuk.
Saya teringatkan Man yang tertinggal jauh ke belakang. Sebaik sahaja saya keluar daripada tol, saya nampak Man juga berada di belakang. Dia sepatutnya balik ke Johor Bahru, bukannya Simpang Renggam. Saya berhentikan lori di tepi tol. Man pula berhenti di belakang lori saya.
"Apa hal Man? Kenapa kau lari?" soal saya penuh dengan tanda tanya.
"Uish! Tak tahan aku," balas Man.
Man terus bercerita. Katanya cermin belakang van jenazah itu tidak digelapkan sepenuhnya. Jadi dari belakang dia boleh nampak keranda jenazah itu. Lagipun kedudukannya lebih tinggi dari van tersebut. Sampai di kawasan jalan tidak rata tadi, dia nampak keranda jenazah itu bergegar-gegar dan melompat-lompat. Dalam kepalanya berfikir macam-macam.
"Aku tak tahan, aku tengok macam jenazah tu nak keluar dari keranda tu. Apa lagi, aku cabutlah sebelum jenazah tu keluar," kata Man.
Itu ke kisahnya. Ingatkan ada apa. Niat mula-mula dah betul hendak membantu, tapi lain pula yang jadi.
"Habis macam mana pakcik tadi?" soal saya.
Saya memang tidak nampak keadaan pakcik itu sebab saya berada di depan. Dia yang berada di belakang dia yang tahu.
"A'aa ek... apa terjadi kat pakcik tu? Baru aku teringat," kata Man sambil tersengih.
"Tu la kau. Niat nak menolong, tapi makin menyusahkan pula. Kesian pakcik tu terkontang-kanting sendiri tengah highway," kata saya.
Kami terbayang-bayang keadaan pakcik pembawa van jenazah ketika itu. Macam mana keadaan dia. Apabila teringatkan peristiwa itu, saya jadi geli hati.
"Habis kau nak balik JB ke apa ni?" soal saya.
"Kalau aku balik, keluar highway, bimbang pula terjumpa pakcik tu. Tapi... apa jadi ek ngan pakcik tu?" soal dia.
Saya tidak tahan. Saya terus gelak. Kesian pakcik tu. Entah apa terjadi kat dia. Sudahlah kawasan gelap. Tiada lampu pula tu, yang paling ngeri van yang dia bawa tu. Saya rasa kalau orang nampak pun mereka akan lari.
Mengenangkan kembali peristiwa itu, membuatkan saya kesian pun ada, hendak gelak pun ada. Sampai sekarang saya tertanya-tanya, apa jadi ek dengan pakcik tu?
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|