|
Edited by sabbath_shalom at 9-7-2017 05:33 PM
UTARA
Mat saleh fasih loghat Kedah
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 JUN 2017
Mat saleh fasih loghat Kedah
Giula (dua, kanan) bersama ahli keluarga angkatnya.
ALOR SETAR - Sekali imbas, seorang remaja berusia 16 tahun tidak ubah seperti lelaki Melayu dengan berbaju Melayu berwarna keemasan lengkap songkok dan sampin.
Lebih mengelirukan apabila mendengar Tommy McCarty dari Amerika Syarikat berbual dengan adik beradik angkat mahupun rakannya.
Manakan tidak terkejut apabila melihat remaja bermata biru dan berkulit cerah bak pelakon Hollywood itu bercakap dalam loghat Kedah pekat.
Walaupun baharu setahun tinggal di Bandar Alor Setar, Kedah, pelajar tingkatan empat Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC) fasih bercakap Melayu loghat Utara.
Tommy berkata, dia mampu bertutur loghat Kedah dengan baik kerana tinggal dengan keluarga Melayu dan belajar di kelas dipenuhi rakan berbangsa Melayu.
"Ramai rakan sekelas segan cakap bahasa Inggeris dengan saya. Jadi saya makin mahir bertutur dalam loghat Kedah sebab selalu berbual dengan mereka.
Tommy (kiri) sedondon memakai baju Melayu berwarna keemasan bersama ahli keluarga angkatnya.
"Memang seronok tinggal di Kedah. Selain belajar bahasa Melayu, saya juga dapat makan pelbagai makanan dan budaya," katanya.
Menurutnya, dia teruja tinggal dan belajar budaya Malaysia kerana amat berbeza dengan situasi di negaranya sendiri, malah sedih untuk meninggalkan keluarga angkat dan rakannya.
"Saya dapat belajar cara berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga sebelum puasa ramai-ramai dengan ahli keluarga.
"Seronok, setiap hari saya bangkit soq bersama keluarga. Bila petang, saya dibawa pergi ke bazar Ramadan untuk beli makanan atau ke pusat membeli-belah melihat baju raya," katanya.
Selain Tommy, seorang remaja perempuan dari Amerika Syarikat, Kara Thimrik, 17, dan Giula Vigano, 17, dari Itali turut mengikuti Program Pertukaran Pelajar ke Kedah sejak setahun lepas.
Mereka bertiga ditemui Sinar Harian di Lorong Masjid, Hutan Kampung, di sini, ketika mengadakan aktiviti menganyam ketupat daun palas.
Belajar anyam ketupat
Kara berkata, dia menganggap aktiviti menganyam ketupat satu pengalaman berharga dan tidak boleh dilupakan dirinya sampai bila-bila.
"Sebelum ini saya pernah makan ketupat ketika sambut raya korban dengan keluarga angkat.
"Jadi saya bertuah bila dapat belajar buat salah satu makanan tradisional ketika musim perayaan ini," katanya.
Pelajar tingkatan lima SMK Syed Al-Bulkary yang juga fasih bertutur dalam loghat Kedah berkata, dia sedih kerana perlu pulang ke Amerika Syarikat semula selepas ini.
Dari kiri: Tommy, Kara dan Giula belajar anyam ketupat daun palas.
Bagaimanapun katanya, perasaan sedikit terubat apabila mengenangkan pelbagai ilmu dan pengalaman baharu diperolehnya sepanjang berada di Kedah.
“Mama dah ajar saya cara buat nasi lemak. Jadi, saya boleh masak dan makan bersama rakan-rakan senegara nanti setiap kali Aidilfitri.
"Saya teruja dapat berpuasa kerana terasa lebih dekat dengan ahli keluarga angkatnya, walaupun terpaksa bangun awal pagi untuk sahur," katanya.
Pelajar asing dalami budaya tempatan
Sementara itu, Presiden Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS) Kedah Chapter, Rohaya Md Yusoff berkata, mereka merupakan tiga orang yang mengikuti program pertukaran pelajar sejak Ogos tahun lepas.
“Mereka bertiga tinggal bersama keluarga angkat Melayu selama setahun. Malah, mereka akan belajar di sekolah dipilih ibu bapa angkat,” katanya.
Menurutnya, Giula ditempatkan di SMK Mergong, manakala Kara belajar di SMK Syed Al Bukhary dan Tommy pula di Kolej Sultan Adul Hamid (SAHC).
"Aktiviti sedemikian bermanfaat kerana memberi peluang kepada pelajar asing mengenali dan memahami budaya tempatan di Kedah.
"Tiga pelajar ini didedahkan kepelbagaian budaya dan adat resam masyarakat di Malaysia, seperti Melayu, Cina dan Kristian," katanya.
Rohaya berkata, mereka juga diberi peluang meraikan dan merasai suasana sambutan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.
Malah katanya, masing-masing tidak melepaskan peluang belajar berpuasa dan memakai baju kurung serta baju Melayu yang dibeli keluarga angkat kerana ia tidak ada di tempat asal mereka.
“Kini, mereka sudah biasa dengan budaya tempatan, misalnya makan menggunakan tangan, malah antara di antara tiga pelajar bertutur loghat Kedah pekat.
"Kami menyambut baik kedatangan pelajar asing baru pada Ogos setiap tahun yang ingin mengenali keunikan budaya masyarakat berbeza bangsa dan agama di negara ini," katanya kepada Sinar Harian. |
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|