|
Siapa sangka di negara barat pun masih terdapat perkampungan yang 'rare' iaitu tiada langsung akses jalan raya.
Perkampungan hijau ini dikenali sebagai Giethoorn yang terletak di Belanda dan merupakan destinasi yang sangat tenang dan juga romantik.
Paling unik, seperti dikatakan kawasan ini tidak mempunyai jalan raya. Akses utama ke kawasan sekitar perkampungan ini adalah dengan menaiki bot melalui terusan air, berbasikal atau berjalan kaki. Memang rare betul, kan?
Lokasi menarik ini terletak di tengah-tengah Belanda iaitu kira-kira 90 km dari ibu negara, Amsterdam dan 110km dari Rotterdam serta The Hague.
Ramai yang menggelar perkampungan ini sebagai ‘Venice of Netherland’ dan termasuk di antara 10 perkampungan tercantik di dunia.
Mengikut sejarahnya, perkampungan ini mula-mula dibuka pada tahun 1230 oleh sekumpulan pelarian dari wilayah Mediterranean.
Jika dilihat dengan namanya sendiri, Giethoorn bermaksud tanduk kambing yang diambil dari perkataan asalnya Giytenhorn.
Keindahan perkampungan yang memukau
Bandar yang begitu unik ini menjadikan Giethoorn sebagai salah satu tarikan pelancongan yang sangat popular.
Pelancong yang datang ke sini pasti begitu teruja bila melihat keindahan lanskap alam sekitar yang melatari setiap sudut ruang di sekitar bandar ini.
Antara aktiviti yang menarik yang paling popular di sini ialah canal tours. Para pelancong berpeluang menikmati pemandangan sekitar dengan menaiki bot-bot kecil melalui terusan air sepanjang 4 batu yang berlatarkan pemandangan indah rumah-rumah ladang dengan bumbung beratap rumbia yang dibina sejak abad ke-18.
Pengunjung boleh menyewa bot kecil yang mampu memuatkan empat atau lima orang dan boleh dikemudikan sendiri atau menyewa bot yang lebih besar dan mempunyai pemandu pelancongan untuk menerangkan sedikit sebanyak tentang desa ini.
Dikatakan penduduk di desa ini kebanyakannya adalah warga emas dan mereka sangat ramah dan tidak sombong.
Selain aktiviti-aktiviti outdoor seperti berbasikal dan canal tours, tarikan pelancongan lain antaranya ialah adanya muzium yang mempamerkan mengenai sejarah kehidupan masyarakat di sini sejak 100 tahun yang lalu serta dapat melihat kerja-kerja penghasilan tembikar secara tradisional dan kereta antik.
Walaupun perkampungan itu kecil, ia turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti gereja, sekolah, perpustakaan, mesin ATM dan pasar raya.
Terdapat banyak cafe yang boleh menjadi pilihan pengunjung untuk menikmati hidangan dan minuman sambil bersantai menghirup udara segar.
Selain itu, jika tiba musim sejuk, air di dalam terusan sejauh 4 batu ini akan membeku dan menjadi tempat yang menarik untuk aktiviti meluncur ais. Wow! Menariknya! - CARI
|
|