|
Demi ayah tercinta, Emma Maembong nekad menyimpan wang pendapatannya untuk menghadiahkan kereta mewah sempena hari lahir ayahnya.
Dia dari awal sudah tahu apa yang dihajati ayahnya dan disebabkan itu dia berusaha untuk membeli kereta tersebut.
"Tahun lalu ayah ada naik kereta Mercedes milik kawan saya dan dia sangat suka dengan kereta itu. Tapi memikirkan harga agak mahal, ayah diam sahaja.
"Sejak itu, saya nekad bekerja keras untuk kumpul duit. Sepatutnya hari lahir ayah bulan April lalu tapi ketika itu wang simpanan saya tak cukup lagi.
Foto: IG Emma Maembong
"Alhamdulillah selepas setahun menyimpan, saya dapat hadiahkan kereta itu kepada ayah," kata Emma kepada mStar Online.
Baru-baru ini, Emma juga telah dinobatkan sebagai Ratu Telenovela Serba Dinamik di Anugerah Telenovela yang berlangsung pada hari Sabtu lalu.
Kemenangan ini sama sekali tidak dijangka dan amat bersyukur dengan hasil titik peluhnya selama ini. Tambahan pula ini adalah kemenangan kedua untuk dirinya.
"Saya hadir malam itu hanya untuk memberi sokongan. Tidak menjangka sebarang kemenangan pun.
"Lagipun saya fikir, tak kanlah juri nak pilih saya lagi tahun ini sebab tahun lalu dah menang. Tambahan pula, ada ramai lagi pelakon-pelakon yang hebat.
"Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua juri kerana memilih saya," ujarnya.
Beruntung ayah Emma mempunyai anak sepertinya. Semoga ada lagi peluang rezeki yang baik-baik untuk Emma. - CARI
|
|