"Saya terkejut apabila buka bonet depan ada ular sawa sedang melilit enjin, sudahlah saya pun takut dengan ular."
Terkejut betul Aiman Tino apabila mendapati ada tamu tidak diundang memasuki bahagian enjin keretanya, lapor mStar Online.
Kredit foto: IG mStar Online
Menurut penyanyi lagu Permata Cinta itu, dia menyedari ada sesuatu tidak kena selepas sistem amaran pada bahagian enjin menyala dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati seekor ular sawa berada pada enjin kereta dipandunya malam Selasa lalu.
"Saya bersama kawan-kawan nak balik rumah dan dalam perjalanan itu tiba-tiba amaran pada enjin kereta menyala. Saya berhenti di tepi jalan untuk periksa apa yang berlaku," katanya.
Panik dengan keadaan itu, Aiman menghubungi abangnya sebelum menghubungi pihak Bomba untuk mendapatkan bantuan mengeluarkan reptilia berkenaan.
"Saya telefon abang untuk minta bantuan kerana dia berani dengan ular tapi dia pun tidak mampu nak keluarkan kerana lilitan ular itu terlalu kuat.
"Akhirnya kami hubungi Bomba berdekatan untuk bantuan. Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan berlaku.
"Ini pengalaman pertama saya dan saya harap orang ramai berhati-hati dan periksa kenderaan dahulu sebelum keluar terutama pada musim hujan di mana haiwan itu mencari tempat berlindung," ujarnya.
Kredit foto: IG Aiman Tino
Aduhai, nasib baik tidak berlaku apa-apa tidak diingini. - CARI
|