Sebut sahaja Perniagaan Jualan Langsung atau nama glamournya Multi Level Marketing (MLM) pada kebanyakan pekerja kerajaan, mereka akan menggeleng kepala. Ini kerana ramai yang terjerumus dalam bisnes sah ini dengan modus operandi 'mencekik' mereka supaya membuat pinjaman bank hingga berpuluh ribu ringgit semata-mata mahu hidup mewah seperti idola mereka.
Setelah membayar harga barang yang tidak masuk akal ini, mangsa diminta pula mencari 'kaki' untuk mendapatkan keuntungan daripada modal yang telah lebur. Ia meleret-leret dengan janji manis puak pemangsa hinggakan ramai yang terpedaya membuat pinjaman bank hingga bertahun-tahun untuk menyelesaikannya. Ia berlaku antara awal tahun 2000 hingga 2010.
Lebih malang, barang tersebut tersadai dibawah katil kerana tidak terjual sementara pemangsa pula sakan menayangkan kemewahan bercuti di luar negara dengan alasan berjaya dalam bisnes. Sampai bilakah 'lintah darat' ini harus dibiarkan?
Kredit foto: Twitter
Produk-produk seperti korset, penapis air dan sabun dijual dengan harga tidak munasabah kepada mangsa sehingga mangsa pula terpedaya membelinya lalu mencari pula mangsa lain. Sedangkan jika mereka peka, barangan tersebut sebenarnya boleh dibeli menerusi laman sesawang dengan harga yang tersangat murah.
Biarpun dikatakan MLM seperti sudah berakhir, namun impak negatifnya boleh di lihat di media sosial dengan mangsa-mangsa mahu menjual produk 'overpriced' yang mereka beli dengan harga lelong kerana mentor lari.
Kredit foto: Twitter
Ramai netizen simpati dengan nasib mangsa yang terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit ini. Sedangkan jika duit itu disalurkan pada perkara yang lebih berfaedah seperti duit pendahuluan rumah, bercuti menambah pengetahuan dan sebagainya berbanding membayar RM20,000 untuk membeli 10 korset yang 'overpriced'.
Namun ini sebenarnya boleh dielakkan jika masing-masing tidak tamak untuk menjadi cepat kaya kerana pemangsa memang bijak meminta mangsa meminjam duit daripada sesiapa pun hatta daripada ibu bapa sendiri.
Kredit foto: Twitter
MLM akan menggunakan apa sahaja ayat manis untuk mengabui mata mangsanya asalkan hajat mereka tercapai.
Kredit foto: Carian Internet
Biarpun seperti tidak kedengaran lagi sistem MLM ini, perlu diingatkan mereka berselindung disebalik menjual barangan. Jadi, jangan terpedaya serta nasihatkan orang terdekat dengan anda supaya tidak menjadi mangsa. - CARI
|