GUA MUSANG: Masjid Razaleigh yang menyerupai model Masjidil Haram di Makkah yang terletak di Bandar Lama, Gua Musang, bakal dibuka akhir April ini.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata masjid yang menelan belanja RM28 juta itu sekali gus menjadi mercu tanda baharu Kelantan.
Katanya, masjid yang mampu memuatkan lebih 3,000 jemaah dan mula dibina akhir 2016 lalu, kini dalam persiapan akhir sebelum dibuka Ramadan nanti.
Beliau berkata, kini ia hanya membabitkan kerja-kerja kecil yang perlu disiapkan termasuk kemudahan bekalan elektrik.
“Masjid dengan rekaan unik dan menarik menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi termasuk jubin itu juga bakal menjadi tarikan pengunjung.
“Walaupun belum siap sepenuhnya, sudah ada pengunjung luar datang melihatnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir Masjid Razaleigh itu, di sini, hari ini.
Tengku Razaleigh berkata, lebih menarik dan uniknya masjid mirip Masjidil Haram di Makkah itu dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah.
“Cuma ada beberapa perkara yang belum dapat dilaksanakan umpamanya replika Kaabah yang kita nak bina, kita guna screen LED memaparkan ayat suci al-Quran,” katanya.
Masjid itu dilengkapi ruang yang luas, selain bilik mesyuarat, bilik kursus, dewan makan, bilik imam, bilal dan dua ruang pengurusan jenazah.
Katanya, ruang tengah masjid itu boleh digunakan ketika kursus haji.
“Apabila masjid itu dibuka nanti, Masjid Razaleigh yang lama tidak digunakan lagi untuk solat Jumaat dan terpulanglah kepada penduduk sekitarnya untuk solat berjemaah lima waktu,” katanya.