Pelakon Jehan Miskin berkongsi berita gembira bahawa isterinya iaitu Julie Camelia Rhee selamat melahirkan bayi lelaki pada Sabtu.
Perkara itu dikongsikan Jehan di laman sosial dengan memuat naik foto bersama cahaya mata pertamanya yang diberi nama Axel Nova Rhee Jehan.
Menurut pelakon berusia 41 tahun itu, kelahiran putera sulungnya pada tengah malam hari ke sembilan sambutan Tahun Baru Cina diiringi letupan bunga api.
“Selamat datang ke dunia anak lelaki saya, Axel Nova Rhee Jehan, nama pertama saya. Lahir pada tengah malam hari ke-9 sambutan Tahun Baru Cina dengan letupan bunga api, awak benar-benar keajaiban,” tulis Jehan.
Kredit foto: IG Jehan & Julie
Ruangan komen di perkongsian tersebut dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada netizen dan rakan selebriti antaranya Alif Satar, Sherry Alhadad, Anis Nabila dan Esma Daniel.
Sebelum ini, Julie Camelia Rhee yang merupakan warganegara Korea mengakui teruja dan tidak pernah membayangkan dirinya hamil selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
"Sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan datang dalam dunia kecil kami, yang akan buat segalanya-galanya berubah. Kami akan bergelar ibu bapa!
"Saya dapat bayangkan yang perjalanan ini akan menjadi sesuatu hal yang mengujakan," katanya menerusi satu posting di Instagram miliknya pada September tahun lalu.
Pelakon yang pernah popular menerusi drama siri Manjalara itu mendirikan rumah tangga dengan Julie pada Mei 2013.
Sumber: mStar |