CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12Next
Return to list New
View: 4367|Reply: 20

iras yang berbeza by Wan Mohd Muzri b. Ramli

 Close [Copy link]
Post time 13-11-2007 01:58 PM | Show all posts |Read mode
Zali mendongak seketika ke langit nan cerah. Cahaya matahari yang terik waktu itu menandakan waktu zuhur telah masuk. Jalan berturap dari tempat turun bas menuju ke kawasan kampung dilewati dengan langkah yang longlai. Tempat kelahiran yang sudah lama tidak dijenguk itu kini banyak mengalami perubahan. Beberapa bangunan rumah kedai telah didirikan di kawasan kerumunan orang ramai yang masuk keluar kampung.

Hari itu dia pulang dengan satu kertas yang dahulunya merupakan impian abadi dirinya selaku calon Sijil Pelajaran Malaysia. Sudah lima hari dia menerima keputusan SPM. Selama itulah hatinya dilanda seribu satu perasaan yang sukar diungkapkan kerana mendapat pangkat yang terendah sekali. Lebih rendah dari pangkat tiga. Bagaimana hendak berhadapan dengan ibu yang meletakkan harapan tinggi mengenai masa depannya? Bagaimana untuk menghadapi wanita kesayangan itu setelah mengetahui keputusan yang teruk di antara yang buruk?

Puas sudah dia bermuhasabah diri. Menyelak dan mengintai kesilapan yang tidak disedari selama ini. Dia bukan pelajar bodoh. Bukan juga pelajar yang tidak menitik beratkan pelajaran. Tetapi kenapa SAP sebagai pangkat yang dinobatkan untuknya di dalam slip keputusan peperiksaan semalaysia itu? Di mana silapnya?

Akhirnya dia tahu jawapannya. Farahin! Nama itulah yang mengaburkan matanya. Gadis itulah yang membuatkan dirinya tenggelam dalam lautan asmara sehingga pelajaran tidak lagi dianggap seserius dulu sewaktu mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah. Dia mengecewakan semua orang kerana Farahin seorang. Juga mengecewakan diri sendiri disebabkan terlalu leka dengan cinta gadis berwajah ayu itu. Malah gadis itu jauh lebih hebat keputusan peperiksaan berbanding dirinya.


Penyesalan datang bertimpa-timpa. Kecewa yang teramat apabila terpaksa berhadapan dengan sindiran teman-teman. Namun yang lebih mengecewakan apabila Farahin memutuskan hubungan cinta mereka. Farahin telah beralih cinta pada lelaki yang selalu menjadi saingannya di kelas. Baru dia sedar cinta palsu gadis itu. Seakan terantuk batu yang besar, dia mula melihat realiti sejelas-jelasnya. Realiti yang begitu menyakitkan sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Malam itu di rumah dia hanya membisu sambil bermenung di depan televisyen. Mata saja yang menuju ke situ sedangkan fikirannya masih diselubungi rasa bersalah. Ibu tidak sedikit pun mengungkit soal kegagalan itu. Kepulangannya disambut dengan tenang dan senyuman manis ibu. Adik-adik pula tidak tahu menahu tentang keputusan tersebut kecuali yang kedua. Jelas kelihatan adiknya itu kesal dengan kegagalan yang dikiranya sebagai satu kesengajaan.

"Apa yang kau menungkan?" suara ibu menerjah ke telinga. Serentak itu dia mengawal air muka.

"Mana ada. Orang tengok cerita," balasnya menafikan walaupun jelas kelihatan cerita yang ditonton telah tamat. Yang kelihatan kini senarai barisan pelakon yang selalu terpapar di akhir cerita.

Rosiah menyambung kerja melipat pakaian yang ditinggalkan oleh anak kedua secara tidak sengaja. "Ibu tak kesal dengan keputusan tu," ujarnya sambil mengerling ke arah Zali sekilas. Kelihatan anak itu hanya diam membisu. "Mungkin Li dah buat sebaiknya. Dah belajar dengan tekun tapi nasib tak menyebelahi. Mana tahu kan. Terima aja keputusan tu dengan baik," sambungnya dengan suara yang tenang.

Zali menahan sebak yang tiba-tiba saja terbit. Ibu tidak pernah mengetahui perkembangannya di sekolah. Ibu hanya memberi nasihat agar belajar dengan tekun setiap kali dia pulang ke rumah Pak Ngah kerana sekolahnya dekat dengan rumah bapa saudara yang terletak di bandar. Jadi di rumah itulah dia menumpang hidup. Andainya ibu tahu bahawa dia terjebak ke dalam kancah percintaan, tentu sudah lama airmata wanita tunggal itu bercucuran menangisi kegagalannya.

"Tak apalah, ibu masih ada simpanan untuk Li sambung pelajaran ke mana yang Li rasa berkebolehan. Tapi kalau nak bekerja, terpulanglah pada Li," sambung Rosiah cuba meredakan ketegangan yang jelas terpamir di muka anak sulung itu. Dia tahu anak itu dilanda penyesalan. Riak muka dan kelakuannya saja sudah jelas menunjukkan situasi itu. Zali tidak bersuara walau sepatah. Mulutnya seakan terkunci rapat dengan kata-kata ibu yang sungguh mendamaikan. Ibu masuk ke kamar apabila kerjanya selesai.

Seketika dia mencari kelibat Rini. Sejak dia pulang lagi Rini mengelakkan diri dari bercakap dengannya walaupun ruang rumah mereka tidak luas. Suasana sunyi sepi. Adik-adik lain telah lama dibuai mimpi. Yang kedengaran hanyalah bunyi cengkerik hutan bersahut-sahutan memeriahkan malam. "Abang tau abang salah," ayat pertama yang keluar sebaik saja mendapati adiknya sedang bermenung di anjung rumah.

Rini tidak bersuara. Perlahan-lahan dia bergerak untuk beredar namun tangan sasa abangnya lebih dulu menjadi pagar menghalangnya.

"Abang minta maaf," Zali merenung mata adik yang muda 2 tahun darinya. Adik yang sama-sama bersekolah dengannya. Mereka rapat sejak kecil membawa ke besar. Namun jadi renggang sejak dia dihampiri oleh gadis bernama Farahin.

"Maaf?" Rini mengulang tanya sambil bibirnya tersenyum sinis. Pandangan mereka berlaga lama. Perlahan-lahan dia berpeluk tubuh. Dia tahu punca abangnya gagal. Dia selalu menyaksikan abangnya bercengkarama di bawah pokok ru bersama gadis yang cukup dikenali dengan mata keranjang di kalangan perempuan. Gadis jelita secantik namanya tapi bertentangan sikap dan peribadi.

Dia kenal Farahin. Sana sini orang mengatakan bahawa gadis itulah bakal kakak iparnya. Namun jauh di sudut hati dia meluat dengan perempuan bertubuh ramping itu. Farahin mendekati abangnya atas tujuan tertentu iaitu membolot publisiti menjadi kekasih seorang ketua sekolah yang kacak lagi berwibawa. Lelaki rebutan remaja perempuan di sekolah. Menjadi sebutan guru di mana-mana. Namun abangnya ditinggalkan begitu saja setelah dilambung gelombang gagal yang memalukan.

"Ini balasan abang pada ibu?" tanyanya dengan muka yang mula mengeruh. Sakit matanya melihat muka tampan abang. Muka tampan itu kelihatan sangat buruk di matanya. Seburuk sikap abang yang jauh berubah setelah diperdaya oleh anak hartawan yang tidak dermawan.

Zali meletakkan jari ke bibir Rini. "Abang betul-betul sedar. Jangan marah abang lagi. Please," rayunya penuh harap. Dia perlukan seseorang untuk meredakan kekecewaannya. Rinilah yang selalu menjadi penasihat dan penawar resah. Setelah kehilangan Farahin, dia seakan kehilangan adik sendiri. Seketika pandangannya ditentang oleh adik itu. Rini menghela nafas perlahan.

Muka abang direnung penuh benci. Satu perangai lelaki dipelajarinya. Ketika dilamun cinta dan mabuk rindu dengan kekasih hati, adik sendiri automatik ibarat orang asing. Lebih asing dari jiran sebelah rumah. Kemudian setelah dikecewakan atau tersedar akan sebuah kenyataan, orang yang disisihkan itulah yang akan dicari kembali. Walaupun kembali sedar, belum tentu lelaki mahu berhadapan dengan kesilapan yang dilakukan. Belum tentu mahu mendengar kesalahan yang diterangkan.

"Baguslah kalau dah sedar. Tak perlu Rini bebel panjang-panjang," balasnya masih bernada keras dan kasar.

"Cuba Rini faham perasaan abang!" balas Zali dengan suara menekan. Keluhan berat kedengaran selepas itu. "Abang perlukan sokongan. Abang tengah sedih ni," ujarnya meluah rasa. Saat seperti itu betul-betul menerbitkan rasa sedih akibat penyesalan yang bertimpa-timpa. Dia mengharapkan kelembutan Rini yang selembut ibu. Mengharapkan adik itu akan menuturkan kata-kata yang menyejukkan perasaan seperti dulu.

Rini membatalkan hasrat untuk terus menentang kata abang. Getaran suara abang menerbitkan simpatinya. Abang tak ubah seperti orang hilang pedoman. "Pergilah tidur. Abang patut berehat. Esok kita bincang lagi," ujarnya bersuara lembut. Senyuman cuba diukir. Bahu abang digosok-gosok mesra. Itulah yang selalu dilakukan jika lelaki itu gelisah. Zali kelegaan. Kemudian mereka berpisah di kamar masing-masing.


*******************************************************

[ Last edited by  onizuka86 at 24-11-2007 11:37 AM ]
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-11-2007 02:00 PM | Show all posts
Zali tersipu-sipu malu apabila cikgu Matematik memuji jalan kerjanya untuk setiap soalan yang diberikan. Mukanya berbahang apabila semua teman mengakui kebijaksanaannya. Baru berapa bulan berada di sekolah persendirian itu, namanya melonjak lagi di kalangan guru-guru. Sekelip mata ramai teman yang ingin mendekati untuk menjadikannya sebagai pakar rujuk. Dia sengaja mengambil peperiksaan besar itu sekali lagi. Kali ini benar-benar sepenuh konsentrasi. Tiada seorang perempuan yang tersenarai sebagai kekasihnya. Dia jadi benci dengan perempuan. Perempuan hanya menyusahkan hidup dan masa depannya.

Dia sudah berjanji pada diri sendiri akan membuktikan kembali pada keluarga kebolehannya kali ini. Dia yakin kejayaan akan berada di genggamannya musim itu. Dia begitu bersemangat sehingga sentiasa bersama buku di mana saja berada. Dia tidak peduli kata teman-teman sekolah lama yang meremeh dan mengejeknya yang ketinggalan di belakang. Dia akan buat yang terbaik. Tidak mustahil jika dia dapat mengatasi teman-teman lama itu ketika berada di gerbang menara gading nanti. Itu nekad dan motivasi peribadinya. Dia cuba bangkit membina hidup baru walaupun kepayahan begitu terasa untuk melakukannya. Kadangkala bayangan Farahin mengganggu hidupnya. Namun perbuatan gadis itu sedikit sebanyak menghapuskan rindunya. Menukarkan rasa cinta kepada benci.

"Ops! Maaf, tak sengaja," ucap seorang perempuan apabila terlanggar tubuhnya tanpa sengaja. Dia yang sedang meneliti papan kenyataan sekolah hanya mengangguk sambil sempat melihat nama yang tertera di lencana gadis itu. Farahin?

"Eh awak!" panggilnya keras. Melihat nama itu dadanya berombak-ombak marah. Gadis itu berpatah semula ke belakang. "Awak ni jalan pandang atas ke? Nak kata tak ada mata, saya tengok ada empat mata! Lain kali jalan tu berhati-hatilah sikit!" marahnya kasar walaupun dia sedar tidak patut berbuat begitu.

"Er, maaflah," balas gadis itu dengan wajah terkulat-kulat. Riak mukanya jelas menunjukkan dia berasa bersalah.

"Dasar rabun," balas Zali kembali menghala perhatian kepada papan kenyataan sambil mencari artikel yang sedang dibaca tadi.

"Awak ni nak cari gaduh ke?" tanya gadis itu pula.

"Gaduh? Saya cuma cakap rabun. Tak cakap nak gaduh pun," jawab Zali bersahaja.

"Sedap mulut awak bercakap?" gadis itu berada di sebelahnya. Zali terkedu seketika.

"Kan saya dah minta maaf. Tak cukup ke ucapan maaf saya tu sampai nak menghina? Dasar lelaki ego! Keras hati!" ujar gadis itu sambil mencemuh. Zali terdiam. "Saya doakan pasangan awak nanti bukan saja rabun tapi double triple rabun! Di samping pakai cermin mata yang tebal, turut pakai kanta! Amin!" sambung gadis itu sambil menjeling kegeraman. Kemudian berlaku pergi.

Zali tidak pasti samada ingin ketawa atau marah. Pertama kali dia mendengar perempuan marah dengan melontarkan kata-kata seperti itu. Dia pulang sekolah agak lewat kerana sibuk dengan kumpulan belajarnya sehingga ke petang. Namun bukan satu masalah baginya kerana hanya perlu berjalan kaki untuk sampai ke rumah.

"Tak apalah makcik. Dia orang belum makan lagi. Nanti mak marah pula," suara itu seperti pernah didengar. Serentak itu dia mengamati susuk tubuh yang sedang berbual dengan ibunya di anjung depan.

"Alah, dia orang dah makan tadi dengan Arin. Biarlah dia orang nak bermain sekejap kat rumah makcik," suara ibu begitu mesra. Dia memerhati gadis yang berbual dengan ibunya sambil berjalan.

"Tak boleh makcik. Sejak pagi tadi mak kata dia orang keluar sampai sekarang tak balik-balik," gadis itu membalas penuh sopan santun. Seketika kedengaran suaranya memaksa adik-adik yang berdegil tidak mahu pulang.

"Ha, Li. Lambat kau balik," tegur Rosiah melihat anak yang masih berpakaian seragam sekolah.

Zali tersengih cuma. Seketika pandangannya bertemu dengan mata gadis itu. Farahin??? Farahin mengerut kening seketika. Budak yang hina aku??

"Nilah anak makcik yang sekolah bandar dulu tu," Rosiah memperkenalkan. Farahin cuma mengangguk sambil mengukir senyum.

"Tak apalah makcik, balik dulu," ujarnya sambil memanggil adik-adik.

" Usop! Edi! Last akak panggil. Lepas ni akak panggil pakai rotan ok?" suaranya meninggi untuk mengancam. Tidak lama kemudian kanak-kanak itu berlarian turun dari pintu belakang. Farahin mengeluh seketika. Rosiah pula naik ke rumah apabila Rini memanggilnya dari dalam.

"Hm, sampai ke sini awak jejak saya?" tanya Zali sinis.

"Hei, sorry sikit ya saudara. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong!" balas gadis itu seraya beredar.

"Siapa minah specky tu ibu?" tanyanya ketika makan malam bersama.

"Kentucky?" tanya ibu kurang jelas.

"Bukanlah. Budak perempuan pakai cermin mata tulah. Anak siapa? Garang semacam!" tanyanya serius. Rini tersenyum seketika.

"Jangan main-main. Tu kakak angkat Rini tau. Sekali dia tengking abang, terpelanting dibuatnya!" Rini mencelah.

Zali mencebik muka. "Terpelanting? Sekali abang buka silat gayung, patah terus cermin mata dia tu! Teraba-raba kang nak cari benda!" balasnya sambil memperlekehkan gadis yang serupa nama dengan bekas kekasihnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 02:00 PM | Show all posts
"Wah! Sedapnya mulut abang cakap dia macam tu. Ingat perangai dia macam kak Farahin anak orang kaya tu ke? Ini Farahin anak tukang kebun tau!" balas Rini membela teman sekampung yang suka membantunya mencari ubi kayu di kebun.

Zali cuma diam. Tidak perlu dia mencari kemarahan adik yang sudah mula mesra dengannya. Hubungan yang kembali harmoni tidak mungkin dirosakkan begitu. Baru disedari Farahin yang baru ditemui itu mempunyai pengaruh besar di mata keluarga.Rentetan dari itu dia terpaksa berlakon baik dengan Farahin walaupun teramat benci mendengar atau memanggil gadis itu dengan nama tersebut. Dia lebih suka menggelarnya minah spekcy.

" Farahin, bukan specky. Aku ada nama," gadis itu membetulkan setiap kali dia memanggil dengan nama itu. Dan dia tidak akan pernah peduli dengan teguran itu. Setiap kali mereka belajar pasti tidak lepas dari bertikam lidah. Mujur Rini selalu menjadi pengadil antara mereka.

"Kenapa kau baik hati sangat pinjamkan nota-nota kau semua tu? Aku tak pernah minta pun," tanyanya pada satu ketika apabila gadis itu kerap meninggalkan nota pelajaran di dalam meja.

Farahin mengerutkan kening. Serampang dua mata yang digunakan untuk menggembur tanah di kebun milik arwah bapa itu diletak seketika ke tepi. Kemudian dibetulkan letak pakai cermin mata yang sedikit terlorot.

"Dah memang kau yang minta!" katanya menerangkan. Zali menggeleng kepala.

"Jangan nak buat alasan. Kau sengaja tinggalkan nota tu semua untuk cari publisiti supaya gosip antara kita hangat diperkatakan orang! Kan?" ujarnya tidak dapat menerima alasan gadis itu.

Sepantas kilat Farahin bingkas dari posisinya yang duduk mencangkung sambil menggembur batas pokok terung kesayangannya. Serampang dua mata itu diaju ke arah Zali.

"Kau jangan fikir semua perempuan akan tergila-gilakan kau termasuklah aku. Tolong sedar diri kau tu sikit! Dahlah SPM return, perangai pula macam siamang karat. Siapa yang nak? " dia seakan hilang sabar. Muka lelaki itu direnung tajam.

"Kau hina aku?" balas Zali benar-benar tersinggung.

"Kau hina aku boleh," balas Farahin tidak mahu kalah. Zali mengerut kening.

"Bila masa? Sejak aku tau adik aku rapat dengan kau, aku tak pernah hina kau!" balasnya tidak puas hati.

"Konon! Ingat aku tak tau yang kau benci nama aku? Kau hukum aku disebabkan nama aku yang sama dengan bekas makwe kau! Itu bukan satu penghinaan pada aku? Hah?" marah gadis itu lantang.

Zali terpempan seketika. Ternyata gadis itu tahu sejarah percintaannya.

"Ego! Pentingkan diri sendiri! Apa silap aku sebagai kawan sejiran kau? Hanya disebabkan nama aku Farahin? Ternyata kau manusia yang penuh dendam! Dendam kesumat! Tak guna kau sembahyang lima waktu, puasa cukup sebulan kalau begini rupa bentuk hati nurani kau!" Bertubi-tubi fikirannya dibasuh oleh gadis itu. Pertama kali dia merasakan kelainan. Kelainan kerana Farahin tidak memberi sebarang reaksi walaupun tahu tentang kisah percintaannya yang kecundang. Kelainan kerana gadis itu insan yang punya pendirian dan pegangan yang kuat. Sejak itu mereka semakin akrab. Keakraban itu dia yang memulai kerana terasa satu kerugian jika tidak mendampingi gadis itu.

"Sudahlah, tak guna kau nak ingat perkara yang dah lama. Lupakan aja kesalahan dia. Berdendam tu kan tak elok. Banyak hikmahnya kegagalan kau yang lepas. Itu sebagai pengajaran. Jangan biarkan ia berulang untuk kali kedua," nasihat Farahin sewaktu mereka berehat di bangsal tempat padang rumput kerbau.

"Betul apa kau cakap tu tapi kau tak rasa bagaimana keadaan bila putus cinta, Farahin. Sakit kau tau tak!" balasnya meluah rasa. Dia tidak menyangka gadis itu sudi mendengar cerita dan masalahnya. Tidak pernah terduga gadis itu memberi perhatian pada luahan hatinya.

"Sakit pun sakitlah. Bukannya kau boleh buat apa-apa selain daripada menanggungnya. Takkan kau nak bomoh-bomohkan dia pula. Kita orang Islam. Manusia tak lepas dari kesilapan. Betul tak?" balas gadis itu sambil merenung jauh ke arah sekumpulan kerbau yang sedang memagut rumput.

"Memang betul tapi.."


"Sekarang ni jangan pandang ke belakang lagi. Anggap saja kesilapan perempuan tu adalah dari kebodohan dia. Dan anggap juga sebagai kebodohan kau. Masa masih panjang. Umur pun muda lagi. Jangan biarkan dendam menguasai kau. Kau juga yang rugi," potong gadis itu lagi bersyarah panjang lebar. Dia mengangguk-angguk mengakui kata-kata Farahin. Namun untuk melaksanakannya bukan semudah seperti yang dituturkan.

Semakin dia mengenali Farahin, semakin terasa kelainan di dalam hati. Namun perasaan halus itu hanya disimpan dalam-dalam. Gadis itu telah menghapuskan dendamnya pada kekasih lama. Juga telah merubah pendiriannya tentang perempuan. Gadis itu lama kelamaan membuatnya terpesona. Namun bukan semudah itu untuk dia meluah rasa. Ego menghalangnya dari berterus-terang. Dia tidak mahu bermain dengan perasaan lagi. Mereka selalu pulang dari kelas tambahan bersama-sama. Namun malam itu kelihatannya Farahin hanya membisu. Tidak ceria seperti kebiasaan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 02:01 PM | Show all posts
"Senyap je, kena langgar garuda ke?" tegurnya setelah mereka membisu melewati jalan pulang. Farahin cuma senyum sambil memandangnya sekilas. Tidak ada bicara yang kedengaran.

"Aku ada buat salah ke?" tanyanya mula serius apabila gadis itu tetap membisu.

"Tak adalah. Aku tak sihat sikit," jawab Farahin menerangkan. Jawapan itu melegakannya seketika. Tidak lama kemudian mereka berpisah di lorong biasa menuju ke rumah masing-masing.

Akhirnya baru dia tahu bahawa gadis itu sedang bertelagah dengan teman lelakinya. Sekali lagi dia terkejut apabila Rini menceritakan hal itu.

"Kenapa tak bagitau aku yang kau dah berpunya?" tanyanya ketika mereka bertemu seperti biasa. Farahin tergelak kecil. " Siapa reporter yang buat cerita palsu tu?" tanyanya ingin tahu. Zali mengerut kening seketika.

"Alah, berterus terang ajalah. Selama ni aku tak tau yang aku mengganggu kekasih orang," ujarnya serius. Bicaranya saja yang serius tapi jauh di sudut hati dia benar-benar kecewa. Kecewa dengan perasaan sendiri.

"Mana ada. Aku tak pernah ada hubungan dengan siapa-siapa," ujar gadis itu bersungguh-sungguh. Zali mencari kejujuran di muka gadis itu. Jawapan itu seolah-olah mengembalikan semula harapan yang seakan hilang. Namun mengingatkan cara Rini bercerita tempohari menimbulkan keraguan seketika.

"Habis, malam kelmarin yang kau muram aja sebab apa?" tanyanya mengungkit kembali.

"Kan aku kata tak sihat," jawab Farahin mengingatkan. Zali terdiam seketika. Benarkah tak sihat? Atau sengaja mengelakkan diri dari berbicara soal itu?

"Aku tak percayalah," ujarnya sambil tersenyum. Gadis itu membalas senyumannya. " Kalau aku ada kekasih sekalipun, kau tak perlu risau. Dia bukan kaki cemburu," ujarnya tenang.

Zali mengawal rasa kurang senang yang terbit. Minda terus bertanya-tanya tentang kebenaran bicara Farahin.

"Jadi betullah ada?" tanyanya lagi.

"Kenapa kalau ada? " balas gadis itu pantas seperti kehairanan. Zali terdiam. Tidak tahu jawapan yang sesuai untuk soalan itu.

"Come on, Li. Kau kenal aku kan. Kita masih belajar. Tak ada asmara waktu sekolah. Itu prinsip aku," ujar Farahin menerangkan setelah soalannya tergantung begitu.

Penjelasan itu melegakannya seketika. Namun turut menghapuskan benih harapan yang ingin dicambahkan.

"Kau tak rasa bersalah tolak hasrat orang?" tanyanya menduga. Farahin menggeleng kepala.

"Kau pernah terfikir bagaimana kalau kau jadi lelaki yang hasratnya tak kesampaian?" tanya Zali lagi.

"Apa nak risau, perempuan berlambak dalam dunia ni. Lainlah perempuan. Terpaksa bersaing untuk dapatkan kasih lelaki," jawab gadis itu selamba.

"Ha, tau pun. So, kenapa senang-senang nak tolak cinta orang?" tanyanya lagi. Serentak itu mata Farahin tertuju ke matanya.

"Soalan ni ditujukan pada aku atau pada perempuan yang ada dalam dunia ni?" tanyanya serius. Zali tergugup seketika.

"Tak ada siapa yang boleh campur urusan peribadi aku. Ingat tu!" tambah gadis itu memberi amaran. Riak kurang senang jelas terpamir di muka gadis itu.

"Kedekut! Bakhil! Kemut!" Zali mencemuh. Farahin mengerut kening.

"Kau nak cari gaduh ke?" tanyanya dengan nada keras.

" Memang kau kedekut. Nama aja kawan baik tapi pentingkan diri sendiri! Masalah kau, sendiri aja nak tanggung. Selfish!! Manusia berkira! Lokek!" cemuhnya lalu meninggalkan gadis itu.

"Li! Dengar dulu!" halang gadis itu.

"Ah! Tak payah! Aku mana layak nak masuk campur urusan kau!"

Dia benar-benar tersinggung dengan bicara gadis itu. Sejak itu dia menjauhkan diri dari Farahin. Begitu juga dengan Rini yang menjadi pemberi maklumat palsu. Adik itu sengaja menduganya. Sengaja mengujinya samada menaruh hati pada Farahin atau tidak. Dia tidak mahu lagi memikirkan mereka yang menyakitkan hati. Baginya peperiksaan yang hampir tiba itu lebih penting untuk difikirkan biarpun Farahin tidak lagi dihubunginya.

****************************************************
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 02:02 PM | Show all posts
Peperiksaan yang mendebarkan akhirnya selamat dijalani selama dua minggu berselang hari. Dia rasa bersyukur kerana persiapan untuk menghadapi peperiksaan itu telah dibekalkan secukupnya. Dia yakin kali ini akan meraih kejayaan yang diimpikan. Kadangkala dia bertembung jalan dengan Farahin namun mereka bagai tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Sesekali dia merindui persahabatan mereka tetapi perasaan ego menghambatnya untuk merapatkan kembali hubungan.

"Abang ni kenapa? Asyik duduk rumah aja cuti ni. Pergilah kerja. Tak pun jalan-jalan dengan kawan," tegur Rini menyedari kelainan perilaku lelaki itu. Zali yang hanya menonton siri kartun waktu petang itu diam cuma.

"Itulah, kalau sukakan dia tu, terus terang ajalah. Ini sampai berkelahi pula. Kan diri sendiri dah macam tak betul jadinya," sambung Rini sambil mencecah ubi rebus dengan sambal ikan bilis.

Zali menjeling adik seketika."Nak makan tu, buat ajalah cara nak makan. Nak sindir orang pula," marahnya kemudian.

"Rini bukan sindir, tapi nak sedarkan abang yang ego sangat tu. Nanti kalau dia dah kena sambar dengan orang lain, baru padan dengan muka," balas adiknya selamba sambil mengunyah makanan.

Zali menahan sabar mendengar bicara pedas Rini. Matanya dihalakan terus ke arah televisyen.

"Marah nampak? Nanti kalau dia kena sambar dengan orang lain, jangan menyesal!" sambung Rini lagi mengingatkan.

"Tak boleh senyap? Sejak bila jadi minah sibuk ni? Sepak kang!" marah Zali sambil merenung tajam Rini yang mula takut.

"Kenapa ni? Dah besar-besar pun nak bergaduh," tegur Rosiah yang baru pulang dari rumah jiran.

Zali tidak membalas sebaliknya bergerak ke bilik air membersihkan diri.

Pagi-pagi lagi dia sudah keluar ke bandar tanpa memberitahu keluarga. Kebosanan yang semakin mencengkam membuatkan dia bercadang untuk ke rumah Pak Ngah. Setibanya di sana dia diberitahu bahawa Pak Ngah di hospital kerana rawatan penyakit kencing manisnya. Tidak lama kemudian dia menghala tujuan ke rumah sakit itu untuk menziarahi lelaki yang banyak berjasa kepadanya. Seketika dia menanyakan lokasi wad Pak Ngah pada jururawat yang bertugas di bahagian kaunter pertanyaan. Tidak lama kemudian dia menapak ke arah wad yang telah diberitahu.

Tiba-tiba kekecohan berlaku sebelum sempat dia menaiki lif. Beberapa atendan hospital menolak troli pesakit ke dalam ruang legar dari arah pintu kecemasan. Dia menoleh seketika ke arah mereka. Dengan tergesa-gesa mereka menyorong troli menuju ke bilik rawatan kecemasan. Kemudian pintu ditutup rapat.

Zali terkejut. Wanita tua yang sedang menangis di tepi pintu itu seperti pernah dikenalinya. Serentak itu kakinya menghala ke arah wanita yang perlahan-lahan mengambil tempat duduk di kerusi yang disediakan. Seketika dia memberi salam. Wanita itu terkejut melihatnya.

"Li buat apa kat sini?" tanya wanita itu setelah menjawab salam.

"Nak lawat Pak Ngah. Siapa yang sakit, makcik?" tanyanya ingin tahu. Seketika wanita itu mengesat air mata yang mengalir tidak berhenti.

"Farahin," jawab wanita itu sebak. Zali terpempan seketika. Kekecohan sebentar tadi kembali menerawang ke dalam fikiran. Rupanya gadis itu yang berbaring di atas troli. Dia pantas melabuhkan punggung ke sebelah wanita itu.

"Dia sakit apa, makcik?" tanyanya laju. Berdebar-debar jantungnya melihat kesedihan wanita itu.

"Entahlah, Li. Tiba-tiba aja pengsan waktu tengah memasak tadi. Biasanya dia akan sedar lepas setengah jam. Tapi bila makcik tengok muka dia dah pucat lesi, terus bawa ke sini. Makcik tak tau apa penyakitnya," jawab wanita itu dalam esakan kecil.

"Tak apalah, bersabar banyak-banyak. Insyallah sembuh," Zali cuba meredakan kebimbangan wanita itu. Juga meredakan hatinya yang turut dilanda keresahan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 02:02 PM | Show all posts
Selang beberapa minggu selepas itu, Farahin kelihatannya segar bugar sewaktu mereka terserempak di komplek beli belah di bandar.

"Kau dah sihat?" tanyanya dengan nada yang lembut. Ayat pertama yang keluar ketika mereka sama-sama hendak menuruni eskalator.

Kelihatan gadis itu mesra dan riang sekali sambil mengangguk kepala. Zali mengawal rasa gembira dengan respon positif gadis itu. Ego telah dibuang jauh-jauh. Dia ingin menjalin kembali hubungan yang diputuskan. Kemudian mereka singgah di sebuah restoran makan segera.

"Kau buat apa sorang-sorang?" tanyanya mula membuka topik perbualan.

"Saja makan angin, bosan juga asyik terperap kat rumah. Lagipun result dah nak keluar. Perasaan tak menentu aja kalau ingat keputusan periksa," balas Farahin tenang.

"Aku pun seorang juga. Pun bosan juga macam kau. Kenapa tak ajak aku keluar?" tanya Zali lagi.

"Dah hilang marah dengan aku?" Farahin berbalas tanya. Zali segera menyengih.

"Marah tu sebenarnya dah lama hilang. Cuma merajuk aja yang tinggal," ujarnya cuba berjenaka. Gadis itu tergelak kecil.

"Lama betul rajuk kau! Sejak dari mula exam sampailah dah nak ambil keputusan. Kesian aku!" balasnya juga dengan nada bergurau.

Zali sekadar senyum. Lega seketika apabila mereka kembali mesra seperti dulu. Namun dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena di wajah gadis itu.

"Kau tak sihat ke?" tanyanya ingin tahu. Farahin segera menggeleng kepala.

"Kenapa? Ada yang tak kena ke?" dia berbalas tanya. Zali mengangguk. Wajah gadis itu berpeluh-peluh dan seperti sukar untuk bernafas. "Aku sihatlah! Janganlah pandang aku macam tu," tegas Farahin sambil menyeka peluh yang membasahi wajah dengan tisu. Zali mengangguk tanda akur.

" Aku rasa sekarang ni kau dah bersedia untuk bicarakan soal hati dan perasaan," ujarnya kembali kepada tujuan sebenar.

Farahin merenungnya seketika. "Maksud kau?"

" Aku rasa kau tak ada alasan lain untuk terima aku sebagai orang istimewa," balas Zali tenang.

Farahin diam seketika. Bicara lelaki itu baru difahaminya.

"Sekarang prinsip kau dah expired. Kau bukan budak sekolah lagi," sambung lelaki itu sambil mengukir senyuman. Farahin hanya membalas senyum mendengar kata-kata itu.

"Kenapa diam? Cakaplah," desak lelaki itu apabila dia tidak memberi bicara balas.

"Kenapa mesti aku? Ramai lagi perempuan lain," balas Farahin kemudian.

"Sebab kau adalah kau, bukan perempuan-perempuan lain," balas Zali pantas. Masih ingin mengelakkan diri, fikirnya tentang gadis itu.

"Aku tak bersedia. Kita masih muda, Li," Farahin menolak. Kedengaran keluhan dari bibir lelaki itu.

"Muda? Habis bila lagi? Bila dah tua? Apa yang menghambat kau lagi? Cuba ceritakan," tingkah Zali keras.

"Kau cari ajalah orang lain. Aku tak layak," balas gadis itu perlahan.

Zali terdiam sesaat. Bicara itu menggugat kemarahannya. Menerbitkan simpati seketika.

"Jangan cakap macam tu. Tak ada yang buruk tentang kau di mata aku," ujarnya memujuk.

"Itu cuma di mata kau. macam mana dengan orang lain?" balas gadis itu tidak puas hati.

"Yang nak berkawan dengan kau kan aku, bukan orang lain. Apa yang kau bimbang sangat?" balas Zali. Farahin terdiam seketika.

"Aku tak mahu kau menyesal," ujarnya kemudian. Seketika lelaki itu ketawa.

"Menyesal apa pula? Aku kenal kau Farahin. Aku yakin dengan kau," balasnya dengan riak bersungguh-sungguh.

"Nanti kita asyik bertelagah aja macam dulu," rungut Farahin lagi masih ragu-ragu.

"Itu dulu. Sekarang lain. Aku akan ubah perangai aku. Ok?" balas Zali meyakinkan.

"Betul? " tanya Farahin ingin kepastian.

"Betul! Sumpah!" jawab Zali bersungguh-sungguh. Segaris senyuman terukir di bibir Farahin. Perlahan-lahan dia mengangguk. " Ok, aku terima," ujarnya tenang.

Zali ingin menjerit sebaik saja gadis itu menerimanya. Namun realiti sekitar menghambatnya dari berbuat demikian. Hari demi hari terasa bagai mimpi indah yang sentiasa membuatkan bibirnya melorekkan senyuman. Terasa dia miliki segalanya. Farahin berada di sampingnya. Rindu pada Farahin lama ditumpahkan pada Farahin yang mula menjadi pujaan hati.

"Senyum aja memanjang abang ni. Mentang-mentanglah dah berpunya. Jangan lupa lagi pada adik sendiri sudahlah," Rini menegurnya ketika dia sedang membasuh motor di anjung luar. Seketika muka adik dipandang. "Cuba jangan perli-perli macam tu. Bukan aja telinga yang sakit tau," ujarnya menegur perlakuan adik. Rini mengangguk-angguk.

"Baiklah. Sorry!" ucapnya antara ikhlas dengan tidak.

"Bila abang nak ambil result?" tanyanya kemudian.

"Tunggu motor kering dululah," jawab Zali. Seketika jantung berdebar apabila mengingatkan keputusan peperiksaan yang keluar hari itu.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 13-11-2007 02:02 PM | Show all posts
Selesai solat zuhur, dia terus ke sekolah. Setibanya di sana, teman-teman terus mengangkatnya dan mengarak hingga ke kelas mereka. Semua mengucapkan tahniah atas kejayaan yang cemerlang sekaligus menobatkan dirinya sebagai pelajar terbaik. Dia bersyukur dengan kenyataan yang selama ini menjadi impian. Akhirnya maruah yang pernah terhempas ke jurang kehinaan, kini kembali gah di tempat asalnya. Dia berjaya menghapus palitan hitam di dalam kamus hidup sebagai seorang pelajar. Juga atas semangat dan nasihat dari seorang yang juga bernama Farahin. Seketika dia mencari kelibat Farahin namun gadis itu tidak kelihatan sejak tadi. Ke mana pula perginya gadis itu? Semalam sudah berjanji akan menunggunya di sekolah. Bunyi telefon bimbit mengganggu keresahannya seketika.

"Ha, ada apa Rini?"

"Bang, Kak Farahin meninggal dunia"


Telinganya seakan ingin pecah mendengar berita itu. Tanpa mempedulikan sesiapa, dia segera pulang. Hati diserang ketakutan yang teramat. Antara percaya dengan tidak hakikat berita itu. Rini suka berbohong padanya tapi nada suara adik itu tadi berlainan benar. Dari jauh dia melihat beberapa orang berkerumun di luar rumah Farahin. Dia tidak jadi menuju ke rumah itu. Sebaliknya memberhentikan motor ke tepi jalan.

Seketika dia melihat adik-adik Farahin menangis di depan anjung. Beberapa kaum wanita juga menangis sesama mereka. Tangisan itu lebih meyakinkannya bahawa memang Farahin sudah kembali pada Yang Maha Kuasa. Apatahlagi ketika melihat ibu Farahin yang rebah di bahu seorang wanita tua di sisinya.

Zali menahan rasa yang bergelora di dalam dada. Terasa lemah seluruh sendinya. Farahin tiada lagi di dunia ini! Slip keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia itu dipandang sepi. Dia bersendirian lagi meraikan keputusan itu. Setitik air mata tumpah. Farahin! Nama itu bergema dalam kesedihannya
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 02:03 PM | Show all posts
~~~ tamat ~~~
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 13-11-2007 02:59 PM | Show all posts
farahin sakit aper?  apsal dia meninggal plak?
Reply

Use magic Report

Post time 13-11-2007 02:59 PM | Show all posts
farahin sakit aper?  apsal dia meninggal plak?
Reply

Use magic Report

Post time 13-11-2007 03:02 PM | Show all posts
panjangnya aku baca....tapi ok lah gak not bad.....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 03:10 PM | Show all posts
Originally posted by bocah at 13-11-2007 14:59
farahin sakit aper?  apsal dia meninggal plak?



farihin tu watak sampingan jer...
nak menjadikan cerita jer...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 03:10 PM | Show all posts
Originally posted by bocah at 13-11-2007 14:59
farahin sakit aper?  apsal dia meninggal plak?



farihin tu watak sampingan jer...
nak menjadikan cerita jer...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 04:56 PM | Show all posts
tak tau la pulak sakit ape
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 04:56 PM | Show all posts
nape la hari ni mengong sangat server eh
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-11-2007 04:57 PM | Show all posts
kejap ok kejap tak
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 14-11-2007 11:23 AM | Show all posts
Originally posted by onizuka86 at 13-11-2007 04:56 PM
tak tau la pulak sakit ape



hek ellehh..cerita ko ni ada tanda tanyer yg tak terjawab arr...
Reply

Use magic Report

Post time 14-11-2007 01:42 PM | Show all posts
nice story
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-11-2007 01:48 PM | Show all posts
Originally posted by peaceofme at 14-11-2007 13:42
nice story

Reply

Use magic Report

Post time 29-11-2007 01:27 PM | Show all posts
bez.....
Reply

Use magic Report

12Next
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-12-2024 06:28 AM GMT+8 , Processed in 0.075357 second(s), 32 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list