|
SEBUT sahaja Wan Zaleha Radzi, pasti ramai yang sudah terbayang akan susuk tubuh wanita jelita yang cukup sinonim dengan TV3 atau lebih tepat sebagai pengantara paling tersohor untuk proram Majalah Tiga dalam sejarah penyiarannya.
Wan Zaleha merupakan orang pertama yang mengendalikan program majalah popular itu, sebelum dia terlebih dahulu bertugas dalam bidang penyiaran di Bilik Berita TV3 pada tahun 1986.
Itu cerita zaman mudanya yang dilaluinya tanpa rasa menyesal dan menganggap kerjaya sebagai wartawan penyiaran antara kerjaya terbaik di dunia.
Namun, kini Wan Zaleha yang berusia 46 masih kekal jelita sama seperti dulu walaupun tidak lagi dalam kerjaya itu. Dia bukan lagi wanita yang sering muncul di kaca televisyen, bukan lagi wanita yang sentiasa bersolek tebal dan tidak lagi kerja dari siang hingga ke malam.
Ini kerana sejak bergelar seorang ibu kepada Imad Imran, 3, dan isteri kepada Peter Imran Winton Abdullah membuatkan jadual hariannya mula berubah.
"Saya akui banyak perkara yang berubah. Dulu tidak kisah kalau kerja tanpa menentu masa, tidak balik rumah pun tidak apa tetapi kini mana boleh.
"Dulu bujang dan kerjaya merupakan perkara nombor satu. Sekarang sudah ada anak dan suami yang harus dijaga, jadi keluarga terletak di tangga paling atas baru kerjaya," ujarnya dalam tawa kecil.
Meskipun kini sibuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat miliknya sendiri iaitu Asiapromote Ventures Sdn. Bhd, tegas Wan Zaleha dia tetap mengimbangkan antara kerjaya dan keluarga.
"Imad merupakan jantung hati saya sekarang. Apabila bekerja sendiri, jadual waktu saya lebih fleksibel. Walaupun dalam waktu kerja, saya masih boleh pulang ke rumah, menghantar dan mengambil Imad dari sekolah.
"Walau sibuk mana pun, setiap malam saya dan suami akan membacakan buku cerita kepadanya. Saya tidak mahu kesibukan kerjaya kami berdua menyebabkan kami mengabai tanggungjawab kepada Imad," terangnya.
Menganggap kehidupannya cukup sempurna, Wan Zaleha kini memahami bagaimana perasaan seorang ibu yang cukup bangga dengan anaknya.
"Setiap hari melihat perubahan demi perubahan yang dilalui Imad membuatkan saya bangga dengannya dan seperti ibu bapa yang lain saya juga tidak ketinggalan merakamkan detik-detik istimewa itu.
"Dia seorang anak yang pintar. Sebelum dia mengenal apa itu playstation lebih baik saya membiarkan dia bermain di luar supaya dia cepat belajar tentang alam sekeliling dan tahan lasak," katanya sambil tersenyum. |
|