CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21504|Reply: 150

TAK MUNGKIN KUHINDAR

[Copy link]
Post time 24-3-2010 09:21 AM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by MUZRI at 8-7-2010 05:35

ANA SOFIYA

Sinopsis

Pertemuan pertama memberi impak yang berbeza kepada dua insan. Maria malu mengenang, sedang Hisyam mahu mendekat. Maria semakin resah apabila Hisyam terus-terusan mendesak. Dalam benci ada rindu. Bijak Hisyam memujuk, mereka akhirnya disatukan.  

Salina hadir menjadi duri dalam daging. Bagi Hisyam, gadis itu ialah sahabatnya yang terbaik. Insan paling dipercayai. Namun, dalam diam, Salina meracuni hubungan mereka. Salina ada agenda yang tersendiri.

Semakin hari, semakin nipis rasa percaya Maria terhadap Hisyam. Namun, dia tidak mungkin menghindar rasa kasih yang sudah menebal. Demi menunaikan permintaan Maria, Hisyam tega melamar Salina walau ada luka di hati.   

Sanggupkah Hisyam menduakan Maria yang pernah dicintai sepenuh hati? Dan, Maria, mampukah membiarkan suami tersayang jatuh ke tangan Salina? Atau, Mariakah orang ketiga yang tidak lagi diperlukan kehadirannya oleh Hisyam?

----------------------

1

Perjalanan menaiki STAR LRT di waktu petang begini, amat merimaskan gadis manis itu. Orang ramai sudah bersesak-sesak. Inilah suasana yang sangat tidak digemarinya. Dalam kesesakan itu pasti ada yang cuba mengambil kesempatan. Bimbang diri tidak berkesempatan untuk mengelak.

      Sesekali, jam di tangan diintai. Hati semakin lega. Tinggal dua stesen sahaja lagi sebelum dia sampai ke destinasi. Dia mengarahkan pandangan ke luar cermin kaca. Hanya bangunan-bangunan bertingkat yang kelihatan. Puduraya, Masjid Jamek... Akhirnya, dia turut berdiri untuk melangkah turun meninggalkan kereta api laju itu.

      Maria terus mengatur langkah. Dia ingin pergi ke Restoran KFC yang berada di sebelah Kompleks Pertama. Adiknya, Mazlan, sedang menunggu dia di situ.

      Sambil melangkah, mata memerhati sekeliling.

      Berhampiran tempat pejalan kaki itu ialah sebuah kawasan parkir kereta. Di kanannya terletak bangunan KWSP. Nadi Kuala Lumpur ini sangat sibuk. Kenderaan pula sentiasa bertali arus. Tidak berhenti-henti.

      “Maria! Tunggu!”

      Maria berhenti melangkah.

      Silap dengarkah dia? soal Maria sendiri. Namun, bila sekali lagi namanya dilaung, dia menoleh ke belakang.

      “Wan?”

      Lelaki itu tersenyum meleret.

      “Lajunya awak jalan, Lia. Hampir-hampir saya tak dapat cari awak tadi,” ujar lelaki bernama Irwan itu dengan lelah yang masih berbaki.

      “Awak ikut saya?”

      “Dari Stesen Cempaka lagi. Tapi saya tak dapat datang dekat dengan awak. Ramai sangat orang dalam LRT tu tadi. Jadi, bila nampak awak turun, saya pun turun samalah!” Irwan memberitahu.

      “Awak nak apa lagi ni?” soal Maria garang.

      Irwan tersengih. “Hei, janganlah garang sangat. Awak kan buah hati saya? Dah lama kita tak jalan sama-sama. Hari ni saya ingat saya nak belanja awak makan.”

      Maria cuba menahan rasa marah, namun suaranya bergetar bila membalas, “Kita dah putus, Wan! Saya dengan awak dah tak ada hubungan dah. Lagipun awak tu dah kahwin. Marah Aliza nanti kalau dia nampak awak dengan saya.”

      Memang mereka pernah bercinta tapi itu kisah lama. Kisah yang sudah menjadi sejarah.

      “Lia, saya masih sayangkan awak. Saya tak boleh lupakan awak. Sayang, saya nak kita bersama semula. Apa pun syarat awak nak beri, saya akan ikut. Asalkan awak sanggup terima saya semula,” rayu Irwan bersungguh-sungguh.

      Maria ketawa. Lelucon apakah ini? Lelaki yang begitu mudah meninggalkannya, kini mengaku masih lagi mencintainya. Aduhai, memang lucu!

      “Wan, berapa lama dah awak kahwin? Rasanya baru tiga bulan, kan? Baru sangat lagi! Macam mana awak boleh cakap macam tu?”

      “Sumpah, saya tak tipu!”

      “Jangan nak bohonglah, Wan! Apa pun awak cakap, saya tak akan percaya dah. Maaflah!”

      “Lia, tolonglah. Saya tak bohong! Saya memang…”

      Kesabaran Maria semakin nipis. Dia benci lelaki ini.

      “Dah berapa kali saya cakap dengan awak, hah? Jauhkan diri awak tu daripada saya. Saya tak nak tengok muka awak lagi. Takkan itu pun awak tak faham?” ujar Maria kasar.

      Irwan tersentak. Dia tidak menyangka Maria akan marah sampai begini. Dia rasa malu bila orang-orang yang lalu-lalang berhampiran mereka memandangnya dengan senyuman sinis.

      “Kenapa cakap macam tu, Lia? Takkanlah tiba-tiba aje awak bencikan saya.”

      Maria mengeluh. “Irwan! Dengar sini... Apa yang saya rasa ni bukan tiba-tiba aje datangnya, tau. Dah awak tipu saya, dah awak buruk-burukkan nama saya... Awak ingat saya ni apa? Bodoh sangat nak setia pada awak? Bodoh sangat nak terima awak balik?”

      Irwan ketawa. Sukar untuk dia percaya akan apa yang baru didengarinya. Maria yang dia kenali bukan seorang yang keras hati begini.

      “Jangan tipu saya, Lia. Saya tahu, awak masih sayangkan saya. Awak sengaja cakap macam tu untuk buat saya marah, kan?” soal Irwan tidak mahu mengalah. Tangan Maria disambar sebelum sempat gadis itu mengelak. Segera dikucupi. Sepasang matanya galak memerhati wajah yang sudah merona merah.

      Maria cuba menarik tangan yang digenggam, namun tidak berjaya. Kerana marah, disepaknya kaki Irwan.

      Irwan terjerit lantang. Dahinya berkerut-kerut menahan sakit. “Kenapa awak tendang kaki saya ni? Sakit, tahu!” desahnya.

      “Padan muka awak! Ikut suka awak aje nak pegang-pegang tangan saya. Wan, awak pun tahu bukan awak sorang aje lelaki dalam dunia ni, banyak lelaki lain lagi yang mahu saya jadi kekasih dia orang,” balas Maria dengan sinis.

      “Maksud awak? Awak dah ada teman lelaki baru? Saya tak percaya! Tak mungkin!”

      Geram sungguh rasa hati Maria mendengar kata-kata Irwan itu. Tak percaya? Kenapa? Dia ingat aku ni anak dara tak laku ke? gumam Maria.

      “Awak tipu saya, kan?”

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-3-2010 09:23 AM | Show all posts
Soalan itu semakin membangkitkan kemarahan Maria.

      “Tak, saya tak tipu. Saya memang dah ada pengganti awak. Kami janji nak jumpa kat sini,” balas Maria.

      “Eleh, kalau betul, mana dia?” soal Irwan dalam rasa tidak percaya.

      Maria membalas dengan yakin. “Kenapa? Awak nak jumpa dia ke?”

      “Tentulah! Awak takut ke? Mana tahu, entah-entah awak sengaja buat cerita...” jawab Irwan sambil tersenyum-senyum.

      Maria mendengus kasar. Kalaulah Irwan tahu bahawa tekaannya itu tepat... masak dia dibuatnya. Namun, dia sudah terlepas cakap. Nasiblah...

      Lelaki? Di mana harus dia mencari seorang lelaki saat ini? Hendak menelefon Mazlan? Mazlan, adiknya. Tentu sahaja Irwan dapat melihat persamaan antara mereka. Habis tu?

      Mata Maria melingas ke kiri dan ke kanan. Mencari seseorang yang boleh membantunya.

      Mana dia? Mesti ada! Mesti ada kat sini.

      Saat itu Maria membayangkan wajah lelaki idamannya. Perawakan lelaki yang didambakan untuk menjadi suaminya suatu hari nanti. Tinggi, tegap, segak, sasa, maco, hmm...

      Maria mengukir senyum. Lelaki yang digambarkan itu sedang berdiri tidak jauh daripada dirinya dan Irwan. Lelaki itu sedang membelakangi mereka. Lelaki yang baru sahaja turun dari kereta CRV berwarna merah hati.

      “Hah, itu pun dia dah sampai! Betul ni awak nak kenal dengan dia? Kalau betul, awak tunggu sini, ya. Nanti saya ajak dia jumpa awak.”

      Tanpa berlengah, Maria bergegas untuk pergi mendapatkan lelaki yang sedang menanggalkan kot yang dipakai. Hati berdebar memerhati betapa kemas baju kemeja lengan panjang berwarna biru tua yang tersarung di badan lelaki itu. Sungguh bergaya!

      Perlukah diteruskan misi ini?

      Dalam cemas ada ragu. Bimbang penerimaan lelaki itu nanti. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Dia tidak boleh berundur lagi. Di belakangnya, dia yakin Irwan pasti sedang memandang. Irwan pasti sedang memerhati dengan penuh minat.

      Dada Maria berdebar-debar. Kencang sekali. Dia amat takut sebenarnya, namun dia mesti meneruskan misi spontannya. Irwan harus diajar.

      Maria semakin mendekat. Lelaki itu pula sudah bersedia untuk meninggalkan tempat parkir itu.

      Oh tidak! Tunggu!

      Pantas tubuh lelaki itu dipaut Maria. Lengan dicengkam. Dalam satu nafas, Maria berkata. “Maafkan saya, tapi encik aje yang boleh tolong saya sekarang. Tolong berlakon jadi teman lelaki saya, ya? Saya tak ada masa nak terangkan. Cuma, saya harap janganlah hampakan saya. Bukan lama pun, kejap aje. Tolong saya. Please...”

      Hisyam terkejut, kebingungan seketika. Tangan yang sedang mencengkam lengannya, diperhati. Perlahan-lahan pandangan dialihkan sehingga seluruh wajah yang terlalu hampir dengan dirinya itu diteliti. Perlahan-lahan, sebuah senyuman tersungging di bibir nipis.

      “Berlakon? Jadi apa? Teman lelaki awak?” Suara garau Hisyam menyapa telinga Maria. “Sekarang? Tapi, siapa yang nak tengok kita? Boyfriend awak ke?”

      “Bekas!” tegas Maria.

      “Oh, Let me see! Dia nak awak balik pada dia, tapi awak tak nak. Betul?” Hisyam meneka. Rasa teruja tiba-tiba.

      Huh, banyak soal pulak mamat ni. Hisy, setujulah cepat. Jangan nak membebel, nanti jenuh aku kalau Irwan datang sini, marah Maria dalam hati.

      “Bawak saya jumpa dia.”

      Yes!

      Kegembiraan itu tidak lama. Maria tersentak bila secara tiba-tiba, tangan kiri lelaki itu sudah melingkari pinggangnya. Dia benar-benar terkejut.

      “Eh, awak ni? Melampau betul! Yang tak pasal-pasal awak peluk pinggang saya ni, kenapa?” marah Maria. Matanya dijegilkan. Tangannya yang sedang memaut lengan lelaki itu sejak tadi, serta-merta dilepaskan. Bagaikan terkena renjatan elektrik.

      Hisyam menjongketkan kening. Senyuman sinis terukir di bibir.

      Eii... perempuan ni. Yang dia peluk aku tadi, tak apa. Pegang tangan aku macam tak nak lepas-lepas tu, okey pulak. Mengada-ada betullah...

      “Tadi awak jugak yang suruh saya jadi kekasih awak... Cuba awak tengok tu...” ujar Hisyam sambil mulut dijuihkan ke kawasan persekitaran. Kepada pasangan-pasangan yang nampaknya tidak segan-silu berpeluk-pelukan di khalayak ramai.

      “Kita kena buat macam gitu jugak.” Hisyam mengusik.

      “Itu dia orang, bukan saya,” balas Maria tegas.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-3-2010 09:23 AM | Show all posts
Hisyam sengaja mengerutkan dahi. “Habis nak terus berlakon ke tidak ni?” Wajah serba salah Maria ditatap tajam.

      Maria diam tidak berkutik.

      “Saudari, saya ada hal ni. Kalau awak dah tukar fikiran, tak apa. Saya...”

      Maria tergamam bila Hisyam ingin melangkah pergi. Sambil itu, dia menoleh pula ke belakang. Satu keluhan kedengaran. Irwan masih di situ, masih setia menjadi pemerhati.

      Maria serba salah. Ingin sahaja dia membatalkan hasratnya. Tapi, rasa bimbang pula. Bimbang Irwan akan terus-terusan mengganggunya nanti. Hendak diteruskan atau tidak? Dia ada pilihan lain tak?

      Perlahan-lahan Maria mengatur bicara. “Maaf. Saya tak patut marah awak. Awak memang betul. Saya dah mintak tolong, jadi saya kenalah betul-betul berlakon dengan awak, kan? Lagipun, saya tak mahu rancangan saya ni gagal. Saya tak mahu dia ganggu saya lagi. Tolong jangan pergi, ya? Jangan tinggalkan saya?”

      Pertama kali Hisyam dirayu selembut itu. Bergetar hebat jantungnya membalas renungan lunak gadis itu terhadapnya. Dup-dap, dup-dap.

      Akal menyuruhnya pergi dari situ. Tapi, hati? Kasihannya...

      “Jadi, awak setuju?” soal Hisyam.

      “Setuju apa?” Soalan dijawab dengan soalan juga.

      “Cik adik, nak berlakon, berlakon betul-betul. Biar nampak real yang kita ni sedang mabuk asmara. Biar boyfriend awak tu tahu yang dia tak ada peluang dah. Faham?”

      Ewah, ewah... Macam bos pulak gayanya. Tapi... Ah, ikut ajelah. Nanti bila dah selesai, aku dengan mamat ni tak akan jumpa lagi. Dia akan jadi sejarah.

      Hisyam merapati Maria yang sedang keliru itu. Dia tahu gadis itu merasa serba salah. Jadi, sebelum berubah fikirannya, tubuh itu diraih ke dalam dakapan.

      “Okey, jom. Yang pakai T-shirt biru tu ke boyfriend awak? Sejak tadi lagi dia asyik tengok kita. Muka dia garang betul. Macam nak telan saya lagaknya,” omel Hisyam untuk mengurangkan sedikit ketegangan di wajah Maria.

      Dengan tangan Hisyam melingkari pinggang Maria, mereka berdua melangkah penuh yakin ke arah Irwan yang menunggu.

      Tiba-tiba Maria menjadi cemas. Bagaimana harus dia memanggil lelaki ini di hadapan Irwan nanti? Siapakah namanya? Dan, dia? Dia juga tidak memperkenalkan dirinya kepada lelaki ini. Aduh! Bagaimana ni? Mana mungkin kekasih tidak mengetahui nama kekasihnya sendiri?

      “Nama saya, Hisyam. Muhamad Zaiful Hisyam bin Ahmad. Awak?” ujar Hisyam berserta soalan. Melihat saja wajah Maria, dia tahu apa yang bermain di benak gadis itu.

      “Maria binti Mustafa.”

      Hisyam tiba-tiba ketawa menyebabkan Maria memberhentikan langkah lantas merenung seraut wajahnya

      “Kenapa gelak?”

      “Tak adalah! Maria, eh? Hmm, saya memang suka nama tu. Sedap!”

      Maria menggeleng-gelengkan kepalanya. Macam-macamlah dia ni, gumamnya.

      Sebaik sampai di hadapan Irwan, Maria segera mendongak memandang wajah Hisyam.

      “Syam, mari Lia kenalkan. Ini Irwan, lelaki yang pernah Lia ceritakan pada Syam dulu. Irwan, kenalkan...”

      “Hisyam!” Hisyam memintas. Tangan dihulur kepada Irwan, namun sepasang mata redupnya merenung Maria. “Buah hati wanita hebat ini.”

      Maria tidak sempat mengelak bila Hisyam menguis hidung kecilnya. Hmm, romantisnya...

      Hisyam semakin galak. Tangan kiri di pinggang Maria membolehkan dia menarik tubuh gadis itu lebih rapat ke dirinya. Sepasang matanya masih melekat di wajah itu. Senyuman masih tersungging di bibir.

      Aduh, ulat bulu dah naik daun. Maria mengetap bibir. Dia tahu bahawa sebenarnya dia sudah terperangkap dalam mulut buaya sebaik melarikan diri daripada mulut harimau milik Irwan. Grr...

      “Sejak bila awak berdua bercinta ni?” soal Irwan penuh ketegasan.

      Wajah Irwan yang tampan diamati Hisyam. Kecewa? Tidak kelihatan sedikit pun di raut itu. Cuma, mungkin egonya tercalar. Maklumlah bekas kekasihnya sudah ada pengganti...

      “Sejak bila, Lia? Saya rasa macam dah...”

      Mula nak merapulah tu.

      “Irwan, bila kami kenal, mula bercinta atau apa saja, tak ada kena-mengena ngan awak.” Maria membentak.

      “Alah, sayang. Apa salahnya kalau dia tahu...” ujar Hisyam dengan senyuman yang masih menghiasi bibir. Jari telunjuk bermain di bibir Maria yang basah. Bibir yang amat mempesonakan. “Ceritalah! Macam mana awak...”

      “Tak apa, tak payah!” balas Irwan. Geram melihat tingkah Maria yang merelakan perlakuan romantis Hisyam di hadapannya. Tidak menyangka sikap Maria berubah bila bersama lelaki ini sedangkan dahulu bila dengannya, Maria langsung tidak mahu diperlakukan sebegitu. Huh!

      Kerana sakit hati, Irwan mula mengatur langkah untuk meninggalkan pasangan kekasih ini. “Saya pergi dululah, saya ada hal.”

      Mendengar suara keras Irwan, Maria segera tersedar. Kiranya dia terleka dalam kemesraan Hisyam? Ralit menatap senyuman lelaki itu. Dibuai mimpi indah bila jari telunjuk Hisyam membelai bibirnya yang mekar.

      Aduh, malunya!

      Serta-merta perhatian ditumpukan kepada Irwan yang sudah agak jauh meninggalkan mereka.

      Fuh, lega! Maria amat pasti bahawa dia tidak akan diganggu oleh Irwan lagi. Maria menghela nafas yang panjang. Terasa beban yang digalas terlepas daripada bahunya. Selesai satu masalah. Kini, dia perlu menyelesaikan masalah yang kedua pula. Melepaskan diri daripada lelaki yang bernama Hisyam ini.

      Dalam leka memerhati Irwan, Maria tidak sedar bahawa Hisyam masih memeluknya. Dia cuba melepaskan diri, namun tidak berjaya. Tangan itu masih kejap di pinggangnya.

      “Lepaskan saya, Encik Hisyam atau siapa juga nama awak. Lakonan dah tamat.”

      Hisyam menjongketkan kening. Bagaimanapun, Maria dilepaskan seperti yang dipinta.

      “So, what’s next?” soalnya.

      Alahai, cakap orang putihlah pulak. Ingat aku ni pandai ke nak balas?

      “Terima kasih sebab awak sudi tolong saya.”

      “Tak ada hal...” Hisyam tersenyum menjawab.

      “Saya mintak diri dulu.”

      Hisyam mengerutkan dahi. “Awak nak pergi macam tu aje?”

      Langkah Maria terhenti. Dia menoleh. Apakah lagi yang lelaki ini inginkan? Tiba-tiba wajahnya merona merah. Patutlah! Aduhai, malunya dia. Tidak mengenang budi langsung! Perkhidmatan yang diberi belum dibayar. Lupa pula! Dengan tergesa-gesa, Maria mengeluarkan not lima puluh dan meletakkannya dalam genggaman Hisyam.

      “Maaf, saya terlupa,” bisiknya.

      Hisyam terpanar. Bukan wang yang dia mahu. Namun, entah mengapa, lancar sahaja dia mengusik. “50 ringgit aje? Untuk lakonan hebat tadi? Tak berbaloi ni!”

      Maria menggigit bibir. Memang dasar penipu! Penjahat! Mata duitan! Lelaki, semuanya sama. Semua suka mengambil kesempatan.

      Maria menghampiri Hisyam. Tajam matanya menikam wajah lelaki yang sedang tersenyum sinis terhadapnya. Sekeping lagi wang kertas RM 50 dikeluarkan dari dompet dan diletakkan di telapak tangan lelaki itu. Dia menjeling marah.

      “Cukup?” sindir Maria.

      Hisyam masih lagi tersenyum. Wang yang diberi Maria, dimasukkan ke dalam kocek kemeja yang dipakai. Wajah yang putih kemerahan itu ditatapi lagi.

      Maria bingung dengan sikap Hisyam. Sedari tadi, pemuda itu asyik menatap wajahnya saja. Entah apa yang bermain di fikiran pemuda itu, tidak pula dia tahu.

      Maria mula mengatur langkah. Risau memikirkan Mazlan yang sudah terlalu lama menantinya.

      “Hei…”

      Jeritan Hisyam mematikan langkah Maria. “Apa? Apa yang awak tak puas hati lagi ni? Kalau duit seratus tu tak cukup, saya mintak maaf. Saya bukan orang kaya. Saya tak mampu nak upah awak ribu-ribu.”

      Hisyam kini sudah berada di hadapan Maria.

      “Saya nak jumpa awak lagi,” ujar Hisyam dengan senyuman menggoda.

      Maria menjegilkan mata. Wajahnya semakin masam. Benci betul dia dengan lelaki yang seorang ini. Rasa-rasanya, lelaki bernama Hisyam ini lebih teruk daripada si Irwan, gumamnya.

      “Dengar sini, Encik Hisyam, dengar baik-baik... Saya dah cukup malu dengan apa yang saya buat tadi. Awak dah tolong saya, terima kasih banyak-banyak. Cukuplah! Tak payah nak jumpa-jumpa saya dah. Tolong lupakan apa yang jadi hari ni, okey!” ujar Maria tegas.

      “Awak boleh lupakan saya ke?” soal Hisyam.

      Maria terkesima. `Ya tak ya jugak. Boleh ke dia lupakan lelaki tampan ini?’

      “Kenapa tak boleh pulak?” tanya Maria pelik.

      Tanpa menunggu jawapan balas daripada Hisyam, Maria kembali mengatur langkah. Dia tahu, sepasang mata itu masih merenung ke arahnya.

      “Awak ada hutang dengan saya, Maria. Ingat, hutang budi dibawa mati. Tapi, saya tak mahulah awak mati pulak. Saya hanya nak awak bayar hutang tu. Satu hari saya akan tuntut. Jangan lupa tu!”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-3-2010 09:24 AM | Show all posts
2

Hisyam melangkah masuk ke dalam Restoran Steak Choice dengan gayanya yang tersendiri. Sepasang matanya mencari kelibat gadis yang sedang menunggu. Hampir di setiap sudut diperhatikannya. Akhirnya dia tersenyum. Yang dicari sudah ditemui. Langkah penuh yakin diatur ke arah itu.

      “Maaf, Lin, I lambat sikit. Ada hal yang tak dapat nak dielak kat ofis tadi,” kata Hisyam sambil melabuhkan punggung di atas kerusi. Di hadapannya, gadis yang memakai pant-suit berwarna pastel itu sedang memandang dengan wajah yang masam mencuka.

      Jam di tangan, direnung Hisyam. Patutlah gadis ini marahkan dirinya, dia sudah terlewat hampir satu jam.

      “Lin, I tak sengaja okey. Ada hal yang berlaku secara tiba-tiba di pejabat dan I tak dapat nak elak. Tolonglah faham...”

      Hisyam tidak berbohong. Sewaktu dia hendak keluar daripada pejabatnya petang tadi, tiba-tiba pengarah syarikat memanggilnya dan beberapa orang pengurus lain. Mahu tidak mahu, dia terpaksa pergi. Ada hal penting yang ingin dibincangkan.

      Kemudian, ketika dia memarkir kereta, dia telah diganggu pula oleh gadis bernama Maria. Walau tidak mengenali gadis cantik itu, dia tidak tergamak untuk menolak permintaan gadis itu. Wajah gadis itu meraih simpatinya. Lagipula, peluang seperti itu bukan senang diperolehi. Bukan selalu didapati. Tentu sahaja dia tidak mahu menghampakan. Hisyam tersenyum.

      “Itu yang tersenyum-senyum, kenapa?” Salina bertanya. Dia mula mencurigai jawapan yang Hisyam berikan tadi. Senyuman nakal di bibir lelaki itu menimbulkan tanda tanya.

      Hisyam cuba melupakan kenangan bersama Maria tadi.

      “Senyum tu kan ke sedekah...” jawab Hisyam selamba.

      “You tahu you ada hal penting, kenapa tak telefon I? Susah sangat ke nak call?” marah Salina.

      Hisyam mengeluh kecil. Kebosanan mula menerjah diri. Hati mula berasa sakit. Soalan yang bertubi-tubi ini melemaskannya.

      “Lin, kan I dah mintak maaf. Bukan I sengaja nak datang lambat jumpa you. I dah nak turun, tapi Nora panggil cakap ayah nak jumpa. You bukan tak tahu perangai ayah I tu? Bila jumpa I aje, mesti macam-macam yang dia nak tahu. Semua perkara. Daripada sekecil-kecil benda hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. I tak dapat nak mengelak.” Hisyam memberitahu. Menyembunyikan cerita yang satu lagi.

      Salina tidak peduli. Dia terus merungut lagi. “I tunggu you kat sini macam perempuan bodoh, you tahu tak? Orang lain keluar masuk, I pulak tak bergerak-gerak sejak satu jam lepas. Dahlah tu, I kena memandu sendiri ke sini. Jalan pulak sesak. Macam mana I tak naik angin?”

      “Lin, bukan selalu I lewat macam ni. Hari ini aje. Alahai, baru sejam tunggu I, you dah mengeluh macam ni. Okey, kita pesan makanan dulu, ya? I nak pesan air yang sejuk. Mudah-mudahan you boleh cool sikit,” pujuk Hisyam. Pujukan yang mengembalikan senyuman di bibir Salina.

      “Syam, you ni tak romantis langsung,” sela Salina.

      Hisyam ketawa kecil. Tak romantis? Aku? Ya ke? Suka hati dialah nak kata apa pun.

      Salina, gadis yang dikenali sejak mereka di sekolah menengah lagi.  
Sama-sama pula melanjutkan pelajaran ke Amerika sebaik tamat tingkatan lima. Orangnya jelita, memiliki wajah Pan-Asian kerana berdarah kacukan. Melayu di pihak ayahnya dan ibunya berdarah Inggeris. Berada di samping gadis itu, dia tahu ramai lelaki yang mencemburuinya.

      “Syam, you fikir apa?”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-3-2010 09:24 AM | Show all posts
Hisyam ketawa.

      “Bila dengan you, apa lagi yang boleh I fikir?” Hisyam merapatkan diri kepada Salina. “Tengok kiri kanan kita. Dia orang tu semua cemburukan I, tau.”

      Usikan Hisyam membuatkan Salina ketawa. Rasa bangga memenuhi ruang hati. Hisyam memang pandai mengambil hatinya. Hisyam memang suka memuji. Sikap itulah yang membuat dia tertarik kepada lelaki itu. Dia sentiasa rasa dihargai bila mereka bersama.

      Pada ketika itu, seorang pelayan sampai membawa hidangan mereka. Dua stik sizzling bersama chocolate shake. Hisyam terus sahaja makan dengan berselera tanpa mempedulikan Salina.

      Salina masih lagi merenung Hisyam. Dibiarkan sahaja stik di hadapannya tidak berusik. Dia hanya menyisip air perlahan-lahan.

      “Apa hal you tengok I macam tu?” soal Hisyam bila dia menyedari perbuatan Salina.

      “Ayah I tanya lagi tentang kita.”

      Hisyam mendengus. Dia bosan. Sudah berkali-kali perkara ini disebut. Sudah berkali-kali jawapan diberikan. Petang ini, persoalan itu ditimbulkan sekali lagi.

      “Apa you jawab?”

      Salina bungkam. Wajah Hisyam yang selamba menyakitkan hatinya.

      “You nak I jawab apa pada daddy? I tak tahu nak kata apa-apa sebab I tak tahu perasaan you pada I,” balas Salina meraih simpati.

      “Lin, kan...”

      “Syam, umur kita sebaya. I ni dah kira andartu dah. Dah patut I kahwin, tau. Tapi, you? You macam tak serius dengan I. My daddy said, I have to find another man. He told me that you are not serious with our relationship. He said you do not love me but I don’t want to believe it,” pintas Salina geram.

      “Hah, betullah tu. Kan itu jugak yang I cakap pada you?” Tanpa perasaan Hisyam membalas.

      “Syam, kenapa you cakap macam tu pada I?” Salina sebak. Hisyam sekali lagi menolak dirinya.

      Hisyam mula naik darah. “Habis tu, macam mana lagi I nak cakap pada you, Lin? Selama kita berkawan, I rasa, I tak pernah beri you harapan, kan? I tak pernah ajak you kahwin. Jadi, you kena fahamlah. Bagi I, tak guna kita kahwin kalau rasa cinta tak ada dalam hati kita!” tegasnya. Tidak dipedulikan air mata Salina yang mula menitis di pipi.

      “Tak ada dalam hati you. Itu maksud you, kan?” bisik Salina sedih.

      “Lin, sejak lama dulu I dah beritahu yang I cuma nak jadi kawan you. Dari dulu, dah berkali-kali I cakap, yang I anggap you kawan baik I. Tak lebih daripada itu.”

      Salina gelisah. Bukan ini yang ingin didengarinya dari mulut Hisyam hari ini. Bukan kata-kata ini. Tapi, mengapakah Hisyam masih tidak mahu memahami? Masih tidak mahu mengerti?

      “Sampai hati you. Bertahun-tahun I tunggu you, tapi itu jugak yang you ucap pada I.”

      Sedih sungguh rasa hati. Walaupun dia sememangnya tahu bahawa memang tiada cinta di hati lelaki ini untuk dirinya. Bukan sekali, malah sudah berkali-kali Hisyam mengatakannya. Hanya dia yang tidak dapat menerima.

      Sudah lama mereka berkawan. Hisyam sentiasa ada di sisi di saat dia memerlukan pertolongan. Hisyam sentiasa menemani di saat dia kesepian. Tetapi, mengapa tiada cinta di hati lelaki ini untuknya? Apakah kekurangan dirinya? Di mana silapnya?

      Hisyam merenung Salina di hadapannya dengan pandangan mata yang tajam. Dia menarik tangannya daripada genggaman gadis itu. Dalam hati, dia sudah lama sedar bahawa Salina masih sabar menunggunya. Sejak sekian lama mereka berkawan, dia tahu Salina mencintainya. Sudah berkali-kali gadis ini meminta dia menghantar wakil untuk meminang. Mereka memang sudah sepatutnya berkahwin, tapi dia yang sentiasa mengelak. Dia yang selalu mencari alasan untuk menolak.

      Memang dia gembira bila bersama dengan Salina, namun dalam masa yang sama dia tidak merinduinya bila mereka berjauhan. Memang Salina pandai mengambil hatinya, tetapi dalam masa yang sama dia tidak rasa bersalah jika bersama dengan gadis-gadis yang lain. Bukan dia tidak cuba mencintai Salina, namun perasaan itu tidak pernah hadir.

      Kata orang, kalau seseorang itu jatuh cinta, dia akan sering terpandang-pandang wajah pujaan hatinya. Rindu akan datang bertamu kalau sehari tak bertemu. Hati akan bergetar hebat bila bersemuka. Rasa ingin bersama si dia akan hadir setiap masa. Cemburu melanda bila gadis itu tersenyum kepada lelaki lain. Di hati akan selalu terasa ingin menyentuhnya.

      Namun, semua itu tidak ada dalam dirinya. Tidak hadir dalam jiwanya. Salina tidak mampu menghadirkan semua rasa itu.

      Bila mereka tidak bertemu, dia tidak pernah merasa rindu. Tidak pernah terbayang pun. Di hati, tidak pernah terbit rasa cemburu bila melihat gadis itu bermesra dengan lelaki lain. Dia tidak kisah! Dia tidak peduli!

      “Maafkan I,” bisik Hisyam.

      Hisyam memang kasihan melihat Salina menangis, tetapi untuk kesekian kali, dia terpaksa berterus terang. Dia tidak mahu Salina terus-menerus menanti dirinya.

      “Lin, you cantik. Bila-bila masa you akan dapat pengganti diri I. Janganlah menangis. I tahu I salah, tapi I tak mahu tipu diri you. I tak mahu you tunggu I lagi. You berhak dapat lelaki yang lebih baik daripada I.” Nada suara Hisyam lebih tegas kali ini.

      Dia mengharapkan Salina faham kata-katanya. Dia tidak mahu Salina terus mengharap. Dia yakin dirinya tidak akan jatuh cinta dengan Salina. Dia yakin ruang hatinya tiada tempat untuk Salina.

      “Tapi, I tak nak lelaki lain. I cuma nakkan you. I cuma cintakan you. Syam, bukaklah sikit pintu hati you untuk I. Tolonglah... I akan membahagiakan you. I janji!” Salina masih merayu.

      Hisyam menggelengkan kepalanya. Bagaimana lagi harus dia menerangkan kepada gadis ini tentang isi hatinya? Mengapakah Salina tidak mahu faham-faham tentang perasaannya?

      “Tolonglah, Salina, I tak dapat nak bahagiakan you. Dalam hati I ni, tak ada tempat untuk you. Lin, I bukan tak cuba menyayangi you. Dah! I dah cuba, tapi hati I ni tak dapat dipaksa. Kalau tidak, dari dulu lagi I dah ajak you kahwin. Tapi, I tak cintakan you. You nak I buat macam mana lagi?”

      “Jadi, siapa gadis yang bertuah tu? Adilah ke? Atau… Farah? Siapa Syam? I nak tahu juga apa lebihnya mereka berbanding dengan diri I ini. Cakap, Syam!”

      Mendengar soalan Salina, tiba-tiba sahaja Hisyam terkenang seraut wajah itu. Seraut wajah yang sungguh lembut dan memiliki sepasang mata bundar yang menawan. Hidung yang mancung, tetapi kecil. Pipi putih yang gebu. Bibirnya yang basah.

      Dahi Hisyam berkerut-kerut. Aduh, tak pasal-pasal pula dia teringatkan budak perempuan itu. Perempuan yang pertama kali ditemui, malah mungkin itu juga adalah pertemuan terakhir mereka. Pelik!

      Perhatian kembali kepada Salina. “I belum jumpa gadis itu, Lin. You tak perlu marahkan kawan-kawan I yang lain. Bukan sebab mereka I tak terima you untuk jadi isteri I. I saja yang belum bersedia.”

      Salina mengesat air mata dengan tisu. Dia masih ingin tahu tentang sesuatu. “Maknanya, you masih belum jatuh cinta? You belum ada buah hati? Betul, Syam?” soal Salina.

      Hisyam mengeluh lagi. Dia tahu apa yang tersirat di sebalik soalan itu. Tahu yang Salina masih berfikir bahawa satu hari, mereka akan bersama. Aduhai, susah sungguh untuk meyakinkan gadis yang seorang ini.

      “Memang I belum jatuh cinta lagi, tapi I tak nak you tunggu I. I nak you faham tu. I nak you cari lelaki lain. I nak you lupakan I. Lin, tolong dengar cakap I ni baik-baik. Hubungan kita hanya setakat kawan. Tak akan lebih daripada itu. Dah, jom kita balik.”

      Hisyam bergegas bangun. Ingin segera pulang. Dia bosan!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-3-2010 09:24 AM | Show all posts
3

Di dalam kereta, fikiran Hisyam masih melayang mengenangi Salina. Dia amat berharap agar gadis itu benar-benar memahami apa yang dikatakannya tadi. Agar selepas ini, Salina tidak lagi menunggu. Agar Salina mahu mencari lelaki yang lain.

      Salina! Memang bertuah sesiapa yang memilikinya. Gadis itu cantik. Bergaya. Anak datuk lagi! Manja pula tu. Kalau begitu, mengapakah dia tidak mahukan gadis itu? Mengapa dia menolak cinta gadis itu?

      Argh! Hendak dibuat bagaimana sekiranya rasa cinta itu tiada?

      Sedar tak sedar, Hisyam sudah sampai di pekarangan rumahnya. Ketika melangkah turun dari kereta, sapaan daripada Datin Syarifah mengejutkannya.

      “Baru balik, anak bertuah?”

      Hisyam tersenyum mendengar pertanyaan itu. Dia sudah biasa.

      “Dari mana?” Dato’ Ahmad pula menyoal.

      “Makan dengan kawan,” jawab Hisyam ringkas.

      “Siapa? Salina ke?” Datin Syarifah mengorek.

      Hisyam tersenyum, kemudian mengangguk.

      “Kamu dah solat?”

      Hisyam tersengih cuma.

      Melihat sengihan Hisyam, Dato’ Ahmad mula berceramah. “Memang kamu muda, Syam. Tapi, jangan ingat orang muda tak mati. Bukan susah mana kalau kamu nak singgah kat masjid ke, kat surau ke. Malah, di kebanyakan restoran sekarang ni pun ada surau juga. Pokok pangkalnya, hati.”

      “Yalah, Syam, betul cakap ayah tu. Solat tiang agama. Solat itu wajib dikerjakan dalam apa juga keadaan. Walau sibuk macam mana sekalipun, walau sedang sakit... Ingat tu! Lain kali, jangan buat lagi, tahu!” Datin Syarifah pula menyampuk, menyokong kata-kata Dato Ahmad’.

      Hisyam hanya tersengih tanpa berkata apa-apa.

      “Bila kamu nak mami pergi meminang si Salina tu?” Datin Syarifah bertanya.

      Mata Hisyam bulat menatap wajah Datin Syarifah. Biar betul! Kahwin dengan Salina? Bila pula dia ada menyuarakan begitu?

      “Tengoklah, bang, kan saya cakap, Hisyam tak ada perasaan pada budak tu? Si Salina tu aje yang lebih-lebih. Salina tak cerita ke pada kamu yang dia suruh papa dia merisik pada ayah?”

      “Merisik?”

      “Ha’ah! Datuk Yusuf suruh ayah kamu masuk meminang Salina. Suruh kamu berdua kahwin cepat-cepat...” Datin Syarifah bercerita.

      “Gila!”

      “Tahu pun! Dah tu, yang kamu duk usung budak tu ke hulu ke hilir tu buat apa?” marah Datin Syarifah pula.

      “Mana ada, mami. Sekali-sekala aje. Lagipun, Syam bukan dengan dia sorang,” balas Hisyam selamba.

      “Jadi, kamu tak mahulah si Salina tu?” tekan Datin Syarifah lagi.

      “Kami kawan aje, mami. Syam dah bagi tau dia tadi. Harap-harap dia faham,” jelas Hisyam bersungguh-sungguh.

      Datin Syarifah rasa lega. Dia memang tidak mahu gadis itu menjadi menantunya. Salina bukan calon pilihan untuk anak tunggalnya ini. Malah, dia memang tidak ada calon untuk dipadankan dengan Hisyam. Harapannya, biarlah Hisyam memilih seorang perempuan yang berakhlak mulia.

      “Susah juga nak cari isteri. Perempuan yang lengkap serba-serbi. Cantik, baik, berbudi bahasa…”

      “Yalah tu! Macamlah awak tu baik benar. Sudah nak jadi bujang terlajak pun masih lagi nak memilih.”

      Hisyam tersentak. Tidak menyangka rungutannya didengari oleh si ibu.

      “Bukan memilih, mami, cuma belum berjumpa yang berkenan di hati. Itu saja.”

      “Macam tu... Punyalah ramai anak dara yang dah kamu bawak ke hulu ke hilir, tak ada sorang pun yang kamu berkenan?”

      Datin Syarifah sudah mencubit pipi Hisyam. Hisyam ketawa. Dia memeluk Datin Syarifah sambil menggosok-gosok pipinya yang sakit. Ketam batu Datin Syarifah kalau sesekali menyepit, aduh, pedihnya.

      Hisyam tahu betapa kedua-dua orang tuanya risau dengan keadaan dia. Umur sudah menjangkau 30 tahun, tetapi masih tercari-cari calon yang sesuai.

      Calon yang sesuai? Entahlah! Sebenarnya, seperti lelaki lain, Hisyam juga ingin mempunyai sebuah keluarga. Ingin bergelar seorang suami. Ingin memiliki seorang isteri. Ingin menjadi seorang ayah. Ingin mempunyai anak-anak yang ramai. Tetapi, sehingga hari ini, dia belum menemui perempuan itu.

      Baginya, perkahwinan bukan perkara main-main. Perkahwinan bukan untuk sehari dua. Perempuan untuk dijadikan isteri perlu dipilih dengan teliti dan berhati-hati. Dia yakin, kalau ada jodohnya nanti, pasti Allah akan memberikan kepadanya isyarat kerana jodoh itu Dia yang menentukan.

      “Hai, ke manalah dia berangan-angan tu?”

      Hisyam ketawa mendengar usikan Dato’ Ahmad.

      “Entahlah, bang, agaknya kita kena mandikan bunga pada Hisyam ni, kut... Sampai sekarang tak laku-laku lagi,” omel Datin Syarifah.

      “Bagus jugak tu, boleh abang mandi sekali.” Dato’ Ahmad menambah.

      Kali ini Datin Syarifah pula yang sudah tersengih.

      “Abang mandi bunga tu nak buat apa? Nak kahwin satu lagi? Hisy, tak payah. Abang macam ini pun sebenarnya masih laku lagi. Tak perlu mandi bunga! Biar saya saja yang tolong carikan untuk abang. Nak?” ujar Datin Syarifah dengan mata yang sengaja dibesarkan.

      “Ya? Betul awak nak tolong carikan? Tak payahlah, Pah. Nanti basah bantal kita dengan air mata awak. Susah pulak abang nak pujuk. Lagipun, abang dah tak larat nak layan kerenah bini muda. Tapi, awak ni memang pandai, ya? Bila saya dah tua macam ini, baru nak suruh kahwin lain. Masa dulu, garangnya bukan main.”

      Pada ketika itu muka Datin Syarifah sudah merah padam. Paha suami dicubit. Mereka sama-sama ketawa bila Dato’ Ahmad menangkap jari-jemarinya dan mengucupinya satu per satu.

      Hisyam tersentak melihat kemesraan ayah dan ibunya. Pada ketika itu, hatinya tertanya-tanya, apakah dia akan mendapat seorang wanita yang sebaik mami? Wanita yang dapat disayangi seperti mana ayah menyayangi mami? Wanita yang mencintai dirinya sebagai mana mami mencintai ayah? Cinta yang tulus! Bukan kerana wajah tampannya. Bukan kerana harta. Cinta suci yang lahir dari hati, hanya untuk dirinya.

      Teman wanitanya memang cukup ramai. Silih berganti. Yang mengakui bahawa mereka mencintainya. Cuma, dia tidak pasti apakah cinta itu untuk dirinya atau kerana siapa dia? Dia ragu-ragu pada keikhlasan mereka. Mungkin itu salah satu sebab mengapa dia belum bersedia menyerahkan hatinya kepada sesiapa.

Entah mengapa, malam ini mata Hisyam tidak mahu lena. Dia bangun, menuju ke kolam renang dan pantas saja dia menyerahkan tubuhnya kepada kolam renang itu. Sambil mengapungkan diri, dia kembali memikirkan topik perbincangan antara dia dengan ibunya.

      Perempuan! Entah mengapa tiba-tiba dia teringatkan gadis itu lagi. Gadis yang ditemui buat pertama kali hari ini. Gadis bernama Maria.

      Bagaimana dengan gadis itu? Bolehkah gadis itu dipilih menjadi bakal isterinya? Tidak! Tak mungkin! Gadis itu bukan seperti teman-teman wanitanya yang lain. Teman-teman wanitanya semua adalah gadis-gadis yang sofistikated. Cara mereka berpakaian. Bijaknya mereka membawa diri dalam majlis-majlis keraian. Berpendidikan tinggi.

      Gadis itu? Hisy, tak menarik langsung!

      Tapi, bau harum rambut gadis itu mengundang debar di hati. Masih teringat lagi bagaimana keharuman itu menusuk hidungnya. Selembut gaya dan tutur kata yang dilafazkan.

      Maria! Aduh, kenapa asyik teringat kepadanya?
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 24-3-2010 09:25 AM | Show all posts
Bos... Bila ada kat pasaran ni?
Sabtu 28/3/2010 dah ada ke?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-3-2010 09:26 AM | Show all posts
Kalau ikutnya di jangka akhir pesta buku. itu yang penerbit jangka la
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-3-2010 09:33 AM | Show all posts


Cantik cover
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2010 09:36 AM | Show all posts
Petang nanti baca sinopsis
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2010 09:40 AM | Show all posts
muzri, kalu x ada lg kat pesta buku tu , mc mana nak beli ye
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2010 09:41 AM | Show all posts
Bos... Bila ada kat pasaran ni?
Sabtu 28/3/2010 dah ada ke?
qimi08 Post at 24-3-2010 09:25



Tulah qimi hari tu saya ada tanya kat booth FP, dia orang kata buku tgh printing.
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2010 09:45 AM | Show all posts
Post Last Edit by qimi08 at 24-3-2010 09:49
Tulah qimi hari tu saya ada tanya kat booth FP, dia orang kata buku tgh printing.
anieaina Post at 24-3-2010 09:41

Same le kita anie...hangin je badan hari tu.....(jeling kat org tu) ada le org tu kata 20/3 dah ada kat booth kita pun ape lagi terus le serbu jenuh tokeh fakeer tu promote cerita lain..... tapi hati ku masih lagi setia dgn TMKH
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-3-2010 09:47 AM | Show all posts
Insyallah di jangka siap. harap2 lah sebab 28 kemungkinan penulis pun ada di gerai fajar Pakeer
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2010 10:24 AM | Show all posts
ala.. ujung2 BF la plak br kuar..
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2010 10:31 AM | Show all posts
Post Last Edit by qimi08 at 24-3-2010 09:49


Same le kita anie...hangin je badan hari tu.....(jeling kat org tu) ada le org tu kata 20/3 dah ada kat booth kita pun ape lagi terus le serbu jenuh to ...
qimi08 Post at 24-3-2010 09:45


Qimi..jgn lupa kalo dah ada ..war warkan ya....aku pun tunggu ni...best cite ni ..i follow u..kat blog dia..another talented storyteller has arrived.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-3-2010 10:50 AM | Show all posts
Qimi..jgn lupa kalo dah ada ..war warkan ya....aku pun tunggu ni...best cite ni ..i follow u..kat blog dia..another talented storyteller has arrived.
kaypo Post at 24-3-2010 10:31


Inshaallah haku pun dah ambil kiriman org ni....
Muzri ramai yg menanti novel ni.....
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2010 10:58 AM | Show all posts
28 ke? alahai..naper x kuar 27...jenuh nak pi hari2 BF tu..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-3-2010 11:00 AM | Show all posts
Cmf nanti saya confirm dengan Penerbit dulu k. Rasa kemungkinan sabtu , ahad dah ada. saya confirm k. nanti saya umumkan dalam ni
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2010 11:03 AM | Show all posts
thanks muzri
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 08:20 PM GMT+8 , Processed in 0.113662 second(s), 36 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list