JAKARTA: Microsoft berjanji untuk melabur sebanyak AS$1.7 bilion (RM8.1 bilion) dalam kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan bagi membantu membangunkan infrastruktur AI Indonesia.
Janji berkenaan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Istana Presiden di sini, sebelum menyampaikan ucaptama mengenai AI di ibu negara Indonesia.
"Perkara yang saya sangat teruja untuk umumkan hari ini ialah pengumuman pelaburan pusat data, jadi AS$1.7 bilion diperuntukkan untuk membawa infrastruktur AI terbaharu dan terhebat ke Indonesia," kata Nadella sambil menambah pusat data akan dibina di Indonesia tidak lama lagi.
Indonesia ialah ekonomi terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai penduduk sekitar 280 juta di seluruh kepulauannya yang luas, dengan permintaan yang semakin meningkat untuk pusat data dan teknologi AI di rantau ini.
"Kami akan menerajui gelombang ini dari segi infrastruktur AI generasi akan datang yang diperlukan," katanya.
"Misi kami adalah untuk memperkasakan setiap orang dan setiap organisasi di Indonesia untuk memanfaatkan gelombang AI besar seterusnya ini."
Beliau berkata, gergasi teknologi itu akan menyediakan latihan AI untuk ratusan ribu rakyat Indonesia.
"Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami di Microsoft akan melatih 2.5 juta orang menjelang 2025 di seluruh rantau ASEAN. Malah 840,000 di sini di Indonesia sahaja," katanya.
Microsoft dalam satu kenyataan, berkata pelaburan itu akan membabitkan tempoh melebihi empat tahun.
Pengarah Presiden Microsoft Indonesia, Dharma Simorangkir berkata, pelaburan itu menetapkan pencapaian baharu bagi landskap digital negara itu.
Lawatan Nadella dibuat hanya beberapa minggu selepas Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook bertemu Jokowi dan bakal presiden Prabowo Subianto ketika gergasi teknologi itu meneroka cara untuk mempelbagaikan rantaian bekalan dari China.
Cook berkata, Apple sedang melihat potensi pelaburan dalam pembuatan di Indonesia.
Nadella akan melawat Thailand dan kemudian Malaysia minggu ini dalam lawatan serantau untuk mempromosikan teknologi AI Microsoft.