|
Edited by Abahmung at 23-8-2024 06:55 PM
Rezeki terbang tinggi
Fairul Asmaini Mohd Pilus
[email protected]
EMPAT wanita hebat, Amyisha Nurshahira (dari kiri), Sarah Elissa, Alzariza dan Veena Angelina cipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai kru kabin Malaysia Airlines pertama dari masyarakat Orang Asli.
SARAH Elissa Tang Aman, Veena Angelina Jincis, Amyisha Nurshahira Rosman dan Alzariza Alwi mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih menjadi kru kabin Malaysia Airlines pertama daripada masyarakat Orang Asli.
Kejayaan empat wanita Orang Asli itu menceburi dunia penerbangan jelas membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dicapai kerana peluang tetap sama untuk semua tanpa mengira latar belakang.
Harian Metro berpeluang menemui dua daripada empat wanita berkenaan baru-baru ini dan mereka masing-masing teruja dengan kerjaya berkenaan.
Veena Angelina, 22, berkata, seumur hidupnya dia tidak pernah keluar dari negeri kelahirannya, Perak dan tidak menjangka kehidupannya berubah 100 peratus apabila dipilih menyertai syarikat penerbangan utama negara itu sebagai kru kabin.
Anak kedua daripada empat beradik dari Tapah itu berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia bekerja sebagai juruwang sehingga akhir tahun lalu ada rakannya yang memaklumkan mengenai pencarian kru kabin oleh syarikat penerbangan berkenaan.
Katanya, hebahan temu duga pencarian kru kabin oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu memerlukan dia ke Gombak, Selangor untuk sesi temu duga.
"Selepas mendapat restu ibu, pak cik dan ahli keluarga lain menemani saya menghadiri temu duga. Itu pertama kali dalam seumur hidup keluar dari Perak.
"Sesi temu duga agak susah, jadi apabila mendapat keputusan diterima menyertai latihan selama tiga bulan, perasaan bercampur baur antara gementar dan teruja.
"Namun, saya gembira kerana tidak keseorangan kerana tiga lagi rakan yang dikenali ketika menyertai sesi temu duga pada hari berkenaan turut terpilih pada pengambilan berkenaan," katanya.
Veena Angelina berkata, selepas menamatkan latihan intensif selama tiga bulan, dia dan rakan-rakannya mula berkhidmat dalam penerbangan Malaysia Airlines sejak 7 Mei lalu.
Kata Veena Angelina, penerbangan pertamanya adalah ke Narita, Jepun dan dia teruja kerana itu destinasi luar negara pertamanya.
Akuinya, perasaan gementar memang ada, tetapi dia banyak bertanya dan belajar daripada senior yang lebih berpengalaman terutama membabitkan aspek komunikasi dengan pelanggan.
"Kini, sudah hampir tiga bulan terbang di awan biru, saya bersyukur kerana berpeluang terbang ke pelbagai destinasi antarabangsa seperti Auckland (New Zealand), Melbourne, Sydney, Perth (Australia), India, China dan banyak lagi.
"Kerjaya ini membuka mata dan minda bahawa biar dari mana pun asal usul kita, ia bukan penghalang mengecap kejayaan dalam hidup.
"Perjalanan dalam karier ini masih jauh, namun apa yang pasti, saya akan lakukan yang terbaik untuk membanggakan keluarga dan suku Semai," katanya yang gemar memasak jika mempunyai masa terluang.
PERJALANAN Sarah Elissa (kiri) dan Veena Angelina untuk terbang di awan biru bukan mudah.
Dalam pada itu, jika melihat kepada raut wajah Sarah Elissa, 24, pasti ramai yang tidak percaya dia adalah wanita Orang Asli dari suku Temuan.
Anak ketiga daripada empat beradik berusia 24 tahun itu adalah anak kacukan Orang Asli Temuan (Cina) dan India.
Graduan Diploma Teknologi Media dari Epitome College itu berkata, dia tidak pernah malu mengakui asal usul keturunannya dan bangga kerana negara ini terdiri daripada pelbagai kaum.
Kata Sarah Elissa, meskipun keluarganya berasal dari Bentong, Pahang, namun dia dibesarkan di Selangor kerana ibunya adalah guru di sebuah sekolah antarabangsa manakala bapanya bekerja sebagai pemandu peribadi.
Mengimbau kembali perjalanannya untuk bergelar kru kabin, Sarah Elissa berkata, dia hampir berputus asa ketika menjalani latihan intensif selama tiga bulan, mujur tiga lagi rakannya saling menguatkan semangat antara satu sama lain.
Katanya, selain perlu menguasai bahasa Inggeris, kru kabin juga mahir dalam dalam segi dandanan, pengucapan awam, hospitaliti, pertolongan cemas, pengendalian bahan berbahaya dan suai kenal pesawat.
"Perjalanan kami berempat untuk terbang di awan biru bukan mudah kerana perlu menjalani latihan intensif kemudian menduduki peperiksaan dan wajib lulus sebelum dapat menjadi kru kabin.
"Apa pun, semua air mata dan pengorbanan itu berbaloi kerana ia adalah kerjaya impian saya selama ini.
"Terima kasih kepada Malaysia Airlines kerana memberi peluang kepada kami," katanya.
Seperti Veena, destinasi pertama Sarah Ellisa juga ke luar negara iaitu ke Auckland, New Zealand.
Setakat ini, Sarah Elissa sudah terbang ke banyak destinasi luar negara seperti Melbourne, Perth (Australia), beberapa destinasi di India dan China.
Kata Sarah Elissa, meskipun jadual kerja agak padat, namun jika mempunyai masa terluang, dia pasti akan pulang melawat keluarganya.
Lebih menarik, mereka berempat juga memilih untuk menyewa rumah bersama, tetapi disebabkan jadual kerja berlainan, jarang dapat bersua muka.
"Masing-masing pulang bertemu keluarga apabila ada kelapangan, namun jika ada persoalan mengenai kerja, kami juga akan mencuri masa berbincang.
"Untuk anak muda di luar sana khususnya masyarakat Orang Asli, jangan selesa dengan apa yang ada sehingga takut meneroka dunia lain di sekeliling anda.
"Apa pun, jangan takut gagal kerana jika kita berusaha, pasti ada hasilnya," katanya yang mahu membawa nama Malaysia dan keunikan hospitaliti negara ke pentas dunia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail sebelum ini berkata, keempat-empat mereka adalah pelajar Batch 1/2024 dan Batch 2/2024 yang menjalani program latihan tiga bulan di Akademi MAB.
Dengan kerjasama JAKOA, Malaysia Airlines memulakan pengambilan di Pahang, Perak dan Johor meliputi pelbagai suku kaum seperti seperti Jakun, Temuan, Semai.
Selain itu, Malaysia Airlines turut mengambil bahagian dalam Karnival Kerjaya Khas untuk Orang Asli sebagai sebahagian daripada pencarian kru kabin dan kadet juruterbang.
"Kami bangga mengalu-alukan kumpulan pertama kru kabin dari masyarakat Orang Asli dalam keluarga Malaysia Airlines.
"Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan untuk menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman dalam tenaga kerja," katanya.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|