Tangkap layar menunjukkan bangkai anaconda gergasi dengan timbunan anak ular yang berlendir. - NF
BRASILIA – Pengguna jalan raya di negeri Mato Grosso, Brazil terkejut melihat seekor ular anaconda gergasi mati digilis di tengah jalan dengan perutnya terburai, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Penemuan mengerikan itu berlaku di Lebuhraya MT-338 di Porto dos Gauchos pada Isnin lalu.
Rakaman dimuat naik di platform YouTube memaparkan perut bangkai anaconda hijau sepanjang 5 meter itu terbelah dan mengeluarkan kira-kira 40 ekor anaknya.
Anak-anak ular tersebut berukuran lebih 30.48 sentimeter.
Reptilia itu mati digilis kereta menyebabkan perutnya pecah dan mengeluarkan kandungannya ke atas jalan.
Tiada anak ular yang terselamat.
Seorang penduduk tempatan, Ederson Negri Antonioli berkata: “Video itu dirakam oleh rakan saya semasa pulang dari memancing ikan.
“Dia menemukan kejadian yang jarang berlaku dan merakamnya,” tambah Antonioli. – AGENSI