Edited by maklukpenggoda at 10-1-2025 03:05 PM
LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya lima orang terkorban akibat kebakaran hutan di sekitar Los Angeles, kata pegawai semalam ketika kebakaran terus merebak menyebabkan seluruh jalan, kereta dan kediaman musnah dalam masa beberapa minit.
Lebih daripada 1,000 bangunan musnah susulan beberapa kebakaran hutan yang berlaku di sekitar bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu, memaksa berpuluh-puluh ribu orang meninggalkan tempat tinggal mereka.
Ribut taufan yang membawa angin kencang mendorong kebakaran lebih marak di kawasan perumahan mewah Pacific Palisades, memusnahkan sebahagian besar hartanah California yang menjadi idaman dan digemari selebriti Hollywood.
Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Anthony Marrone, berkata pasukannya sukar mengawal kebakaran disebabkan skala dan kepantasan bencana alam yang berlaku kali ini.
"Kami melakukan usaha yang baik, namun menghadapi cabaran kerana tidak mempunyai anggota yang mencukupi di LA County meskipun semua jabatan dikerahkan membantu," katanya.
Presiden AS, Joe Biden yang berada di Los Angeles bersama Gabenor California Gavin Newsom diberi taklimat mengenai apa disebut sebagai krisis 'mengejutkan'. "Kami melakukan apa sahaja dan segala-galanya bagi mengawal kebakaran," kata Biden kepada pemberita.
Lebih 1.5 juta isi rumah terputus bekalan elektrik di rantau ini, menurut laman sesawang outage.us, susulan amalan syatrikat utiliti di California memotong bekalan elektrik semasa angin kencang untuk meminimumkan risiko kebakaran baharu.
Kebakaran hutan adalah sebahagian daripada kehidupan di barat AS dan memainkan peranan penting dalam ekologi alam semula jadi.
Bagaimanapun, saintis berkata perubahan iklim angkara kegiatan manusia mengubah corak cuaca. - AFP
|