|
03/09/2012 - 06:00:52 AM
Pasir Puteh: “Saya sempat memberi ceramah agama kepada perompak meskipun ditendang berkali-kali di perut,” kata wanita warga emas menceritakan detik cemas kejadian rompakan di rumahnya di Kampung Kolam, di sini.
Dalam kejadian itu, Huniazah Mohd Noor, 68, turut diikat tangan, kaki dan mulutnya disumbat dengan kain serta dibiar selama dua jam di belakang rumahnya.
Katanya, sebelum kejadian, dia sedang membersihkan kawasan rumahnya sebelum ke bahagian belakang untuk mengambil cangkul. “Secara tiba-tiba seorang lelaki berumur dalam 20-an datang meminta air selepas kononnya kepenatan dikejar polis, sebelum mengikat saya.
“Setelah diikat dan ditendang berkali-kali, perompak kemudian naik ke rumah serta melarikan sebuah kereta Wira dan beg tangan yang mengandungi dokumen pengenalan diri dan wang tunai berjumlah RM700,” katanya yang kerugian RM20,000 dalam kejadian, Rabu lalu itu.
Huniazah berkata, dia cuba menyedarkan perompak itu dengan ceramah agama tapi tidak diendahkan, malah ditendang.
"Setelah yakin perompak sudah tiada, saya mengensot perlahan-lahan ke kawasan depan rumah untuk minta tolong," katanya yang terpaksa menunggu dua jam sebelum diselamatkan suaminya, Yunus Abdul Rahman, 70, yang pulang dari kebun berhampiran rumah.
Selain kereta dan beg tangan, katanya, perompak sempat merentap rantai leher dan seutas gelang yang dia pakai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan, Mohd Kamal Zainal, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Katanya, kereta mangsa ditemui Khamis lalu di sebuah masjid di Kampung Serendah, Kadok dan kejadian masih dalam siasatan.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta hadir ke Balai Polis Pasir Puteh untuk membantu siasatan.
|
|