Kuala Terengganu: “Adam berlari masuk ke rumah dan menerpa neneknya dalam keadaan badan serta mukanya berlumuran darah,” kata Tengku Suriana Tengku Abdullah, 22, menceritakan kejadian anaknya, Putera Adam Haikal Ahmad Hazwan, 4, yang cedera parah diserang babi hutan berhampiran rumahnya di Jalan Nibong Stesen, Dungun, kelmarin.
Menurutnya, dalam kejadian jam 10.45 pagi, anaknya keluar rumah melalui pintu dapur untuk bermain layang-layang di kawasan lapang berhampiran apabila terserempak dengan babi berkenaan.
“Takut melihat binatang itu, Adam berlari pulang ke rumah tetapi tindakannya menyebabkan babi berkenaan mengejar dan menyondol belakang badannya menyebabkan dia tersembam ke tanah.
“Babi berkenaan terus menyerang Adam selama kira-kira tiga minit menyebabkan dia cedera di muka dan badan.
“Adam bagaimanapun berjaya bangun dan lari pulang ke rumah sambil menangis ketakutan,” kata Tengku Suriana ketika ditemui menemani anaknya yang dirawat di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Dia berkata, ibunya, Zaiton Che Jusoh, 59, yang berada di ruang tamu ketika itu panik melihat Adam berlumuran darah sebelum bergegas mendapatkan bantuan sepupu menghantar anaknya ke Hospital Dungun.
“Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja dan seorang jiran melihat serangan berkenaan dari rumahnya.
“Saya mendapat tahu kejadian itu daripada ibu yang menghubungi saya di tempat kerja dan sebaik sampai di Hospital Dungun, tidak dapat menahan sebak apabila melihat kulit mata Adam terkoyak, belakang badannya cedera teruk manakala tulang tangan kirinya dapat dilihat akibat serangan haiwan berkenaan,” katanya.
“Doktor kemudian memindahkan Adam ke HSNZ untuk rawatan pakar.
“Buat sementara, doktor belum menjahit luka kerana bimbang kesan serangan babi itu meninggalkan kuman yang akan menyukarkan mereka mencuci kesan koyakan pada badan Adam,” katanya.
Menurutnya, ini kali pertama serangan babi hutan berlaku di kawasan kejiranannya.
Last edited by the_killer on 19-2-2013 08:25 AM
|