KUALA LUMPUR 24 Okt. - Kerajaan komited untuk memenuhi aku janji pilihan raya umum lalu iaitu menyediakan sejuta unit rumah dalam tempoh lima tahun akan datang memandangkan sebanyak 1.7 juta isi rumah dilaporkan masih belum memiliki rumah sendiri. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, komitmen itu juga bagi menampung keperluan isi rumah yang masih menyewa dengan penyediaan rumah melalui usaha kementerian, Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) serta pemaju swasta. Malah menurutnya, sehingga September lalu, PR1MA telah meluluskan 30 projek rumah mampu milik yang melibatkan sebanyak 44,227 unit rumah dengan lokasi-lokasi yang dikenal pasti adalah di Sabah, Johor, Perak, Pahang, Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor.
Beliau berkata, jumlah Rumah Mampu Milik (RMM) yang telah dibina oleh SPNB pula, bagi tempoh 2011 hingga September lalu adalah 3,614 unit rumah di seluruh negara. Katanya, kementerian juga komited menyediakan rumah yang mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR). ''Sehingga September lalu, sebanyak 93 projek dengan jumlah 69,336 unit rumah telah disiapkan," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai statistik terkini peratusan penduduk yang memiliki rumah sendiri. Abdul Rahman berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan sehingga hujung tahun lalu, 74.5 peratus isi rumah memiliki rumah, 20.2 peratus menyewa rumah manakala 5.3 peratus pula menduduki kuarters yang disediakan oleh majikan.
''Daripada jumlah isi rumah yang memiliki rumah, sebanyak 3.2 juta isi rumah tersebut menetap di kawasan bandar dan 1.5 juta lagi di luar bandar," jelasnya. Sementara itu, ketika menjawab dakwaan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) mengenai rumah-rumah yang disediakan kerajaan tidak diagihkan dengan adil atas faktor politik, beliau memberitahu perkara itu tidak benar dan kerajaan tidak pernah 'menyoal siasat' latar belakang pemohon rumah. ''Tujuan kerajaan (bina rumah) bukan mengutamakan kawasan-kawasan yang hanya dikuasai Barisan Nasional (BN). Dari segi pemohon, kita mempunyai kriteria-kriteria tertentu, kita tak tanya dia sokong siapa," tambahnya.
|