Khairy terkejut kenyataan Ahmad Said
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ternyata terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang berhasrat untuk menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan serta menarik diri daripada menjadi tuan rumah untuk sebarang peringkat perlumbaan. Khairy berkata, pengumuman tersebut dibuat berdasarkan andaian Ahmad sendiri bahawa acara perlumbaan berbasikal lebuh raya pada Sukan SEA 2017 akan diadakan di Johor dan kejohanan pelayaran Piala Monsun pula akan dipindah dari Pulau Duyong bermula tahun depan. "Saya ingin menerangkan bahawa Jemaah Menteri serta Kementerian Belia dan Sukan setakat ini belum menetapkan sebarang keputusan mengenai lokasi atau gelanggang sebarang acara untuk Sukan SEA 2017," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui akuan laman sosial, Facebook miliknya, semalam. Kelmarin, Ahmad meluahkan rasa kecewa kerana kerana tidak mendapat hak penganjuran acara ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017, seterusnya mengumumkan Terengganu akan menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan LTdL 2014 dan menegaskan mereka juga tidak akan menganjurkan sebarang peringkat pada perlumbaan itu. Jelas Khairy, walaupun Jemaah Menteri sudah memutuskan bahawa Malaysia akan menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk temasya tersebut pada 2017, namun, Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) hanya bakal membuat keputusan rasmi pada 10 Disember ini. "Sebarang kenyataan mengenai lokasi atau gelanggang bagi acara-acara adalah hanya di peringkat cadangan buat masa ini. Kerajaan juga belum membuat sebarang keputusan tentang penganjuran Piala Monsun akan datang. "Walaupun perjanjian antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan bekas penganjur T-Best Events Sdn Bhd untuk mengadakan kejohanan ini di Terengganu sudah tamat pada 2012, masih belum ada apa-apa keputusan muktamad tentang lokasi kejohanan itu bagi tahun depan dan seterusnya," ujarnya. Beliau memberitahu, pihaknya telah pun menjelaskan mengenai perkara tersebut kepada Ahli Exco Sukan Terengganu, Rozi Mamat, yang juga pernah menjadi rakan seperjuangannya dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Khairy juga meminta semua pihak agar tidak tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan andaian yang tidak tepat. "Saya amat berharap Menteri Besar Terengganu mengkaji semula keputusan beliau semalam (kelmarin) tentang LTdL. Walaupun terdapat salah faham mengenai dua perkara yang saya telah jelaskan di sini, sukan berbasikal tidak seharusnya dijadikan mangsa terutamanya dalam acara antarabangsa sebegini. "Memang tepat kenyataan beliau bahawa kebanyakan pelumba basikal terunggul berasal dari negeri Terengganu dan saya rasa mereka amat mengharapkan penglibatan Terengganu dalam LTdL," tegasnya.
|