Edited by Ipo at 6-7-2015 11:58 PM
DARWIS menatap skrin komputer riba. Semua foto yang diambil di tempat kejadian jenayah diperhatikan satu persatu. Setakat hari ini, sudah banyak kes yang dia kendalikan untuk mengambil gambar dan bahan berita termasuk yang terbaharu, kes kematian bunuh diri Dr. Razif. Sesekali dia menggeliat kecil. Lehernya dipusingkan ke kiri dan ke kanan bila terasa lenguh. Dia jeling jam di atas meja. Menghampiri dua belas tengah malam. Malam itu, dia tidur di rumah orang tuanya. Dia perlu temankan Danny kalau apa-apa jadi nanti. Danny mudah patah semangat bila berlaku perkara yang dia tidak suka. Perkara yang terjadi pada Dr. Razif tidak boleh dianggap remeh. Sudah seminggu berlalu. Selama seminggu itu tiada apa-apa yang pelik berlaku. Apa yang menyedihkannya, Danny seolah tidak pernah serik dengan sikap berfoya dan suka berhibur itu. Setiap kali lepas kerja, dia selalu juga terserempak dengan Danny yang berkunjung ke sebuah kelab malam bertemu rakan-rakannya di sana. Mungkin rakan rapat satu kampus dulu.
Dari siasatanya, rakan Danny semuanya mempunyai kerjaya hebat. Zamrul seorang akauntan muda yang berjaya dan selalu menghadiri persidangan perakaunan di luar negara. Kyle yang juga mempunyai klinik sendiri juga sibuk dengan pesakit yang sentiasa memenuhi klinik dua puluh empat jam yang dibuka bersama seorang lagi rakan kongsi. Jeff, jurutera kapal terbang, sibuk mengendalikan enjin dan apa-apa kerosakan bahagian kapal terbang di KLIA. Sejak kejadian Razif membunuh diri, Danny dan rakannya seolah tidak pernah mengingati semua itu lagi. Mereka menjalani kehidupan biasa tanpa ada sedikitpun rasa menyesal dan bersedih dengan kematian Razif, kawan rapat mereka sendiri.
Komputer ditatap lagi. Maklumat yang diperolehi itu lebih banyak menjurus kepada motif bunuh diri. Itu juga yang pihak polis simpulkan dulu. Akhirnya kes itu ditutup. Namun, ada satu yang bermain di benaknya ketika ini. Dari mana datangnya nota yang dijumpai di sisi mayat Razif dulu itu? Siapa yang letak sekeping kertas itu di situ?
"Ada yang tidak kena..." Fikir Darwis.
“Pergi!!! Jangan kacau aku!!!”
Darwis tersentak. “Eh, itu suara Danny!”
Bergegas Darwis melangkah ke bilik Danny.Berkali-kali dia mengetuk pintu.
“Abang...Jef..Jef..” Danny terus peluk Darwis sebaik pintu bilik dibuka.
Darwis masih terpinga-pinga. Dia biarkan Danny memeluknya dengan erat.
Danny tarik tangan Darwis masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik dikunci rapat. Mereka berdua duduk di birai katil.
“Tadi..saya ada terima sms. Dia pernah sms saya dulu masa kematian Razif.”Danny mula cerita apa yang telah berlaku tadi.
Darwis pula masih setia mendengar.
“Dia kata malam ni Jef akan mati bunuh diri. Sama macam sms yang saya terima dulu pasal arwah Razif..” Danny tunduk.
“Sudah call Jeff?” Darwis juga sudah bingung.
Danny angguk.
“Jadi?”
“Dia tak jawab. Lepas baca sms tu, saya terus call Jeff banyak kali tapi tak jawab. Saya risau la.” Danny menekup muka.
“Tahu kat mana Jeff tinggal?” Tanya Darwis, turut risau.
Danny angguk lagi.
“Jom! Kita kena pergi ke rumah Jeff sekarang. Cepat!!” Darwis tarik tangan Danny yang sudah sugul di birai katil.
Mereka mula menaiki kereta Toyota kelabu milik Darwis menuju ke rumah Jeff yang terletak di Kota Damansara. Kereta meluncur meredah suasana tengah malam. Sesekali Darwis berpaling kepada Danny yang sudah kusut masai rambutnya. Pedal minyak ditekan semakin kuat.
Tiba di kondominium Dahlia, Darwis parkir di luar kerana pengawal di pondok keselamatan tidak membenarkan kereta luar masuk ke dalam kawasan kondominium. Terpaksa mereka menapak dari luar pagar ke pintu lif. Darwis jeling lagi Danny yang sudah tidak bermaya. Nampak jelas di wajah Danny ada riak gelisah dan kebingungan. Mereka mula menaiki lif. Butang nombor sebelas ditekan. Rumah Jeff terletak di tingkat sebelas di kondominium yang mempunyai lima belas tingkat itu.
“Yang mana satu rumah Jeff?” Darwis terus bertanya sebaik pintu lif terbuka di tingkat sebelas.
Tanpa jawapan, Danny menarik tangan Darwis kearah sebuah unit rumah di hujung koridor di tingkat sebelas itu. Darwis memerhati sekeliling. Memang kondominium itu berjaga. Pokok bunga yang segar berderet diatur di sepanjang koridor dan di setiap pintu rumah disediakan ‘water cooler’dan ‘water heater’. Memang nampak mewah. Tiba di rumah hujung, Danny mula menekan loceng beberapa kali. Tiada jawapan. Dia tekan lagi sambil melaung memanggil nama Jeff. Masih tiada jawapan.
“Kau call dia.” Darwis menyuruh Danny menghubungi pula Jeff.
“Tak jawab...” Danny semakin gelisah.
Mereka berdua mundar-mandir di depan pintu rumah Jeff. Sekali lagi Danny menghubungi Jeff. Masih tidak berjawab.
“Macam mana ni?” Darwis sudah bingung.Dia pasti Jeff berada dalam bahaya.
“Cuba tanya guard kat bawah tu. Dia boleh buat apa-apa tak nak buka pintu ni?”Darwis mula menyuruh Danny turun ke bawah semula.
Danny menapak semula ke pintu lif. Darwis pula masih menunggu di depan pintu rumah Jeff. Sekali lagi dia menekan butang loceng pintu rumah Jeff. Masih tiada jawapan. Mundar- mandir Darwis di depan pintu rumah itu. Dia masih memikirkan apa yang bakal berlaku.
“Entah-entah dia tidur kut?” Darwis cuba sedapkan hati sendiri. Sekali lagi dia menekan butang loceng. Juga tiada jawapan. Telefon bimbitnya mula berdering. Nama Danny yang tertera di skrin.
“Ya Danny! Apa??”
Bergegas Darwis menapak ke pintu lif semula. Nasib baik sudah larut malam. Lif lengang. Sampai di bawah, dia terus ke tempat Danny. Kelihatan beberapa orang penghuni kondominium itu sudah berkerumun di tepi bangunan kondo itu dekat dengan tempat letak kereta.
“Danny!” Darwis lihat Danny yang sudah terduduk di atas jalan tar menuju ke arah belakang kondo.Dia mula menyelit dicelah orang ramai yang berkerumun di situ. Tangan Danny ditarik perlahan.Danny dilihat masih menekup muka,menangis dan meraung.
“Apa dah jadi?” Darwisl pandang pada beberapa orang yang bercakap sesama sendiri.
“Bang, ada orang bunuh diri. Tu! Nampaknya dia terjun dari tingkat sebelas.” Seorang lelaki yang memakai jaket hitam dan memegang topi keledar menuding ke arah seorang lelaki yang berlumuran darah yang sudah terbaring di atas jalan tar dan kemudian menuding pula ke arah bangunan.
Darwis terkejut melihat lelaki yangsudah tertiarap di situ berlumuran darah dengan kepalanya sudah pecah. Tersembul otak keluar dari tempurung kepala. Tidak sanggup dia melihat lama-lama. Dia segera mendapatkan Danny yang sudah meraung di tepi kereta.
“Danny...itu ke ..Jeff?”Darwis cuba bertanya. Inginkan kepastian.
Danny hanya mengangguk lemah. Dia masih menangis di tepi kereta.
“Ya Allah...” Darwis turut terkedu. Jadi apa yang diberitahu dalam sms itu adalah benar belaka! Bermakna juga orang itu tahu semua kejadian itu akan berlaku.
Darwis cuba menenangkan Danny yang sudah hilang arah. Danny dilihat sudah lemah terduduk di situ. Dia pandang ke arah pondok pengawal. Sebuah kereta polis sudah mula sampai. Mungkin pengawal itu yang menghubungi pihak polis. Darwis berpaling pula ke arah mayat Jeff yang masih tertiarap di atas jalan tar. Semakin ramai orang mengerumuni di situ.
Polis mula membuat tali rentang dan menghalang orang ramai dari mendekati mangsa. Darwis tarik tangan Danny dan menyuruh adiknya duduk dalam kereta sementara dia ke tempat mayat Jeff tadi.Sempat dia perkenalkan diri kepada pihak polis dan dia mula mengambil beberapa keping gambar tempat kejadian. Malam itu juga mayat Jeff dibawa ke rumah mayat di hospital berdekatan. Beberapa orang di situ turut ditanya oleh pihak polis apa yang sebenarnyan berlaku. Darwis mula menghampiri seseorang yang begitu beria menjawab soalan polis tadi.
“Err..maaf dik. Adik tahu ke apa yang berlaku sebenarnya?” Darwis menghampiri lelaki itu.
“Abang ni siapa?” Lelaki itu seperti teragak-agak menjawab.
“Abang wartawan. Abang memang bekerjasama dengan pihak polis.” Darwis tunjukkan kad kuasanya.
Lelaki itu angguk-angguk. Dia mula cerita apa yang dia lihat sebelum Jeff terdampar berlumuran darah dengan otak terburai di atas jalan tar itu. Darwis mula mencatat semua keterangan lelaki tadi. Sesekali keningnya berkerut mendengar penjelasan lelaki itu.
“Terima kasih.” Darwis mula berjabat dengan lelaki itu.
Dia kembali ke kereta. Enjin kereta dihidupkan dan kereta dipandu perlahan meninggalkan kawasan kondominium itu. Keretanya membelok ke arah hospital.
“Kita nak ke mana ni?” Danny pandang keluar tingkap kereta.
“Hospital.”
“Buat apa?” Danny jeling abangnya yang sudah mula keluar dari kereta sebaik tiba di hospital di bahagian penempatan mayat.
“Mayat Jeff tu dibawa ke sini. Kau tak nak tengok ke?” Darwis berkerut kening.
“Abang...saya rasa saya tak sanggup tengok mayat dia. Really..please let’s go home..” Danny masih membatu di tepi kereta.
“Nevermind.Kalau kau tak nak pergi tengok, biar abang saja yang pergi. Kau tunggu je kat sini.” Darwis menapak ke bilik mayat.
Danny masih di tepi kereta. Dia sebenarnya serba salah. Memang dia tidak sanggup melihat keadaan Jeff yang sudah pecah kepala. Tadi masa mula-mula dia tengok keadaan Jeff, dia sudah muntah. Terus kepala jadi pening. Dia terduduk di tepi kereta. Selepas itu, dia terus hubungi Darwis yang masih berada di tingkat sebelas di depan rumah Jeff.
Lama Danny menunggu Darwis di situ.Mundar mandir di tepi kereta. Sesekali dia lihat jam di pergelangan tangan.Hampir satu pagi. Dia pandang sekeliling. Meremang bulu roma bila melihat kawasan di sekitar hospital itu sunyi dan sepi. Terasa angin bertiup agak kuatdari sebelah kiri. Danny menoleh. Pokok-pokok yang agak rendang di situ mula meliuk lentuk daun dan rantingnya bila ditiup angin. Bunyi cengkerik dan unggas yang datang dari arah pokok-pokok itu jelas di telinganya. Dia segera menapak ke ruang legar di bahagian unit kecemasan. Di situ lampu sentiasa menyala. Agak cerah berbanding tempat lain.
Danny lega sebaik melihat Darwis sudah menapak keluar dari arah bilik mayat. Mereka berdua mula menaiki kereta semula.
|