|
'mok ayoh'
pernah mok ayoh?
cakap sayang pada kita
jarang terdengar
tapi mengapa kita tahu
mok ayoh sayang kita?...
pulanglah selagi ada hayat mereka.
CNM, 7/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
Di Pagi Syawal
mari bertakbir memuji Ilahi
tanda syukur atas nikmat diberi
sempurna ramadan yang pergi
berzakat menyucikan diri
bermaafan sesama sendiri
ingatlah sahabat mulai hari ini
musuh kita bertugas kembali
tanpa had mendekati
membisikan kealpaan mengingkari
titah perintah Allah yang patut ditaati...
moga kita sentiasa mengawal diri.
CNM, 8/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
Puisi di Aidilfitri
Saat kegembiraan
ingatlah juga kesedihan
kerana ia akan silih berganti...
Saat kesedihan
ingatlah detik keriangan
kerana kesedihan pasti akan pergi...
doakan yang baik-baik saja.
CNM, 8/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
syukur
beri derita
beri bahagian
keduanya nikmat
pengujian alam fana
syukur
ia bawa keinsafan...
CNM, 9/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: rajuk
...kecewa, marah, tentang apa saja yang dihajati, tak dipenuhi, tak ditunaikan, buat diri rasa terpinggir, rasa dianak tirikan, rasa sendirian, membawa kepada pemencilan diri, kemurungan, enggan berkomunikasi, sebagai reaksi kepada keinginan yang tak kecapaian, tindakbalas yang merugikan diri sendiri, setelah dipujuk, rajuk masih berpanjangan, perlukah tindakan sedemikian, matanglah dalam tindakan...
CNM, 9/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
kenangkan jasa
kala kita bergembira
ingatlah;
ada yang sebak di perbatasan
ada yang bersengkang mata di wad kecemasan
ada yang meronda di lorong-lorong perumahan
demi tugas yang telah diamanahkan
telah mereka korbankan
masa dan tenaga
di hari perayaan...
CNM, 9/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: terpenjara
...di sebalik tirai besi, berdindingkan tembok batu, beralaskan lantaian simen, di dalam sel-sel kecil, ada hati-hati yang sebak, mengenang sejarah lalu, atas kekhilafan diri, atas kealpaan diri, atas kecuaian sendiri, telah menjerumuskan diri dengan noda, memalitkan lumpur ke badan sendiri, dan kini mungkin menghitung hari-hari terakhir menikmati indahnya berhati mulia...
CNM, 9/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: tragedi
...sedarkah, di hujung sebuah perpisahan, andai hatimu mengharapkan dia menoleh pandang, percayalah, sebahagian hatimu masih pada dia, dan jika hatimu belum cukup kering, berpaling tanpa menoleh lagi, percayalah, hidupmu akan berendam air mata, terkenang-kenang mengapa perpisahan yang dipinta, sedang hati meronta-ronta ingin memiliki dia, kendalikan keegoaan, mudahan dijauhi tragedi cinta...
CNM, 9/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
Mendidik
ketika embun
belum dibahang mentari
anak-anak
masih berupa rebung
ia senang dilentur...
ketika mentari berlabuh
kelam malam makin gelita
anak-anak
sudah bagai buluh
ia sukar dibentuk...
bertukang pada masa sebelum terlewat.
CNM, 10/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: tanggungjawab
...tidakkah sebahagian dari kita malu, ya malu kepada makhluk tuhan, yang tidak punya akal, jauh lebih sempurnanya kita, makhluk sebaik kejadian, makhluk yang diberi buah fikiran, pada subuh dingin, masih enak dibuai mimpi, bergebar hangat, sedang ayam-ayam pun bangun untuk mengejutkan, menunaikan tanggungjawab yang diperintahkan, sesungguhnya solat itu lebih baik...
CNM, 10/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
Malaysia vs Barca
atas kertas
Malaysia tak akan menang
tapi apa yang akan berlaku tak siapa tahu,
Malaysia tak perlu ada penyerang selincah Messi
Malaysia tak perlu ada perancang sebijak Iniesta
Malaysia tak perlu ada pertahanan semantap Puyol
cukuplah
jika Malaysia miliki semangat juang seperti mereka.
"Mainkan bola bukan dimainkan bola"
CNM, 10/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: heningkan jiwa
...kita pulang,
pulang berhari raya,
berhari raya di desa tercinta,
desa tercinta tempat ayah bonda,
ayah bonda yang melahir dan membela,
membela jadi manusia berguna,
berguna pada negara bangsa dan agama,
agama mengajar kita membersihkan jiwa,
jiwa yang suci meninggalkan prasangka,
prasangka merosakkan hubungan sesama,
sesama bermaafan di hari raya...
CNM, 10/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
mula panas
satu, satu tragedi
mengocak muara damai
dari siri tembak menembak
kini letupan meledak...
tanah ini mula panas
api hura hara mula melecurkan
kebimbangan berputik membarah
sedikit demi sedikit ketenangan disesah jenayah...
manusia sudah jadi "malaikat maut".
CNM, 12/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
Jenayah
relevankah lagi rukun negara?
semakin hari semakin menjadi-jadi jenayah...
rukun negara kelihatan tidak lagi dihayati;
jika percaya kepada tuhan
jika setia kepada raja dan negara
jika memelihara keluhuran perlembagaan
jika mendukung kedaulatan undang-undang
pasti kesopanan dan kesusilaan diamalkan...
tiba masanya yang dibuktikan bersalah dinyahkan dari bumi bertuah ini.
CNM, 12/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
Kencing
Kecing manis
sejenis penyakit kronik
lebihan gula dalam darah
hanya ubatan dapat mengawal
kekal sepanjang hayat.
Kencing tikus
sejenis jangkitan virus
menyerang organ badan
sistem gagal berfungsi
membawa mati.
Kencing kawan
sejenis penyakit hati
jika terkena menyakitkan emosi
tak terjangka
dari yang dipercaya.
CNM, 13/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
tanah ini
tanah ini
tanah bangsaku
kekal berdaulat direstu
tanah ini
tanah bertuah
tanah tumpahnya darahku
tanah ini
akan kupertahan
ke titisan darah terakhir
tanah ini
bebas merdeka
lambang kedaulatan bangsa
tanah ini
tanah melayu
hakikat yang jitu.
CNM, 13/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
kita yang tinggal
mempertahankan tanah warisan
datuk maharajalela yang tidak rela bangsa diperkuda
mat kilau yang perjuangannya sentiasa berkilau merentas masa
tok janggut yang tersungkur demi anak bangsa tak jadi pak turut
dan banyak lagi nama yang gugur pantang berundur...
kita yang tinggal bagaimana?
CNM, 13/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
hayati
mata yang mendengar
pandangannya bermakna,
telinga yang melihat
pendengarannya bererti,
kaki yang menggapai
langkahnya kesampaian,
tangan yang berlari
hayunannya berisi,
hidup yang mati
kakunya membatu...
CNM, 13/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
Huru Hara
telah disabda
akan tiba satu zaman huru hara
kini terbentang depan mata
darah memercik serata semesta
nyawa dipersenda
manusia jadi malaikat pengambil nyawa...
Ya Allah
Engkau turunkan pertolongan
kepada yang tidak berdosa.
CNM, 15/8/13 |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: diuji
...ada yang sering marah-marah, bila menyaksikan Israel mengambil hak Palestin, tanpa ada peri kemanusiaan, menindas, menafikan, dan di sini, di tanah air yang bertuah, ada yang baru diuji sedikit dengan limpahan kesenangan, dengan bongkak mengambil hak orang lain, tanpa peduli kesulitan, rintihan hatta penjelasan, tiada tolak ansur, persis bangsa Israel...
Cnm, 15/8/13 Last edited by Goldkey on 15-8-2013 09:51 PM
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|