Aman #AF2014 Minat Main ‘Video Game’ Sehingga Tak Tidur
KUALA LUMPUR, 18 NOV 2014: Naib Juara Akademi Fantasia 2014 #AF2014, Aman akui selain menyanyi, dia minat bermain ‘Video Game’ sehingga berjam-jam lamanya. Antara permainan video yang dia minati ialah Dota, Counter Strike dan King Of Fighters. “Saya pernah bermain ‘video game’ sekitar 8 jam, kadang-kadang saya tak tidur langsung main ‘video game’.” “Bermain permainan video antara cara saya untuk hiburkan diri sendiri dan menghidari stress. Daripada saya melepak tak tentu hala, baik saya main ‘game’ boleh asah bakat dan tajamkan minda,” kata Aman kepada portal Murai.com.my Dalam perkembangan lain, Aman telah dianugerahkan Diploma Seni Reka di Majlis Konvokesyen Kolej PolyTech Mara di Batu Pahat. Aman menyambung pengajiannya di kolej berkenaan pada tahun 2012 dan amat meminati seni lukis sejak di bangku sekolah.
“Perasaan saya sangat gembira, selain tamat pengajian di kolej saya juga tamat pengajian di Akademi Fantasia 2014.” “Dua kejayaan yang saya terima dalam satu masa yang sama, adalah rezeki daripada Allah. Ia juga hasil titik peluh serta sokongan ahli keluarga, saya bersyukur sangat-sangat,” ujar Aman. Aman mempunyai perancangan untuk menyambung pengajiannya ke peringkat Ijazah, namun buat masa sekarang dia akan menumpukan perhatian sepenuhnya di bidang seni dahulu. “Saya ada perancangan untuk menyambung pengajian saya, univeristi pilihan saya adalah UiTM. Besar kemungkinan saya akan membuat permohonan sebagai pelajar luar kampus atau pelajar jarak jauh PJJ,” kata Aman mengakhiri bicaranya.
|