RBA jangan keruhkan keadaan
UALA LUMPUR 19 Mac - Kumpulan tentera siber propembangkang Red Bean Army (RBA) diberi amaran agar tidak menganggu emosi keluarga penumpang pesawat MH370 dengan menyebarkan hasutan yang boleh menjejaskan usaha mencari pesawat itu. Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, RBA juga tidak sepatutnya mempolitikkan emosi keluarga penumpang pesawat itu ketika ini.
"Saya minta RBA tidak menghasut keluarga krew dan penumpang MH370 untuk melakukan sesuatu yang mengusutkan keadaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Sebelum ini, polis mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penyebar maklumat palsu di laman sosial mengenai kehilangan pesawat MH370 termasuk yang menyinggung perasaan keluarga penumpang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata, pihaknya sentiasa memantau perkara itu dan tindakan akan diambil sekiranya maklumat tersebut mendatangkan kemudaratan seperti menganggu siasatan serta operasi mencari dan menyelamat. Khairul Anuar dalam pada itu mempersoalkan sama ada tindakan keluarga penumpang MH370 di China yang mahu mogok lapar kerana memprotes terhadap MAS adalah berpunca daripada perbuatan RBA. Beliau berkata, perbuatan RBA yang cuba mengeruhkan keadaan ekoran insiden itu sebenarnya hanya akan menyebabkan lebih banyak masalah timbul. "Kita sepatutnya memberi sokongan kepada keluarga bukannya menghasut mereka untuk melakukan tindakan yang bukan-bukan," katanya.
|