Sedang aku berehat di bawah sepohon pokok yang rendang sambil menikmati pemandangan langit petang, tiba-tiba melayang sebuah lukisan lalu terlekap di bahuku. Aku lantas mengambilnya sebelum lukisan itu terbang lebih jauh. Mataku terpaku seketika melihat lukisan itu. Cantik! Hatiku berdetik. Lukisan itu dilukis begitu halus sekali. Seakan-akan sekeping gambar.
Aku menoleh mencari-cari tuan punya yang melukis lukisan ini. Akhirnya mataku tertancap pada seseorang yang kelibatnya kelihatan sedang mencari-cari sesuatu. Aku segera menghampirinya.
“Ini lukisan awak?” aku bertanya. Lukisan itu kuhulurkan kepadanya.
Pemuda itu terkaku memandangku. Sekilas dia tersenyum. Tanpa sedar senyuman itu terpahat di hatiku. Aku lantas berlalu dari situ memandangkan waktu sudah beranjak senja. Namun dalam diam hatiku berbunga-bunga. Siapakah dia? Aku ingin sekali berpaling dan bertanya namanya namun semuanya seakan kaku dan kakiku terus melangkah menjauh dari situ bersama sapaan angin yang membawa khabar bahawa dia juga sedang mengintaiku.
HARI berganti hari dan dan semenjak tiu aku sering melewati tasik tersebut. Entah kenapa? Aku sendiri tidak pasti. Mungkinkah aku ingin bertemu dengannya.. mungkin.. akhirnya aku tersenyum sendiri.
Aku mengintai di celah jendela. Hari ini cuaca dingin sekali. Curahan air hujan yang membasahi masih menunjukkan tanda-tanda ia tidak akan berhenti. Aku semakin gusar. Jam yang tergantung di dinding sudah berulang kali ku toleh tetapi kelibat ayah masih belum kelihatan. Di mana ayah ni? Hatiku tertanya-tanya.
Jarum jam berdeting menunjukkan hari semakin lewat. Perasaan ini sudah tidak dapat kutahan. Selagi ayah belum kutemui selagi itu aku tidak akan berasa tenteram. Lantas aku menghayunkan langkah menjejak ayah. Payung di tangan kugenggam erat. Sudah beberapa kali aku tersungkur dan tersadung akibat jalan yang licin namun kugagahi jua demi ayah.
Setibanya di tepi tasik yang sering aku lewati, kakiku tersadung sebatang kayu keras di bawah sepohon pokok yang rendang. Akibat kebasahan dan licin, aku terjatuh di atas tunggul tersebut dan spontan, aku terdengar suara orang mengerang begitu jelas di telingaku.
Aku terkejut. Serta-merta aku bangun dan membetulkan dudukku. Aku terpana sebentar apabila melihat baju dan tanganku berlumuran darah. Bau hanyir serta-merta menusuk ke hidung. Aku segera berkalih. Mataku tertancap pada pemuda yang pernah kutemui dulu. Di sini. Dan kini keadaannya cukup mengerikan. Hampir seluruh badannya cedera dan darah tidak henti-henti mengalir keluar dari anggota yang cedera. Aku melihat dada pemuda tersebut turun naik seakan kesempitan nafas. Tangannya menggigil menandakan tubuhnya dilanda kesejukan. Manakan tidak sejuk jika berada di dalam hujan lebat begini.
“Ikut saya balik.” Aku menyarankan kepadanya.
bersambung.. |