Pemenang anugerah Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012), Wawa Zainal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang konon dirinya ditaja oleh seorang VIP berstatus bekas wakil rakyat sepanjang kariernya bergelar artis.
Menerusi petikan akhbar Harian Metro hari ini, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 21, berkata gosip tidak berasas itu timbul sekitar tahun lalu dan dia enggan melayannya kerana tidak benar sama sekali.
Wawa turut hairan bagaimana cerita tersebut boleh muncul sedangkan dia mengakui yang dirinya bukanlah jenis yang keluar bersosial atau dilihat berada di mana-mana lokasi dengan lelaki lain.
"Hakikatnya, jika tiada penggambaran atau komitmen seni, saya akan berada di rumah dengan keluarga sendiri.
"Apapun, gosip itu tidak berasas dan tidak patut dilayan," katanya ketika ditemui media, semalam.
Bagaimanapun, aktres filem Pada Suatu Cinta Dahulu itu tidak menyangkal dia pernah didekati golongan VIP yang menawarkan pelbagai kemewahan sebelum ini, tetapi dia menolak secara baik.
"Saya bukan jenis perempuan begitu. Saya tidak suka menggunakan duit orang lain, tetapi lebih senang berbelanja dengan hasil titik peluh sendiri.
"Kalau diikutkan bisikan syaitan mungkin kita akan terpengaruh untuk hidup mewah dengan cara mudah namun saya tidak mahu kehidupan begitu," katanya.
Aktres yang berasal dari Lahad Datu Sabah itu juga berkata, bukti dakwaan kononnya dia ditaja VIP itu tidak berasas dapat dilihat dengan jelas menerusi penampilannya yang serba sederhana mengikut kemampuan kewangan sendiri.
|