|
saje je bertanya.baru baca berita harian online ni haa
cer baca
Raikan Cinta: Hijau pucuk pisang lambang ketenangan
Oleh Betty Subaryati
[email protected]
2011/06/03
pix_gal0
BERKONSEPKAN sekolah pondok dan etnik Melayu, pasangan pengantin pengacara popular Malaysia Hari Ini (MHI) TV3, Ahmad Fedtri Yahya, 30 dan isterinya, Nurul Anati Ismail, 26, bersimpuh di singgahsana pelamin warna hijau pucuk pisang.
Nurul Anati anggun berpakaian busana pengantin jubah kreatif berwarna hijau pucuk pisang, sedondon dengan suaminya, berjubah dan berserban hijau pucuk pisang, hasil rekaan Zawani dari Zagiran Boutiq, Sri Petaling, Kuala Lumpur.
"Saya dan suami hanya berkenalan dalam tempoh singkat iaitu enam bulan menerusi pertemuan pertama pada majlis usrah di sebuah masjid di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Oktober tahun lalu.
"Ketika itu, saya tidak mengetahui yang calon suami adalah pengacara MHI TV3 kerana tidak menonton rancangan itu berikutan kesibukan masa sebagai guru Fizik dan sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong baru, Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui selepas majlis persandingan pasangan itu di Kampung Pengkalan Machang, dekat Tok Uban, di sini, baru-baru ini.
Nurul Anati, anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, beliau gemar dengan aktiviti usrah dan majlis keagamaan sehingga mereka berdua berkenalan selepas Ahmad Fedtri mengacarakan majlis usrah di masjid terbabit.
"Ibu bapa saya yang tegas dengan didikan agama terhadap semua anak-anaknya, tidak membenarkan saya terlalu rapat dengan lelaki. Namun, selepas beliau menyatakan mahu menyunting saya sebagai isterinya, barulah saya menerimanya dengan baik.
"Perwatakan Ahmad Fedtri yang penyabar membuatkan saya tertarik dan bersetuju menerima lamarannya, memandangkan dia juga berpegang teguh kepada ajaran agama," kata pemegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Perak itu.
Menerima jodohnya dengan seorang pengacara yang dikenali, Nurul Anati melihatnya sebagai pemberian Allah dan tidak mahu berbangga diri atau teruja.
Namun, dia sedar, tuntutan kerja suami membuatkan suami sentiasa sibuk dan Nurul Anati tidak akan menjadikannya halangan untuk menjadi isteri solehah.
"Hasil didikan ibu dan ayah yang kuat berpegang kepada agama membantu saya menjadi seorang penyabar dalam menghadapi apa juga rintangan. Insya-Allah, saya akan berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan pekerjaan suami," katanya.
Pasangan itu akan diraikan dalam majlis menyambut menantu di rumah kelahiran Ahmad Fedtri di Perak pada 11 Jun ini dengan busana pengantin etnik tradisional Melayu.
"Saya dimaklumkan oleh suami, kami akan berbulan madu ke Korea, yang ditaja oleh syarikat penerbangan murah Air Asia dan akan berangkat ke negara itu, sebelum Ramadan ini," katanya.
Sementara itu, Ahmad Fedtri yang juga pemegang ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata konsep sekolah pondok dan etnik Melayu dengan warna hijau pucuk pisang melambangkan kesucian agama Islam yang sinonim dengan warna itu dan menjadi impiannya bersama isteri mahu menggunakan konsep itu pada majlis persandingan di Kelantan.
Ahmad Fedtri yang memakai jubah kreatif lengkap dengan serban di kepala, direka khas oleh Zawani Zakaria itu berkata, rekaan busana pengantin adalah kreativiti rakan, termasuk Zawani yang juga adik kepada sahabatnya di Kuala lumpur.
"Rekaan busana pengantin dengan konsep jubah ala pondok ini juga dipersetujui bersama dengan ibu dan bapa mentua saya, Ismail Che Amat, 55, dan Aini Che Othman, 49.
"Warna hijau itu indah dan sinonim dengan suasana masjid yang memberi ketenangan yang turut digabungkan dengan etnik pakaian Melayu apabila pereka menambah dengan hiasan aksesori seperti kerawang, kerongsang dan manik pada serban untuk pengantin lelaki manakala jubah serta tudung bagi busana isteri," katanya.
Walaupun cuaca di Kelantan ketika itu cukup panas, warna hijau pucuk pisang itu seolah-olah memberi ketenangan kepada pasangan berkenaan apabila mereka yang selamat diijabkabulkan di Masjid Ar-Rahman Tok Uban, oleh ayah pengantin perempuan.
Ahmad Fedtri berkata, dia hanya membuat persiapan kira-kira enam bulan sebelum memutuskan untuk menyunting gadis Kelantan dari Pasir Mas itu.
"Saya membelanjakan kira-kira RM50,000 bagi menguruskan kos pernikahan ini, termasuk wang hantaran RM11,000, mas kahwin senaskah al-Quran serta hantaran tujuh dulang untuk Nurul Anati," katanya. |
|