Kuala Lumpur: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), syarikat pelaburan hartanah dan pengurus dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sedang memajukan empat projek hartanah membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, empat projek itu masing-masing dua projek di Jalan Bangsar dan Jalan Conlay, Kuala Lumpur; pembangunan hospital swasta di Penchala, Kuala Lumpur serta pusat beli-belah di Terengganu.
Katanya, langkah mempelbagaikan portfolio perniagaan dengan terbabit dalam pembangunan projek hartanah itu dilaksanakan bagi meningkatkan sumber pendapatan kepada pemegang unit amanah yang diuruskannya.
“Kita hanya membangunkan projek di atas simpanan tanah milik PHB. Ia adalah sebahagian usaha syarikat untuk memperkukuhkan sumbangan pendapatan.
“Apabila semua projek siap dan matang, kita akan menerbitkan unit amanah untuk ditawarkan kepada pelabur yang berminat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya kepada media selepas melancarkan inisiatif Simpan, Labur dan Menang AHB di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) Ahmad Najib Nazlan, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PHB Mohd Fadzil Maruwan dan Duta AHB Neelofa.
Ketika ini PHB menguruskan 19 aset hartanah merangkumi bangunan komersial, hospital dan logistik membabitkan nilai RM4 bilion.