|
50 sen pikat pelanggan
PENDANG – Di zaman moden kini, sukar sekali untuk mendapatkan apa saja barang yang dijual dengan harga rendah, apatah lagi makanan yang rata-ratanya ada mencecah lebih daripada RM10.
Berlainan pula apa yang ditawarkan sebuah warung kecil di Kampung Batu Menunggul dekat sini, yang menjual pelbagai jenis makanan dengan harga serendah 50 sen.
Sinar Harian difahamkan, berikutan itu warung berkenaan sentiasa menjadi tumpuan kanak-kanak selepas waktu sekolah dan juga penduduk, disebabkan harga seperti itu tidak lagi diperoleh di mana-mana kedai daerah ini. Antara makanan yang dijual ialah laksa, bihun sup, ais kacang dan banyak lagi.
Peniaga, Salbiah Mat Arif, 47, atau lebih dikenali dengan panggilan Che Pah oleh penduduk kawasan itu berkata, dia menjual semua makanan itu dengan harga rendah atas perasaan simpati kepada kanak-kanak memandangkan mereka terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Walaupun kini harga barang naik, namun saya tetap jual makanan dengan harga 50 sen walaupun keuntungan yang diperoleh tidaklah sebanyak mana. Saya hanya dapat RM100 sehari.
“Tetapi, jika ia dikumpul setiap hari, keuntungan itu berbaloi,” katanya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana perniagaan yang diusahakannya itu sehingga kini masih bertahan hampir lima tahun.
“Sedikit pun saya tak pernah merasa rugi.
“Malah sambil berniaga, dapat juga saya bersedekah,” katanya.
Che Pah berkata, dia berniaga di warung itu dari jam 10 pagi sehingga jam 7 petang setiap hari dan akan tutup apabila ada urusan.
Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Latif Karim, 61, berkata, warung terbabit menjadi tumpuan kanak-kanak memandangkan harga makanan yang dijual adalah rendah dan kuantiti makanan yang diberikan juga banyak.
“Jika difikirkan harga barang yang semakin tinggi saya tidak pasti sama ada 50 sen perlu dikekalkan atau tidak namun, saya hargai usaha peniaga kerana penduduk terutamanya kanak-kanak tidak perlu ke pekan untuk membeli makanan seperti yang ada di sini,” katanya. |
|