3rd Part
HUKUM PEREMPUAN BERMUSAFIR Sebelum kita mengupas tajuk di atas kita perlu mengetahui bahagian-bahagian safar terlebih dahulu. Bahagian-bahagiannya ialah: • Safar wajib
• Safar sunat
• Safar harus
SAFAR WAJIB Iaitu safar untuk menunaikan fardhu haji, sebahagian ulama menyatakan bahawa jihad dan menuntut ilmu juga dikira sebagai musafir wajib. Pendapat-pendapat ulama dalam masalah ini:
Al-Hanafiah – perempuan yang hendak menunaikan haji disyaratkan bersama suami atau mahramnya. Jika tiada suami atau mahram, perempuan tersebut tidak diwajibkan menunaikan haji.
Al-Jaafariah – tidak disyaratkan bersamanya suami atau mahram ketika safar tetapi disyaratkan adanya aman dan thiqah jalan. Oleh itu, seseorang perempuan boleh menunaikan haji seorang diri tanpa suami atau mahram jika aman.
Hanabilah – disyaratkan adanya suami atau mahram. Jika seseorang perempuan bermusafir untuk menunaikan haji tanpa suami atau mahram, hukumnya berdosa tapi hajinya sah.
Az-Zaidiah – adanya suami adalah syarat untuk menunaikan haji tetapi bukan syarat wajib (sekiranya syarat wajib cukup, perempuan tersebut tidak boleh bermusafir kerana syarat untuk melaksanakan haji belum sempurna walaupun syarat wajib telah cukup). Ini bermakna dibolehkan mengerjakan haji pada tahun hadapan sekiranya ada mahram atau suami. Syarat tersebut hanya tertakluk kepada perempuan muda.
Az-Zohiriah – perempuan yang tiada suami atau mahram wajib melakukan haji kerana umum ayat maka berdosa sekiranya dia tidak menunaikan haji berdasarkan ayat tersebut.
Imam Malik – tidak disyaratkan perempuan tersebut bersama suami atau mahram yang dithiqahi bahkan disyaratkan aman bagi dirinya. Adalah makruh bagi seorang wanita yang bermusafir sehari semalam tanpa mahramnya tetapi dibolehkan wanita itu menunaikan haji bersama sekumpulan wanita dan orang-orang yang dipercayai sekalipun mereka bukan mahram bagi wanita tersebut.
As-Syafie – tidak wajib haji ke atas perempuan melainkan ada bersamanya suami, mahram atau perempuan yang dithiqahi kerana membawa keamanan dalam permusafirannya.
SAFAR SUNAT Iaitu samada haji dan umrah sunat, ziarah menziarahi, urusan perniagaan dan sebagainya. Menurut pendapat ulama: Segolongan ulama menyatakan harus seseorang wanita keluar bersama sekumpulan wanita yang dipercayai.
Jumhur ulama menegaskan tidak harus kecuali bersama suami atau mahram berdasarkan hadis-hadis yang sahih. Al-Qadhi menyatakan bahawa ulama telah bersepakat bahawa tidak boleh keluar bermusafir selain daripada haji dan umrah tanpa mahram kecuali untuk tujuan hijrah dari negara kafir ke negara Islam. Al-Qadhi Iyadh menyatakan tidak boleh perempuan muda tanpa mahramnya adapun perempuan tua yang telah mengalami putus haid boleh bermusafir pada bila-bila masa tanpa suami atau mahramnya. Pendapat ini turut disokong dalam kitab Al-Qura yang dikarang oleh Mustafa Al-Hilbi.
SAFAR HARUS
Contohnya musafir kerana melancong ke sesebuah tempat. Safar harus ada dua keadaan:
Bermusafir secara berkumpulan samada ditemani oleh perempuan yang dipercayai atau suaminya.
Musafir seorang diri.
Musafir bersama orang lain (bukan suami atau mahram); hukumnya jika terdapat bahaya disepakati oleh ulama hukumnya haram. Sekiranya tiada mudharat, maka di dalam masalah ini terdapat kekhilafan yang akan kita perbincangkan. Jumhur ulama tidak membolehkan perempuan dalam safar harus kerana berdasarkan hadis-hadis yang sorih (jelas).
Syeikh Sya’rawi, Dr. Yusof Al-Qardhawi dan Syeikh Abdullah Jabra’in iaitu salah seorang ahli Majlis Fatwa Saudi menyatakan boleh dan ia tidak haram. Kata Syeikh As-Sya’rawi, “Apabila keamanan terjamin melalui mana-mana cara atau wasilah, tidak dihalang bagi seorang perempuan untuk bermusafir sekalipun seorang diri terutama di zaman ini, di mana sistem pengangkutan amat menyelesakan serta wujud ciri-ciri keselamatan ke atas maruah dan adab kesopanan seorang perempuan”. Dr. Yusof Al-Qardhawi berkata di dalam كيف نتعامل مع السنة danوالصحوة الإسلامية بين الجحود والتطرف, “Apabila kita melihat kepada safar pada zaman ini dengan segala kemudahannya, kita akan mendapati ia seperti kapal terbang yang dapat memuatkan beratus-ratus penumpang yang membawa manusia dari satu negara ke satu negara yang lain dalam waktu yang singkat. Oleh yang demikian, tidak perlu dibimbangkan tentang keselamatan seseorang perempuan apabila kaum keluarganya menghantar ke lapangan terbang dan perempuan itu disambut oleh kaum keluarganya di destinasi yang ditujunya. Tambahan pula perempuan itu menaiki kapal terbang bersama penumpang yang dithiqahi.
Perkara ini telah ditegaskan oleh kebanyakan fuqaha di dalam safar wanita untuk menunaikan fardhu haji, di mana mereka mengharuskan perempuan bermusafir untuk menunaikan haji bersama perempuan-perempuan atau rombongan yang dithiqahi. Maksud Dr. Yusof Al-Qardhawi sebagaimana ulama yang lain membolehkan perempuan bermusafir tanpa mahram atau suami jika terjamin keamanannya.
Syeikh Jabrain menyatakan terdapat hadis yang melarang perempuan bermusafir tanpa mahram kerana pada zaman Nabi untuk pergi ke suatu tempat memerlukan seseorang itu merentasi padang pasir dan keadaan ini membahayakan kepada seorang wanita. Pada zaman sekarang keadaan sudah jauh berbeza. Oleh itu bolehlah perempuan bermusafir tanpa mahram jika terjamin keamanannya. Pendapat Ustaz Nuruddin Hafizohullah, jika kita membaca buku karangan beliau tentang safar mar’ah, kita boleh membuat kesimpulan bahawa beliau berpegang teguh kepada zahir hadis yang melarang perempuan bermusafir tanpa mahram secara mutlak. Hadis-hadis tersebut adalah hadis yang kuat dan sorih.
Adakah ia disepakati oleh 4 mazhab?
Setakat yang kita temui, pendapat yang melarang perempuan yang bermusafir tanpa mahram atau suami adalah pendapat jumhur ulama. Ia terdapat di dalam kitab Ahkamul Ahkam Bisyarhi Umdatul Ahkam oleh Ibnu Daqiq Al-Aid:
قال بعض المالكية لفظا المرأة – لا يحل لإمرأة تؤمن بالله واليوم الأخر ان تسافر مسيرة يوم وليلة إلا معها حرمة
Ini dikhususkan untuk perempuan muda sahaja. Bagi perempuan tua yang tidak diingini ia tidak termasuk di dalam larangan tersebut. Oleh itu perempuan tua boleh bermusafir ke mana-mana sahaja yang diingini walaupun tanpa suami atau mahram dengan syarat keselamatannya terjamin.
Imam Syafie juga bersetuju dengan pendapat ini dan mengatakan perempuan boleh bermusafir dalam keadaan aman tanpa berhajat kepada seseorang pun untuk bersamanya samada suami ataupun mahram dengan syarat ia bersama-sama rombongan. Berbalik kepada soalan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa mereka yang membolehkan wanita bermusafir tanpa mahram dan suami dalam keadaan aman itu, mereka berpegang kepada ilah hukum iaitu Rasulullah melarang perempuan bermusafir tanpa suami atau mahram disebabkan perempuan mudah diganggu.
Hukum: Haram bermusafir
Ilah : Diganggu
Di dalam masalah ini ulama membuat satu kaedah iaitu:
العلة تدور مع الحكم وجودا وعدما
Ilah itu akan berjalan dari segi ada atau tiada; ada ilah ada hukum, tiada ilah maka gugur hukum. Tiada bahaya boleh musafir, ada bahaya haram bermusafir.
Adapun mereka yang berpegang kepada zahir nas, hukumnya tetap haram samada ada kemerbahayaan atau tidak.
Perlu diketahui bahawasanya kedua-dua golongan di atas yang berpegang kepada zahir nas memerlukan tidak mungkin dapat menyelesaikan kekhilafan yang berlaku di antara mereka. Ini menentukan تعبدى atau معقول المعنى kepada ijtihad, maka lain mujtahid lainlah ijtihadnya.
Fatwa Dr. Yusof Al-Qardhawi: Ia adalah sesuatu fatwa yang mempunyai sandaran berdasarkan kepada Usul Feqah yang melibatkan perkara roh tasyri’. Kita yang jahil tentang perkara ini jangan terlalu berani mengatakan fatwa ini ditolak oleh ulama atau Dr. Yusof Qardhawi orang yang kurang thiqah atau lain-lain.
Kesimpulannya, perkara yang disepakati ini adalah dalam masalah safar harus. Sekiranya membawa mudharat kepada perempuan itu dalam musafirnya samada bersama suami, mahram atau perempuan-perempuan yang dithiqahi, maka hukumnya haram. Perkara khilafnya, jika aman maka berlaku kekhilafan di kalangan ulama. Wallahuallam.
Last edited by DeHanna on 26-12-2013 12:03 PM
|