Edited by mbhcsf at 16-2-2015 06:48 PM
ini adalah paparan artikel hasi ltulisan Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan dengan Indeks Syariah Malaysia
menariknya beliau menceritakan tentang
- kronologi atau gagasan najib - yg menyuarakan idea / konsep dan dimanifestasikan melalui rangka paperwork
- objektif Indeks ini dilaksanakan
- contoh contoh ia difahamkan secara kasar dan eleboration on maqasid syariah
Indeks Syariah ukur usaha bukan jenama
DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
15 Februari 2015 12:09 AM
INTRO
Ramai teruja apabila Indeks Syariah Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Februari lalu. Namun tidak kurang juga yang dangkal pemikiran menanggapinya sebagai satu inisiatif seolah-olah bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada isu Anwar.
BACKGROUND/ LATAR BELAKANG
Hakikatnya idea awal pembangunan Indeks Syariah Malaysia ini diilhamkan sendiri oleh Najib. Idea ini mula tercetus apabila dalam satu pertemuan tertutup dengan pimpinan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 21 Ogos 2013 di pejabat Perdana Menteri, Najib menyuarakan keperluan untuk mengukur pencapaian Malaysia dalam pelaksanaan syariat dan pengembangan syiar Islam. Keseriusan Najib sekali lagi disuarakan dalam Majlis Perdana Ulama Umara pada 28 Ogos 2014 sehingga tertubuhnya sebuah jawatankuasa yang diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi memulakan usaha untuk membangunkan Indeks Syariah ini.
Hakikatnya sejak lebih 57 tahun merdeka telah banyak kerajaan lakukan bagi mengembangkan syiar dan syariat Islam dalam pelbagai polisi, sektor dan program. Ini seiring dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Malah agenda memartabatkan Islam sememangnya amat sebati dengan perjuangan UMNO sebagai parti tunjang yang menerajui kerajaan. Agenda ini dizahirkan secara jelas dalam Perlembagaan UMNO Fasal 3.3 bahawa asas dan matlamat perjuangan UMNO antara lain ialah untuk “menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama”. Sebab itulah pelbagai dasar dan program Islam telah dibangun dan dikembangkan sama ada dalam bidang perundangan, ekonomi, pendidikan, pentadbiran dan pelbagai lagi sektor pemerintahan. Walau bagaimanapun sehingga hari ini belum ada sebarang usaha mahupun inisiatif untuk benar-benar melakukan introspeksi atau penilaian berkenaan dengan usaha-usaha yang telah dilaksanakan untuk memartabatkan Islam dalam segenap lapangan dan bidang. Atas asas inilah Najib secara berani dan ikhlas mahu kerajaan di bawah kepimpinannya dinilai dan diukur khususnya sejauh mana usaha dan pencapaian kerajaan selama ini dalam melaksanakan Islam menurut neraca syariat yang sebenar. Tidak ramai pemimpin negara Islam yang bersedia untuk dinilai berkenaan dengan pelaksanaan syariat. Apatah lagi usaha penilaian yang dijalankan oleh pihak ketiga sudah tentu akan menzahir dan menyerlahkan pelbagai kelemahan dan kelompongan yang ada dalam pemerintahan.
NAWAITU:
Namun keikhlasan Najib jelas terpancar melalui kata-kata beliau dalam majlis pelancaran Indeks Syariah Malaysia Selasa lalu, yang meletakkan dua matlamat utama inisiatif ini. Pertama, untuk “menilai keseriusan usaha kerajaan dari tahun ke tahun dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan”. Dan yang kedua, bagaimana untuk kita mengenal pasti ruang-ruang pembaikan yang perlu diberi fokus oleh kerajaan, agar kita dapat menerima lebih banyak manfaat, hasil dari penerapan nilai-nilai sejagat dalam Islam”. Keberanian untuk dinilai, bersedia untuk memperakui kelemahan serta melakukan penambahbaikan sudah tentu akan menyerlahkan jiwa besar yang ada pada seorang pemimpin Islam. Malah nilai seperti inilah yang dituntut Islam sebagaimana hadis Nabi SAW:
“Setiap Anak Adam terdedah kepada melakukan kesilapan dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesilapan adalah orang yang bertaubat (iaitu orang yang memperakuinya lantas melakukan koreksi atas kesilapan tersebut).
Dalam dunia akademik dan penyelidikan, instrumen atau kaedah untuk mengukur sesuatu pencapaian dipanggil indeks. Sebelum ini memang telah banyak indeks-indeks yang dihasilkan untuk mengukur pelbagai sektor dan aspek kehidupan. Sebagai contoh Indeks Pembangunan Manusia yang mengukur pencapaian pembangunan modal insan sesebuah negara. Indeks Persepsi Rasuah yang mengukur dan menilai pencapaian sesebuah institusi mahupun negara dalam isu-isu menyentuh rasuah dan penyelewengan.
Indeks ini dibangunkan mengikut kaedah tertentu berasaskan data-data yang berkaitan dengan bidang atau aspek yang ingin diukur. Sebab itulah apabila idea untuk mengukur pencapaian dalam melaksanakan syariah, maka tidak salah untuk mengambil kaedah atau metadologi yang sama dengan indeks-indeks yang lain. Cuma yang berbeza sudah tentulah komponen dan piawaian syariah yang ingin diukur dan dinilai. Piawaian syariah yang dimaksudkan ini harus berpandukan kepada lima matlamat syariah yang disebut sebagai Maqasid al-Syariah. Ini termasuklah pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Manfaat
Ini kerana setiap hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah semuanya terkait dengan kelima-lima perkara ini yang menjadi matlamat sesuatu hukum. Sebagai contoh, asas pengharaman zina kerana Islam amat menitikberatkan pemeliharaan keturunan yang jika tidak ditangani bakal memporak-porandakan masyarakat. Begitu juga apabila Islam menuntut agar pendidikan diberi keutamaan kerana akal manusia bukan sahaja perlu dipelihara bahkan dikembangkan. Inilah yang dimaksudkan dengan matlamat atau Maqasid Syariah yang bukannya bertujuan semata-mata menghukum tetapi lebih utama meningkatkan kualiti kehidupan yang bukan sahaja khusus kepada umat Islam tetapi punya nilai sejagat yang dimanfaati semua termasuk bukan Islam. Inilah yang dikehendaki Allah apabila menegaskan dalam al-Quran bahawa Islam sebagai agama yang memberi rahmat kepada seluruh alam. Bersandarkan prinsip ini Indeks Syariah Malaysia dibangunkan tidak hanya memfokuskan kepada insitusi-institusi, dasar-dasar, program-program yang berjenama Islam tetapi meliputi segenap aspek kehidupan yang menepati makna dan nilai syariah sejati.
Memang hakikatnya Islam tidak pernah mengutamakan label mahupun jenama. Tetapi yang lebih mustahak adalah makna syariah sebenar yang perlu dihayati dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan perlaksanaan.
Sebagai contoh pengukuran sama ada kenderaan itu Islamik atau tidak bukan bergantung kepada penjenamaan kenderaan itu sebagai ‘kereta Islam’ tetapi yang lebih bernilai dan bermakna ialah sama ada pemanduannya berhemah, berdisiplin dan tidak memudaratkan mana-mana pihak. Begitu juga dalam bidang ekonomi, pengukuran yang holistik bukan sahaja dalam konteks indusri kewangan Islam semata-mata tetapi meliputi aspek kecekapan, kejujuran dan ketelusan pengurusan ekonomi dalam kerajaan serta apa jua dasar dan polisi yang mampu mengangkat taraf hidup rakyat seperti pembasmian kemiskinan dan kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan.
Ini semua perlu dilihat daripada neraca dan piawaian syariah kerana al-Quran dan as-Sunnah yang merupakan sumbernya jelas memperuntukkan hal-hal sedemikian. Ini hanyalah sebahagian contoh bagaimana Indeks Syariah ini dibangunkan oleh hampir 200 tenaga-tenaga pakar dalam 8 bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.
Sesungguhnya, pembangunan Indeks Syariah ini juga merupakan satu manifestasi kesungguhan, ketulusan dan iltizam tidak berbelah bahagi Perdana Menteri yang ikhlas ingin dinilai oleh pihak ketiga yang tiada kepentingan bagi mengenal pasti kedudukan sebenar Malaysia dalam pembangunan Islam. Justeru dengan adanya Indeks Syariah ini tentu sekali kerajaan dapat menentukan apakah lagi kelompongan-kelompongan dalam dasar-dasar dan program-program yang perlu ditambah baik bagi menuju kepada kesempurnaan. Memanglah amat mustahil untuk kita mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan tuntutan syariah. Namun apa yang lebih mustahak untuk kita sama-sama berusaha bagi menyempurnakannya. Akhirnya Allah bukan menilai berasaskan natijah mahupun pencapaian kita tetapi yang lebih mustahak ialah usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan syariah secara holistik dalam segenap aspek kehidupan.
- Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana ... thash.zxyBEI2T.dpuf
|