Tidak sanggup dizalimi, Zahnita failkan cerai
Zahnita meluahkan rasa syukur apabila suaminya itu sudah ditahan pihak berkuasa. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson menepis dakwaan ingin keluar rumah dan tinggal berasingan menjadi punca utama dipukul suaminya. Zahnita, 39, berkata, dia bagaimanapun tidak boleh memperincikan kejadian itu kerana masih dalam siasatan polis. "Saya tidak boleh berkongsi kejadian itu buat masa sekarang sebab masih dalam siasatan polis. "Cuma, apa yang saya boleh katakan dia melakukan keganasan kerana tidak tahan dengan soalan saya mengenai sesuatu perkara," katanya.
"Kekuatan saya untuk fail cerai hari ini adalah Tuhan dan sokongan daripada ibu. Doanya mengiringi perjalanan saya hari ini. "Emosi saya ketika ini tidak begitu stabil dengan semua ujian ini. Alhamdulillah, Allah beri kekuatan itu," katanya. Dalam masa sama, Zahnita meluahkan rasa syukur apabila suaminya itu sudah ditahan pihak berkuasa. "Saya lega dan syukur dia sudah ditahan sebab boleh bergerak tanpa perlu ada perasaan risau. Dia sudah tak boleh lakukan sebarang perkara lagi pada saya. "Sebelum ini, saya takut nak ke mana-mana sebab risau diapa-apakan olehnya. "Terima kasih dan sangat terharu apabila melihat sokongan daripada semua orang termasuk pihak polis yang sudah melakukan siasatan serta mengambil tindakan. "Saya sudah lama bertahan, berhenti daripada karier seni dan menjadi isteri yang sempurna sebelum ini," jelasnya. Terdahulu, Harian Metro melaporkan hantaran dimuat naik aktres itu di media sosial mengejutkan ramai apabila berkongsi dua foto menampakkan keadaan matanya yang lebam. Tidak memperincikan apa yang berlaku, Zahnita berkata, seboleh-bolehnya dia enggan membuka pekung di dada, namun keadaan memaksa untuknya berbuat demikian.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/12/1332213/tidak-sanggup-dizalimi-zahnita-failkan-cerai
|