Post Last Edit by saaya at 16-1-2012 21:21
terus iols cari article'y yeh...meh iols share kt cnih....
GADUH SAYANG!
MEREKA saling membenci antara satu sama lain. Tapi takdir menentukan dan akhirnya mereka berkahwin walaupun sudah memiliki cinta masing-masing.
Dek kebencian dan tekanan itu, mereka berjauhan tapi di studio Balai Berita, kedua-dua pasangan muda ini cuba disatukan SELEBRITI dalam suasana romantik. Mampukah mereka menguntumkan rasa sayang yang sudah hilang? Bunyi kisah ini seolah sebuah lara penuh drama tapi hakikatnya ia hanya sebahagian daripada plot drama komedi romantik Vanila Coklat lakonan Izara Aishah dan Aiman Hakim. Sebagai Zara dan Amir, dua pelajar kolej yang terpaksa berkahwin atas desakan keluarga, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dan dugaan suami isteri remaja.
Menariknya, drama 13 episod ini tampak segar dan kena dengan cita rasa golongan muda. Tidak salah dikatakan, kedua-dua pelakon yang kain meningkat itu tampak comel berpasangan sebagai suami isteri. Sesekali Aiman mengusik Izara, tidak kurang juga dengan Izara terhadap Aiman. Sama cantik sama padan, malah tatkala bertentang mata berderai ketawa dan senyum mesra antara mereka berdua.
“Aiman sebenarnya seorang yang sangat pendiam dan pemalu. Kali pertama bertemu dengannya, saya terpaksa memberanikan diri memulakan perbualan. Ingatkan dia sombong tapi bila sudah rapat, baru tahu dia seorang yang sangat peramah. “Dia juga seorang yang sangat ‘loving’, romantik dan mudah difahami. Biasalah, tak kenal maka tak cinta. Sekarang kami mesra sebagai suami isteri dalam Vanila Coklat,” kata Izara sebaik saja diusik mengenai hubungannya dengan jejaka tinggi lampai itu.
Berbeza dengan Aiman, pada awalnya dia payah untuk mendapatkan keserasian dengan Izara yang diingini pengarah. Apatah lagi untuk babak bergaduh, bagaikan tidak cukup garamnya. “Untuk itu, saya sering berbincang dengan Izara untuk mendapatkan sudut terbaik. Sebab itulah kami kadang kala nampak macam bergaduh walaupun di luar set. Saya sering mengusiknya untuk mencetuskan pergaduhan itu supaya bila dibawa ke set ia nampak ‘real’,” kata Aiman ketawa.
Patutlah ketika sesi fotografi bersama kedua-dua pelakon itu, mereka sering berperang mulut. Rupa-rupanya ia satu cara untuk mewujudkan hubungan istimewa sebagai suami isteri untuk Vanila Coklat.
Aiman yang mula dikenali selepas menyertai rancangan realiti TV, Mentor musim kelima mengatakan Vanila Coklat sebuah drama yang tepat dengan jiwa mudanya. Sebagai jejaka yang baru berusia 22 tahun, Aiman akui ia bukan tugas mudah.
“Permulaan terjun dalam bidang lakonan, saya tidak yakin terutamanya apabila berdepan dengan kamera. Selepas menjayakan lima produksi, baru saya nampak kelemahan yang ada dan perlu diperbaiki.
“Antaranya di segi intonasi, sebutan dan permainan watak yang diberi. Nak kata saya sudah bagus tidaklah sampai ke tahap itu tapi secara jujur, saya sudah tahu apa yang tidak cukup selama ini,” katanya yang mula terjun ke dalam bidang seni sebagai model komersial.
Katanya, untuk mendapatkan jiwa Amir, Aiman banyak membuat rujukan dengan menonton filem John Tucker. Apatah lagi, Vanila Coklat bukan drama berat yang memerlukan pelakonnya selalu berendam air mata tetapi menjurus kepada hubungan cinta terpaksa penuh hilai ketawa.
Kedua-dua pelakon itu berkongsi pendapat sama tatkala berbicara mengenai drama ini dan menganggap Vanila Coklat drama yang ‘catchy’, ringan dan sangat sesuai untuk golongan remaja.
Malah Aiman turut menyamakan drama ini mempunyai sentuhan elemen drama romantik komedi Korea yang menjadi kegilaan peminat drama tempatan.
Izara pula akui watak Zara yang dibawanya dalam drama ini berlainan dengan drama lakonannya sebelum ini. Lebih-lebih lagi kebanyakan drama lakonannya sebelum ini perlu bermain dengan emosi dan jiwa yang berat.
“Saya suka sangat dengan watak Zara dan jalan cerita drama ini. Ia ternyata berbeza dengan lakonan saya sebelum ini. Apatah lagi saya beraksi sebagai pelajar kolej yang terpaksa berkahwin pada usia muda yakni 19 tahun. Dan kebetulan, saya juga kini berusia 19 tahun.
“Vanila Coklat tidak berat dan lebih relaks. Ia sebuah drama ‘manja’ dan keremajaan,” kata Izara yang sebelum ini membintangi drama Sofea, Keranamu Laila, Kasih Najihah dan Jejaka J.
Vanila Coklat mengisahkan Amir dan Zara yang berkahwin atas desakan keluarga. Perkahwinan itu mendapat tentangan tapi terpaksa diteruskan selepas bapa Aamir berpura-pura sakit jantung. Drama menarik ini turut dibintangi Iqram Dinzly, Nabila Daly, Arash Mohd, Emma Akma, Liza Abdullah dan Zuhairi ini bersiaran di TV3 setiap Selasa, jam 9 malam sejak 20 Disember lalu.
|