Lagu rancak sedang bergema dalam Ballroom Hang Tuah. Kemeriahan suasana staff party terasa. Ditambah pula dengan kehadiran para pekerja Hotel Mayang Sari yang hampir semuanya berpakaian mengikut tema.
Zack dan Amin sedang duduk melepak di sebuah meja, tidak jauh dari pintu masuk Ballroom Hang Tuah. Sengaja mahu duduk di situ sambil memerhatikan gelagat para pekerja yang bergaya mengikut selebriti pilihan masing-masing. Memang sakan!
Amin sedang tersengih dalam diam. Beberapa kali Zack melihat Amin menggelengkan kepala. Sesekali Amin ketawa sendiri.
Pastinya, Amin sedang mengumpat sendirian dalam hati.
Melihat kesungguhan dan semangat mereka, Zack tersenyum. Namun, untuk Zack sendiri bergaya sakan seperti itu, memang tidaklah. Mujur saja Amin, Qayyum dan Rashidi juga tidaklah terlalu beriya-iya mahu mengikut tema Staff Party. Tidak dapat Zack bayangkan sekiranya mereka benar-benar mahu meniru gaya kumpulan Kiss. Memang dia akan tarik diri daripada kumpulan Taufan ini. Untuk tetap mengikut tema staff party, mereka memilih untuk bergaya smart casual. Konon-konon seperti kumpulan Maroon 5.
Tiba-tiba Zack perasan handsome. Terasa seperti Adam Levine pula – The Sexiest Man Alive.
Adam Levine konon. Adam Levine punya orang gaji, bolehlah.
“Pergghh…Elvis dowh.” Kata Amin. Zack memfokuskan pandangan.
“Itu, Papa B kan?” Zack meminta kepastian.
Amin ketawa terbahak sambil mengangguk. Zack pun sama.
“Amboi, bukan main lagi gelakkan orang.”
Zack dan Amin ditegur. Mereka mengangkat muka. Terpaku seketika melihat empunya suara.
Berbaju kebaya merah menyala bergermelapan dihiasi dengan kerlipan labuci. Cermin mata berbentuk rama-rama terletak elok atas batang hidung. Rambutnya bersanggul tinggi.
Zack dan Amin terkebil-kebil melihat Saloma depan mata. Last edited by Nicki_Meow on 25-12-2013 08:57 PM
Si empunya suara menanggalkan cermin mata rama-rama.
“Fuyyooo Kak Farah. Ingat siapalah tadi…” Lima saat kemudian, Amin bersuara setelah dapat mengesan siapa tuan punya suara manakala Zack menggelengkan kepala.
Farah Banquet rupanya.
“Apa macam? Boleh menang tiga ribu tak?” Tanya Farah.
“Tiga ribu?” Kening Zack berkerut.
“La…takkan kau tak tahu? Siapa yang paling ‘retis’ malam ni, dapat hadiah tiga ribu ringgit dengan voucher hotel.” Jawab Farah.
“Oooohhh….” Zack terangguk-angguk.
Baru Zack teringat. Pemenang The Most Celebrity-Me akan menerima wang tunai tiga ribu ringgit dan dua voucher penginapan percuma di Pangkor Laut Resort. Patutlah ramai yang beriya-iya. Walaupun hadiahnya tidaklah terlalu lumayan tetapi ramai juga yang mahu mencuba nasib. Mana tahu, ada rezeki.
“Old skool sangatlah kak, tiru Saloma. Kenapa tak tiru Neelofa ke? Nora Danish ke? Baru begini.” Amin berkata mengangkat ke dua ibu jarinya ke atas.
“Kau gila nak suruh akak pakai macam Neelofa? Tujuh keturunan akak kena cerca nanti tau. Lagipun, akak mana ada kasut Louboutin…”
Amin ketawa.
“Kenapa korang tak masuk ballroom lagi?”
“Saja lepak sini. Awal lagi nak masuk…” Balas Amin.
“Akak masuk dululah.” Farah mohon beredar. Amin dan Zack terangguk-angguk.
Waktu sudah menunjukkan pukul lapan sepuluh minit malam. Ballroom semakin penuh dengan para pekerja. Ada juga yang melepak di luar ballroom sambil berbual-bual. Zack dan Amin masih meneruskan aktiviti melepak di situ.
Mata Zack tertumpu kepada seseorang. Seseorang yang telah mencuri perhatiannya dalam diam. Walaupun hanya mengenakan dress labuh berwarna hitam, Zareen tetap cantik di mata Zack.
Iyalah, dah suka. Kalau Zareen guna kain guni buat baju pun, Zack akan tetap kata cantik.
Hingga hari ini, Zack kurang pasti kenapa dia tertarik dengan Zareen. Dia tak kisah kalau Zareen lebih tua. Zack tak kisah kalau Zareen lebih tinggi dari dia. Dia cuma mengharapkan peluang untuk mengenali Zareen lebih rapat dan sekaligus mencuri hati si gadis pujaan.
Tapi, si gadis pujaan sudah berpunya. Itu yang menyebabkan Zack berfikir banyak kali untuk meneruskan niatnya.
Zareen sedang berbual-bual dengan Jessy. Sesekali tertawa. Zack menghela nafas dan menghembuskan perlahan.
Otak Zack memberi amaran untuk tidak memandang lagi. Jangan cari pasal, Zareen sudah ada teman lelaki. Tetapi hati dan mata Zack tidak mahu mendengar nasihat. Zareen tetap direnung lama.
“Hey you alls.”
Tiba-tiba saja, pandangan Zack ditutupi oleh seekor ‘ayam’ berbulu putih. Last edited by Nicki_Meow on 25-12-2013 08:27 PM
Zack memerhatikan 'ayam' itu dari atas ke bawah. Amin pula ternganga. Zack mengambil masa beberapa saat untuk menyedari yang itu adalah Jay. Zack ketawa.
“Sampai ternganga. Mesti you alls tergugat tengok mak kan?” Kata Jay.
“Haah. Tergugat sangatttt.” Jawab Amin sambil membuat aksi tangan di bahu, mata ke atas.
“Ala…you alls saja dengki.” Kata Jay.
“Zack, vogue tak mak?” Jay menujukan soalan kepada Zack pula. Zack memerhatikan Jay sekali lagi.
Jay memakai rambut palsu berwarna perak panjang hingga ke pinggang. Bajunya pula adalah dress paras lutut tanpa lengan, juga berwarna perak. Ada hiasan bulu-bulu pula macam bulu ayam. Jay turut memakai sarung tangan panjang ke lengan berwana putih. Sepasang kasut but paras lutut turut dikenakan sebagai pelengkap gaya.
Dah macam ayam serama.
Solekan Jay pula, laksana Permaisuri Salju. Pucat semacam. Siap ada petir di sebelah kanan pipinya.
“Zack…cantik tak?” Soal Jay lagi.
“Owwhhh….cantiikkkk sangat, nyah!” Puji Zack, meniru gaya Jay. Sesiapa yang mendengar, pasti tahu yang Zack hanya memerli. Tapi, Jay seolah-olah tidak perasan. Atau mungkin saja, dia tidak mengambil kisah. Janji, dapat pujian.
“Hari ni, mak jadi Lady Gaga you. Mesti mak menang besar punya…” Balas Jay sambil ketawa manja.
Amin sudah gelak terbahak-bahak.
“Hei..kau diam Amin. Malam ni, mak lawan band you alls tau. Mak all out malam ni. Gerenti mak menang punyalah. Dapat sepuluh ribu…campur lagi tiga ribu. Awwhhh….mak suka. Mak suka.” Jay bertepuk tangan.
“Isk. Geli-geleman pulak aku.” Amin berkata perlahan kepada Zack.
“Layankan je…” Balas Zack sambil tersengih.
“Mak pergi dulu, nyah.” Kata Jay sambil membuat posing maut yang agak kurang sopan di hadapan Amin dan Zack sebelum berlalu.
Zack menggelengkan kepala sambil ketawa apabila Amin pura-pura muntah.
Lima minit kemudian, kedengaran bunyi paluan kompang menandakan tetamu jemputan telah datang. Pemilik Hotel Mayang Sari, Tan Sri Yusuf dan isteri, Puan Sri Haryatie telah hadir bersama-sama dengan beberapa lagi rakan kongsi dari YUSHAR Group of Corporation.
Ini bermakna, majlis akan bermula bila-bila masa dari sekarang.
“Jom masuk.” Ajak Amin. Zack mengangguk.
***
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Tan Sri Yusuf. Kemudian, Jessy dan Alfian - Training Manager dari bahagian Sumber Manusia menerangkan aturcara majlis pada malam ini.
Lucky draw dan MS Got Talent adalah acara yang ditunggu-tunggu kerana dua acara ini menawarkan hadiah yang lumayan.
Kumpulan Bolly Bolly Dance telah hampir separuh membuat persembahan. Nampaknya mereka telah menukar strategi. Daripada mempersembahkan tarian Bollywood, mereka menukar ke tarian Kpop. Mungkin kerana mereka sedar, Kpop sedang musim sekarang ini.
Zack berdiri sambil bersandar di dinding, jauh dari perserta yang lain. Sengaja dia mengasingkan diri, mencari sedikit ruang untuk menenangkan jiwa. Tangannya pantas membuka plastik pembalut Mentos perisa pudina lantas isinya dimasukkan ke dalam mulut.
Zack pun kurang pasti, sudah berapa banyak Mentos perisa pudina yang telah dimakan. Zack hanya mahu menghilangkan rasa gian untuk merokok yang semakin menggila ketika ini. Ditambah pula dengan rasa gugup untuk membuat persembahan sebentar lagi.
Ya, dia sudah biasa membuat persembahan. Masalahnya sekarang, ini bukan persembahan biasa. Ini adalah pertandingan. Biarpun hanya untuk suka-suka, biarpun hanya sebagai bidan terjun, Zack tetap merasa gugup. Dia memang tak sukakan suasana seperti ini. Dia mudah gementar bila berhadapan dengan situasi sebegini.
Tak kisahlah pertandingan apa. Besar atau kecil. Sama ada pertandingan azan semasa darjah lima, ataupun ketika mewakili sekolah dalam acara bolasepak ketika tingkatan dua dan tiga. Pertandingan kuiz bahasa Melayu atau apa saja pertandingan yang dia pernah masuk sama ada secara suka rela atau suka paksa, perasaan Zack tetap sama. Gementar.
Sebab itu dia tidak pernah berniat untuk masuk talent show ini dari awal lagi. Dia tidak suka perasaan ini.
Perasaan yang sama ketika mahu bersunat, ketika ingin mengambil keputusan peperiksaan, ketika pertama kali mahu meluahkan perasaan kepada perempuan. Beginilah rasanya.
Teruk betul.
Tapi…nak buat macam mana kan? Tak ada orang yang sempurna dalam dunia ni.
Muzik telah tamat. Terdengar tepukan gemuruh dari para penonton.
Kumpulan Bolly Bolly Dance kembali ke belakang pentas sambil bersorak-sorai. Yakin menang nampaknya.
“Zack.” Qayyum memanggil dari belakang. Zack menoleh. Mereka akan membuat persembahan bila-bila masa dari sekarang.
Qayyum menepuk bahunya, seolah-olah memberi semangat. Zack menarik nafas. Dia tak tahu, ilmu apa yang Qayyum pakai sehingga kelihatan tenang saja. Mungkin hadiah sepuluh ribu itu yang menjadi penguat semangat. Mungkin Qayyum memang jenis yang sentiasa berfikiran positif orangnya.
Zack sekali lagi menarik nafas panjang. Entah apalah yang nak digugupkan sangat? Buat show saja pun. Bukan tak pernah buat sebelum ni.
“Let’s welcome, Taufan Band!” Suara Jessy yang menjadi pengacara majlis, kedengaran dari luar. Tepukan juga kedengaran dari luar.
“Zack, jalanlah.” Amin menegur apabila melihat Zack terdiam kaku. Zack mengangkat muka. Langkahnya di atur ke atas pentas mengikuti yang lain-lain. Last edited by Nicki_Meow on 25-12-2013 05:32 AM
Zack mengambil tempatnya di hadapan pentas sambil memeriksa microphone. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya bahawa ini cuma persembahan biasa, bukan pertandingan. Tidak banyak sedikit, membantu menghilangkan rasa gugup dalam diri.
“Rilek ah..Zack. Buat macam biasa.” Amin berkata apabila berdiri di sebelah Zack. Dia tahu masalah Zack yang mudah gugup ini.
Zack mengangguk.
"Testing."
Zack memetik gitarnya dua tiga kali. Keyakinan diri mula datang. Rasa gugupnya hilang sedikit demi.
“Enjoy this song.” Zack berkata. Sepatutnya dia memperkenalkan diri dan ahli kumpulan Taufan Band seorang demi seorang tetapi Zack terlupa hendak berbuat begitu.
Apa-apa sajalah. Bukan dapat markah tambahan pun.
Zack menarik nafas panjang sambil memandang ke arah Amin, memberikan isyarat.
Zack mula memetik gitar.
Bila aku jatuh cinta
Kan ku sebut namamu
Kan ku tulis lagumu
Akan ku katakan kata-kata indah
Hanya untukmu
Habis saja lagu yang dipersembahkan, Zack membuka mata.
Suasana menjadi kelam dan sunyi. Tiada penonton yang bersorakan atau bertepuk tangan. Tempat ini kosong. Tiada sesiapa.
Ada satu cahaya dari atas yang menyuluh ke bawah. Cahaya itu menyuluh ke arah seseorang.
Ke arah Zareen. Hanya Zareen saja yang berada di sini.
'Lady Gaga' adalah peserta yang terakhir membuat persembahan ketika ini. Ramai yang bersorak. Tak tahulah bersorak sebab terhibur dengan persembahan 'Lady Gaga' itu ataupun sebab saja mahu mengejek Jay.
Zack tersengih. Gigih sungguh Jay. Benar-benar mahu memenangi tiga belas ribu ringgit malam ini.
Iyalah. Nama pun masuk pertandingan. Mestilah mahu menang. Dalam diam, Zack tak berapa yakin yang Taufan Band akan menang. Persembahan mereka kurang kreatif berbanding dengan peserta-peserta yang lain. Berlatih pun boleh dikatakan pada minit-minit terakhir. Maklumlah, dia bidan terjun.
Harap-harapnya...menanglah. Tapi, kalau tak menang pun tak apalah. Rezeki masing-masing.
Zack meneguk air Coke.
“Awak cakap, awak tak nak masuk talent show ni?”
Zack nyaris tersedak Coke ketika mendengar teguran itu. Selepas menarik nafas, Zack menoleh ke kanan, ke arah empunya suara.
Zareen sudah duduk di sebelahnya.
Zack cuba berlagak cool walaupun hatinya mula bermain drum ketika ini. Senyuman manis Zareen dibalas.
“Nizam accident. Sebab dah last minute, dia orang mintak tolong saya gantikan Nizam. Kawan-kawan punya pasal, tak sampai hati pulak saya nak tolak.” Jawab Zack.
“Tengok awak tadi, macam dah biasa je buat show...” Komen Zareen.
“Bolehlah Cik Reen. Nak kata selalu sangat pun, tidaklah. Kalau free, saya join kawan-kawan main band. Selalunya, hari weekend.” Terang Zack.
"No wonder..." Balas Zareen.
"Tapi, kat atas tadi...saya nervous jugak sebenarnya. Saya memang tak suka masuk apa-apa contest. Senang nervous. Kalau show biasa-biasa, tak apa." Sambung Zack
Zareen mengangguk dan kemudian terdiam. Mungkin kehabisan modal unuk berbual.
Terdengar sorakan dan tepukan dari penonton. Jay telah selesai membuat persembahan. Jessy mengambil alih pentas utama, lalu membuat beberapa pengumuman. Cabutan bertuah untuk pusingan terakhir akan dilakukan sekarang. Kemudian, keputusan pemenang The Most Celebrity-Me dan MS Got Talents akan diumumkan.
Zack tidak memberi perhatian kepada pengumuman itu. Dia menjeling Zareen dengan ekor mata. Secara tiba-tiba, nafas Zack menjadi kurang teratur.
“Cik Reen…” Panggil Zack.
“Iya?”
“Cik Reen nampak cantik malam ni…” Terkeluar juga ayat yang telah disusun dalam kepala sejak tadi.
Zareen tersenyum mendengar kata-kata Zack. Zack pula, menjadi seperti tak keruan. Harapnya, Zareen tak salah sangka dengan pujiannya tadi. Pujian yang diberi, memang ikhlas dari hati. Bukan memuji semata-mata nak mengurat Tuan Puteri.
Sebenarnya, memang niat nak mengurat tu ada. Berharap benar agar Tuan Puteri terjatuh hati pada Sang Arjuna. Lupakan terus Tuan Putera.
Teruk juga penyakit angaunya. Tiba-tiba saja nak bersastera. Zack mengurut tengkuknya perlahan.
“Cantik untuk malam ni aje ke? Sebelum ni, tak cantik?” Soal Zareen, bergurau. Zack tersenyum.
“Hari-hari pun, Cik Reen nampak cantik. Cuma malam ni, lebih cantik. Saya suka tengok Cik Reen malam ni…” Tutur Zack lagi. Zack pun tak tahu, dari mana datang keberaniannya untuk mengeluarkan ayat Romeo begitu. Lancar pula tu. Selalunya, tergagap-gagap. Last edited by Nicki_Meow on 25-12-2013 08:45 PM
Zareen menundukkan muka, tersenyum sambil menggelengkan kepala. Zack menggigit bibir. Rasa serba salah pula mengeluarkan ayat begitu. Tapi tak apa. Ini namanya...test market.
Harap-harapnya, adalah market.
“Thanks for the compliment. Awak pun, nampak handsome malam ni…” Balas Zareen.
“Isk..iya ke?” Zack pula yang tersipu-sipu. “Biasa je…”
Aku nak ngurat dia ke, dia nak mengurat aku ni? Zack senyum sumbing.
“Kalau Cik Reen nak, hari-hari pun saya boleh nyanyi untuk Cik Reen.” Ayat Romeo terkeluar lagi.
Zareen tergelak lagi. Zack senyum.
“Zack...Zack. Bagus awak punya pick-up line. Makes me wonder, betul ke awak tak ada girlfriend?” Zareen menembak soalan dengan selamba.
"Errr...." Kening Zack terangkat. Rasa terperangkap. Pandai Zareen mengambil kesempatan untuk bertanya.
“Betul.” Jawab Zack.
“Kenapa?”
“Kenapa apa?” Soal Zack kembali.
“Kenapa awak tak ada girlfriend lagi?”
“Belum jumpa yang sesuai.”
Zareen senyum.
“Sebenarnya dah jumpa. Tapi, belum ada masa yang sesuai nak luahkan perasaan.” Sambung Zack sambil senyum.
"Ah...okay." Balas Zareen.
“Saya kenal ke, orangnya?” Zareen bertanya lagi membuatkan Zack mula terasa sedikit pelik dengan perbualan ini. Kenapa Zareen tiba-tiba saja berminat untuk mengambil tahu?
“Kenal…kot...” Jawab Zack, sengaja bermain teka-teki.
“Siapa?” Zareen masih lagi menyoal.
"Kenapa Cik Reen nak tahu?"
"Saja..."
Zack terdiam.
Zack merenung Zareen agak lama. Zareen turut membalas renungannya. Sekali lagi, mereka bertentangan mata. Entah kenapa, Zack terasa yang Zareen sengaja membuat provokasi dengan bersikap begini. Tapi, untuk apa?
Mungkin, dia yang terlebih fikir. Zareen sekadar mahu bertanya tanpa bermaksud apa-apa.
Atau, adakah Zareen turut merasa apa yang dia rasa?
Tapi, bukankah Zareen sudah berteman lelaki?
Ah, pedulikan.
Tiba-tiba saja, Zack terasa ada semangat baru dalam dirinya. Zack tak peduli kalau Zareen sudah ada teman lelaki. Zack tak peduli kalau dituduh merampas kekasih orang lain. Yang penting, best man win!
"Okay...kalau Cik Reen nak tahu..." Zack menarik nafas sebelum menyambung kata.
“Saya sebenarnya…” Zack terasa jantungnya berdetak laju. Betul ke apa yang dia nak buat sekarang ni? Betul ke dia mahu meluahkan perasaan? Kalau Zareen reject, macam mana? Malu nanti.
Zareen kekal tersenyum walaupun dia kelihatannya seperti tak keruan menantikan jawapan Zack.
“Saya dah jatuh hati pada…” Last edited by Nicki_Meow on 25-12-2013 09:09 PM