Edited by washere2 at 22-7-2017 10:47 PM
Lupa kisah silam, Lofa cari kebahagiaan diriOleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
[email protected]
DUTA PJHomes, Neelofa semasa beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis Sambutan Hari Raya bertemakan "Jom Raya Di Putrajaya" yang dianjurkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH) di Menara PJH, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PUTRAJAYA: Aktres dan pengacara popular, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, enggan lagi menoleh pada kehidupan lalu, sebaliknya ingin berusaha mencari kebahagiaan diri.
Akui wanita yang turut bergelar usahawan berjaya itu, beliau juga tidak lagi mahu memikirkan apa tanggapan dan kata-kata netizen terhadap dirinya.
"Apa yang saya inginkan sekarang adalah kebahagiaan diri, dan soal lain saya tolak ke tepi.
"Dulu, saya memang mencari apa yang sangat diinginkan dalam hidup. Namun, tiada maknanya juga apabila berduit, mempunyai populariti dan hidup dalam limpahan kemewahan jika hati tidak bahagia.
"Saya belajar mengenal diri, apa yang membuatkan saya suka dan bersedih. Hari ini, datang apa saja dugaan, saya tetap gembira dengan hidup saya," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Putrajaya Homes di sini, hari ini.
Katanya, sebagai manusia biasa, beliau juga ada kala rimas apabila kehidupan peribadinya tidak sudah-sudah menjadi sorotan ramai, terutama kisahnya dengan aktor, Fattah Amin.
Bagaimanapun, pengacara Meletop yang mesra disapa Lofa itu berkata, tiada guna untuk beliau memikirkan perkara berkenaan lagi kerana dirinya sudah pun membuka buku baharu.
"Saya lebih bahagia memikirkan soal kerja. Selain sibuk dengan perniagaan tudung, saya juga teruja menyertai kursus United Nation Youth Summer Camp di bawah Program Belia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 5 hingga 16 Ogos ini di New York, Amerika Syarikat.
"Selain New York, program ini membawa saya ke New Jersey dan Washington, selama lebih dua minggu. Ia mengumpulkan golongan belia yang berusia 28 tahun ke bawah.
"Saya akan menimba ilmu dan pengalaman baharu, jadi saya mahu berkongsi dan memberi inspirasi kepada belia Malaysia," katanya.
Menurut Neelofa, sebelum berlepas ke New York, beliau terlebih dulu akan menghadiri Folks Asia Summit di Manila, Filipina, sebagai panel untuk berkongsi pandangannya dalam topik berkaitan wanita yang lebih berinspirasi dan bekerjaya hebat.
Selain itu, Neelofa juga akan berlepas ke Los Angeles bagi menjayakan sesi penggambaran sebuah jenama antarabangsa, tidak lama lagi. http://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2017/07/304707/lupa-kisah-silam-lofa-cari-kebahagiaan-diri
|