PETALING JAYA – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Khamis ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan ke atas pasangan suami isteri itu membabitkan kerugian RM43.9 juta pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
Katanya, pasangan tersebut ditahan tengah hari tadi, namun diberikan jaminan oleh SPRM untuk hadir ke mahkamah pada Khamis ini.
Pada 28 November lalu, SPRM memaklumkan pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan pasangan suami isteri itu dalam kes kerugian pelaburan berkenaan.
Kertas siasatan diserahkan kepada Bahagian Perundangan SPRM untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.
Sebelum ini, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi agak mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan sejak 2018 sehingga 2023.
SPRM dilaporkan membuat rampasan kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB untuk membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/03/vivy-yusof-fadza-bakal-didakwa-di-mahkamah-pada-khamis/