|
Berita Semasa [Pelbagai] Luar Negara & Ucap Selamat (10 Post Sehari)
[Copy link]
|
|
Russia gagalkan serangan Ukraine, tembak jatuh 17 dron

MOSCOW: Tentera Russia menggagalkan serangan Ukraine dengan menembak jatuh sejumlah dron di Laut Hitam dan Semenanjung Crimea.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan.
“Pada pagi tadi, cubaan rejim Kyiv untuk melakukan serangan menggunakan 17 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) ke atas bangunan di wilayah Russia berjaya dihentikan.
“Pasukan pertahanan anti-pesawat memusnahkan sembilan dron milik Ukraine dan lapan lagi dipintas di Laut Hitam dan wilayah Crimea,” jelas kenyataan itu.
Moscow dan Kyiv melancarkan serangan dron antara satu sama lain selama beberapa bulan, dengan kedua-dua pihak biasanya mendakwa berjaya melumpuhkan atau menembak jatuh puluhan UAV setiap minggu.
Sementara itu, Gabenor Sevastopol, Mikhail Razvozhayev mengesahkan serpihan yang jatuh mencederakan seorang lelaki dan mangsa kini berada dalam keadaan serius.
Katanya, tiada kerosakan serius lain yang dilaporkan. – AFP
https://www.utusan.com.my/luar-n ... mbak-jatuh-17-dron/ |
|
|
|
|
|
|
|
Model berang wajah diubah

WAJAH Shereen Wu diubah suai sehingga dia kelihatan seolah-olah wanita berkulit putih. - AGENSI
NEW YORK: Seorang model berketurunan Amerika-Taiwan menyuarakan kemarahan terhadap tindakan seorang pereka fesyen terkenal yang memuat naik gambar dirinya diubah suai melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) hingga menjadikan wajahnya kelihatan lebih cerah.
Lapor The Guardian, Shereen Wu, 21, mendakwa Michael Costello memuat naik gambar pentas peragaan dari pertunjukan fesyen Los Angeles di laman Instagram.
Gambar itu memaparkan Shereen yang berpakaian gaun hitam sedang berjalan di pentas peragaan di pertunjukan fesyen tersebut.
Namun, wajah Shereen diubah suai sehingga dia kelihatan seolah-olah wanita berkulit putih.
“Saya menjangkakan akan dibayar selepas membuat penampilan di pentas itu.
“Tetapi saya rasa tidak mendapat pendedahan itu kerana ia merupakan gambar yang diubah suai.
“Wajah saya sudah diubah, ia tidak dilakukan oleh jurusolek, pendandan rambut atau jurugambar. Itulah yang membuatkan saya sangat berang,” katanya.
Insiden itu yang dimuat naik di aplikasi TikTok ditonton sebanyak 1.8 juta kali.
Sementara itu, Costello menerusi kenyataan dimuat naik di Instagram menafikan dirinya mengubah suai gambar model berkenaan.
Beliau mendakwa gambar itu diubah oleh peminat dan dihantar kepadanya oleh seorang sumber namun dia bertindak berkongsi imej terbabit di laman media sosial.
“Saya tidak fikir sebelum berkongsi semula gambar itu di Instagram kerana ketika itu emosi saya tidak menentu.
“Saya hanya berkongsi semula semua hantaran dan gambar,” jelas kenyataan itu.
Dilaporkan, Costello pernah bekerja dengan beberapa selebriti terkenal termasuk Beyoncé, Jennifer Lopez dan Celine Dion.
https://www.utusan.com.my/luar-n ... erang-wajah-diubah/ |
|
|
|
|
|
|
|
Caster tak malu dilihat seperti lelaki

CASTER Semenya. FOTO AFP
London: Juara berganda Olimpik, Caster Semenya berkata dia tidak akan berasa malu kerana dilihat berbeza ketika dirinya sedang fokus kepada pertikaian panjang bersama pihak berkuasa olahraga.
Pelari Afrika Selatan itu, yang diklasifikasikan sebagai mempunyai 'perbezaan dalam perkembangan seksual (DSD)' tetapi sentiasa dianggap sah sebagai wanita, enggan mengambil dadah untuk mengurangkan tahap testosteronnya sejak badan induk atlet memperkenalkan peraturan itu pada 2018.
Akibatnya, dia dihalang daripada bertanding menerusi acara kegemarannya iaitu 800m.
Atlet berusia 32 tahun itu memenangi pertarungan undang-undang yang panjang pada Julai lalu menentang kerajaan Switzerland di mahkamah antarabangsa berpangkalan di Strasbourg, yang kemudian memutuskan dia menjadi mangsa diskriminasi.
Tetapi pihak berkuasa Switzerland, yang disokong oleh Olahraga Dunia, mengumumkan hasrat mereka untuk membawa perkara itu ke Dewan Besar Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR).
Caster dalam temu bual dengan BBC berkata, dia kini lebih memberi tumpuan kepada 'memenangi pertempuran melawan pihak berkuasa' berbanding mahu bertanding, dengan Sukan Olimpik Paris tahun depan tiada dalam perancangannya.
"Bagi saya, saya percaya jika anda seorang wanita, anda seorang wanita, tidak kira perbezaan yang anda miliki.
"Saya mahu menjalani hidup dan berjuang untuk apa yang saya fikirkan dan percaya pada diri sendiri. Saya tahu bahawa saya seorang wanita dan apa sahaja yang akan berlaku selepas ini saya akan menerimanya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ihat-seperti-lelaki |
|
|
|
|
|
|
|
Hizbullah tekad tindak balas 'berganda' ke atas Israel

SERANGAN roket pejuang Hizbullah di selatan Lubnan yang menyasarkan Kiryat Shmona di Utara Israel. FOTO AFP
Beirut: Seorang ahli parlimen Hizbullah pada Selasa menegaskan pejuang kumpulan itu akan memberi tindak balas 'berganda' terhadap serangan rejim zionis Israel yang mengorbankan tiga kanak-kanak dan nenek mereka di selatan Lubnan.
Kenyataan itu menggambarkan keadaan tidak menentu di sempadan Israel-Lubnan apabila pertempuran antara tentera zionis dan pejuang Hizbullah yang disokong Iran mencetuskan kebimbangan perang serantau lebih luas ketika Israel menyerang Semenanjung Gaza.
"Penentangan (terhadap rejim zionis) akan bertindak balas dua kali ganda kepada sebarang pencerobohan yang menyasarkan orang awam," kata Ali Fayyad pada majlis pengebumian empat warga Lubnan yang terbunuh dalam serangan itu pada Ahad.
Pihak berkuasa Lubnan berkata, serangan tentera zionis itu menyasarkan kereta yang dinaiki keluarga itu pada Ahad.
Tentera Israel pula berkata, pasukannya bertembung dengan kenderaan di Lubnan yang dikenal pasti sebagai pengangkutan disyaki untuk musuh mereka dan sedang meneliti laporan terdapat orang awam di dalam kenderaan itu.
Ketika majlis pengebumian, ahli keluarga meratapi kehilangan empat korban bersaudara membabitkan kanak-kanak berusia antara 10 hingga 14 tahun itu dan menyatakan mereka syahid.
Pertempuran di sempadan Lubnan-Israel sudah berlanjutan sejak 2006 dan kian tegang apabila Israel menyerang sekutu Hizbullah, pejuang Hamas di Gaza.
Sejak 7 Oktober lalu, seramai 1,400 warga Israel terbunuh, manakala lebih 10,000 rakyat Palestin terkorban akibat konflik yang berlanjutan selama sebulan.
Israel pada Isnin berkata, pihaknya menyerang Hizbullah sebagai tindak balas kepada serangan roket ke bandar utara Israel.
Pertempuran di sempadan Lubnan mengorbankan lebih 60 pejuang Hizbullah dan 10 orang awam, kata pegawai keselamatan Lubnan. Sekurang-kurangnya tujuh tentera Israel dan seorang awam terbunuh.
https://www.hmetro.com.my/global ... anda-ke-atas-israel |
|
|
|
|
|
|
|
Mejar maut terima bom sebagai hadiah hari jadi

Chastyakov menerima bom tangan sebagai hadiah hari lahir daripada rakan-rakannya. – Media Ukraine
KIEV – Seorang pembantu rapat ketua angkatan tentera Ukraine terbunuh selepas sebutir bom tangan yang diterima sebagai hadiah hari jadi meletup ketika dibuka, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Mejar Hennadiy Chastyakov, 39, ketika kejadian pulang ke rumahnya sambil membawa beberapa bungkusan hadiah daripada rakan-rakannya. Dia kemudian membuka kesemua hadiah bersama anak lelakinya yang berusia 13 tahun.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Ihor Klymenko, anak Chastyakov memusing picu bom tangan tersebut sebelum ia dirampas oleh askar berkenaan.
“Apabila dia merampas bom tangan itu daripada tangan anaknya, ia menyebabkan letupan berlaku,” kata Klymenko.
Anak lelaki Chastyakov mengalami cedera parah, manakala lelaki itu terbunuh dalam insiden tersebut.
Klymenko meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menanti hasil siasatan rasmi pihak berkuasa bagi kejadian tersebut. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... i-hadiah-hari-jadi/ |
|
|
|
|
|
|
|
Pesohor lapah, masak aligator

Xiao He memuat naik video cara-cara melapah dan mamasak aligator di rumah. – Douyin
BEIJING – Seorang pesohor media sosial di China menerima kecaman ramai selepas memuat naik video kontroversi memaparkan dia membunuh, membuang tulang dan memasak seekor aligator seberat 90 kilogram, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Chu Niang Xiao He yang mempunyai lebih 3.5 juta pengikut di platform Douyin baru-baru ini memuat naik video demonstrasi masakan aligator di rumahnya.
Klip video tersebut pada awalnya menunjukkan Xiao He membasuh reptilia itu dalam bilik mandi menggunakan berus besar sambil mulutnya diikat bagi mengelakkan ia menggigit.
Video tersebut kemudian bertukar ngeri apabila Xiao He membunuh haiwan berkenaan sebelum menyiat kulit, mengeluarkan isi perut dan membuang tulang. Dia kemudian memasak daging haiwan itu dengan pelbagai cara.
Selepas menerima kecaman ramai, Xiao He mempertahankan tindakannya dengan menjelaskan bahawa aligator tersebut dibiakkan untuk menghasilkan produk kulit. Ini bermaksud, reptilia itu sememangnya akan dibunuh untuk mengambil kulitnya.
Menurut Undang-Undang Perlindungan Hidupan Liar China, memasak daging buaya adalah diharamkan tanpa permit sah pihak berkuasa. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/11/07/pesohor-lapah-masak-aligator/ |
|
|
|
|
|
|
|
Good afternoon
 |
|
|
|
|
|
|
|
Pengarah hospital disiasat jual sijil kelahiran
November 8, 2023 @ 11:12am

Foto hiasan
HONG KONG: Pengarah sebuah hospital di wilayah Hubei, China disiasat kerana menjual sijil kelahiran dengan jabatan obstetrik dan ginekologi hospital itu terpaksa menangguhkan operasi, lapor media kerajaan hari ini.
Kes itu menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial China yang mendakwa sijil kelahiran itu mungkin digunakan untuk mendaftarkan kanak-kanak yang diculik sekali gus menghalang mereka daripada ditemui, lapor Global Times.
Reaksi lain yang diterima adalah berkemungkinan sijil lahir itu digunakan sebagai pilihan untuk mendaftarkan anak tumpang kerana kegiatan ibu tumpang adalah tidak sah di China.
Kegiatan yang dilakukan oleh pengarah itu membolehkannya menerima kira-kira 60,000 yuan (RM38,520) bagi setiap sijil.
Bagaimanapun sehingga kini tidak dapat dikenal pasti siapa pengarah berkenaan.
Tinjauan di laman sesawang rasmi hospital itu mendapati ia sedang diselenggara dan tiada nombor yang boleh dihubungi dalam senarai yang dipaparkan dalam akaun rasmi WeChat.
Kelmarin, Suruhanjaya Kesihatan Xiangyang, menghantar pasukan khas ke Hospital Jianqiao selepas dimaklumkan mengenai kes itu.
Kemas kini lanjut akan diberikan berdasarkan hasil siasatan penuh, katanya.
Sijil kelahiran diperlukan di China bagi mendapatkan pendaftaran isi rumah ketika pemberian vaksinasi, pendaftaran insurans perubatan dan permohonan untuk kad keselamatan sosial.
Kes itu berlaku apabila kadar kelahiran jatuh di China ke tahap terendah sejak rekod bermula pada 1949 iaitu hanya 9.56 juta kelahiran tahun lalu. - REUTERS
Kredit: Berita Harian |
|
|
|
|
|
|
|
Lebih 1.6 juta kanak-kanak bakal alami kurang zat makanan tahun depan
November 8, 2023 @ 12:37pm

Wanita Sudan menunggu di sempadan Chad berharap ahli keluarga mereka berjaya melarikan diri. - Foto REUTERS
GENEVA: Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran lebih 1.6 juta kanak-kanak dijangka mengalami kekurangan zat makanan pada 2024 dengan kanak-kanak di Sudan Selatan akan menjadi yang paling teruk terjejas.
Memetik data daripada Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), WFP berkata lebih 1.6 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun dijangka mengalami kekurangan zat makanan tahun depan.
"Kawasan yang dilanda banjir menghadapi kekurangan zat makanan yang paling teruk akibat penularan penyakit bawaan air dan keadaan sesak, diburukkan lagi dengan akses terhad kepada makanan dan mata pencarian," katanya dalam satu kenyataan yang dilaporkan Anadolu.
Berikutan itu, bahagian Sudan Selatan yang dilanda banjir "dijangka menghadapi tahap kekurangan zat makanan yang melampau" pada separuh pertama 2024, katanya.
"Inilah realiti hidup di barisan hadapan krisis iklim," kata Pengarah Negara WFP di Sudan Selatan, Mary-Ellen McGroarty.
"Kami melihat peningkatan yang sangat membimbangkan dalam kekurangan zat makanan, akibat langsung daripada hidup dalam keadaan sesak dan berair.
"Penyebaran penyakit bawaan air merungkai sebarang kerja yang dilakukan agensi kemanusiaan dalam mencegah dan merawat kekurangan zat makanan dengan kanak-kanak kecil paling teruk mengalami kesan," katanya.
Daerah Rubkona di Sudan, katanya diramalkan berada dalam IPC Malnutrisi Akut Fasa 5 menjelang April 2024 buat kali pertama, mencecah paras tertinggi.
Banjir itu berpunca daripada limpahan lembangan Nil, terutamanya Tasik Victoria, yang menerima hujan melebihi purata pada 2023, bermakna banjir tidak mungkin reda, menurut WFP. - AGENSI
Kredit: Berita Harian |
|
|
|
|
|
|
|
TNI kerah lebih 440,000 tentera hadapi pilihan raya umum 2024
November 8, 2023 @ 10:36am

Foto fail REUTERS
AKARTA: Seramai 446,516 anggota tentera darat, laut dan udara Tentera Nasional Indonesia (TNI) akan dikerah bagi membantu memastikan keamanan dan kelancaran Pilihan Raya Umum 2024.
Panglima Angkatan Bersenjata Indonesia (TNI), Laksamana Yudo Margono, berkata anggota TNI akan membantu Polis Negara dalam memastikan pilihan raya berjalan aman.
"Bagi menyokong operasi keselamatan dalam pelaksanaan pilihan raya, TNI akan menempatkan 446,516 anggota," kata Margono pada sesi pendengaran bersama Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di sini semalam.
Anggota tentera akan dibahagikan kepada semua peringkat pilihan raya yang telah disediakan dan dirancang Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).
Anggota yang bersiap sedia untuk membantu pilihan raya akan ditempatkan di seluruh Indonesia, termasuk Komando Wilayah Tentera (Kodam), Komando Kawasan Kecil Tentera (Korem), Komando Daerah Tentera (Kodim), Komando Armada (Koarmada), dan Komando Operasi Udara (Koopsud). ).
"Dan juga (kakitangan) di pangkalan Tentera Laut dan Tentera Udara," kata Margono memetik laporan ANTARA.
Selain mengerahkan anggota, TNI juga akan menyediakan sistem senjata utamanya (Alutsista) untuk membantu mengamankan pilihan raya, katanya sambil menambah bilangan Alutsista akan disesuaikan dengan keperluan pelan keselamatan pilihan raya.
"Kami akan menyediakan sistem persenjataan sedia ada untuk menyokong logistik pilihan raya. Kami biasanya terbabit dalam pengagihan (logistik) ke pulau-pulau luar pada setiap pilihan raya," katanya.
Beliau berkata bahawa Tentera Indonesia memperuntukkan bajet sebanyak Rp450 bilion (AS$28.7 juta atau RM133.81 juta) untuk memastikan pilihan raya tahun depan.
"TNI telah mengemukakan belanjawan luar jangka sebanyak Rp250 bilion (AS$15.9 juta atau RM74.13 juta) kepada Kementerian Pertahanan, yang akan digunakan untuk menangani kontingensi pada 2024," katanya.
Katanya, bajet kontingensi itu akan digunakan untuk beberapa operasi termasuk operasi pertahanan wilayah di Papua, operasi mencari dan menyelamat serta keselamatan individu kenamaan. - AGENSI
Kredit: Berita Harian |
|
|
|
|
|
|
|
Syarikat telekomunikasi utama Australia terganggu, jejas 10 juta pelanggan
November 8, 2023 @ 9:51am

Syarikat telekomunikasi Optus mengalami gangguan menjejaskan 10 juta pelanggan. - Foto AFP
SYDNEY: Gangguan terhadap syarikat telekomunikasi utama Australia hari ini mengakibatkan talian telefon dan sistem pembayaran terganggu di seluruh negara sehingga memberi kesan kepada jutaan pelanggannya.
Syarikat telekomunikasi Optus berkata, pihaknya giat memulihkan perkhidmatan internet mudah alih itu kepada 10 juta pelanggannya di seluruh Australia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kelly Bayer Rosmarin, berkata setakat ini tiada petunjuk bahawa gangguan itu disebabkan oleh serangan siber atau penggodam.
"Sistem kami sebenarnya sangat stabil. Kami menyediakan liputan hebat kepada pelanggan kami, ini adalah kejadian yang sangat jarang berlaku.
"Saya akan menjadi orang pertama akan maklumkan kepada pelanggan sekiranya sudah mempunyai lebih banyak maklumat mengenai punca utama gangguan berkenaan," katanya yang mengetahui gangguan itu berlaku pada jam 4.05 pagi waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia).
Isu itu masih dilaporkan secara meluas di Australia selepas tujuh jam ia berlaku.
Berikutan gangguan itu, puluhan hospital tidak dapat menerima panggilan telefon serta talian tetap pada rangkaian Optus juga tidak dapat membuat panggilan kecemasan.
Jurucakap syarikat Optus dalam satu kenyataan berkata pihak syarikat sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin dan turut memohon maaf kepada pelanggan.
Keadaan menjadi huru hara terutamanya di waktu puncak di Melbourne sehingga mengganggu perkhidmatan kereta api, walaupun tidak jelas sama ada ia dikaitkan dengan rangkaian Optus.
Menteri Komunikasi Australia, Michelle Rowland berkata gangguan Optus disebabkan oleh masalah dalaman dalam bahagian asas rangkaian syarikat.
Katanya, apa yang berlaku ini memberi kesan dan membuatkan pelanggannya kecewa, berikutan itu Optus harus bertindak balas dengan sewajarnya.
Dalam pada itu, Ramsay Health Care menerusi Facebooknya memaklumkan bahawa talian telefon di 73 hospital swasta dan unit pembedahan harian terputus dan nasib yang sama menimpa Hospital Swasta Westmead Sydney.
Syarikat lain yang melaporkan isu itu termasuk syarikat insurans kesihatan, Bupa, syarikat penerbangan Virgin Australia dan badan pemerhati kesihatan dan keselamatan WorkSafe.
Seorang penjaga berkata dia tidak dapat menghubungi ambulans untuk seorang pesakitnya dan terpaksa berlari keluar ke jalan untuk meminjam telefon daripada orang lain.
Gangguan berlaku lebih setahun selepas sembilan juta pelanggan Optus dicuri data peribadi mereka ketika serangan siber berkenaan. - AFP
Kredit: Berita Harian |
|
|
|
|
|
|
|
Pelakon Thailand Bakal Saman ‘Barber’, Terima Tujuh Jahitan Akibat Telinga Kanan Dipotong
November 8th, 2023

Seorang pelakon Thailand berhasrat untuk menyaman tukang gunting rambut di sebuah salun yang terletak di Bangkok kerana memotong bahagian telinga kanannya.
Tidak memberi tumpuan

Menerusi laporan Thaiger News, pelakon Natthapong “Oatmeal” Kanthathan, mendedahkan bahawa setiap pelakon di syarikatnya perlu memotong rambut di sebuah salun kerana ianya dimiliki oleh salah seorang pekerja di syarikat itu.
Menurut pelakon berusia 26 tahun itu dia menyedari bahawa tukang gunting tersebut kelihatan mengantuk dan tidak dapat menumpukan perhatian pada kerjanya.
Walaupun begitu, dia cuba bercakap dengannya dan menghidupkan muzik tetapi ia tidak membantu tukang gunting rambut tersebut.
Meskipun beberapa kali cuba memastikan tukang gunting rambut tersebut kekal terjaga, namun sebahagiaan telinga Oatmeal telah digunting. Disebabkan itu, Oatmeal terpaksa menerima tujuh jahitan selepas dibawa ke hospital.
Oatmeal berkata tukang gunting itu membayar kos rawatan sebanyak 15,375 baht (RM2,020) dan memberinya 1,500 baht (RM197.16) untuk insurans kesihatan, namun enggan untuk memberikan sebarang pampasan lanjut atas kerugiannya.
Disebabkan kecederaan di telinganya, Oatmeal telah kehilangan banyak pendapatan dan peluang kerjaya.
Kini, dia sedang berunding dengan peguam dan merancang untuk memfailkan saman terhadap tukang gunting dan pemilik salun itu.
Sumber: Thaiger News |
|
|
|
|
|
|
|
Gempa bumi 7.1 magnitud landa Laut Banda, Indonesia
November 8, 2023 @ 2:47pm

- Foto hiasan
JAKARTA: Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Laut Banda di Indonesia hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), tanpa laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan untuk gempa yang pada mulanya dilaporkan dalam skala 6.9 magnitud pada jam 11.53 pagi waktu tempatan (0453 GMT), menurut USGS.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) berkata gegaran yang dirasai di bandar Saumlaki di Kepulauan Tanimbar kepulauan itu adalah sederhana.
Menurut seorang penduduk Lambert Tatang, Saumlaki, 41, gempa bumi yang melanda daerah itu agak kuat namun penduduk tidak panik kerana sudah biasa mengalaminya.
"Lebih-lebih lagi selepas kami mengetahui tiada ancaman tsunami, jadi kehidupan sekarang adalah normal," katanya.
Indonesia sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.
Pada November tahun lalu, gempa bumi berskala 5.6 magnitud melanda wilayah Jawa Barat yang ramai penduduk di pulau utama negara itu.
Tindakan itu mengorbankan 602 orang. Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud melanda pantai Sumatera dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 di seluruh rantau ini, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia. - AFP
KREDIT: BERITA HARIAN |
|
|
|
|
|
|
|
Berlian biru unik dilelong AS$40 juta

GENEVA: Berlian biru yang sangat jarang ditemukan dijual dengan harga lebih AS$43.8 juta (RM204 juta) di lelongan Christie di Geneva, lapor agensi berita.
Berlian Bleu Royal 17.61 karat berbentuk buah pir yang dihias indah pada sebentuk cincin itu merupakan permata biru terang terbesar yang pernah muncul untuk dijual dalam sejarah lelongan Christie.
“Berlian daripada koleksi peribadi berusia 50 tahun ini adalah antara yang paling jarang ditemui,” kata rumah lelong itu dalam satu kenyataan.
“Hanya tiga berlian biru terang mewah melebihi 10 karat muncul untuk dijual dalam sejarah lelongan Christie selama 250 tahun.
“Kami sangat gembira. Ia adalah lot barang kemas paling mahal yang dijual sepanjang 2023 oleh mana-mana rumah lelongan di seluruh dunia,” kata Ketua Barang Kemas Christie di Geneva, Max Fawcett.
Pada Isnin lalu, Christie menjual jam tangan Rolex yang dipakai oleh pelakon AS, Marlon Brando dalam filem Apocalypse Now pada harga AS$5 juta (RM23.31 juta).
Christie turut menjalankan penjualan dalam talian rantai mutiara yang dipakai oleh pelakon lagenda, Audrey Hepburn dalam adegan akhir filem Roman Holiday dari 3 hingga 16 November.-AGENSI
https://www.utusan.com.my/luar-n ... dilelong-as40-juta/ |
|
|
|
|
|
|
|
Penyanyi kongsi video labah-labah besar melata di muka

JESSICA memuat naik video menggelikan memaparkan labah-labah besar melata di atas mukanya. - AGENSI
SYDNEY: Penyanyi kumpulan pop The Veronicas, Jessica Origliasso berkongsi rakaman video menggelikan yang memaparkan labah-labah besar melata di atas mukanya.
Wanita berusia 38 tahun itu baru-baru ini mengejutkan para peminatnya selepas membuat persembahan dengan meletakkan serangga itu di atas bibirnya dalam video muzik single terbaharu berjudul Perfect.
Lapor Daily Mail, Jessica memuat naik rakaman di sebalik tabir yang menunjukkan detik-detik pengendali hidupan liar meletakkan labah-labah bernama Hunter ke atas mukanya.
“Tidak pernah terfikir akan jatuh cinta dengan labah-labah. Sebelum ini, saya benar-benar mengalami arachnophobia.
“Semua menyangka ini adalah teknologi imej janaan komputer (CGI) dalam video muzik bagi single Perfect. Jadi, kami terpaksa berkongsi lebih banyak klip bersama Hunter,” kata penyanyi kelahiran Queensland itu di laman Instragramnya.
Jessica turut mengucapkan terima kasih kepada pengendali serangga itu keran a mengajarnya mengenai labah-labah sebelum berkongsi beberapa fakta menarik dengan peminatnya.
Penyanyi itu turut menggesa peminatnya untuk tidak membunuh serangga berkenaan sekiranya menjumpainya di rumah, sebaliknya meminta mereka menghalau secara baik.
https://www.utusan.com.my/luar-n ... sar-melata-di-muka/ |
|
|
|
|
|
|
|
Mereka melihat mangsa seperti 'ayam' untuk dilonggokkan

GAMBAR fail dirakam pada 23 Oktober 2019 menunjukkan pasukan forensik Polis British menjalankan siasatan terhadap penemuan 39 mayat dalam lori kontena di kawasan perindustrian di timur London. FOTO AFP
Paris: Pendakwa raya di Paris pada Selasa, meminta mahkamah menjatuhi hukuman penjara 10 tahun terhadap empat lelaki yang didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai membabitkan 39 imigran Vietnam pada 2019.
Mayat pendatang itu dengan dua daripadanya baru berusia 15 tahun ditemukan di dalam kontena sebuah treler di pelabuhan dekat London, Oktober tahun itu.
Imigran dari Vietnam itu dibawa menaiki treler terbabit dari utara Perancis ke Belgium sebelum menyeberangi Selat Inggeris ke Britain.
Sembilan belas defendan dipanggil dalam perbicaraan di Perancis itu, termasuk warga Vietnam, Perancis, Cina, Algeria dan Maghribi.
Pendakwa raya menyifatkan rangkaian pemerdagangan manusia yang didalangi 19 defendan yang dibicarakan kerana membantu kemasukan haram, pergerakan dan menyediakan kediaman warga asing di Perancis itu sebagai sebahagian kegiatan gengsterism.
Pendakwa raya menuntut sabitan atas konspirasi jenayah, kesalahan yang boleh dihukum penjara 10 tahun.
Hanya empat defendan yang dikenali sebagai Tony, Hoang, Long dan Thang masih dibicarakan atas tuduhan membunuh.
"Defendan mengutamakan keuntungan, membahayakan mangsa dengan melihat mereka (pendatang) seperti 'ayam' untuk dilonggokkan. Beberapa defendan secara sinis menggambarkan diri mereka sebagai mangsa sistem," kata pendakwa raya, Alexis Liberge dalam perbicaraan penggulungannya.
Pada 22 Oktober 2019, 31 lelaki dan lapan wanita berusia antara 15 dan 44 tahun, semuanya dari Vietnam, dimuatkan ke dalam treler di utara Perancis dan ditemukan mati pada keesokannya di kawasan perindustrian di timur London.
Bencana itu mencetuskan perdebatan mengenai pemerdagangan manusia dan kemasukan migran menjadi tumpuan.
Pendakwa raya menuntut sembilan hingga 10 tahun penjara, bersama denda dan larangan kekal di Perancis untuk Tony, Hoang, Long dan Thang.
Empat lagi defendan Vietnam, dua daripadanya tidak hadir pada perbicaraan dan dianggap sebagai orang buruan, akan dijatuhkan hukuman penjara sembilan hingga 10 tahun.
Bagi defendan lain, pendakwa raya memohon pembebasan atas tuduhan konspirasi jenayah, tetapi sabitan atas tuduhan membantu dan bersubahat kemasukan haram, pergerakan dan menyediakan kediaman warga asing di Perancis sebagai sebahagian daripada kumpulan kongsi gelap.
Perbicaraan akan berakhir pada Jumaat.
Dua dalang jenayah itu membabitkan warga Romania dan British sudah disabitkan bersalah pada perbicaraan 2021 di Britain dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 27 serta 20 tahun.
Suspek lain, pemandu dalam rangkaian itu, menerima hukuman penjara 12 hingga 20 tahun, manakala mahkamah Belgium menjatuhi hukuman 15 tahun penjara kepada seorang lelaki Vietnam kerana mengetuai sel tempatan kumpulan itu.
https://www.hmetro.com.my/global ... -untuk-dilonggokkan |
|
|
|
|
|
|
|
'Saya mahu kaki saya semula'
AFP

LAYAN ketika mendapatkan rawatan di Hospital Nasser, Khan Yunis. FOTO AFP
Gaza: "Saya mahu kaki saya semula. Saya tidak mahu kaki palsu," itu raungan Layan al-Baz, 13, kepada AFP di Hospital Nasser, Khan Yunis, di selatan Semenanjung Gaza.
Dia meraung dalam kesakitan apabila kesan ubat penahan sakit yang diterimanya hilang selepas kakinya dipotong, kecacatan dialami akibat serangan ke atas Gaza ketika rejim zionis Israel memerangi pejuang Hamas.
Hakikatnya, ketika perang memuncak ketika ini, hampir mustahil untuk mendapatkan anggota badan tiruan di Gaza.
Wilayah Palestin yang miskin itu lumpuh berikutan sekatan pimpinan rejim zionis selama bertahun-tahun berikutan konflik berpanjangan.
Lebih memburukkan keadaan, kini Gaza dikepung lebih dahsyat sejak perang Israel-Gaza meletus pada 7 Oktober lalu sehingga penduduknya menderita mengalami kekurangan makanan, air, bahan api yang teruk dan bekalan perubatan semakin terhad.
"Saya mahu mereka mengembalikan kaki saya. Mereka boleh melakukannya," kata Layan dalam keadaan terdesak ketika ditemui di katilnya di wad kanak-kanak hospital tempatnya dirawat.
Setiap kali dia tersedar dan membuka matanya apabila merasai kesan ubat penahan sakit semakin hilang, dia sugul melihat tunggul kaki yang dipotong dalam keadaan berbalut.
Ibunya, Lamia al-Baz, 47, berkata, Layan mengalami kecederaan itu minggu lalu dalam serangan ke atas daerah Al-Qarara di Khan Yunis, sebahagian daripada kempen ketenteraan Israel yang berterusan tanpa henti.
Lamia berkata, empat daripada ahli keluarganya terbunuh dalam serangan itu.
"Dua anak perempuan saya, Ikhlas dan Khitam, serta dua cucu termasuk bayi yang baru lahir terbunuh apabila serangan Israel melanda rumah Ikhlas. Ikhlas baru sahaja melahirkan anak.
"Mayat mereka berkecai. Saya mengenali Khitam dengan anting-antingnya dan Ikhlas menerusi tanda di jari kakinya," kata Lamia, yang terpaksa mengenal pasti mayat anak perempuannya di sebuah bilik mayat.
Layan yang muka dan lengan turut dipenuhi kecederaan sempat lagi bertanya kepada Lamia, bagaimana nanti untuk kembali ke sekolah apabila rakan berjalan dan dia tidak lagi boleh berjalan tanpa kaki.
Lamia cuba meyakinkannya: "Saya akan berada di sisi anda. Semuanya akan baik-baik saja. Anda masih mempunyai masa depan di hadapan anda."
Menurut Kementerian Kesihatan Hamas, 10,328 orang terbunuh di Gaza sejak perang meletus, termasuk lebih 4,000 kanak-kanak.
https://www.hmetro.com.my/global ... hu-kaki-saya-semula |
|
|
|
|
|
|
|
Surat buat kelasi kapal akhirnya dibuka selepas lebih 250 tahun

ANTARA surat yang dibuka untuk dibaca dan kajian oleh Universiti Cambridge selepas lebih 250 tahun disimpan dalam arkib. FOTO AFP
London: Surat-surat yang tidak dapat dihantar kepada kelasi kapal perang Perancis ketika perang abad ke-18 antara Britain dan Perancis, akhirnya dibuka dan dikaji selepas lebih 250 tahun.
AFP melaporkan, surat yang belum dibaca itu memberikan gambaran yang jarang berlaku mengenai kehidupan kelasi dan keluarga mereka pada 1700-an.
Ada antara surat itu daripada isteri pegawai kanan tentera laut, ada daripada seorang ibu tua yang memarahi anaknya kerana tidak menghantar khabar berita.
Tentera Laut Diraja United Kingdom (UK) merampas apa sahaja bentuk mesej ketika Perang Tujuh Tahun, konflik global yang berakhir pada 1763.
"Saya boleh menghabiskan waktu semalaman untuk menulis kepada awak. Saya isteri awak yang setia selama-lamanya," tulis Marie Dubosc kepada suaminya Louis Chamberlain, Leftenan Pertama kapal perang Perancis pada 1758.
Tanpa diketahui Marie, kapal Galatee dinaiki suaminya sudah ditawan British, kata penyelidik di Universiti Cambridge.
Louis tidak pernah menerima surat itu dan isterinya meninggal dunia pada tahun berikutnya sebelum dia dibebaskan oleh British.
Dalam satu lagi surat kiriman bertarikh 27 Januari 1758, ibu kepada pelayar muda Nicolas Quesnel dari Normandy yang membebel mengenai kekurangan komunikasi antara si ibu dan anaknya itu.
"Saya lebih memikirkan kamu daripada kamu memikirkan mengenai saya. Apa pun, saya mengucapkan selamat tahun baharu yang penuh dengan berkat Tuhan.
"Saya berasa saya sudah menghampiri kematian. Saya sakit selama tiga minggu. Tolong sampaikan pujian saya kepada Varin (rakan sekapal Nicolas), hanya isterinya yang memberitahu saya berita anda," tulis Marguerite yang berusia 61 tahun dalam suratnya.
Pegawai Laksamana British pada masa itu menganggap surat-surat itu tidak mempunyai kepentingan ketenteraan dan sebahagian besarnya hanya terperuk dalam arkib, tidak dibuka, sehinggalah ia menarik perhatian Profesor Sejarah di Cambridge Renaud Morieux.

SURAT daripada Marguerite untuk anaknya, Nicolas yang bertarikh 27 Januari 1758. FOTO AFP
https://www.hmetro.com.my/global ... pas-lebih-250-tahun |
|
|
|
|
|
|
|
Thailand bakal umum gaji minimum baharu, tidak lebih RM53 sehari
November 8, 2023 @ 8:11am

Foto fail REUTERS
BANGKOK: Thailand akan mengumumkan gaji minimum baharu bulan depan, namun kadarnya akan kurang daripada 400 baht (kira-kira RM52.20) sehari, kata Menteri Buruh, Phiphat Ratchakitprakarn.
Katanya, kadar gaji baharu itu berbeza daripada satu wilayah ke wilayah lain, bergantung keadaan ekonomi dan kos sara hidup di setiap wilayah.
Sejak 1 Oktober 2022, terdapat sembilan kadar gaji minimum di 77 wilayah dengan yang tertinggi ialah 354 baht/hari (RM46.20) di Phuket, Rayong dan Chon Buri dan 353 baht/hari (RM46) di Bangkok, Nonthaburi, Pathum Thani, Nakhon Pathom, Samut Prakan dan Samut Sakhon.
Memetik laporan Thai PBS World, di seluruh negara, gaji minimum adalah antara 338 baht (RM44) hingga 345 baht (RM45).
Phiphat mendakwa tinjauan dijalankan pegawai buruh mengenai pendapat pekerja berkaitan gaji minimum menunjukkan sebilangan pekerja tidak mahu gaji minimum dinaikkan kerana bimbang kehilangan pekerjaan dan tidak mahu berpindah ke wilayah lain yang mana gaji lebih tinggi namun perbelanjaan perjalanan dan sewa lebih tinggi.
Katanya, beliau menjangkakan untuk melihat gaji minimum baharu untuk seluruh negara yang sedang diusahakan jawatankuasa gaji di setiap wilayah tersedia untuk Jawatankuasa Gaji Pusat menjelang 17 November.
Menurutnya, ia bagi membolehkan kadar gaji minimum baharu itu dapat dimuktamadkan bulan depan untuk dikemukakan kepada Kabinet bagi kelulusan dan diumumkan dalam Warta Diraja menjelang Tahun Baharu.
Ahli wakil buruh Jawatankuasa Penyesuaian Buruh Thailand, Charlee Loisoong, bagaimanapun mencadangkan upah seragam 492 baht/hari (RM64.22) untuk seluruh negara.
Parti Pheu Thai mengumumkan ketika kempen pilihan raya tahun ini, bahawa ia akan meningkatkan gaji minimum kepada 600 baht (RM78.32) sehari dalam tempoh empat tahun. - AGENSI
KREDIT: BERITA HARIAN |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|