|
MUHASABAH DI BULAN SYAWAL
Dalam satu hadis yang panjang Kaab Ibn ‘Ujrah telah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. maksudnya :
Kata Kaab Ibn ‘Ujrah r.a. bahawa para sahabat telah bertanya maksud perkataan “Amin” yang Nabi s.a.w. sebut sebanyak 3 kali ketika Baginda sedang menaiki tangga mimbar masjid. Baginda s.a.w. menjawab :
Sesungguhnya ketika aku menaiki anak tangga pertama malaikat Jibrail telah datang menemuiku lalu berkata :
1.“Jauhlah (dia daripada Allah) bagi sesiapa yang bertemu dengan Ramadan tetapi dosa-dosanya tidak diampunkan Allah. Aku menjawab “Amin”.
2.Apabila aku menaiki anak tangga kedua, malaikat Jibrail berkata : “Jauhlah (dia daripada Allah) bagi sesiapa yang apabila disebut namamu kepadanya tetapi dia tidak membaca selawat kepadamu. Aku membalas “Amin”.
3.Apabila aku menaiki anak tangga ketiga pula, malaikat Jibrail berkata lagi “Jauhlah (dia daripada Allah) bagi sesiapa yang dapat hidup bersama dengan kedua ibu bapanya atau salah satu daripada keduanya tetapi dia tidak masuk syurga kerananya. Aku menjawab “Amin” .
( Hadis Sahih, riwayat al-Hakim)
Daripada paparan di atas antara lain dapat difahami bahawa malaikat Jibrail telah mengajar umat Islam supaya bermuhasabah tentang 3 perkara penting ini :
1. Dengan kehadiran Ramadan, apakah dosa-dosa kita telah diampunkan Allah?
2. Apabila nama Nabi s.a.w. disebut, apakah kita telah mengucapkan selawat ke
atasnya?
3.Yang dapat hidup bersama ayah dan ibunya, apakah kita telah berbakti kepada
keduanya?
Menyentuh tentang Ramadan, hari ini Ramadan telah berlalu pergi. Sudah pasti banyak perkara yang baik dapat kita lakukan demi menghidupkan Ramadan, mencari keberkatan dan memohon keampunan daripada Allah. Namun dalam banyak pemerhatian, masih banyak lagi perkara yang boleh dimuhasabahkan untuk manfaat kita bersama :
1. Menyambut ‘Idul Fitri (Aidilfitri) secara berlebih-lebihan dalam perkara adat atau
bidaah sedangkan Aidilfitri adalah perayaan ibadat (bukan adat).
Terdapat perbezaan antara adat dengan ibadat : Suatu “Adat” jika diamalkan
berkemungkinan tidak diberikan sebarang pahala dan jika salah pula akan
mendapat dosa. Manakala suatu “Ibadat” pula jika diamalkan insyallah akan
mendapat ganjaran pahala (sekiranya ia betul) atau mungkin mendapat dosa
(sekiranya ia salah) atau mungkin juga tidak berdosa jika ia termasuk dalam
kategori Ijtihad. Oleh itu, kita sentiasa diminta agar semua amal kita diniatkan
sebagai ibadat.
2.Masih ada golongan yang belum membayar hutang lapuk puasanya dan belum juga
mahu membayar fidyahnya.
3. Berlumba-lumba mengadakan ‘rumah terbuka’ Aidilfitri demi mempertahankan
‘status quo’ masing-masing walaupun jauh tersasar daripada matlamat rumah
terbuka sebenar.
4. Amalan berpuasa (puasa enam hari) di bulan Syawal. Sungguhpun ia sunat yang
dituntut, namun harus diingat ia bukanlah amalan tradisi atau adat kebiasaan.
Mestilah diingatkan bahawa amalan tersebut merupakan tuntutan agama yang
mengandungi hikmahnya tersendiri.
5. Bagaimana pula dengan amalan baik di bulan Ramadan?. Apakah ada
perancangan dan susunatur untuk diteruskan?.
KESIMPULAN :
1. Tiga perkara besar yang dibawa oleh malaikat Jibrail merupakan peringatan penting bagi kita umat Islam agar kita terus bermuhasabah dan tidak lalai dengan tanggungjawab tersebut.
2. Aidilfitri adalah hari fitrah (suci, bersih). Dengan kata lain Ramadan telah memproses rohani dan jasmani kita dan membersihkan kita daripada daki-daki kekotoran jahiliah. Justeru alangkah baiknya jika kita menyambut Aidilfitri tanpa unsur-unsur sekular dan jahiliah.
3. Mudah-mudahan kita masih diberi rezeki oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadan yang akan datang, insyallah.
Wallahu a’lam. |
|