BERKONGSI INFO BERKAITAN PENYAKIT RADANG SENDI
ASSALAMUALAIKUM. Saya Ahmad Mustafa, 45 tahun dari Kuala Terengganu, menghidap penyakit artritis lebih lima tahun. Semua sendi jari saya mengeras dan membengkak dan rasa sakit. Buat masa ini, pihak hospital membekalkan saya ubat tahan sakit dan vitamin. Dapatkah saya redakan kesengsaraan dengan rawatan al-Quran? Jawapan:
Waalaikumsalam. Terdapat pelbagai penyakit radang sendi yang selalu dihidapi pesakit, paling kerap adalah Rheumatoid Arthritis (RA) dan Osteoarthritis (OA). Berdasarkan keterangan Ahmad, dapat dikatakan dia menghidap radang sendi jenis RA. Menurut Yayasan Artritis Malaysia, kebanyakan pesakit RA dalam usia bekerja dan kesakitan mula ketara apabila pesakit mencecah usia persaraan. RA turut dialami kira-kira satu peratus penduduk Malaysia. Terdapat lebih kurang 135,000 penghidap RA di Malaysia. Rawatannya memerlukan kos tinggi terutama pesakit yang menderita jangka masa lama.
Sepanjang pengalaman saya merawat pesakit RA di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, ramai berjaya pulih, sakit telah kurang dan sendi kembali berfungsi dengan sihat dan kuat. Artritis bermaksud radang sendi iaitu sejenis penyakit autoimun di mana sistem pertahanan diri menyerang badan sendiri dan memberi kesan kepada sendi, tisu mengelilingi sendi dan tisu perantara lain. Faktor usia turut mengurangkan kadar cecair sinovial di dalam sendi. Ia biasa di kalangan orang dewasa 65 tahun dan lebih tua, tetapi boleh memberi kesan kepada semua peringkat umur.
Lebih baik pesakit datang berjumpa dengan perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah supaya dapat kami memeriksa jika ada gangguan makhluk halus kerana kesan sakit gangguan sihir atau makhluk halus kadang-kala sama dengan artritis. Selalunya bila jin berada di dalam tubuh badan pesakit, mereka berada di tulang belakang atau sendi dan menyebabkan pesakit rasa sakit.
Terdapat banyak kes setelah pergi ke hospital dan menjalani ujian darah, didapati normal dan pemeriksaan MRI dan CT Scan menunjukkan tulang dan sendi sihat tetapi pesakit mengalami sakit sendi dan bisa tulang. Punca radang sendiSecara am, keradangan sendi boleh disebabkan oleh:
* Penyakit autoimun * Kecederaan - patah tulang * Sendi haus dan lusuh * Keabnormalan metabolik seperti gout * Faktor keturunan * Jangkitan bakteria dan virus
Radang sendi melibatkan kerosakan tulang rawan.
Rawan melindungi sendi, membolehkan ia bergerak dengan lancar. Ia menyerap kejutan apabila tekanan diletakkan pada sendi, seperti bila berjalan. Tanpa jumlah rawan mencukupi, tulang akan bergesel, menyebabkan kesakitan, bengkak (keradangan) dan ketegangan. Tanda radang sendiRadang sendi diklasifikasi sebagai salah satu penyakit reumatik iaitu keadaan di mana penyakit berbeza pada setiap individu dengan rawatan, komplikasi dan prognosis dengan ciri yang berbeza.
Osteoartritis (OA) - Tanda terbentuk perlahan-lahan dan menjadi lebih buruk semakin masa berlalu. Terdapat sakit di sendi, sama ada semasa atau selepas penggunaan atau selepas tempoh tidak aktif. Sendi akan menjadi regang, terutama pada pagi. Pesakit mungkin lebih sukar menggunakannya dan rasa kehilangan fleksibiliti . Ketulan keras, atau taji tulang boleh muncul di sekitar sendi. Dalam beberapa kes, sendi mungkin bengkak. Biasanya sendi yang terlibat adalah di bahagian pinggang, tangan, lutut dan tulang belakang.
Rheumatoid arthritis (RA) - Pesakit sering mendapati sendi sama dalam setiap bahagian badan membengkak dan sengal. Jari, tangan, kaki dan pergelangan tangan adalah paling biasa terjejas. Gejala paling teruk pada waktu pagi setelah bangun tidur dan kesakitan boleh berlangsung selama 30 minit. Tangan boleh menjadi merah dan bengkak.
Nodul rheumatoid (lebam tisu di bawah kulit lengan pesakit). Pesakit dengan artritis reumatoid rasa letih kebanyakan masa dan berlaku penurunan berat badan. Sendi lebih kecil biasanya lebih mudah terjejas. Selalunya pesakit dengan artritis rheumatoid mempunyai masalah dengan beberapa sendi pada masa sama. Radang sendi agresif boleh merebak dari sendi kecil di tangan, pergelangan tangan, buku lali dan kaki ke siku, lutut, pinggang, leher, bahu dan rahang. Secara keseluruhannya, gejala radang sendi adalah seperti berikut:
* Sakit sendi. * Sendi bengkak. * Keupayaan sendi bergerak makin kurang. * Merah pada kulit di sekeliling sendi. * Ketegangan, terutamanya di waktu pagi. * Hangat sekeliling sendi.
Rawatan ayat al-QuranSesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Setiap susunan tubuh badan seimbang dan dengan ukuran tepat. Di dalam tubuh badan anak Adam itu pula Allah ciptakan 360 sendi supaya mudah bergerak dan melakukan pelbagai gerak kerja. Demikianlah betapa halus ciptaan Allah kepada hamba-Nya yang bergelar manusia. Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit radang sendi akan diberi ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah untuk penyembuhan. Ayat tersebut adalah:
* Surah Qaff ayat 16 hingga 45 * Surah Adz Dzariyat ayat 31 hingga 60 * Surah Shod ayat 34 hingga 61. * Surah Al Ahqaaf ayat 21 hingga 28.
Pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali pada waktu malam dan surah kedua tiga kali pada waktu siang. Amalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan tersebut dengan surah-surah yang seterusnya. PenutupKepada semua pesakit radang sendi, jangan berputus asa dalam berikhtiar untuk merawat penyakit radang sendi. Jangan anggap penyakit radang sendi tidak dapat ditolong dan hanya berserah kepada takdir.
"Berubatlah, kerana tiada satu penyakit yang diturunkan Allah, kecuali diturunkan pula ubat penawarnya, selain dari satu penyakit, iaitu mati" (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi daripada sahabat Nabi Usamah bin Syuraik). Dalam pengalaman kami merawat pesakit radang sendi, ramai menunjukkan perubahan positif dari segi emosi, mental dan fisikal. Kebanyakan pesakit dapat merasakan perbezaan ketara di mana badan terasa lebih sihat dan jiwa lebih tenang setelah berubat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131117/kn_05/Penyakit-radang-sendi#ixzz2qFInm1qV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Last edited by sellie003 on 13-1-2014 11:48 AM
|