Edited by Kangkung1M at 20-3-2018 10:03 PM
#Pray4TroliPasarBujibu
Bujibu Chempel adalah anak sulung kepada pasangan selebriti paling popular tanahair, Hairul Azreen dan Hanis Zalikha.
Ia merupakan anak angkat pasangan ini dan berasal daripada negara Russia.
Melalui perkongsian cerita di laman sosial, Hairul dan Hanis memberi gelaran FabCat atau Kucing Termasyhur kepada anak mereka ini kerana mempunyai jumlah pengikut yang ramai di laman sosial.
Kata Hanis lagi yang merupakan jurucakap bagi keluarga ini, kemasyhuran dan populariti yang dikecapi oleh Bujibu naik mendadak semenjak mempunyai program realiti sendiri.
Dalam program realiti kekeluargaan tersebut, selain memaparkan aktiviti harian Bujibu dan adiknya, Yusuf Iskandar, program ini juga turut memaparkan perkongsian tips dan amalan efektif pengurusan rumahtangga yang dipraktikkan oleh pasangan muda ini.
Tambah Hanis lagi, kehidupan sosial Bujibu juga kini telah berubah sama sekali. Ia sering sahaja diintip dan dikejar oleh para paparazzi ketika berada di luar rumah sekaligus mengurangkan privasi dalam hidup anaknya itu.
Aktiviti harian Bujibu juga padat dengan temuramah bersama para media, bersiaran langsung di atas pentas, dan juga menjalani pengambaran untuk realiti shownya.
Katanya lagi, Bujibu juga mula menjadi kegilaan orang ramai sehingga beliau terpaksa menghadkan kepada individu ternama dan bertaraf lagenda sahaja untuk mendekati dan menyentuhnya bagi menjaga nilai eksklusif sebagai FabCat.
Troli Pasar Bujibu
Namun begitu, isu yang ingin penulis ketengahkan pada edisi kali ini adalah penggunaan troli pasar atau ‘market grocery trolley’ untuk membawa dan mengangkut Bujibu ke mana-mana.
Sebagai FabCat, sudah semestinya Hairul dan Hanis patut menyediakan stroller bersaiz limousin untuk anaknya ini.
Penulis gagal untuk memahami relevan dan logiknya untuk menyumbat Bujibu di dalam troli pasar yang sungguh kecil dan sempit seperti itu. Bujibu tampak ketara tidak selesa dan terseksa berada di dalamnya.
Sebagai ibubapa yang sering dicanang tentang kehebatan mereka dalam banyak perkara, seharusnya hal sebegini tidak patut berlaku. Ini boleh dikategorikan sebagai satu bentuk penindasan dan penderaan.
Penulis berharap perkara ini dapat dilapor dan dipanjangkan kepada pertubuhan hak asasi haiwan di Malaysia seperti PETA, SPCA, Persatuan Haiwan Malaysia, SCRATCH, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis haiwan agar penindasan secara terang-terangan seperti ini dapat dihentikan dengan kadar segera.
Penulis bimbang jika ianya terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan, trend menyumbat haiwan peliharaan dalam troli pasar seperti ini akan menjadi ikutan orang ramai.
Hairul sendiri sebagai individu dewasa yang pernah dilihat duduk di dalam troli pasaraya pastinya lebih arif tentang ketidakselesaan berada di dalamnya.
Mungkin juga Hairul dan Hanis tidak mampu dari segi kewangan. Melalui penulisan ini juga, penulis menyeru agar ada individu atau syarikat korporat di luar sana yang prihatin dan sudi untuk menyumbang dana bagi membolehkan pasangan selebriti ini membeli stroller baru yang lebih selesa untuk Bujibu.
Pesanan untuk Hairul dan Hanis, anda adalah ibu bapa kepada Bujibu. Maka seharusnya anda menjaga, menyayangi dan menghormatinya sama seperti ahli keluarga yang lain. Peganglah amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas.
'Tiada suatu binatang yang melata di bumi, dan tiada yang berterbangan dengan dua sayapnya, melainkan mereka juga umat-umat seperti kamu’
Renung-renungkan.
|