CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: benign

Gangs and Triads

[Copy link]
Post time 28-10-2007 12:16 AM | Show all posts
Post Last Edit by HangPC2 at 1-2-2012 21:48

Kongsi Gelap Bendera Putih dan Bendera Merah

Keterlibatan orang Melayu-Muslim  dalam persatuan sulit boleh dilihat dalam 3 corak.  Corak yang paling awal ialah penyertaan dalam kongsi gelap Cina.  Meskipun cerita penyertaan orang Melayu sebagai ahli kongsi gelap Cina hanya diketahui pada 1850-an namun dipercayai  penyertaan itu sudah lama berlangsung.  Keterlibatan  ini didedahkan oleh J. D. Vaughan, Penguasa Polis di Pulau Pinang (1851-56) yang menemubual  seorang tuan haji yang pernah menyertai beberapa buah kongsi gelap Cina dengan kerelaan sendiri.  Vaughan juga melaporkan seorang penghulu pernah menyertai Ho Seng dan tindakannya itu diikuti oleh seluruh penduduk di kampungnya.   Tindakan ini didorong oleh ketaksuban yang melampau terhadap golongan yang berstatus tinggi di dalam kampung seperti penghulu, orang yang bergelar haji mahupun orang kaya dalam sesebuah kampung.  Corak yang kedua ialah menjadi ahli kongsi gelap Melayu semata-mata.  Dua kongsi gelap Melayu yang paling  awal  muncul di negeri itu ialah Bendera Putih dan Bendera Merah.     Bentuk yang ketiga, ialah menjadi ahli kongsi Melayu dan pada masa yang sama turut menyertai kongsi gelap Cina.  Corak ini sangat jelas kelihatan sewaktu perstiwa Rusuhan Pulau Pinang 1867.  Penyertaan orang Melayu-Muslim dalam kegiatan kongsi gelap didorong oleh beberapa sebab.  Kongsi gelap Melayu diwujudkan dengan hasrat untuk mencontohi cara kongsi gelap Cina melindungi kebajikan masyarakat Cina  lebih-lebih lagi dengan kejadian jenayah yang semakin berleluasa ekoran pertumbuhan ekonomi yang pesat.  Penyertaan di dalam persatuan sebegini dibuat secara sukarela dan adakalanya secara paksaan.  Hal ini mudah berlaku.  Jika seseorang itu tinggal dalam kawasan pengaruh sesuatu kumpulan Bendera, mereka akan diugut supaya menyertai persatuan tersebut.  Sementara itu penglibatan orang Melayu-Muslim dalam kongsi gelap Cina berlaku kerana mereka mendiami kawasan yang sama.


Kongsi gelap Bendera Putih dan Bendera Merah sekurang-kurangnya telahpun wujud sejak 1830-an.  Ia diasaskan oleh orang Jawi Pekan dengan tujuan asal menguruskan soal keagamaan seperti sambutan Muharram dan perarakan tabut  serta menjaga kebajikan sosial seperti membantu menguruskan kenduri kendara perkahwinan, kematian dan sebagainya.  Persatuan ini hanya mengambil orang-orang yang berkelakuan baik sahaja sebagai ahli mereka.  Namun, tujuan asal ini berubah di sekitar 1850-an ekoran kehadiran lebih  ramai masyarakat banduan  yang diberi kebebasan menyertai sambutan Muharram dan kemunculan yang lebih cepat golongan Jawi Pekan sejak pengenalan sistem Ticket of leave pada 1857 dan  pengampunan sebahagian besar banduan ekoran perpindahan pentadbiran  Negeri-Negeri Selat dari India ke London pada 1867.    Muharram kini bukan lagi merupakan sambutan keagamaan yang aman tetapi menjadi gelanggang membalas dendam.   Perubahan ini dibawa masuk oleh ahli-ahli yang berkelakuan jahat yang bergaul  dengan ahli kongsi gelap Cina dan kemudiannya mempengaruhi ahli lain menyertai kegiatan mereka.  Kumpulan ini jugalah yang bertanggungjawab mengheret Melayu-Muslim yang lain yang selama ini menjauhi kegiatan seumpama itu untuk turut serta dalam kegiatan mereka.  Kehadiran  anggota Melayu dalam kongsi gelap Cina sangat dialu-alukan.  Ia memudahkan kongsi Cina berurusan dengan pihak polis kerana ramai anggota polis turut menjadi ahli kongsi gelap samada kongsi gelap Melayu mahupun Cina.

Pergabungan Bendera Putih dan Ghee Hin berlaku pada 1865.  Bendera Merah pula  bergabung dengan Toh Peh Kong  pada 1863. Banyak teori yang melihat nama Bendera Putih dan Bendera Merah adalah berasal daripada perkataan Cina yang menjadi kata kunci bagi kongsi gelap Cina waktu itu.    Di percayai lambang-lambang bendera  Merah dan Putih mula digunakan sejak pergabungan itu. Permusuhan sesama kongsi gelap Melayu ini bukanlah bermotifkan politik tetapi lebih kepada  semangat persaingan antara mukim  tetapi kemudiannya diperalatkan oleh kongsi gelap Cina  yang saling bermusuhan sebagai kekuatan tambahan  bagi mencapai tujuan mempeluaskan kawasan pengaruh masing-masing.  Meletusnya Rusuhan pada tahun 1867 adalah berpunca daripada  pergaduhan antara Bendera Putih dan Bendera Merah semasa perayaan Muharram pada tahun berkenaan tetapi kemudiannya telah dipergunakan oleh Ghee Hin dan Toh Peh Kong untuk meneruskan permusuhan mereka.  Peristiwa rusuhan ini  digambarkan oleh saksi-saksi PRCR sebagai menggerunkan dan penuh kejadian ganas.  Rusuhan ini melibatkan bukan sahaja kawasan bandar malah juga merebak ke luar bandar.  Masjid menjadi markas utama Bendera Putih dan Bendera Merah.  Gabungan 1,000 orang Bendera Merah dengan 3,000 orang Toh Peh Kong  kelihatan lebih kecil berbanding  kombinasi orang Bendera Putih dan Ghee Hin yang dikatakan berjumlah 25,000 orang.  Namun kelebihan Toh Peh Kong ialah mereka memiliki  lebih banyak senjata yang dibekalkan oleh pedagang kaya dan pembekal senjata  di sekitar bandar.

Rusuhan Pulau Pinang  juga mendedahkan bahawa pengaruh kumpulan Bendera begitu meluas di bandar dan kawasan luar bandar.  Bendera Putih menguasai kawasan seperti Chulia Road, antara Chulia Road-Simpang Ampat, Hutton Lane, Macalister Road, Jalan Bahru, Pulau Tikus, Kelawei, Tanjung Tokong, Lorong Takia, Masjid Kapitan Kling dan Pintal tali.  Kawasan pengaruh  Bendera Merah pula seperti  Titi Papan, Jalan Sampah, Dato Kramat, Ayer Itam, Sungai Pinang, Batu Uban, Bayan Lepas, Penang Road,  Batu Maung, Kampung Bahru,  Telok Jelutong, Sungai Gelugor, Sungai Nibong dan Telok Kumbar.  Nampaknya sehingga 1867 sebahagian besar mukim di Pulau Pinang  telahpun berada di bawah pengaruh kumpulan Bendera.  Dari segi penyertaan, orang Melayu-Muslim daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dipercayai terlibat.  Antaranya ialah guru, peniaga, pemungut cukai kerajaan, peon polis dan  mereka yang bergelar haji.   

Meskipun tidak dapat dipastikan bilangan sebenar orang Melayu-Muslim yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap namun dikatakan seramai 7,000 orang Melayu-Muslim telah keluar bersumpah di hadapan Sheikh Omar Basheer yakni tokoh agama yang telah diberi mandat oleh  pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut.   Tindakan keluar bersumpah ini adalah berikutan satu fatwa yang dikeluarkan oleh Sheikh Omar pada 4 Ogos 1867 yang menyebut pembabitan orang Islam dalam kegiatan seumpama ittu sebagai perbuatan murtad. Orang Islam yang terbabit diseru bertaubat. Surat akuan diberikan kepada sesiapa yang tidak terbabit dalam kegiatan itu atau yang telah meninggalkan kongsi gelap. Bagi yang enggan bersumpah, mereka akan menerima nasib dipulaukan daripada masyarakat.




Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 28-10-2007 12:26 AM | Show all posts
Post Last Edit by HangPC2 at 1-2-2012 21:49

Langkah kerajaan menggunakan ketua-ketua agama dilihat sebagai salah satu cara untuk menangani isu ini kerana pengaruh guru agama dalam masyarakat Melayu-Muslim amat kuat.  Langkah-langkah yang lain ialah memperkenalkan beberapa ordinan dan  di antara  yang paling awal ialah The Dangerous Societies Suppression Ordinance XIX of 1869.  Namun  nama-nama Bendera Putih dan Bendera Merah hanya dimasukkan di dalam ordinan  yang diperkenalkan  pada 1882 iaitu Ordinance 1V 1882.  Dipercayai pada masa itu barulah kerajaan lebih serius menangani masalah kongsi gelap di kalangan orang Melayu-Muslim kerana Ordinan ini dengan tegas menyebut orang bukan Cina yang menyertai kongsi gelap Cina akan didenda tidak melebihi $500.00.  Denda yang berat juga akan dikenakan kepada sesiapa yang memiliki bendera atau apa-apa lambang dan tulisan sesuatu kongsi.  Malah penghulu dan bilal turut dipertanggungjawabkan sekiranya barang-barang itu ditemui di kawasan masjid di mukim mereka.   Sementara itu penguatkuasaan Banishment Ordinance 1888, dan Societies Ordinance 1889 yang membolehkan kerajaan  menghukum buang daerah terhadap ahli kongsi gelap yang cuba menghasut dan menghidupkan kembali kongsi gelap menjadikan kerajaan bertambah yakin bahawa kegiatan kongsi gelap secara menyeluruh akan dapat dihapuskan menjelang 1890.


Boria Sebagai Saluran Merekrut Ahli Baru

Hasrat kerajaan untuk menyaksikan kegiatan kongsi gelap di negeri itu  berkuburnya nampaknya tidak tercapai.  Kegiatan tersebut di kalangan orang Cina mahupun Melayu masih  berterusan namun dalam keadaan yang lebih tertutup untuk mengelakkan pengawasan polis.  Kawalan ketat kerajaan ke atas kongsi Cina  sebenarnya turut meninggalkan kesan kepada kongsi gelap Melayu.  Mereka kini kehilangan penaung.  Kegiatan kongsi Melayu kelihatan hilang arah dan muncul dalam berbagai bentuk  di akhir abad ke-19, daripada kegiatan samseng jalanan hinggalah kepada  permusuhan di tanah perkuburan dan perpecahan di masjid.  Penyamaran ini berterusan sehingga abad ke-20 menerusi penubuhan kelab-kelab bolasepak untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Tulisan tentang boria telah banyak dihasilkan setakat ini.  Namun peranan boria sebagai saluran memperkembangkan kegiatan kongsi gelap Melayu tidak banyak diperkatakan.  Permainan ini dipercayai  lahir daripada perarakan oleh orang Muslim Shiah sewaktu bulan Muharram.  Mereka membentuk kumpulan yang menyanyikan lagu-lagu ratapan sebagai mengenang kembali peristiwa kematian  Saidina Husin  di peperangan Karbala pada hari ke-10 bulan Muharram  sewaktu menentang Yazid bin Muawiyah.  Corak sambutan yang aman ini tidak kekal lama kerana selepas itu ia mula dipergunakan oleh ahli kongsi gelap Melayu sebagai medan untuk tunjuk siapa lebih handal.  Vaughan pernah menyaksikan bagaimana kumpulan muzik yang terdiri daripada anak-anak muda ini bertindak di luar batasan dan menganggu orang lain yang benar-benar ingin menyambut sambutan tersebut.  Mereka bukan sahaja mengubah sambutan tersebut kepada pesta sukaria namun juga menjadi medan pertumpahan darah. Perubahan ini dapat dikesan melalui lagu-lagu yang dinyanyikan  yang bukan lagi berunsur ratapan tetapi lebih kepada cabar mencabar untuk membangkitkan kemarahan pihak lawan.

Kawalan kerajaan selepas Rusuhan Pulau Pinang 1867 menjadikan boria sebagai saluran penting untuk meneruskan kegiatan Bendera Putih dan Bendera Merah.  Boria menjadi saluran mendapatkan ahli-ahli baru.   Setiap kawasan yang terlibat dalam kumpulan Bendera  menubuhkan pasukan boria masing-masing.  Boria melambangkan prestij dan pengaruh  ketika itu.  Sesebuah kampung atau mukim yang tidak mempunyai kumpulan boria dianggap memalukan.   Peluang untuk bergerak juga lebih cerah kerana kerajaan melihat boria sebagai suatu bentuk  budaya.  Malah ia begitu diminati bukan sahaja oleh orang Melayu-Muslim tetapi juga  oleh pegawai kerajaan, orang Eropah yang tinggal di negeri itu dan juga orang-orang Cina.  Malah taukeh-taukeh Cina turut menaja sesebuah kumpulan boria.  Perkara ini bukanlah luarbiasa  ekoran persahabatan yang telah sekian lama wujud di antara kongsi  gelap Cina dengan kongsi gelap Melayu.

Menjelang 1920, terdapat sekurang-kurangnya empat puluh hingga lima puluh pasukan boria di Pulau Pinang yang  masing-masing bernaung di bawah Bendera Putih dan Bendera Merah.  Di antara pasukan boria di bawah pengaruh Bendera Merah  ialah Boria Mukim Jelutong, Boria Kampung Pinang, Boria Bagan Jermal, Boria Jalan Hatin, Boria Sungai Gelugor, Boria Kampung Rawana, Boria Kelawai, Boria Gedung Rumput (sekarang King Street), Boria Kampong Ambun (sekarang Penang  Road-Northam Road), Boria Ujung Pancur (sekarang Transfer Road-Northam Road) dan Boria Argyl Road.  

Pasukan boria yang berada di bawah pengaruh Bendera Putih pula seperti Boria Titi Papan (sekarang Penang Road-Chowrasta Market), Boria Padang Garam (sekarang Carnavon Street-Kimberley Street), Boria Tanjong Tokong, Boria Air Itam, Boria Kampong  Jawa, Boria Kampong Dodol, Boria Kebun Lama, Boria Kampong Makam, Boria Kampong Kolam, Boria Jalan Sampah (sekarang Acheen Street), Boria Lorong Takian (sekarang Ah Quee Street), Boria Kampong Lada  (sekarang Armenian Street), Boria Pintal Tali (sekarang Rope Walk) dan Boria Bakar Bata (sekarang Bricklin Road).   Contoh pantun boria yang bersifat cabar mencabar  di antara pasukan Bendera Putih dan Bendera Merah adalah seperti berikut:

Boria Tanjung Tokong (Bendera Merah)
Kita  askhar di Tanjong Janggi
Kerja menanam gandun barley
Masok berniaga di tanah Jawi
Tanjong Tokong sedia menanti

Boria Mukim Kelawai (Bendera Merah)
Badui tua di kaki bukit
Keluar menjaga Masyrik ke Maghrib
Badui Arfah ampunya murid
Mukim Kelawai sedia tauhid

Boria Kampong Jawa (Bendera Putih)
Askar Takrubi kaum bebas
Padang peperangan baharu terlepas
Menangkap negeri terlalu pantas
Di kampong Jawa aturan jelas

Boria Padang Garam (Bendera Putih)
Askar Yunan Kuantong sama
Sudah Besi daripada Cina
Keluar mencari som kom koma
Anak Padang selamat sempurna





Reply

Use magic Report

Post time 28-10-2007 12:31 AM | Show all posts
Post Last Edit by HangPC2 at 21-10-2009 20:40

Permainan boria meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat Melayu-Muslim di Pulau Pinang.  Selain daripada memecah-belahkan orang Islam kepada hidup berpuak-puak mengikut kawasan pengaruh kumpulan Bendera, ia menjadikan orang Melayu waktu itu mundur jika dibandingkan dengan bangsa lain.  Selama berlangsungnya sambutan Muharram, anak-anak muda ponteng kerja dan kanak-kanak tidak bersekolah. Suami mengabaikan rumahtangga sehingga ada yang dibuang kerja kerana leka bermain boria.  Agama Islam semakin tercemar kerana ahli pasukan boria biasanya minum arak sebelum bergaduh dengan pihak lawan.   Pengaruh Bendera Putih dan Bendera Merah hanya semakin berkurangan apabila langkah mengawal dan menghapuskan boria dibuat oleh kerajaan dan pemimpin-pemimpin agama di negeri itu menjelang abad ke-20.

Penutup

Sejak pertengahan abad ke-19, sebahagian besar kawasan yang didiami oleh orang Melayu di bandar dan di luar bandar Georgetown serta Seberang Perai Ditawan oleh kongsi gelap Bendera Putih dan Bendera Merah.  Kedua-dua kongsi gelap Melayu ini begitu berpengaruh dan menjadi Kerajaan tidak rasmi bagi orang Melayu-Muslim sehingga abad ke-20 meskipun langkah kawalan diperkenalkan oleh kerajaan dan tokoh agama di negeri itu.  Lenyapnya pengaruh kongsi gelap ini sebenarnya berkait rapat dengan perubahan yang dialami oleh orang Melayu-Muslim sendiri terutama dari segi pendidikan dan peranan ulama mengeluarkan fatwa mengharamkan boria.   Apabila kesedaran muncul di kalangan ketua-ketua pasukan yang terbabit maka pengaruh permainan itu ke atas orang Melayu-Muslim semakin berkurangan.   Namun perubahan ini mengambil masa yang panjang dan unsur bermain boria semakin berubah corak kepada bentuk yang dapat dilihat pada hari ini selepas Perang Dunia Kedua.  Sejak itu juga pengaruh Bendera Putih dan Bendera Merah beransur hilang kerana pada masa yang sama persatuan-persatuan alternatif semakin banyak muncul di negeri itu.


Bibliografi

C.O. 275, Annual Departmental Reports of the Straits Settlements dari tahun 1856-1929.

C.O. 273/518, The Malayan Bulletin of Political Intelligence, 25 November 1922
PGSC, dari tahun 1844-1914.

Anson, E. A. H., 1920. About Others and Myself, 1745-1920, London: John Murray.

Blythe, W, 1969.  The Impact of the Chinese Secret Societies in Malaya, London: Oxford University Press.

The Boria in Perak, The Malayan Police Magazine, 8 (1), 1935.

Braddell, T., 1861. Statistics of the British Possessions in the Straits of  Malacca, Pinang: Pinang Gazette Office.

Haji Abu bakar bin Jaafar (Pak Kan) 1980. Boria, Siri Mengenal Budaya, Kuala Lumpur: Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hamilton, A. W., 1920. Boria, JSBRAS, 82.

Historical Survey of the Mosques and Kramats on Penang Island 1974. Penang: Penang Teachers College.

Houghton, G. T., 1897. Boriah, JSBRAS, 30.

Khoo Kay Kim 1975/76. Keterlibatan Orang-orang Melayu dalam Persatuan-persatuan Sulit, Jernal Sejarah.

Logan, J. R. (peny.)1850. Notices of Pinang, JIA, Jil. 4.

Mahani Musa 2000. Masyarakat Melayu-Muslim Pulau Pinang, 1830-an 60-an: Masalah Kepimpinan dan Pengaruh Kongsi Gelap, dalam Mahani Musa dan Tan Liok Ee (peny.) Sorotan Terpilih Dalam Sejarah Malaysia, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
----------------- 1999. Malays and The Red and White Flag Societies in Penang, 1830s-1920s, JMBRAS, Jil. LXX11, Bah. 2.
----------------- 1995. Buku Catatan Peribadi Sheikh Omar Basheer Dengan Rujukan Terhadap Rusuhan Di Pulau pinang pada tahun 1867: Satu Dokumen Sejarah Pulau Pinang Abad ke-19, dalam Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon Kheng (peny.) Isu-isu Pensejarahan (Esei Penghargaan Kepada Dr R. Suntharalingam), Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Mahd. Ishak Abdul Aziz 1979. Sejarah Boria, Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

McNair, J. F. A., 1899. Prisoners Their Own Warders: A Record of Convict Prison at Singapore in the Straits Settlements Established 1825, discontinued 1873, together with a Cursory History of the Convict Establishment at Bencoolen, Penang and Malacca from the year 1797, London: Archibald Constable.

Mohd. Yusoff Sultan Maidin 1922, Boria dan Benchananya, Penang: Merchantile Press.

Muhammad Ibrahim Munsyi, Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi (dengan Pengenalan dan Anotasi oleh Mohd Fadzil Othman 1980). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Omar Farouk Shaeik Ahmad 1978. The Arabs in Penang, Malaysia in History, Jil.21, Bil. 2. The Penang Riots Reports 1867: Report of the Commissioners Appointed  Under Act XXI of 1867, to Enquire into The Penang Riots (PRCR), Penang: Argus Press, 1868.

Sarnia Hayes Hoyt 1991. Old Penang, Singapore: Oxford University Press.

Stirling, W. G., 1925. The Red and White Flag Societies, JMBRAS, Jil. 1. No. 1.

Turnbull, C. M., 1972. The Straits Settlements 1826-1867: Indian Presidency to Crown Colony, London: Athlone Press.

Vaughan, J. D., 1854. Notes on the Chinese of Pinang, JIA, Jil. 8, No. 14.
-----------------, 1857. Notes on the Malays of Pinang and Province Wellesley, JIA, Jil. 2.

Wynne, M. L., 1941. Triad and Tabut: A Study of the Origin and Diffusion of Chinese and Mohamedan Secret Societies in the Malay Peninsular A.D. 1800-1935, Singapore: Government Printing Office.

Zainol Jusoh 1982. Pulau Pinang dan Seberang Perai 1890-1940: Satu Kajian Mengenai Penglibatan Orang-orang Melayu dalam Pakatan Sulit Bendera Putih dan Bendera Merah, Latihan Ilmiah, USM.

Reply

Use magic Report

Post time 28-10-2007 02:37 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-10-2007 09:26 AM | Show all posts
wah... thank you hangpc... walau tak dapat beli bukunya.. at least leh baca...
Reply

Use magic Report

dempol This user has been deleted
Post time 28-10-2007 11:59 PM | Show all posts
Originally posted by benign at 2-7-2007 21:54
actually aku dah jumpa buku kat atas ni kat kedai buku jalan TAR tapi disebabkan reganya RM50, maka tak jadi beli... skang dah tak jumpa dah... rugi tak beli.



cuba cari kat KINOKUNIYA KLCC...sebab Dempol beli buku ni 2 tahun lepas..harganya takla sampai RM 50 macam kat Jalan TAR tu...try la
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 24-5-2008 01:58 AM | Show all posts
Post Last Edit by HangPC2 at 1-2-2012 21:44

Kinta 1881 (2007)









Movie berdasarkan Kisah Gangster Cina kat Tanah Melayu...

Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2008 11:19 AM | Show all posts
Mod Merged kan topik nih....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-11-2008 12:22 PM | Show all posts
Originally posted by HangPC2 at 24-5-2008 01:58
Kinta 1881 (2007)


http://img339.imageshack.us/img339/1415/kinta1881posterhq1.jpg






Movie berdasarkan Kisah Gangster Cina kat Tanah Melayu...

Mana nak dapat cerita ni HangPC...btw..kat Malaysia ni...Kumpulan yg kononya mengaku "kongsi gelap" ..adalah PEKIDA...Pekida tu perasan je gengster...prfghhhhhhhhhhh
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2008 12:23 PM | Show all posts
Originally posted by huruhara at 8-6-2007 00:42
036 geng 18 tak nak citer..? hehehehe

Hahaa..Geng 18 ke....36 tu sama ngan pekida gak..haprak... ..banyak sebenarnya Kongsi dalam Malaysia ni...yg paling haprak yg 3 line tu la..perasan kongsi gelap...
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2008 12:57 PM | Show all posts

Reply #49 revolusi_30's post

PEKIDA sebenarnya berasal dari Kulim


sebenar PEKIDA nih.... Badan Khairat Kematian jer.. tapi sampai kat KL jadi Gangster taik kuceng lak...
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2008 12:58 PM | Show all posts

Reply #49 revolusi_30's post

Movie nih Bulan 12 atau tahun depan baru nak ditayangkan...
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2008 06:37 PM | Show all posts
cehh.. badan khairat kematian bleh jadik samseng gakk?
tapi badan khairat kematian memang ganazzzzz, derang ketagih mandi mayat...wakakakak..wakakukuk..mulia kerjanya..aku rasa indon kat site lagi ganaz dr pek....a  ni...huhuuu.
Reply

Use magic Report

Post time 11-11-2008 10:34 AM | Show all posts
Khairat kematian pun boleh jadi gengster...btw..Pekida je gengster yg pakai slogan 'Amar Makhruf Nahi Mungkar"..tapi arak teguk gak...
Reply

Use magic Report

Post time 11-11-2008 10:34 AM | Show all posts
Originally posted by HangPC2 at 10-11-2008 12:58
Movie nih Bulan 12 atau tahun depan baru nak ditayangkan...

setahun lagi la...
Reply

Use magic Report

Post time 12-11-2008 10:33 AM | Show all posts
bley kasik sinopsis sket tak pasal citer tu... sapa pengarah dan pelakonnya?
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-11-2008 03:08 PM | Show all posts
Mengenal Yakuza


YAKUZA

Ya-ku-za bererti 8-9-3. Ya bermakna 8, ku 9, za 3, Ini adalah nama satu permainan terup Jepun yang menyerupai mainan terup 'Black Jack', Oichu-Kabu.

Cuma ada perbezaan antara dua jenis mainan terup ini. Dalam Oichu-Kobu hitungan kad ialah '19' sedangkan dalam Black Jack hitungannya ialah '21' mata. Tetapi, campuran 8, 9 dan 3, ialah 20. Bererti sesiapa mendapat 20 mata akan 'mati' dalam mainan 'Oichu-Kobu'. Inilah puncanya yakuza yang memberi makna hampas masyarakat. Ini tidak bermakna mereka tidak berguna kepada masyarakat mereka, cuma ahli kumpulan itu adalah manusia yang tidak cocok kepada masyarakatnya.

Asal usulnya

Kabuki-mono

Asal-usul 'yakuza' boleh disorot pada tahun 1612, apabila lelaki yang dipanggil 'kabuki-mono' (orang gila) menarik perhatian penguasa tempatan. Cara mereka berpakaian, cara potongan rambut dan gelagat mereka, sambil membawa pedang panjang telah menarik minat orang ramai.

Kumpulan kabuki-mono mempunyai perangai jijik mengganggu dan menakutkan orang ramai. Mereka sanggup menikam orang semata-mata untuk berseronok. Mereka ini adalah askar samurai yang menggunakan perkataan yang ganjil yang hanya mereka faham akan maknanya. Kerana itu pada awalannya mereka dikenali sebagai kumpulan samurai yang tidak bertuan (ronin), dan bebrapa kumpulan mereka telah merayau-rayau ke seluruhan Jepun sebagai prompak yang melakukan rompakan di kampung-kampung dan pekan kecil.

Machi-yakko



Namun demikian, yakuza pada hari ini tidak mahu mereka dikaitkan dengan sejarah kabuki-mono sebagai asal-usul mereka. Mereka lebih rela dikaitkan kepada kumpulan machi-yakko (hamba bandar).

Machi-yakko akhirnya menjadi kumpulan wira rakyat dan menerima pujian daripada rakyat kerana jasa mereka memerangi kumpulan Kabuki-mono. Tetapi, kumpulan Machi-yakko adalah kumpulan kecil yang kurang latihan dan peralatan berbanding Kabuki-mono, kerana itu kumpulan Machi-yakko itu disebuat persis kumpulan Robin Hood di Nottingham yang cuba memerangi Putera John.

Memang terdapat beberapa cerita dongeng mengenai Machi-yokko.

Kumpulan Yakuza yang ada sekarang ini muncul pada pertengahan abad ke-17. Anggotanya ialah kumpulan bakuto (penjudi) dan tekiya (penjaja jalanan). Panggilan ini adalah lambang betapa mereka mempunyai kesetiaan sesama mereka. Mereka saling melindungi terhadap bencana, termasuklah sebarang usaha yang mungkin dicetuskan oleh ahli keluarga mereka sendiri.

Pada asalnya Kabuki-mono adalah kumpulan 'shogun samurai' yang dihormati. Tetapi, apabila muncul keamanan untuk waktu yang lama, mereka kehilangan punca pencarian hidup dan merempat sana-sini.

Hampir semua ahli yakuza mempunyai latarbelakang keluarga yang miskin. Kerana itu mereka mencari perlindungan kumpulan yakuza itu, menjadikan mereka satu keluarga yang besar dengan perasaan selamat untuk terus hidup.


Asal: http://w1.313.telia.com/~u31302275/yakuza3.htm



Era Perindustrian Jepun

Apabila Jepun mulakan perindustriannya, yakuza mula mengamati perjalanan hidup orang Jepun. Mereka mula mendaftarkan para pekerja dalam industri pembinaan dan mereka yang bekerja di limbungan kapal.

Perjudian diketepikan disebabkan tindakan polis yang keras dan ganas terhadap kumpulan samseng bakuto. Sebaliknya kumpulan Tekiya terus membesar kerana kegiatan mereka tidak dianggap haram walaupun dilaksanakan secara gelap.

Inilah yang membuatkan yakuza merobah polisi kegiatan mereka dan berpihak kepada ahli politik tertentu dan pegawai kerajaan. Mereka mula bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk mendapatkan sumbangan tertentu dan untuk mengurangkan usaha polis mengganyang mereka.



Pada tahun 1925, Maharajah Jepun masih bertaraf Putera Mahkota. Pada waktu itu diadakan satu pilihanraya untuk mendapatkan pendapat rakyat mengenai fahaman demokrasi. Hasilnya menunjukkan betapa wujudnya parti komunis dan sosiolis.

Apabila Putera Mahkota naik menjadi Maharajah, dia telah dikelilingi oleh satu kumpulan anggota tentera yang tidak berapa berminat dengan perjalanan demokrasi.

Kegawatan ekonomi pada 1926, mencetuskan pelbagai kesangsiaan terhadap kegiatan ekonomi dunia barat. Beberapa organisasi gelap telah ditubuhkan untuk mengajar rakyat Jepun hal ehwal peperangan, bahasa asing, teknik pembunuhan (assassin), perasugut dan sebagainya.

Kebangkitan ultra-nasionalisme itu berterusan sehingga akhir 1930-an. Kumpulan ini telah berjaya membunuh dua orang perdana menteri dan dua orang menteri kewangan dan telah menyerang beberapa pemimpin politik dan industri.

Yakuza terus bergiat dengan menyediakan tenaga samseng dan pengajar untuk kumpulan haram ini. Kumpulan yakuza ini dipanggil 'unyoke'.


Asal: http://w1.313.com/~u31302275/yakuza4.htm



Zaman Penaklukan

Selepas Perang Dunia Kedua, ketika tentera Amerika menakluk Jepun, mereka melihat kewujudan yakuza sebagai tentangan yang paling berbahaya. Ini menyebabkan mereka menyelidik kegiatan pertubuhan itu. Mereka selesai siasatan pada 1948 dan berpendapat mereka sudah tahu semuanya dengan andaian betapa pertubuhan itu sudah dipadamkan.

Tentera Amerika telah melancarkan program mencatu bekalan makanan. Inilah yang menjadikan kumpulan yakuza menjadi kaya-raya dan semakin berkuasa. Inilah juga yang melahirkan kumpulan yang dipanggil 'gurentai' bermakna penyangak jalanan.

Kumpulan gurentai ini giat berniaga dan merompak dengan menumpukan perhatian kepada minuman keras dan barang makan di pasaran gelap. Mereka boleh dibandingkan dengan kumpulan mafia di Amerika dan pemimpin mereka laksana Al Capone.

Kumpulan Yakuza telah dipengaruhi oleh kesamsengan Amerika yang mereka pelajari daripada wayang Amerika, dan mereka mula berpakaian suit hitam dengan kemeja putih dengan kacamata hitam. Rambut pula dipotong pendek.

Yakuza menjadi lebih kasar dan ganas, sambil mengenepikan pedang panjang kegunaan samurai dulu. Mereka menggunakan senjata api sebagai alat perang mereka. Kini, bukan lagi tuanpunya kedai yang menjadi mangsa mereka. Orang biasapun boleh dirompak dan diugut untuk membayar wang lindungan.

Antara 1958 - 1963, keahlian yakuza meningkat sehingga 150% menjadi 184,000 ahli, lebih ramai daripada keseluruhan angkatan tentera Jepun, yang sudahpun dikurangkan kepada 90,000 sahaja.

Terdapat sekitar 5,200 geng samseng berasingan Yakuza di seluruh Jepun. Mereka telah melakar kawasan sempadan mereka dan inilah yang mencetuskan peperangan sesama mereka untuk memacak kuasa.

Peperangan antara geng itu telah diselesaikan oleh seorang ketua yang bernama Yoshio Kodama. Inilah yang menjadikan beliau naik mencanak sebagai raja yakuza setara dengan Al Capone.



Asal: http://w1.313.telia.com/~u31302275/yakuza5.htm



Organisasi Yakuza

Kumpulan yakuza tidak ambil kisah daripada mana seseorang itu datang, apakah negerinya ataupun apakah kelas hidup seseorang sebelum itu. Seseorang itu diterima menjadi ahli bila-bila masa. Yakuza mengambil kira orang yang dianggap hampas masyarakat. Anggota yakuza boleh jadi orang muda yang telah ditinggalkan oleh ibu bapanya, anak-anak muda yang tidak tahan dengan tekanan pelajarannya, pendatang haram daripada Korea, China dan sebagainya.

Ketua mereka yang terdekat adalah dianggap sebagai seorang bapa. Semua rakan sepasukan adalah komrad ataupun adik beradik mereka. Yakuza bukan sahaja menjanjikan persahabatan tetapi juga wang, status dan kuasa. Setiap ahli diberikan kehormatan bahawa dia mempunyai peranan khas dalam pertubuhannya, berbeza dengan aturan status dalam kumpulan samseng di Amerika Syarikat.

Memang tidak ada syarat tertentu untuk menganggotai kumpulan yakuza. Tetapi, apabila menganggotai sesuatu pertubuhan itu, ada peraturan tertentu yang mesti dipatuhi.

Seseorang yakuza mungkin berbangga kerana memainkan peranan sebagai seorang Machi-yako, yang bermakna pembantu orang ramai. Yakuza telah wujud di Jepun sebelum sebarang mahkamah rakyat diwujudkan. Ini bermakna apabila seseorang rakyat mempunyai masalah dengan anggota masyarakatnya yang tidak dapat diselesaikan oleh ketua suku kaumnya, orang itu boleh merujukkan kepada yakuza tempatan untuk bantuan. Cara masalah itu diselesaikan tentulah bersifat sesuatu yang menakutkan berbanding cara yang mungkin diselesaikan oleh polis tempatan.



Sources : http://lamankm2c.tripod.com/cgi-bin/m/KM2A1/5433.html


Reply

Use magic Report

Post time 24-11-2008 03:16 PM | Show all posts
Kongsi Gelap Melayu Di Negeri-Negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940-an



Oleh : Mahani Musa

Pengulas : DAYANG MARSYA





DI PALU PALU GENDANG TENTERA

TANDA BERBAKTI PERJUANGAN KITA

DI ALU ALU RESAM BERSAUDARA

DULU BENDERA KINI TIGA




KEMUNCULAN kongsi gelap Melayu yang paling awal di Tanah Melayu dikesan di Pulau Pinang pada pertengahan abad ke-19.

Tinjauan awal tentang kewujudan dan kegiatan kongsi gelap yang dinamakan Bendera Merah dan Bendera Putih telah dibuat oleh pegawai-pegawai British yang pernah berkhidmat di negeri itu.

Malah, kumpulan berkenaan dirumuskan oleh British hanya sebagai persatuan kampung yang ditubuhkan oleh ketua-ketua kampung yang berpengaruh bagi tujuan memulau musuh, mencari bantuan guaman bagi membantu ahli-ahli yang menghadapi masalah dengan pihak polis dan sebagainya.

Istilah kongsi gelap dalam situasi sejarah sosiol bangsa Malaysia lazimnya sinonim dengan masyarakat Cina yang dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh penjajah British.

Perihal kongsi gelap Cina di Malaya (ketika itu) sehingga selepas kemerdekaan lebih diketahui kerana ia menjadi bahan pemerhatian atau penyelidikan oleh residen-residen British yang ditugaskan di sini.

Penulisan mengenai kongsi gelap Cina di negara-negara selat atau secara ringkasnya Malaya boleh disifatkan meluas kerana British cenderung membuat perbandingan kes dengan jajahan takluk mereka lain di Hong Kong, Macau dan Singapura terutamanya, ketika itu.

Keadaan ini berbeza dengan kongsi gelap Melayu, entiti ini tidak banyak diketahui atau menjadi bahan tulisan dalam buku. Ini berkait rapat dengan apa yang dirumuskan oleh Mahani Musa dalam buku ini, bahawa British tidak berminat mencampuri hal ehwal orang Melayu.


British mencari jalan mudah dengan menyerahkan hal ehwal orang Melayu atau pribumi kepada raja-raja Melayu, sejajar dengan dasar pecah dan perintah British yang merangkumi adat istiadat dan hal-hal berkaitan agama Islam.


``Alasan lain terhadap kekurangan minat ini ialah tanggapan biasa bahawa kegiatan tersebut lebih sinonim dengan masyarakat Cina atau dalam perkataan lain, kongsi gelap bukanlah budaya orang Melayu.



Ekstrem

``Dengan tanggapan sebegini tidak wujud satu desakan di kalangan pelajar dan pengkaji sejarah untuk meninjau aspek ini walhal pada hakikatnya gejala berkomplot sulit bukanlah asing dalam kehidupan sosiopolitik orang Melayu sejak zaman-berzaman.


``Budaya berkomplot sulit ini bukan sahaja kelihatan di kalangan kaum lelaki malah juga kaum wanita. Sejarah Melayu, misalnya, memperihalkan beberapa kisah penglibatan wanita golongan kerabat dalam intrik politik di istana terutamanya berhubung pemilihan bakal sultan.

Lantaran itu, perihal kongsi gelap dalam sosiobudaya orang Melayu tidak langsung disentuh waima dalam buku sejarah di peringkat sekolah menengah di negara ini.

Seingat pengulas, paling dekat perkaitan orang Melayu dengan kongsi gelap hanyalah sebagai sahabat pakatan kongsi gelap Cina dalam Perang Larut atau perang antara pemilik lombong di Perak.


Itu pun, gengster Melayu tidak disebut sebagai anggota kongsi gelap, sekadar orang-orang raja tertentu yang memihak kepada kongsi Ghee Hin atau Hai San.


Faktor ini menjadikan kajian Mahani Musa ini, merupakan pembuka mata mengenai asal usul dan perkembangan kongsi gelap Melayu di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu antara tahun 1821 dan 1941.



Mengapa hanya di negeri utara dan bukan seluruh Semenanjung?

Jawapannya mudah, aktiviti ekonomi dan fokus British ketika itu, sememangnya di wilayah utara dengan Pulau Pinang dan Perak menjadi pintu masuk kepada generasi awal buruh import dari India dan China yang turut membawa elemen kongsi gelap masing-masing. Manakala Kedah dijajah oleh Siam yang diwakili Raja Ligor, seorang Siam berketurunan Cina dan menggunakan elemen kongsi gelap Cina dalam sistem pemerintahannya dan menangani penentangan nasionalis Melayu.

Mahani, pensyarah sejarah di Universiti Sains Malaysia mendedahkan kepada beberapa pertubuhan yang memiliki beberapa sifat tersembunyi daripada yang diisytiharkan kepada British, selaku kerajaan ketika itu.

Paling ekstrem ialah kumpulan Bendera Merah dan Bendera Putih di Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Menurut Mahani, kongsi gelap Melayu bermula sebagai persatuan kebajikan dan keagamaan, tetapi kemudian ada persatuan yang mengubah bentuk kegiatan mereka menjadi kegiatan berbau jenayah.

Profil ini sama dengan sejarah-sejarah awal kemunculan pertubuhan jenayah di lain-lain tempat di muka bumi ini seperti mafia di Sicily (untuk membela nasib penduduk tempatan daripada penindasan penjajah) dan triad di China (sebagai gerakan bawah tanah untuk menumpaskan maharaja yang dibenci).

Mujurlah entiti bendera-bendera dalam masyarakat Melayu berjaya dilupuskan dan tidak membentuk sebagai suatu igauan buruk kepada rakyat Malaysia hari ini seperti yang mencengkam Itali akibat kesuburan aktiviti mafia. Sisa-sisa aktiviti gengster Melayu Bendera Merah dan Putih di Pulau Pinang tidak mungkin Bukit Bendera.

Mahani menyorot kegiatan dua kelompok yang bertentangan ini dalam setiap acara persembahan boria, perayaan Muharam dan kegiatan kelab-kelab bola sepak.

Sebagai sebuah kajian ilmiah, Mahani mengetengahkan kajiannya daripada manuskrip silam, catatan pegawai British atau Syarikat Hindia Timur British dan juga kajian kontemporari daripada Prof. Khoo Kay Kim dan Zainal Jusoh dari Universiti Malaya.

Bagi pengulas, kajian Mahani terhadap topik yang sangat kurang ditemui dalam media popular ini adalah begitu menyegarkan dalam usaha mengkaji perihal sikap dan kecenderungan orang Melayu di zaman penjajahan sehinggalah ke hari ini.



Reply

Use magic Report

Post time 20-4-2009 01:21 PM | Show all posts


Last edited by HangPC2 on 27-8-2013 02:21 PM

Reply

Use magic Report

Post time 20-4-2009 04:08 PM | Show all posts
Aryan Brotherhood gang pn interesting gak..kt dlm prison US melambak gang ni
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-12-2024 03:07 PM GMT+8 , Processed in 1.115394 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list