KUALA LUMPUR 9 Mei - Lembaga Tabung Haji (TH) akan menambah subsidi ibadat haji tahun ini daripada RM5,575 seorang kepada RM6,175 seorang untuk jemaah muassasah yang bakal mengerjakan haji buat kali pertama.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Ismee Ismail berkata, subsidi tersebut ditambah berikutan kenaikan kos penginapan dan logistik di Arab Saudi.
Katanya, dengan subsidi tambahan tersebut menjadikan kos yang ditanggung oleh TH meningkat sebanyak RM10 juta pada tahun ini.
“TH pada tahun lalu menanggung jumlah subsidi sebanyak RM120 juta dan pada tahun ini ia akan meningkat kepada RM130 juta," katanya pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) kepada Kelab TaHa yang mencatat keanggotaan pelajar sekolah paling ramai di Malaysia iaitu 1.15 juta orang sehingga 30 April lalu.
Yang turut hadir, Pengasas dan Pengarah Urusan MBR, Datuk Danny Ooi dan Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Seri Kamaruddin Mat Ali.
Menurut Ismee, dengan penambahan subsidi itu juga membolehkan kos haji kekal pada RM9,980 seorang berbanding kos sebenar sebanyak RM16,115 seorang pada tahun ini.
“Walaupun kerajaan Arab Saudi telah menetapkan jumlah jemaah sebanyak 22,320 dari Malaysia, kita menjangkakan majoriti daripada jumlah itu akan mendapat manfaat dengan penambahan subsidi ini," katanya.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan kuota rasmi jemaah haji dari Malaysia yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 22,320 orang, kurang 20 peratus daripada kuota asal iaitu 27,900 orang.
Situasi tersebut dijangka berte-rusan sehingga 2016 iaitu selepas selesai proses pembesaran kawasan sekitar Masjidil Haram.
Dalam pada itu, Ismee berkata, Kelab TaHa yang ditubuhkan pada 2008 dan dibiayai sepenuhnya oleh TH menyasarkan golongan pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun bagi memupuk sikap berjimat cermat dan gemar menabung sejak zaman persekolahan.
“Melalui kelab ini, TH telah menganjurkan lebih 50 program setiap tahun, antaranya, pembinaan rohani, sahsiah dan kecerdasan diri," katanya.
Di samping itu, ujar beliau, Kelab TaHa juga menjadi platform kepada generasi muda di negara ini merancang untuk menunaikan ibadat haji pada usia muda.