Jangan salahkan golongan muda tidak faham Hari HolJUMAAT lalu, seluruh rakyat Pahang bercuti kerana menyambut Hari Hol. Sekolah, pejabat kerajaan dan sebahagian premis swasta menutup operasi mereka pada hari itu. Secara kebetulannya, Hari Hol tersebut itu jatuh pada hari Jumaat yang berturutan dengan Sabtu dan Ahad. Justeru, ramai warga Kuantan khususnya mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing atau bercuti ke tempat-tempat menarik sama ada di dalam atau luar negeri ini. Patutlah ketika penulis menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Bandar Indera Mahkota, Kuantan keadaannya agak lengang sedikit, tidak seperti biasa apabila jemaah melimpah hingga ke tambak jalan. Lupakan sebentar fasal cuti tersebut. Apa yang hendak didiskusikan di sini ialah mengenai Hari Hol itu sendiri. Penulis sebenarnya bukanlah anak kelahiran Pahang. Tempat kelahiran penulis ialah di sebuah negeri tidak beraja. Jadi perkataan Hol itu mungkin agak janggal bagi penulis. Ketika mula bertugas di Kuantan dua tahun lalu, penulis tertanya-tanya apa maksud Hari Hol itu yang disambut pada setiap 7 Mei. Justeru, penulis pun menanyakan beberapa rakan yang berasal dari Pahang. Malangnya, ramai yang tergaru-garu kepala tidak mengetahui maksud Hari Hol. Apa yang mereka tahu, mereka kena bercuti pada setiap 7 Mei, itu sahaja. Lantaran itu, penulis mengarahkan anak buah supaya melakukan tinjauan rambang terutama kepada golongan muda di sekitar bandar Kuantan. Jawapan yang diperoleh adalah sama. Lebih melucukan ada yang mengatakan Hari Hol ialah hari petani selesai menuai padi! Sekali lagi, apakah maksud Hari Hol itu? Kamus Dewan mendefinisikan bahawa Hol bermaksud kenduri arwah yang diadakan setahun sekali. Dalam konteks ini, Hari Hol di Pahang merupakan hari memperingati kemangkatan keluarga diraja negeri ini. Selain Pahang, sebuah lagi negeri yang turut mempunyai Hari Hol ialah Johor yang disambut pada setiap 22 November. Hari Hol diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang bermula 1974 bagi memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, Almarhum Sultan Abu Bakar iaitu ayahanda Sultan Ahmad Shah yang masih bertakhta pada hari ini. Serentak dengan hari pemakaman Sultan Abu Bakar itu, semua jabatan kerajaan negeri, Persekutuan dan swasta diarah bercuti selama sehari. Hari Hol bertujuan membolehkan majlis tahlil dan bacaan Yasin diadakan untuk memperingati kerabat diraja negeri. Kebiasaannya pada hari itu, keluarga diraja Pahang dan rakyat akan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin di Makam Diraja Pekan selain di masjid serta surau di seluruh negeri ini. Namun, bagi sesetengah masyarakat Islam di negeri ini, walaupun Hari Hol disambut oleh golongan diraja, mereka juga menyambutnya dengan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin bagi memperingati ibu bapa atau keluarga yang telah pergi. Memandangkan tahap pengetahuan sebahagian generasi muda Pahang mengenai Hari Hol amat rendah, kerajaan negeri seharusnya melakukan sesuatu supaya mereka tidak menganggap tanggal 7 Mei itu hanya untuk bercuti semata-mata. Sewajarnyalah diadakan aktiviti tertentu di peringkat negeri seperti mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin secara besar-besaran setiap kali tiba Hari Hol. Hebahan menerusi media seperti di akhbar atau radio tempatan dapat memberi penjelasan mengenai Hari Hol itu. Pendekatan itu juga dilihat dapat mendidik para remaja mendekati aktiviti keagamaan selain meningkatkan kualiti diri. Jangan dipersalahkan golongan muda semata-mata jika mereka tidak memahami maksud Hari Hol selagi golongan yang lebih dewasa tidak mendidik mereka supaya menghormati hari tersebut. Ingatlah bahawa sultan merupakan payung kepada rakyat dan Hari Hol juga perlu dianggap sebagai sebahagian daripada kehidupan rakyat negeri ini.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_03.htm#ixzz3zFtomkD3
© Utusan Melayu (M) Bhd
|