Edited by crossfire at 2-6-2017 04:29 PM
36 direman bantu siasatan kematian mahasiswa UPNM dipercayai didera
Nurfarahin Hussin
Allahyarham Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain bersama ibu bapanya.
02 Jun 2017 2:38 PM
KUALA LUMPUR 2 Jun - Sebanyak 32 mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan empat mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berusia antara 20 dan 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang mahasiswa UPNM dipercayai didera oleh rakan dengan seterika wap.
| Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain
|
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ke semua pelajar tersebut ditahan malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Permohonan reman terhadap kesemua 36 suspek telah dibuat dan mereka kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Khamis depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam seorang mahasiswa UPNM disahkan maut malam semalam dipercayai didera oleh rakan dengan seterika wap. Mangsa, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Serdang kira-kira pukul 10 malam selepas dihantar mendapatkan rawatan di hospital tersebut oleh beberapa orang rakan. Difahamkan, mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan cedera akibat melecur dan turut terdapat lebam pada tubuh mangsa. Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menzahirkan rasa sedih menerusi laman sosial Twitternya. “Saya telah arahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan UPNM untuk jalankan siasatan dalam kadar segera. Tiada siapa yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah. “Innalillah...sedih dan pilu dengar berita kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain. Al Fatihah,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/36-direman-bantu-siasatan-kematian-mahasiswa-upnm-dipercayai-didera-1.488667#ixzz4ipcghVTz
© Utusan Melayu (M) Bhd
|