“Tak tahu?,”
“Saya cuma check sendiri. Saya tak pergi klinik,”
Luqman mengeluh panjang. Di klinik tempoh hari pun dia tidak minta penjelasan terperinci tentang keadaan Najwa.
“Masih kerja?,”
Kali ini, gadis itu mengangguk.
“Sampai bila?,”
Geleng. Luqman mengeluh lagi. Sesekali terfikir kenapa sebegini besar perhatian yang dia berikan pada Najwa.
“Saya tak boleh terus kerja. Nanti semua orang akan tahu,”
“Kalau tak kerja, Najwa nak buat apa? Balik kampung?,”
Najwa menggeleng lagi.
“Nanti mak tahu. Adik-adik tahu,”
“Dah tu?,”
“Entah. Saya tak tahu. Saya rasa nak mati aje. Saya tak hidup lagi. Saya malu! Kalau mati lagi elok!,”
“Najwa… jangan macam ni,”
Najwa mencari wajah Luqman. Membiarkan air mata menitis lagi di hadapan lelaki itu. Sungguh dia hilang punca.
“Entahlah bang. Saya tak tahu nak buat macam mana bang. Saya benar-benar buntu. Perut saya, nanti mesti makin besar. Macam mana saya nak berdepan dengan masyarakat? Apa saya nak buat? Saya takut… saya takut bang… saya kotor. Saya berdosa. Pada Tuhan. Pada mak..adik-adik…Saya dah tak tahu macam mana nak hadapi semua ni,”
“Abang faham…,”
“Saya nak pergi jauh dari sini,”
“Pergi mana? Sendirian dengan keadaan Najwa macam ni?,”
“Mana-mana saja,”
“Tak nak berterus-terang dengan mak Najwa?,”
“Mak sakit. Saya tak dapat maafkan diri sendiri kalau sampai ada benda buruk menimpa mak, sebab kebodohan saya ni. Sebab kesilapan saya. Sebab dosa saya,”
“Tak takut nanti mak Najwa risau?,”
Najwa diam. Soalan itu membuat dia terfikir. Rupanya dalam tidak sedar, dia abaikan juga perasaan ibunya. Andai dia pergi tanpa bicara, pasti membuat ibunya risau. Sudahnya dia mengeluh kecewa. Juga membuat jiwanya meronta tiba-tiba. Terasa saat itu juga dia mahu sujud ke kaki ibunya.
“Saya nak jumpa mak…,”
“Abang boleh hantar Najwa, kalau Najwa nak,”
Najwa menggeleng untuk ke sekian kalinya.
“Dah banyak abang tolong saya. Cukuplah,”
Luqman cuba bersuara, namun laju gadis itu memberi alasan.
“Abang tak kisah. Abang rasa bertanggungjawab,”
“Bukan salah abang kalau adik abang tak mahu bertanggungjawab. Saya pun bersalah juga,”
Luqman merenung wajah mendung di hadapannya.
“Abang akan cuba tolong setakat yang abang mampu. Abang tak mahu Najwa rebah tanpa perlindungan,”
“Saya akan cuba untuk jadi kuat,”
Luqman diam. Kata-kata itu langsung tidak meyakinkan. Jelas di matanya Najwa sudah hilang semangat juang. Dan, mustahil dia akan biarkan gadis ini terkapai-kapai sendirian mengharungi masalah yang bukan kecil.
“Berapa umur Najwa sebenarnya?,”
“Dua puluh,”
Luqman mengeluh perlahan. Terlalu muda usia itu untuk Najwa harungi kemelut sepahit ini. Sepatutnya gadis ini sibuk mengusung buku mencari ilmu.
“Saya nak balik dululah. Tiba-tiba rasa macam tak sedap badan lah,”
“Kenapa? Najwa tak sihat ke?,”
“Saya okay,”
Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, laju belakang tangannya menyentuh dahi Najwa. Panas.
“Demam ni,”
“Sikit je. Nanti balik, saya makan panadol, okay lah ni,”Najwa bersuara sambil mengangkat punggung. Menyedari sudah ada sedikit rasa pitam mengganggunya, pantas tangannya menekan meja rehat di taman permainan tidak jauh dari rumah sewanya. Sekaligus memberi rasa loya yang teramat sangat.
“Najwa okay?,”
Tubuh Luqman yang tercegat hampir dengannya, ditolak keras. Bergerak ke arah rimbunan pokok. Memuntahkan segala makanan yang dia makan sebentar tadi. Luqman tergamam. Cuma memandang Najwa tertunduk muntah sambil menekan dada. Dalam panic, tidak tahu apa yang harus dia lakukan,
perlahan dia bergerak mendekat. Menggosok perlahan belakang gadis itu.
“Lega?,”
Tanpa memandang wajahnya, Najwa mengangguk lemah. Menahan rasa perit di tekak. Juga senak di perut. Tidak cukup dengan itu, ditambah dengan kepala yang memberat.
“Abang bawa pergi klinik lah. Check demam tu. Panas sangat badan Najwa ni,”
“Saya okay. Dah biasa. Demam kejap aje ni,”
“Pucat muka ni. Jangan degillah ya. Kita
pergi klinik,”lembut sahaja suara Luqman memujuk.
“Baru dua hari lepas abang bawa saya pergi klinik,”
“Itu sakit lain. Ini sakit lain,”
Najwa tersenyum kecil. Berusaha berdiri, sambil dibantu Luqman.
“Muntah-muntah Najwa teruk ke?,”
Najwa sekadar menggeleng.
“Biasa-biasa saja,”jawabnya perlahan.
“Kita pergi check demam tu,”
‘Abang… jangan terlalu baik macam ni. Nanti, abang tak ada, siapa nak tolong saya? Biarkan saya. Biar saya uruskan sendiri
masalah saya. Cukuplah pertolongan abang. Bukan saya tak berterima kasih. Saya bersyukur sangat-sangat sebab abang muncul saat saya macam ni. Tapi, saya tak boleh ambil kesempatan atas kebaikan abang. Tolong ya bang. Biarkan saya sendiri,”
Luqman mengeluh lemah. Tidak mahu terus mendesak.
“Okay. But, promise… kalau demam melarat, call abang. Najwa simpan nombor abang kan?,”
“Baik, bang,”
Mendengar jawapan itu, dia tersenyum.
“Jom. Abang hantar pulang,”
“Dekat saja. Saya boleh balik sendiri. Abang pergilah balik,”
Luqman mengeluh lagi. Tegak berdiri memerhati langkah Najwa yang sedikit terhoyong – hayang. Langsung tidak memberi keyakinan untuk dia membiarkan Najwa melangkah sendirian. Sudahnya dia menapak di belakang gadis itu perlahan-lahan. Membuat Najwa berpaling.
“Abang?! Tak perlu temankan saya. Saya boleh balik sendiri,”
“Abang tak temankan pun. Abang nak jalan-jalan kejap,”
“Jangan jalan belakang saya?,”
“Eh, ye ke? Tak perasan abang,”
Najwa mengerling sambil Luqman tersenyum lebar. Gurauannya berjaua menggaris senyum kecil di bibir gadis itu.
“Apa salahnya. Abang tak ganggu Najwa pun. Kan?,”dia bersuara lagi bersama senyumnya.
Jawapan yang kemudian membuat Najwa tergelak kecil. Dia tahu Luqman mahu mengawasi langkahnya. Luqman pula, tersenyum mendengar gelak keci itu. Walau pun tidak seceria mana, namun, dapat dia lihat wajah itu sedikit cerah dengan senyum.
Najwa tidak lagi membantah dan dia terus melangkah mengawasi tiap gerak Najwa. Bimbang kalau-kalau gadis itu terjatuh.
**** |