CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 17-9-2012 12:20 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 36 ~
Pukau ular tedung

Datuk anggukkan kepala. Saya lihat Mail berbisik dengan datuk. Kemudian Mail ambil burung lalu keluar. Kira-kira sepuluh minit kemudian Mail kembali. Dia tersenyum di ambang pintu. Melangkah dan terus duduk di samping datuk.

"Cepat”, kata datuk.

"Saya suruh adik saya uruskan, secara kebetulan pula dia mahu turun ke laut memancing ikan”

"Kau percaya dengannya?"

"Percaya. Dia adik saya, banyak menolong saya untuk berusaha mengubat sakit Razman”

"Tak apalah kalau dah begitu”

Datuk puas hati dengan keterangan Mail. Razman sudah tidak menggigil lagi. Datuk suruh Mail menggantikan pakaian Razman. Cepat-cepat Mail bawa Razman ke dalam bilik. Saya terkejut, bila melihat Razman keluar dari bilik memakai seluar putih, baju baru lengan panjang. Rambutnya disikat rapi dan ada jambul di bahagian depan, macam jambul seniman P. Ramlee dalam filem Hujan Panas. Melihat keadaannya itu, saya kira Razman terjumlah dalam katogeri anak muda yang kacak juga. Tingginya kira-kira lima kaki, lima inci.

"Siapa yang siapkan dirinya Mail?”

"Emak tirinya”

"Begitulah, jiwa orang perempuan ni halus. Penuh simpati dan rasa kasih sayang yang tidak mengenal batas sempadan, hanya orang yang nakal saja mengatakan ibu tiri kejam”, ujar datuk lagi.

Razman dan Mail duduk di hadapan datuk. Dengan menggunakan kebijaksanaannya datuk mencungkil rahsia dari Razman. Apa yang menjadi misteri dalam diri Razman terbuka. Dia memberikan pengakuan yang jujur pada datuk. Razman terus memberitahu yang dirinya mencintai seorang gadis. Gadis yang bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerjaraya itu tidak menolak cintanya. Dalam perkataan lain, mereka saling cinta mencintai. Razman pun membuat persiapan dengan mengumpulkan wang untuk meminang gadis tersebut. Malangnya orang tua gadis itu tidak merestui cinta mereka dan gadis itu terus ditunangkan dengan seorang pemuda yang menjadi pegawai disebuah kilang perusahaan di Kamunting. Bertolak dari peristiwa yang tidak pernah diduga oleh Razman itu, menyebabkan dia menjadi manusia separuh gila.
Bagi menghilangkan rasa sepinya, dia mula mencari ganja dan terjumpa Din Taiwan. Din Taiwan lah yang menggalakkan dirinya supaya membalas dendam. Setidak- tidaknya mencederakan muka kekasihnya atau muka tunang kekasihnya.

"Saya terpengaruh dan menuntut ilmu jahat darinya", kata Razman dengan wajah yang tenang.

Mail gelengkan kepalanya. Ada rasa kesal bermain di wajahnya.
"Sepanjang kau terbaring di sini apa yang kamu rasakan?”, tanya datuk.

"Saya sebenarnya tidak sakit. Saya berjalan ke mana-mana. Saya makan dan minum”

"Itu hanya perasaan yang kau sangka. Kau sudah jauh dikuasai oleh syaitan”, datuk merenung muka Razman.

Mail tunduk merenung lantai. Saya tidak tahu apa yang ada dalam kepala Mail. Angin yang bertiup diluar masuk ke dalam ruang tempat kami duduk. Razman menguap panjang.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 17-9-2012 12:22 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 36 ~
Pukau ular tedung


"Mail, dalam hal begini saya tidak salahkan anak awak seratus peratus. Awak siang malam duduk di masjid tetapi awak tidak pernah ambil tahu tentang diri anak awak. Apakah dia sudah belajar rukun iman, rukun Islam dan sembahyang. Segala-galanya awak serahkan pada dirinya untuk mengetahui semuanya tanpa perhatian dari awak”, ujar datuk.

"Inilah silapnya saya. Saya fikirkan bila dia dah besar dan bekerja dia tahu mencari yang baik”

"Itu satu pendapat yang silap”

"Saya berjanji hal macam ni tak akan berlaku lagi” Datuk senang sekali mendengar janji dari Mail.

Kemudian saya dan datuk pergi ke anjung rurnah. Tidak lama kemudian Razman turut serta. Datuk memberitahu Razman banyak perkara yang harus dilakukan supaya kekuatan semangat dalam diri Razman dapat dipulihkan seperti sediakala.

"Semuanya bergantung pada diri kamu. Sama ada kau setuju atau tidak”, beritahu datuk pada Razman.

Saya lihat datuk lihat Razman termenung panjang. Sebentar dia gigit bibir dan sebentar pula raba pangkal dagu. Dia bagaikan berada dalam keadaan serba salah.

"Kalau boleh saya mahu membebaskan diri dari belenggu syaitan”, Razman bersuara.

"Atas kerelaan hatimu sendiri?"

"Ya. Atas kerelaan saya sendiri”

Mendengar cakap Razman itu, datuk segera bangun. Dari ruang depan datuk memanggil Mail. Bagaikan kilat Mail datang menemui datuk.

"Biar aku pulihkan semangat anak kamu Mail”

"Memang itulah yang saya harapkan”

"Aku terpaksa tinggal di sini selama tiga hari”

"Lebih dari itu pun tak apa”, balas Mail dengan ketawa kecil.

Selama tiga hari tinggal dirumah Mail, datuk menumpukan seluruh perhatian pada diri Razman. Setiap subuh datuk membangunkan Razman, mengajak sembahyang bersamanya. Datuk juga memberikan beberapa ayat untuk Razman baca selepas menunaikan sembahyang subuh selama 44 subuh. Pada setiap petang pula, dari pukul lima ke pukul enam. Datuk mengajak Razman berlari berbatu-batu. Sepanjang masa berlari itu Razman tidak dibenarkan minum kecuali memakan pucuk jambu batu bila terasa letih.

Pada sebelah malamnya, datuk mengajak Razman membaca Surah Yasin hingga jam dua belas malam. Kemudian barulah Razman di suruh tidur di anjung rumah tanpa menggunakan bantal dan gebar. Pukul tiga pagi, datuk akan mengejutkan Razman dari tidurnya dan menyuruh Razman mandi. Sesudah mandi, Razman disuruh minum air sejuk sebanyak lima gelas besar. Waktu makan tengah hari Razman hanya dibenarkan makan nasi tujuh suap, minum air setengah cawan dan memakan ulam-ulam yang datuk buat dari dedaun kayu. Memang, Razman terasa cukup siksa menjalani rawatan yang datuk lakukan. Bila saya tanyakan pada datuk, kenapa dia lakukan hal seperti itu pada Razman yang baru sembuh dari sakit, datuk menjelaskan tujuan dia berbuat demikian untuk me¬ ngembalikan tenaga pada diri Razman di samping menguatkan semangatnya serta memulihkan rasa yakin pada dirinya sendiri.

"Ubat yang aku berikan padanya untuk memulihkan perjalanan darah dalam urat- uratnya. Dia terlalu lama baring banyak urat-urat sendinya jadi tegang dan kaku”, demikian datuk menjelaskan pada saya.

Selepas tiga hari Razman mengalami rawatan dari datuk, dia kelihatan segar. Tidak banyak mengelamun atau mudah terkejut. Dia nampak bertambah yakin pada dirinya sendiri. Dan dia mula sedar bahawa yang dirinya adalah hamba Allah yang harus ada kekuatan dalam hidup. Dan sendi kekuatan setiap orang dalam hidup ini ialah berlandaskan pada ajaran agama Islam yang dianutinya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-9-2012 12:24 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 36 ~
Pukau ular tedung

Bersandarkan pada itu, Razman merasakan dirinya berada dalam dunia baru yang serba segar. Dia merasakan dirinya cukup tenang bila sembahyang. Jiwanya terasa bersih dan murni setiap kali dia membaca Surah Yasin. Dalam dunia ini dia merasakan tidak ada yang perlu ditakutkan kecuali Allah yang Maha Besar dan Maha Mengetahui.

"Bagaimana kau sekarang?", tanya datuk pada Razman ketika mahu meninggalkan rumahnya.

Razman yang petang itu memakai baju Melayu dan kain pelikat tersenyum.

"Saya rasa diri saya cukup aman, tidak ada rasa takut atau bimbang”

"Baguslah, jangan lupakan sembahyang lima waktu. Jauhkan diri kau dari kerja- kerja yang tidak baik. Berusahalah untuk jadi orang yang berguna pada bangsa dan agama”

"Saya faham. Saya mahu membuat hidup baru”

"Itu yang baiknya”, datuk terus menepuk belakang Razman beberapa kali. Satu peristiwa yang mengejutkan petang itu ialah bila ayah Razman (Mail) memulangkan Razman pada datuk.

"Saya mahu menyerahkan Razman pada awak, kerana awak dia baik dari sakit dan insaf”

"Jangan kata begitu. Bukan kerana saya dia baik. Semuanya kerana Allah, saya cuma beriktiar”, datuk tepuk meja.

Mail terkejut dan dia mula sedar tentang kesilapan yang dilakukannya.

"Maafkan saya. Saya berhasrat dan memang niat dari mula lagi, kalau sakitnya baik, saya mahu memulangkan pada awak”, sambung Mail teratur tetapi wajahnya nampak pucat sedikit.

Datuk tersenyum.

"Tak apalah, saya saya terima hajat awak tu, mulai hari ini, Razman jadi anak angkat saya”, cukup gembira datuk berkata.

Datuk lalu mengeluarkan benang hitam dari sakunya. Benang itu di pintalnya menjadi tali yang kecil. Datuk keluar wang syiling dua puluh sen. Datuk tebuk lubang wang tersebut. Datuk sarungkan benang hitam bersama wang ke leher Razman macam menyarungkan kalung ke leher.

"Inilah tandanya kau jadi anak angkat aku Razman, jangan dicabut kecuali dia putus”, pesan datuk.

"Saya berjanji”, jawab Razman.

Petang itu juga kami meninggalkan Kampung Pinang, pulang ke tempat asal. Seminggu kemudian Razman menemui datuk menceritakan yang dirinya telah diberhentikan dari Jabatan Ukur. Razman juga menyatakan yang dia berhasrat untuk menjadi Askar Melayu dan meminta pertolongan dari datuk untuk memenuhi cita-citanya. Kerana Razman bersungguh mahu menjadi Askar Melayu, datuk pun membawa Razman menemui seorang pegawai Askar Melayu yang tinggal di Kampung Simee, Ipoh. Pegawai Askar Melayu itu berpangkat Mejar dan berasal dari Negeri Sembilan. Pegawai itu bernama Abdul Muluk (kalau tak silap) pernah menemui datuk untuk mendapatkan beberapa petua serta amalan untuk pelindung diri ketika berada di hutan memburu pengganas komunis.
Cara kebetulan pula, pegawai itu memang orang yang bertanggung jawab memilih anggota Askar Melayu yang baru.

Syarat yang diperlakukan pada setiap orang yang mahu menjadi anggota Askar Melayu ada pada diri Razman. Mejar Abdul Muluk terus membawa Razman menemui pegawai atasnya. Usaha itu berjaya dan Razman pun mengikuti latihan menjadi Askar Melayu. Malangnya, semasa menjalankan tugas, Razman terkorban apabila ditembak pengganas komunis. Jenazah Razman pulang ke kampungnya dan datuk turut serta mengkebumikan jenazah anak angkatnya.
Sejak kematian anak angkatnya itu, datuk lebih banyak menghabiskan masanya ditanah perkuburan Razman. Kadang-kadang bila bertemu dengan kawan- kawan rapatnya, datuk mela¬ hirkan rasa bangganya atas kematian anak angkatnya yang berjuang mempertahan tanahair dari ancaman pihak komunis.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-9-2012 12:25 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 36 ~
Pukau ular tedung

Pagi itu, matahari bersinar dengan terangnya. Saya sudah mengorek lebih kurang dua puluh lubang untuk menanam anak-anak pisang mas, walaupun hari baru pukul sebelas pagi. Kerja saya terganggu bila saya terdengar suara datuk memanggil nama saya dari tepi sempadan. Saya berlari ke arah datuk. Terasa juga penatnya berlari di atas tanah seluas dua ekar itu. Terpaksa berlari-Iari dengan hati-hati, kalau tersepak tunggul getah pasti tersembam ke bumi. Kalau tidak kena caranya, dahi boleh berdarah. Tanah milik datuk terletak dalam mukim Buruk Bakal.
Jaraknya dari jalanraya Kuala Kangsar-Simpang Tiga, kira- kira satu batu. Kira-kira setengah batu dari tanah datuk ialah kaki gunung yang bersambung dengan banjaran Titiwangsa.
Menurut kata datuk, banjaran gunung itu memisahkan sempadan Perak dengan negeri Pahang.

"Aku rasa ada orang yang mahu datang ke sini. Kita bersembunyi mana tahu kalau yang datang orang komunis”, kata datuk sambil membawa saya dekatnya.

Datuk ketika itu masih lagi memegang hujung kayu yang dicacakkan ke tanah. Dengan perantaraan kayu yang tercacak itu, datuk dapat mengetahui sama ada manusia atau binatang buas akan datang ke kawasan tanahnya.

"Petuanya mudah saja, kau cari pokok kayu sebesar ibu kaki yang daunnya lebat ke arah matahari terbit
dan pucuknya pula menghala ke arah matahari jatuh, kau potong dan tanamkan ke bumi arah mata angin yang datang. Tanam kira-kira setengah kaki, kau lekapkan telinga kau pada batangnya, nanti kau akan dengar tapak kaki binatang. Kalau manusia kau akan dengar suaranya”, datuk mencurahkan petua orang tua-tua pada saya.

Tanah milik datuk itu pada mulanya ditanam dengan pokok-pokok getah. Kerana pokok getah sudah tua dan tidak dapat mengeluarkan susu yang banyak, datuk tebang dengan tujuan untuk di tanam pokok pisang. Peluh terus membasihi badan datuk dengan dan badan saya. Angin yang bertiup tidak dapat menghilangkan rasa panas di badan kami.

"Mari”, kata datuk dan terus menarik tangan saya.

Kami terus bersembunyi di bawah rimbunan pokok serunai laut. Waktu saya mahu bersila di situ, tiba-tiba seekor ular tedung panggukan kepala. Saya jadi cemas.

"Jangan bergerak”, bisik datuk pada saya.

Dan saya lihat datuk mengambil daun serunai laut lalu diramasnya hingga hancur. Datuk tepuk tanah, se¬ rentak dengan itu ular tedung terus meluru ke arahnya. Cepat-cepat datuk membalingkan daun serunai laut yang diramasnya ke arah ular tedung tersebut. Ular itu bagaikan terpukau di situ. Datuk terus mengarahkan kedua biji matanya ke mata ular tedung. Datuk pukau ular tedung yang berbisa itu dengan kuasa matanya dengan badannya di atas tanah.

"Bergerak”, ujar datuk, ular itu bergerak dan terus merebahkan badannya atas tanah.

"Bangun”, perintah datuk.

Ular itu bangun.

"Jangan kacau kami. Kami mahu menumpang sebentar, tidak mahu membinasakan kamu”

Saya lihat ular itu bagaikan faham dengan apa yang datuk katakan. Datuk menyuruh ular itu pergi ke bawah rimbunan pokok serunai laut. Ular itu patuh dengan arahan datuk, menyusur perlahan- lahan arah ke selatan hingga hilang dari pandangan saya dan datuk.

"Meniarap”, kata datuk pada saya.

Saya pun rebahkan badan dan datuk juga berbuat demikian. Saya lihat beberapa ekor semut api dan belalang merayap atas daun serunai laut. Bunyi deru angin jelas kedengaran bersama dengan bunyi ranting-ranting kering jatuh ke bumi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-9-2012 11:03 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 37 ~
Terkena badi belibis

Matahari terus memancar. Sesekali terdengar suara burung tekukur dan merbuk tingkah meningkah di dahan kayu. Beberapa monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan. Lama juga kami meniarap, saya sudah merasa bosan dan lemas. Maklumlah mencium bau daun dan tanah.

"Mereka sudah hampir”, kata datuk.

Saya angkat kepala, toleh kiri, toleh kanan. Tidak ada batang tubuh manusia yang lihat. Saya lihat muka datuk. Dia senyum dan dia bagaikan tahu apa yang bergolak dalam diri saya.

"Cuba renung ke depan”, bisik datuk.

Saya pun renung ke depan. Dari celah-celah daun serunai laut itu, saya lihat tiga manusia datang ke arah kami. Dua daripadanya membawa senapang kampung laras dua. Seorang lagi membawa kayu bulat kira-kira enam kaki panjangnya. Sambil melangkah mereka merenung ke kiri dan ke kanan macam mencari sesuatu. Akhirnya, mereka terus duduk atas tanah datuk.

"Keluar”, kata datuk.

"Ke mana?" tanya saya.

"Rapat pada mereka”

"Merbahaya tu tok”

"Kau ni suka sangat bantah cakap orang, ikut saja sudahlah”, datuk mula marah dan menarik saya keluar dari bawah rimbunan daun serunai laut.
Datuk suruh saya berdiri sambil meletakkan tapak tangan kanan atas bahagian punggung.

"Jatuhkan tangan itu dan melangkah perlahan-lahan”, perintah datuk saya patuhi.

Kerana kami melangkah begitu hati-hati dan datang pula dari arah belakang, ketiga-tiga manusia yang duduk itu tidak sedar kami sudah menghampiri mereka. Datuk pura-pura batuk. Ketiga-tiga manusia itu melompat dan terkejut besar. Salah seorang daripada mereka menghalakan muncung senapang itu.

"Kerana awak berniat mahu menembak lepaskan tembakan itu”, kata datuk.

Orang itu tergamam melihat wajah datuk yang di basahi peluh. Senapangnya terlepas dari tangan, datuk terus menyambarnya. Melihat senapang sudah berada di tangan datuk, kawannya yang seorang lagi jadi cemas. Kawannya itu merasakan keselamatan dua orang kawannya dalam bahaya dan tanpa berfikir panjang orang itu menghalakan hujung senapangnya ke arah datuk lalu menarik pemetik senapang. Senapang itu tidak berbunyi dan mengeluarkan peluru walaupun pemetiknya ditarik berkali-kali. Melihat keadaan yang ganjil itu, orang itu jadi cemas. Mukanya pucat.

"Saya tidak berniat jahat pada awak semua. Kenapa mahu menembak kami? Awak bertiga masuk ke tanah saya”, beritahu datuk pada orang ketiga.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Datuk memulangkan senapang di tangannya kepada orang yang berhak.

"Saya bukan musuh. Saya bukan komunis yang mesti awak takutkan”, tambah datuk lagi.

Saya lihat orang bertiga menarik nafas panjang. Mereka bersalam dengan datuk minta maaf. Datuk pula minta mereka melepaskan tembakan ke udara kerana menurut datuk, peluru senapang itu harus dikeluarkan kerana itu adalah merupakan niat dari tuan punya senapang. Kalau tidak dilepaskan senjata itu akan memakan tuannya sendiri. Berpandukan pada petua datuk itu, kedua lelaki yang memiliki senapang berlaras dua melepaskan tembakan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-9-2012 11:05 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 37 ~
Terkena badi belibis

Gema dari tembakan itu menguasai seluruh kawasan di pinggir banjaran gunung Titiwangsa yang mengakibatkan monyet- monyet liar bertiampiaran lari, melompat dari dahan ke dahan. Dedaun getah muda dan tua berguguran. Suasana di kawasan tersebut jadi haru- hara. Bila suasana sudah tenang, datuk pun mengajak ketiga- tiga orang itu bersila di atas tanah. Kerana kami ada membawa air kopi dan goreng pisang datuk pun menjamu mereka. Rasa kemesraan terjalin antara kami dengan orang bertiga. Saya merenung ke arah lelaki yang berbadan tegap, berambut panjang dengan parut besar melintang atas dahinya. Dia kelihatan resah tidak menentu macam ada sesuatu yang dibimbangkannya. Tetapi, dua orang lagi kawannya tidak begitu resah atau bimbang.

"Ceritakan pada saya”, datuk mengajukkan pertanyaan pada orang yang berbadan tegap itu.

Orang itu kerutkan dahinya lalu memandang kepada dua orang kawannya. Dan kawannya memberikan isyarat supaya menjawap apa yang di soal datuk.

"Kami mencari kawan kami yang ghaib tiba-tiba waktu menembak burung belibis”, lelaki berbadan tegap membuka rahsia.
Datuk anggukkan kepala sambil melihat langit yang cerah dan bersih.

"Di mana?"

"Di kolam dekat kaki gunung waktu senja”

"Bila hilangnya?"

"Kira-kira dua hari yang lalu”

"Awak semua ni dari mana?"

"Kami dari Talang, Kuala Kangsar”

"Jauhnya mencari burung belibis”

"Ada orang yang diberitahu kami di situ tempat burung belibis mandi senja”

Datuk menarik nafas panjang. Datuk menikam-nikam tanah dengan ranting getah. Orang bertiga itu melihat sahaja telatah datuk. Wajah orang bertiga itu jadi pucat bila datuk memberitahu mereka, sejak lepas perang Jepun, sudah tujuh orang ghaib di kaki gunung itu kerana menembak burung belibis. Kehilangannya tidak dapat dikesan oleh sesiapa pun.

"Masuk kawan awak ini, sudah jadi lapan orang”, ujar datuk sambil menyapu peluh yang berkumpul dipangkal dagu dengan tapak tangan kiri.

Orang bertiga berpandangan sesama sendiri. Saya melihat ke arah lubang yang baru saya korek.

"Kalau kami tak jumpa, kami nak buat sembahyang ghaib”, mendadak sahaja orang berbadan tegap bersuara sambil menggosok laras senapangnya.

Saya tahu bila datuk merenung awan berarak, ertinya dia mencari ke arah mana tiupan angin itu menuju. Datuk tersenyum, dia sudah menemui apa yang di carinya.

"Awak semua berhajat benar nak menemui kawan awak yang hilang tu”, tanya datuk minta kepastian.

"Memang berhajat. Kami mahu mencari mayatnya untuk disempurnakan pengebumiannya sebagai seorang Islam. Pihak warisnya berharap benar pada kami mencarinya”, jawab orang berbadan tegap.

Belibis ialah sejenis burung yang bentuk badannya hampir serupa dengan itik biasa. Tetapi ukurannya lebih kecil. Biasanya terbang berkawan dan mencari makan di bekas-bekas lombong dan paya yang terpencil. Dagingnya boleh di makan oleh orang Islam dan rasanya lebih kurang macam daging ayam hitam. Datuk terus berpeluk tubuh. Rapatkan kedua belah matanya dan mulutnya membaca sesuatu. Datuk bertafakur lebih kurang dua minit. Dia muka mata kembali, renung wajah orang bertiga dengan tenang.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 20-9-2012 11:07 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 37 ~
Terkena badi belibis

"Sebenarnya kau orang masuk kawasan orang lain. Kawan yang hilang tu namanya Usman, ada isteri dan anak. Satu anaknya bekerja sebagai kerani Jabatan Parit dan Taliair di Kuala Kangsar, umurnya baru 32 tahun”, demikian datuk memberi keterangan tentang orang yang hilang.

Orang bertiga besar mengakui apa yang datuk katakan itu memang benar.

"Apa dia ditawan oleh komunis?" tanya orang berbadan tegap.

"Tidak, ada di kawasan kolam tinggal tu”

"Masih hidup lagi ke?"

"Susah nak cakap”, balas datuk sambil tersenyum.

Datuk dan orang bertiga mengadakan perundingan dan datuk pula bersedia memberikan khidmatnya untuk membantu mereka. Supaya kerja yang akan dilakukan berjalan lancar, datuk mengajak mereka tinggal di rumah datuk. Tawaran datuk itu mereka terima. Datuk pun mengadakan rundingan kilat dengan orang bertiga. Datuk bersedia memberikan khidmatnya bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi. Tawaran dari datuk yang tidak pernah mereka duga itu amat mengembirakan mereka.

"Kita akan mencari orang yang ghaib tu dua hari lagi. Kita mulakan pada sebelah petang dan kita mesti berada di tepi kolam tempat belibis turun sebelum waktu senja”, datuk meluahkan rancangan pada orang yang tergonggok di hadapannya.

Ada beberapa persediaan yang perlu datuk adakan. Orang bertiga itu perlu dibekalkan dengan beberapa tangkal tertentu bagi menghindarkan diri mereka dari diresapi semangat penunggu kolam. Lebih kurang pukul satu petang, kami pun sampai dirumah. Datuk menyuruh orang bertiga mandi di sungai. Saya terus memberitahu nenek supaya memasak nasi dan sayur lebih dari biasa. Ada tetamu baru yang harus di jamu makan sampai kenyang. Bila selesai sembahyang Zuhur, kami pun terus makan. Memang enak makan pucuk ubi bersama gulai lemak pucuk labu dan nasi dari padi huma. Lepas makan saya terus tersandar di dinding rumah. Datuk menyuruh salah seorang dari orang bertiga itu pulang ke tempatnya untuk memberitahu pada orang- orang ditempatnya yang diri mereka berada dalam keadaan selamat.

"Biarlah saya saja yang pergi”, orang yang berbadan tegap itu menawarkan diri.

Tidak ada bantahan dari kawan-kawannya yang lain. Orang itu pun segera berangkat dengan janji dia akan sampai ke rumah datuk sebelum tengah hari keesokannya. Lepas sembahyang Asar, datuk terus mengajak kenalan barunya berborak di bawah pokok manggis. Sedang asyik berborak, dua orang anak muda datang menemui datuk. Datuk terkejut dengan kedatangan anak muda yang tidak di kenalinya itu. Rasa terkejutnya itu segera hilang dari dari hati datuk, bila salah seorang anak muda itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Rahman Hitam datang dari Parit Terachi, Negeri Sembilan.

"Kami sebenarnya mengelilingi tanah semenanjung dengan berbasikal, singgah ke sini nak jumpa Mohammad Ramli, kawan saya sama-sama belajar di Ipoh dulu”,kata Abdul Rahman Hitam yang berbadan kurus.

"Di Ipoh belajar di mana?",soal datuk.

"Trade School, macam Ramli”

"Macam mana tahu rumah ini?"

"Ikut alamat yang diberi oleh Ramli”

"Ramli itu cucu saya, dia baru dua hari pergi ke Segamat”

"Apa halnya?"

"Kerja. Dia jadi juruteknik rendah JKR di sana”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-9-2012 11:09 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 37 ~
Terkena badi belibis

Abdul Rahman Hitam termenung panjang. Rasa hampa terbayang di wajahnya. Datuk terus menepuk bahu kanan Abdul Rahman dua kali, sambil menjeling ke arah kawannya yang duduk atas bangku panjang bawah pokok manggis.

"Sabarlah. Satu hari nanti kau akan berjumpa juga dengannya”, ujar datuk.

"Dia kawan baik saya, dah lama kami tak jumpa”, keluh Abdul Rahman sambil menggigit ibu jari kiri.

Datuk pun memperkenalkan saya dengan Abdul Rahman Hitam. Datuk memberitahu padanya, saya adalah salah seorang daripada cucunya yang dipelihara sejak berusia sebulan. Dan Abdul Rahman memberitahu saya, dia salah seorang pekerja syarikat lombong besi iaitu EMMCO di Bukit Besi, Terengganu. Dia dihantar oleh syarikat tersebut belajar ke Trade School Ipoh mengikuti kursus jurutera selama tiga tahun. Di Ipoh dia berkenalan dan berkawan rapat dengan sepupu saya Mohammad Ramli. Bila dia tamat belajar dia terus berhenti dari menjadi pekerja dengan syarikat tersebut. Abdul Rahman mahu meneruskan cita-cita mengelilingi dunia dengan basikal dan mahu menetap di Jerman Barat di samping meneruskan pelajarannya di bidang kejuruteraan. Tidak lama Abdul Rahman bercakap dengan datuk dan saya, kira- kira satu jam sahaja.

Kemudian Abdul Rahman Hitam dan kawannya meneruskan perjalanan ke utara. Bila selesai mengelilingi tanah semenanjung, dia akan mengelilingi dunia pula. Tetapi sejak petang itu cerita tentang diri Abdul Rahman Hitam tidak saya ketahui. Apakah dia berjaya dalam cita-citanya atau dia masih hidup lagi kini, saya pun tidak tahu. Malah, sepupu saya pun tidak pemah menyebut tentang dirinya.

"Dia anak muda yang bercita- cita besar”, kata datuk pada saya sebaik sahaja Abdul Rahman dan kawannya meninggalkan kawasan rumah.

Suasana petang itu cukup damai. Langit cerah dan angin bertiup lemah tetapi, mampu menggugurkan daun-daun manggis yang tua. Datuk mengajak dua orang kenalannya itu pergi menjala ikan di sungai untuk di buat lauk makan malam. Kenalannya itu setuju. Saya dengan nenek pula pergi ke sawah melihat dan memetik buah terung dan mentimun yang ditanam atas batas bendang. Sebelum menjelang waktu Maghrib kami berkumpul kembali di rumah. Pada sebelah malam membawa ke waktu subuh datuk menghabiskan masanya dengan membaca Al- Quran.
Pada sebelah paginya, datuk mengajar kedua kenalannya cara membaling buluh runcing supaya tepat pada sasarannya. Menurut datuk, perkara itu perlu untuk mereka bila masuk ke dalam hutan kelak. Datuk tidak mahu mereka menggunakan besi jika berhadapan dengan binatang buas. Masa yang ditetapkan pun tiba. Datuk sudah pun mengikat benang hitam bercampur putih pada pergelangan tangan kiri kedua orang kenalannya, manakala kenalan yang berbadan tegap pula datuk gantungkan benang hitam bercampur putih di lehernya.

"Kau aku jadikan harapan”, kata datuk pada lelaki yang berbadan tegap itu.

Datuk menyerahkan pada mereka buluh kuning sepanjang tiga kaki, tiap seorang. Datuk melihat matahari di langit. Dia membaca sesuatu dan melangkah tiga tapak ke depan lalu memacakkan buluh kuning yang dibawanya kesitu. Datukpun menyukat bayang buluh itu dengan tapak kaki kanannya. Dia merenung wajah saya dan orang bertiga dengan tersenyum.

"Dah pukul lima lebih, eloklah kita pergi, semua barang- barang dah siap?", datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki yang berbadan tegap.

"Dah”, jawab lelaki itu.

"Periksa lagi sekali. Kita terpaksa bermalam dalam hutan, kalau tak kena caranya, kita pula yang sesat”

"Ah, seram juga dengarnya. Biarlah saya periksa”

Lelaki berbadan tegap itu terus memeriksa barang- barang yang akan dibawa sekali lagi. Dia yakin, semua barang yang diperlukan oleh datuk sudah ada. Tetapi datuk tidak puas hati, dia sendiri memeriksa barang-barang itu bagi kali terakhir.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-9-2012 11:13 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 37 ~
Terkena badi belibis

"Saya puas hati”, katanya pada kami.

Tanpa banyak bicara datuk meninggalkan pesan pada nenek, kalau dia tidak pulang dalam masa tiga hari, dia minta nenek memberitahu orang-orang kampung supaya mencarinya. Nenek berjanji akan melaksanakan semua pesan datuk, dan nenek memberikan doa selamat atas keberangkatan rombongan kami pada petang itu. Bila sampai ke gigi hutan, datuk menyuruh lelaki berbadan tegap dan berambut panjang jadi kepala jalan.
Pada mulanya lelaki berbadan tegap itu enggan memenuhi permintaan datuk dengan memberi berbagai-bagai alasan.

"Jangan takut, aku tak membiarkan kamu susah, aku ada bersama kamu. Aku ingat kamu ikut saja cakap aku ni. Kamu sudah biasa datang ke sini, ini lebih memudahkan kita, cepat sampai ke tempat yang dituju," suara datuk mula keras.

"Saya ..... saya"

"Usah berdalih lagi. Jalan saja. Kalau aku jadi kepala jalan lambat sampai nanti. Semua kerja kita tak menjadi"

"Baiklah"

Lelaki berbadan tegap yang berambut panjang itu membawa kami masuk ke kawasan hutan sebelah kanan. Saya mula terasa sukar untuk melangkah. Kaki saya selalu sahaja tersepak akar- akar kayu. Pokok-pokok besar yang terdapat di situ semuanya dililit oleh akar yang berjuntaian, sesekali saya melihat ular daun memanjat akar menuju ke dahan pokok besar. Nyamuk mula terasa menggigit muka dan telinga, manakala pacat hutan berkeliaran di daun-daun kayu dan cuba memanjat tubuh kami. Bunyi burung- burung hutan yang bersahutan membuat bulu tengkuk saya meremang. Beberapa ekor pelanduk melompat-Iompat di celah- celah perdu pokok besar.

"Jangan anaiyakan binatang itu, dia mahu hidup," pesan datuk bila dia melihat lelaki berbadab tegap mahu melontarkan buluh runcing ke arah binatang tersebut.

Lelaki berbadan tegap itu segera minta maaf pada datuk. Matahari bertambah condong. Perjalanan menjadi bertambah sukar. Lelaki berbadan tegap dua tiga kali tersungkur akibat tersepak akar kayu.

"Jauh lagi ke ?", tanya datuk pada lelaki berbadan tegap.

"Tak jauh lagi, lebih kurang lima rantai dari sini"

"Tak apalah," balas datuk sambil meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba lelaki berbadan tegap itu berhenti melangkah. Mukanya pucat dan undur mendapatkan datuk. Keadaan jadi kelam kabut sebentar. Seekor harimau duduk mencangkung di hadapan kawasan yang akan kami lalui. Datuk tersenyum dan memaksa lelaki berbadan tegap itu mara. Ternyata lelaki berbadan tegap itu tidak berdaya melangkah. Dia jatuh terjelupuk. Kedua orang kawannya bersedia untuk lari tetapi dihalang oleh datuk. Perbuatan datuk itu menimbulkan kemarahan pada mereka dan mereka menghalakan buluh runcing ke arah datuk.

"Awak berdua jangan nak buat kurang ajar dengan saya”, datuk mula marah.

Saya menggigit bibir dan terus duduk di pangkal pokok besar sambil memerhati dengan teliti kearah harimau. Saya lihat harimau itu menjelirkan lidahnya dan terus menguap.

"Awak nak aniayakan kami!”, jawap salah seorang dari mereka.

"Aniaya apa, saya nak tolong awak”

"Harimau ada di depan awak suruh pergi”

"Apa salahnya?”

"Awak nak suruh kami mampus!”, pekik orang itu lalu merodokkan buluh runcing ke perut datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-9-2012 11:17 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 37 ~
Terkena badi belibis

Buluh runcing itu tidak dapat menembusi perut datuk. Orang itu jadi serba salah. Bila orang itu mencuba merodok perut datuk untuk kali yang kedua, harimau yang ada di hadapan melompat dan terus merebahkan orang itu ke bumi.

"Jangan”, pekik datuk.

Harimau itu tidak jadi mencakar muka orang itu dengan kukunya. Datuk menepuk kepala harimau itu dua tiga kali. Saya lihat harimau itu dengan penuh manja menjilat lengan datuk.

"Kau tahu aku ke sini”, kata datuk.

Harimau itu goyangkan ekornya sambil mengesel- geselkan badannya pada kaki datuk.

"Merbahayakah aku ikut sini?", tanya datuk pada harimau.

Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh datuk. Dia mengaum dengan perlahan lalu memusingkan kepalanya dari arah matahari terbit ke arah matahari jatuh.

"Kita ikut arah yang ditunjukkannya”, kata datuk pada saya.

Datuk menyuruh lelaki yang mahu menikamnya dengan buluh runcing bangun. Begitu juga dengan lelaki yang berbadan tegap. Kali ini saya lihat gerak-geri lelaki bertiga itu kian bersopan dan menghormati datuk. Mereka tidak berani memandang wajah datuk. Saya tidak tahu apakah perbuatan itu kerana malu atau kerana mereka takut pada datuk.

"Biar aku jadi kepala jalan, kalau ada di antara kita berniat jahat, jangan marahkan aku bila menerima padahnya”, datuk mengingatkan lelaki bertiga.
Mereka diam dan tunduk.

"Untut, kau jaga kami dan bawa kami ikut jalan selamat”, kata datuk.

Harimau yang berada beberapa ela di hadapan datuk segera menghampiri datuk dari rusuk sebelah kiri. Harimau itu mencium badan datuk dan menjilat tangan kiri datuk sebelum berlari ke depan semula. Kami terus mengekori harimau itu. Sebaik sahaja sampai ke satu kawasan lapang harimau itu terus ghaib. Datuk berdiri di kawasan lapang itu sambil merenung ke kiri dan ke kanan. Kiri kanan kawasan lapang itu di tumbuhi oleh pokok -pokok buluh.

"Kita dah sampai”, secara mendadak sahaja lelaki berbadan tegap bersuara.

Dia terus berdiri dekat datuk. Tiba-tiba kami terdengar kokok ayam hutan bertalu- talu. Daun-daun buluh yang tua berguguran meskipun angin tidak bertiup ketika itu. Saya merenung di bahagian kawasan lapang yang ditumbuhi pokok-pokok buluh. Ternyata pokok-pokok buluh itu bersambung dengan kawasan hutan yang tebal hingga ke kaki Gunung Titiwangsa.
"Mana kolamnya?", datuk menyoal lelaki berbadan tegap.

"Mari kita ke hadapan lagi”, jawabnya.

Datuk pun mengikutinya. Saya mula terasa sakit pada pergelangan kaki. Badan mula terasa letih tetapi saya paksakan juga melangkah menuju ke tempat yang di cari.

"Di sini”, jerit lelaki berbadan tegap.

Dan saya melihat sebuah kolam terbentang di hadapan mata dengan airnya yang cukup jernih. Di permukaaan kolam terdapat pokok teratai dan kiambang terapung- apung. Anak-anak ikan yang melompat mencipta alun kecil yang menghempas pada batang teratai. Suasana terasa nyaman dan sunyi sekali. Datuk segera memerintahkan kami mencari tempat yang sesuai untuk tempat duduk. Datuk dan lelaki berbadan tegap itu terus mengelilingi kolam tersebut. Sesekali saya terdengar suara harimau mengaum yang memberikan keyakinan pada saya bahawa kami berada dalam keadaan yang selamat. Saya lihat langit yang terbentang. Awan berselisih bersama pancaran matahari yang membekalkan keadaan yang samar-samar di sekitar kawasan kolam.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-9-2012 11:20 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 37 ~
Terkena badi belibis

"Pukul berapa?", tanya saya pada salah seorang kenalan datuk yang duduk dekat saya.

Orang itu segera melihat jam tangannya.

"Lagi lima minit pukul enam setengah”, katanya.

"Kalau di luar keadaan tak macam ini”

"Tentulah kita sekarang berada di tengah hutan, pokok-pokok besar ini melindungi sinar matahari”

"Betul cakap awak tu”, tingkah saya.

Kami berbalas senyum. Kawannya yang seorang lagi membakar ranting-ranting kayu untuk di buat unggun. Asap yang datang dari unggun itu menghalau nyamuk dari menggigit kami. Datuk dan lelaki tegap tu masih lagi mengelilingi kolam. Saya terus duduk mencangkung macam Cina kalah judi. Saya masih memikirkan bagaimanakah rupa dan bentuk burung belibis itu. Tanpa saya sedari, datuk dan lelaki berbadan tegap itu sudah berdiri di belakang saya. Datuk merenung ke tengah kolam macam mencari sesuatu. Semua orang yang berada di situ diam tidak berkata melihat keadaan datuk.

"Di mana hilangnya?", tanya datuk pada lelaki berbadan tegap.

"Di situ”, lelaki berbadan tegap itu menunjuk ke arah sebuah busut jantan yang tidak jauh letaknya dari perdu buluh.

Datuk anggukkan kepala. Datuk mengeliat dan menguap panjang, kemudian terus duduk dekat perdu buluh. Datuk termenung panjang di situ. Suasana yang tenang dan damai itu dipecahkan oleh bunyi suara azan. Kami berpandangan sesama sendiri. Kami tidak tahu dari arah mana suara azan itu datang. Bila suara azan itu ghaib, datuk segera bangun menuju ke bibir kolam. Datuk benamkan tangan kirinya ke dalam air kolam kira-kira dua tiga minit. Datuk buat tidak kisah tentang suara azan yang didengarinya itu.

"Kalau siapa nak mandi boleh mandi, tapi jangan pergi jauh”, ujar datuk pada kami.

Dia terus memacakkan buluh kuning yang di bawanya dalam kolam. Datuk terus basuh muka sambiI mulutnya bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Keadaan di sekitar kawasan kolam bertukar dari samar-samar menjadi gelap. Bunyi burung- burung hutan mula kedengaran tingkah meningkah antara satu sama lain. Datuk terus memandang ke arah saya dan kawan- kawannya.

"Siapa yang mahu mandi, silalah turun”, suara datuk lembut.

Tidak ada seorang pun yang mahu memberi jawapan atas pertanyaan datuk itu, masing masing membatu dengan wajah cemas. Datuk pun beredar dari bibir kolam, berdiri dekat unggun api.

"Kalau mahu mandi, jangan lepas dari kawasan buluh yang aku pacakkan tu”, tambah datuk sambil membuka baju.

"Saya tak mahu mandi”, tiba- tiba lelaki berbadan tegap bersuara.

Dan dua orang lagi rakannya juga memberikan jawapan yang sama. Datuk tersenyum sambil membuka seluar dan membelitkan kain basahan ke pinggangnya. Datuk terus terjun ke dalam kolam. Setelah selesai mandi dan menyarungkan kain dan baju ke tubuhnya, datuk terus ambil air sembahyang. Bila melihat datuk berbuat demikian kami terus ambil air sembahyang.

Kami pun sembahyang Maghrib dan datuk jadi imamnya. Tidak ada sesuatu pun yang mengacau kami ketika itu. Bila selesai memberi salam, saya lihat ada harimau duduk tertungguk berhampiran perdu buluh. Bila datuk selesai membaca doa, harimau tersebut terus ghaib. Datuk tukar pakaian. Dia menyarungkan seluar dan baju hitam ke tubuhnya. Datuk lilit kepalanya dengan kain merah dan mendongakkan kepalanya ke langit, melihat langit dan awan kira-kira dua tiga saat.

"Kau yakin tempat ini belibis turun?”, soal datuk pada lelaki berbadan tegap.

Lelaki itu anggukkan kepalanya. Datuk kerutkan kening, dia terasa sudah cukup lama menanti, sedangkan belibis tidak juga turun bermain dalam kolam. Datuk terus berpeluk tubuh sebentar. Sepasang matanya tertumpu kepada air kolam yang tenang itu.

"Baiklah, kita mulakan sekarang. Jangan ada di antara kamu menegur apa yang aku buat”, datuk mengeluarkan perintah dan dia terus duduk bersila.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-9-2012 11:21 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 37 ~
Terkena badi belibis

Kami pun segera mencari tempat duduk yang sesuai. Datuk terus menekan bumi dengan ibu jari kiri. Tiga kali berturut-turut dia melakukan perkara itu. Kemudian datuk pun meletakkan kedua lengannya atas kepala lutut kiri dan kanan. Mulutnya membaca sesuatu dan kedua belah matanya dirapatkan. Datuk menumpukan seluruh pancainderanya ke alam ghaib. Anehnya, saya lihat datuk berkali-kali menggelengkan kepalanya dan berusaha dengan sedaya upayanya menyatukan seluruh perasaannya dengan alam ghaib. Wajah datuk terus berpeluh. Suara burung hantu mula kedengaran.

Pokok-pokok buluh bergoyang dengan sendirinya macam dilanda ribut besar. Bermacam jenis suara mula kedengaran. Ada suara orang bertempik, ada suara orang membaca syair bersama paluan gendang.

Bila suara itu hilang, seekor ular sawa sebesar batang kelapa merayap di hadapan kami. Ular sawa itu menuju ke arah datuk lalu membuka mulutnya di belakang datuk. Badan datuk bagaikan berada dalam rahang ular itu. Manakala bahagian badan ular pula melingkari kawasan datuk duduk, tetapi, datuk tidak menghiraukan semuanya. Kenalan datuk yang bertiga tidak dapat berkata apa-apa, wajah mereka pucat. Beberapa saat kemudian ular itu ghaib. Air dalam kolam pula berkocak. Kemudian berhenti, suasana kembali aman. Tidak ada sebarang keganjilan berlaku. Semuanya seperti keadaan biasa. Datuk berhenti dari tugasnya. Datuk nampak resah sekali, wajahnya yang bermandi peluh nampak merah. Saya terus menyuruh lelaki berbadan tegap menyalakan lampu gasolin.

Tergesa-gesa dia membuka bungkusan yang di bawanya. Dia keluarkan lampu gasolin dan minyak tanah lalu memasangnya. Cahaya gasolin menerangi seluruh kawasan tanah lapang. Datuk menggaru pangkal kening kirinya berkali-kali. Sesekali dia merenung ke arah busut jantan.

"Susah. Dia sudah tidak bernyawa lagi”, keluh datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2012 12:16 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 38 ~
Suara azan dari dalam kolam

“Dapat mayat nya pun jadilah”, sahut lelaki berbadan tegap.

Datuk angguk kepala dan tersenyum dalam cahaya gasolin yang memancar garang.

"Baiklah, kalau dah begitu hajat kamu”, nada suara datuk cukup lembut.

Dia menyuruh saya memadamkan lampu gasolin.

"Memadailah dengan cahaya unggun saja”, bisiknya pada saya.

Datuk bangun dan terus menghentak tumitnya ke bumi berkali-kali. Datuk menggigit bibirnya sambil melangkah tiga tapak ke depan dan undur tiga tapak. Kemudian berdiri macam patung dengan kedua belah tangannya terletak atas dada.

"Ada kamu dengar sesuatu?”, datuk bertanya pada kami.

"Tak ada”, jawab kami serentak.

Datuk menggigit jari. Saya lihat apa yang datuk lakukan semuanya tidak kena. Macam ada sesuatu yang menghalangnya. Datuk terus bertafakur beberapa saat. Akhirnya, dia membongkok dan menumbuk bumi sebanyak tiga kali berturut- turut. Bunyi bumi yang ditumbuk oleh datuk jelas kedengaran. Lepas itu tidak ada apa yang kedengaran lagi.

Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara burung. Saya terus toleh kiri dan toleh kanan. Bila saya melihat ke arah kolam, dada saya berdebar-debar. Seluruh kolam itu sudah dipenuhi dengan burung belibis. Burung-burung itu mandi sambil membelai bulunya dengan asyik. Datuk masih bertafakur. Mulutnya bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Suara orang mengilai kedengaran lagi. Pokok- pokok sekitar kolam mula bergoyang dirempuh angin.

Serentak dengan itu terdengar suara gadis membaca ayat- ayat suci. Bila suara gadis itu hilang, seekor burung belibis hitam terbang dipermukaan air dan akhirnya hinggap diatas dahan pokok yang menjulur ke atas kolam. Angin pun berhenti bertiup. Mata burung belibis yang bertenggek atas dahan itu bagaikan merenung ke arah kami. Dari atas dahan itu burung belibis hitam terbang ke arah busut jantan dan hinggap di situ. Datuk masih lagi membaca sesuatu. Seluruh badannya dibasahi peluh. Saya terus menahan nafas, saya tidak mahu bunyi tarikan nafas saya akan mengganggu datuk yang sedang menjalankan tugasnya.

Malam pekat terus menguasai sekitar kawasan kolam. Burung belibis yang hinggap di busut jantan terus hilang dari pandangan mata saya. Bunyi bising mula kedengaran bercampur dengan suara petir, bumi bagaikan bergegar. Saya terus berdoa semoga jangan terjadi gempa bumi atau puting beliung. Saya lihat datuk mula bergerak kearah busut jantan. Kami bergerak mengikut datuk dengan hati- hati. Kami menarik nafas panjang. Di atas busut jantan tertonggok satu lembaga yang besar. Duduk bersila dengan kedua belah tangannya mendakap dada. Lembagayang berkulit hitam tanpa baju itu bagaikan sedang menghening cipta atau bertafakur.

Datuk terus mara ke arahnya. Lebih kurang dalam jarak lima kaki darinya datuk terus berhenti. Kami jadi resah . Tetapi, tidak seorang pun yang berani menyatakan keresahan masing-masing.

"Pergilah ke kolam itu semula, tepuk airnya tujuh kali kemudian sapukan ke muka, dengan berbuat begitu saja mayat orang yang hilang itu akan timbul”, kami terdengar suara lelaki.

Suara itu parau dan bernada keras. Saya yakin suara itu keluar dari mulut datuk. Rasa ragu yang timbul di hati saya itu segera hilang. Suara itu adalah suara lembaga yang duduk atas busut jantan tetapi, telah di pindahkan ke dalam diri datuk. Ertinya datuk sudah berjaya mempersatukan perasaannya dengan alam ghaib. Seterusnya kami dapat mendengar percakapan yang terjadi antara datuk dengan lembaga itu seperti berikut.

"Ada lagi yang mahu aku pinta padamu"

"Apa dia, cakaplah sekarang"

"Kami mohon keselamatan diri orang-orang yang datang ke sini. Janganlah diri mereka di anaiya"

"Boleh. Dengan syarat jangan menembak atau membunuh rakyat aku. Kalau mahu, minta cara baik"

"Bagaimana caranya?"
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2012 12:20 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 38 ~
Suara azan dari dalam kolam

"Sebelum menembak atau menangkap rakyat aku, sembelih kambing dan darahnya buang ke dalam kolam"

"Baik"

Bila suara itu tidak kedengaran lagi, datuk terus menampar dada sebelah kanan tiga kali. Lembaga di atas busut jantan terus hilang dari pandangan kami. Datuk tergesa-gesa meraba kedua belah kelopak matanya, bagaikan orang yang baru sedar dari tidur.

"Kita turut saja apa yang diperintah oleh orang di sini”, kata datuk kepada kami.

Dia menyuruh saya menghidupkan lampu gasolin. Perintahnya itu saya ikut. Bila lampu gasolin sudah menyala, seluruh kawasan itu terang benderang. Burung-burung belibis yang tadinya penuh satu kolam sudah tidak kelihatan lagi . Air kolam nampak tenang dengan pokok-pokok teratai dan kiambang di permukaannya. Kerana waktu Isyak masih ada, kami terus menunaikan sembahyang Isyak dan imamnya tetap juga datuk. Lepas sembahyang, kami merebahkan badan dan terus tidur. Datuk menghabiskan masa malam dengan membuat amalannya. Dia berdoa dan membaca Surah Yasin.
Selepas menunaikan sembahyang subuh, datuk terus melakukan senaman. Bila matahari mula terbit di kaki langit, kami sudah pun berkumpul di bibir kolam. Datuk akan melakukan upacara menepuk air kolam tersebut.

"Bersedialah. Kalau buruk yang datang kita tentang, kalau baik yang datang kita tatang”, ujar datuk sambil duduk mencangkung di bibir kolam.

Rasa sejuk menguasai seluruh badan kami. Dengan hati-hati datuk pun menepuk air di kolam. Tepukan itu menimbulkan gelombang di permukaan kolam, pokok- pokok teratai dan kiambang bergerak ke sana ke mari, bersama hembusan angin yang cukup kuat. Bila datuk menyapukan air kolam ke mukanya, gelombang dan angin yang bergemuruh itu terus berhenti. Kemudian datuk menyuruh kami menepuk air di kolam dan menyapu ke muka masing- masing. Bila upacara itu selesai datuk terus duduk di tepi kolam sambil mulutnya berkomat-kamit membaca sesuatu. Lebih kurang sepuluh minit datuk berbuat demikian, tiba-tiba mengapung tubuh manusia dipermukaan kolam.

"Usman, mayat Usman”, pekik lelaki berbadan tegap.

Dia segera mahu masuk ke dalam kolam. Datuk segera menahan dengan menolaknya ke belakang. Lelaki berbadan tegap itu jatuh ke atas bumi. Muka datuk jadi merah. Marah benar dia dengan perbuatan lelaki itu, memang pantang tujuh keturunan pada datuk jika ada orang lain mahu mendahului kerja-kerjanya.

"Kalau aku yang memulakannya, biarlah aku yang menyelesaikan semuanya”, nada suara datuk cukup keras.

Dia pun menyingsing lengan dan melipatkan kaki seluarnya. Mata datuk tertumpu pada mayat yang terapung atas permukaan kolam. Datuk segera membuka kain yang mengikat kepalanya. Kain itu diletakkannya atas bahu kanan. Dengan tenang datuk turun ke dalam kolam. Air dalam kolam mula bergelombang. Pancaran matahari pagi yang menikam permukaan kolam menimbulkan cahaya kilau kemilau pada gelombang air yang membentuk bulatan kecil. Datuk terus berenang mendapatkan mayat yang terapung.

Lelaki gagah yang jatuh di tolak oleh datuk tadi segera bangun, dia mengarahkan kawan-¬ kawannya supaya membuat pengusung. Saya tidak mahu membantu mereka. Saya lebih senang melihat tindak-tanduk datuk yang berada dalam perut kolam. Datuk terus menarik mayat Usman ke tepi kolam. Dengan bantuan orang bertiga, mayat Usman diletakkandi atas pengusung. Untuk mengusung mayat ke tepi jalan raya bukanlah satu perkara yang mudah.

"Begini saja, biarkan mayat itu di situ, kita pulang sekarang”, datuk mengeluarkan perintah yang ganjil.

Muka orang bertiga nampak cemas. Tetapi, mereka tidak berani bertanya kenapa datuk berbuat demikian. Datuk menyuruh kami keluar dari kawasan kolam itu dahulu. Kami patuh pada perintahnya. Ketika kami melintasi pokok besar di tengah kawasan hutan, kami bertemu dengan seekor harimau yang melangkah gagah, tanpa merenung ke arah kami. Harimau itu menuju ke kawasan kolam. Bila kami sampai ke tepi jalan raya, mayat Usaman sudah berada di situ. Datuk berdiri tidak jauh dari mayat tersebut, bercakap dengan beberapa orang anggota Pasukan Polis Hutan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2012 12:23 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 38 ~
Suara azan dari dalam kolam

Bila saya memeriksa kawasan tempat mayat Usman diletakkan, saya tersua dengan tapak kaki harimau. Saya senyum sendirian. Datuk meminta pertolongan dari rakan karibnya bagi mengatasi masalah yang dihadapinya. Datuk menghampiri kami. Datuk terus memberitahu kami, Pasukan Polis Hutan itu mahu masuk ke dalam hutan untuk melancarkan gerakan mencari Usman yang hilang. Salah seorang adik Usman yang bertugas sebagai guru sekolah di Kuala Kangsar telah mengadu kepada polis atas kehilangan abangnya itu. Salah seorang pegawai Pasukan Polis Hutan menemui datuk. Mereka berjabat salam dan mempamirkan senyum masing-masing di bawah sinaran matahari pagi yang cerah.

"Saya ASP Mualim Hamid”, dengan keramahan, pegawai yang berbadan tegap dan berkumis rapi memperkenalkan dirinya pada datuk.
Mayat Usman yang terkapar di bibir jalan terus ditutup dengan kain pelikat oleh kawan- kawannya.

"Anak orang mana?", tanya datuk.

"Orang Kota Bharu, Kelantan. Tetapi ayah saya berasal dari Perak"

"Dari daerah mana tu, nak?"

"Saya kurang periksa pula tu"

"Bukan apa-apa. Ada saudara sepupu isteri saya yang merantau ke Kota Bharu. Orang dari Kampung Gurap dekat Ipoh. Menurut ceritanya tinggal di Daerah Kubang Krian dan membuka perusahaan batik di situ"

"Menarik juga ceritanya. Tak pernah jumpa dia?"

"Belum pernah. Tetapi saudara maranya ramai di sini iaitu anak buah abangnya, Uda Lanca"

"Cubalah cari di sana"

"Memang ada niat di hati tu kalau panjang umur nanti sampailah saya. Saya nak cari anak-anak atau cucunya”, kata datuk pada pegawai Pasukan Polis Hutan itu.

Datuk dan ASP Mualim Hamid terus menemui kawan-kawan Allhyarham Usman. Datuk dan ASP Mualim Hamid bercakap- cakap dengan mereka. Kemudian ASP Mualim Hamid menghubungi pegawai Polis Daerah Dinding (sekarang Manjung) di Lumut.

"Sekejap lagi mayat ini akan dihantar ke tempatnya dengan kereta polis”, beritahu ASP Mualim Hamid kepada datuk.

ASP Mualim Hamid terus memerintahkan anak buahnya masuk ke dalam dua buah trak yang berhenti di situ . Datuk pun menghantar ASP Mualim Hamid ke jipnya. Sebelum jip itu bergerak, lagi sekali ASP Mualim Hamid bersalaman dengan datuk. ASP Mualim memberikan alamat rumahnya kepada datuk.

"Kalau ada masa lapang datanglah ke rumah saya di Hulu Kinta. Boleh kita bercerita panjang”, kata ASP Mualim Hamid dari dalam jip.

"Tengoklah, kalau ada rezeki dan panjang umur, sampailah saya ke rumah anak”, balas datuk dengan tenang.

Ketiga-tiga buah kenderaan yang membawa anggta Pasukan Polis Hutan terus bergerak. ASP Mualim Hamid dan anak buahnya melambai- Iambaikan tangan kepada kami. Kami membalasnya dengan rasa bangga. Datuk menghampiri mayat Usman. Kemudian datuk menyuruh orang yang berbadan tegap dan kawannya mengangkat mayat Usman untuk diletakkan di tempat yang redup. Lebih kurang pukul sepuluh pagi, sebuah jip polis tiba. Dua orang polis meluru keluar. Mereka terus menuju ke tempat mayat Usman. Datuk terus menghampiri pemandu jip. Datuk bercakap dengannya sebentar. Datuk menarik pengusung dari belakang jip dengan dibantu oleh pemandu jip yang berkulit agak cerah. Tingginya lebih kurang sama dengan tinggi datuk.
Datuk dan pemandu jip membawa alat pengusung ke tempat mayat Usman. Mayat Usman pun diletakkan atas pengusung dan di bawa ke dalam perut jip.

"Awak tak pergi sama?" tanya pemandu jip pada datuk.

"Tidak. Kawan-kawannya boleh tunjukkan tempatnya”, balas datuk sambil menepuk bahu pemandu jip itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2012 12:25 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 38 ~
Suara azan dari dalam kolam

Dua tahun kemudian saya mendapat tahu nama anggota polis yang menjadi pemandu jip itu ialah Mior Hassan. Ayah kepada kartunis dan novel Mishar dan penyanyi terkenal Sohaimi Meor Hassan.

"Saya doakan selamat sampai”, ujar datuk lagi.

Pemandu jip itu tersenyum dan terus menghidupkan injin jipnya. Beberapa saat kemudian jip itu meninggalkan kami. Suasana di situ terasa sunyi, tidak banyak kenderaan yang lalu di situ. Saya dan datuk terus pulang. Sampai di rumah, nenek menyambut kami di kepala tangga dengan wajah yang agak sugul. Datuk tidak bertanya pada nenek kenapa dia berkeadaan demikian. Datuk terus pergi ke sungai. Datuk mandi dan membersihkan badannya. Lepas menunaikan sembahyang Zuhur datuk dan saya terus makan.

Selesai sahaja makan, datuk terus berehat di anjung rumah sambil membuka beberapa buah kitab agama. Saya terus baring di ruang tengah rumah membilang atap serta melihat beberapa ekor kupu-kupu sesat yang masuk ke rumah. Kupu-kupu itu berlegar-Iegar disitu mencari jalan ke luar. Nenek terus mendekati datuk. Duduk berhadapan dengan datuk. Tergesa-gesa datuk menutup kitab yang dibacanya.

"Apa yang awak susahkan ni”, datuk mengajukan pertanyaan sambil meraba pangkal kening kirinya beberapa kali.

Nenek menarik nafas panjang. Wajah datuk direnungnya lama-lama.

"Apa yang awak risaukan? Cakaplah dengan saya”, soal datuk lagi.

Nenek garu pangkal lehernya berkali-kali. Kerongkongnya bagaikan tersekat untuk memperkatakan sesuatu kepada datuk. Saya bangun terus menghampiri datuk dan nenek. Wajah mereka saya tatap. Temyata mereka dalam keresahan.

"Semalam ada orang datang mengugut kita semua. Kalau awak campur dalam urusan mereka”, nenek bersuara lemah.

"Siapa orangnya?"

"Saya tak kenal, mereka datang berdua. Badan mereka tegap-tegap belaka"

"Apa katanya?"

"Kalau awak menolong Kiai Muslih, mereka nak bunuh kita semua. Mereka nak bakar kita hidup-hidup"

Datuk menarik nafas panjang setelah meridengar keterangan dari nenek. Datuk sandarkan badan pada dinding. Datuk merenung keluar, melihat pangkal pokok mempelam di halaman rumah yang di panah matahari petang. Saya lihat datuk kerutkan keningnya macam mengingati sesuatu. Datuk cuba mengingati orang-orang dimusuhinya. Datuk gelengkan kepala, sepanjang ingatannya tiada orang yang dimusuhinya.

"Siapa mereka?", tanya datuk pada nenek.

"Saya tak kenal"

"Lupakan saja. Tidak ada manusia yang mati kerana sumpah dan ugutan"

"Tapi kita kena berjaga-jaga"

"Saya faham”, datuk bersuara lemah.

Datuk bangun dan terus turun dari rumah. Saya mengikuti datuk yang duduk di bangku panjang di bawah pokok manggis. Datuk termenung panjang di situ. Datuk menekan-nekan bumi dengan ibu jari kaki kirinya. Tiba-tiba datuk menepuk pangkal paha kirinya tiga kali berturut-turut.

"Aku tahu dan aku ingat siapa Kiai Muslih”, kata datuk dengan tekanan suara yang meninggi.

Dia terus berdiri dan memeluk tubuhnya erat-erat. Sepasang mata datuk merenung tajam ke hadapan. Datuk merapatkan kelopak matanya perlahan-lahan sambil menarik nafas. Dadanya nampak berombak dan kedua belah bahu dan kedua belah cuping telinganya bergerak- gerak sendiri. Datuk membuka matanya. Muka datuk saya lihat berpeluh.

"Siapa Kiai Muslih, tuk?" tanya saya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-9-2012 12:29 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 38 ~
Suara azan dari dalam kolam

"Dia kawan aku satu masa dulu. Orangnya baik dan kuat beribadat. Pelik kenapa orang memusuhinya”, keluh datuk sambil menggosok pangkal hidungnya hingga merah.

Datuk terus mengelilingi pokok manggis dua tiga kali, macam mencari sesuatu. Dahinya masih berkerut. Saya hanya melihat sahaja telatah datuk. Kemudian datuk mencari arah angin datang.

"Mari”, datuk menarik tangan saya.

Pada mulanya saya menduga datuk akan mengajak saya pergi kekawasan tanah yang agak tinggi. Dugaan saya tidak tepat. Datuk mengajak saya masuk ke rumah. Datuk kembali membaca kitab-kitab agama hingga menjelang waktu Asar. Lepas sembahyang Asar, datuk kelihatan resah tidak menentu. Keresahan itu berlanjutan hingga waktu Maghrib dan Isyak. Semua yang di buatnya serba tidak kena. Macam ada sesuatu yang besar mengganggu dirinya.

"Kiai Muslih baik orangnya”, keluh datuk sambil menggigit ibu jari kanannya.
Waktu itu sudah pukul sebelas malam.

"Tamar"

"Kenapa tuk?"

"Kau tidur dekat tuk malam ini"

"Baik.. tuk"

Saya pun membentangkan tikar mengkuang di anjung rumah. Kemudian nenek memberikan saya sebiji bantal. Saya terus merebahkan badan. Datuk terus membaca Quran. Tiba- tiba datuk berhenti membaca Quran. Dia merenung ke arah saya.

"Ingat, bacalah Al-Fatihah dan Surah Al-Ikhlas dan mengucap dua kalimah syahadah dan hadapkan badan kamu ke kiblat, barulah kau tidur"

"Baik tuk”, saya pun patuh dengan apa yang diperintahnya.

Dalam beberapa detik saya terus terlena. Lebih kurang pukul tiga pagi datuk kejutkan saya. Bila saya buka mata, saya lihat datuk sudah memakai baju hitam dan seluar hitam. Kepalanya sudahpun dililit dengan kain merah sebesar dua jari.

"Ke mana tuk?"

"Jangan banyak cakap, ikut sahaja cakap aku"

"Tuk marahkan saya?"

"Aku tak marah cuma menegur aja”, balas datuk dengan ketawa kecil.

Saya senang hati kerana berjaya mengusik datuk. Wajahnya yang kelihatan serius sudah berubah. Wajah datuk nampak manis bila ketawa, meskipun kulit pipinya sudah berkedut. Dengan langkah yang tenang saya ikut datuk keluar dari rumah. Suasana terasa amat sepi sekali. Badan terasa cukup dingin.
Dalam keadaaan subuh yang damai itu, saya dan datuk menuju ke kawasan tanah lapang yang agak tinggi kedudukannya dari tanah sekelilingnya. Datuk terus duduk bersila di atas tanah itu. Saya duduk sebelah kanannya. Datuk lekapkan tapak tangan kanan ke dada sebelah kiri. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Datuk terus bangun dan berdiri tegak menghadap ke arah barat daya. Suasana cukup sepi. Tetapi langit kelihatan begitu cerah. Saya lihat kabus mula bangkit di kawasan yang agak rendah. Kedua belah cuping telinga saya terasa sejuk di sentuh angin.

"Kiai Muslih, Kiai Muslih”, datuk bersuara.

Tidak ada apa-apa yang kedengaran kecuali bunyi deru angin yang datang dari arah barat daya. Datuk tarik nafas panjang.

"Kiai Muslih, Kiai Muslih”, ulang datuk lagi.

"Ya, kenapa?" saya terdengar suara.

Saya tidak dapat mempastikan dari arah mana suara itu datang. Saya renung kiri kanan, hadapan belakang kalau kalau ada manusia yang muncul di situ. Tidak ada orang lain selain daripada kami.

"Kau sihat sekarang Muslih?"

"Sihat"

"Keadaan kampung kamu bagaimana?"

"Kemarau panjang"

"Boleh aku datang ke sana?"

"Memang itu yang aku harapkan. Sudah dua kali aku menghubungi kau dengan angin, tapi tak berjaya"

"Macam mana kau tahu aku ada di sini."

"Tiba-tiba saja hati aku tergerak dan ada alamat yang menunjukkan kau mahu bercakap dengan aku, kerana itu aku cari tempat yang sesuai untuk bercakap dengan kau"

"Hajat kita sudah ditunaikan oleh Allah"

"Syukurlah pada-Nya"

"Baiklah Kiai Muslih, esok aku datang"

Saya terpegun melihat keadaan yang serba aneh itu. Memang ganjil dua manusia yang duduk berjauhan boleh bercakap dengan perantaraan angin.

"Balik !”

Saya terkejut.
Apa yang saya fikirkan dalam kepala semuanya hilang. Saya tergesa-gesa bangun dan melangkah mengikut langkah datuk yang begitu cepat. Tetapi, saya tetap berazam mahu bertanya pada datuk berhubung dengan peristiwa yang berlaku itu. Hati saya cukup gembira. Tanpa di duga sesudah sembahyang subuh dan mandi embun, datuk menceritakan pada saya apa yang dilakukannya itu adalah jalan terakhir dalam usahanya untuk membantu seorang kawan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2012 12:33 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 38 ~
Suara azan dari dalam kolam


"Bercakap dengan perantaraan angin tak boleh dilakukan selalu, kecuali sudah terdesak terutama waktu darurat”, kata datuk.

"Kenapa begitu tuk?"

"Banyak amalan yang mesti dibuat sebelum melakukannya dan orang yang kita lawan bercakap pula mestilah tahu petua dan syarat. Orangnya mesti warak, jiwanya mesti bersih"

"Saya faham tuk."
Pagi itu, nenek melepaskan kami dengan iringan airmata. Nenek bimbang kalau langkah kami pagi itu, merupakan langkah terakhir. Nenek tidak mahu datuk menemui ajal di tempat orang. Kalau boleh biarlah datuk menghembuskan nafas terakhirnya di rumah.

"Usah bimbang, kita pergi bukan mencari lawan, niat kita baik. Kalau sudah ajal itu lainlah”, datuk memujuk nenek.

"Tapi, orang tu dah beri amaran"

"Ajal maut bukan di tangan manusia. Kau harus tahu Allah yang lebih berhak dan berkuasa"

"Entahlah”, suara nenek cukup lemah.

Tetapi hatinya terus berdoa pada Allah semoga kami selamat pergi dan selamat pulang. Kami sampai di kampung Kiai Muslih yang terletak di daerah Sungai Manik kira-kira pukul lima petang. Kiai Muslih yang berasal dari Pakalungan, Jawa Tengah menyambut kedatangan kami dengan tangan terbuka. Menurut datuk Kiai Muslih datang ke Tanah Semenanjung sekitar tahun tiga puluhan. Sebelum menetap di daerah Sungai Manik dia pemah tinggal di Johor.

"Bagaimana sekarang Kiai?"

"Alhamdulillah, saya setakat ini masih sihat"

"Cucu perempuan awak dah besar sekarang?"

"Dah jadi anak dara. Sudah bertunang dengan orang di Langkap"

"Siapa namanya?"

"Suariati"

"Tunangnya orang Jawa juga ke?"

“Tidak dengan orang Banjar"

"Ingat dulu, nak dijodohkan dengan cucu saya"

"Tak ada jodoh, carilah cucu saya yang lain"

Sebaik sahaja Kiai Muslih selesai bercakap, datuk terus ketawa sambil menjeling ke arah saya. Petang itu juga Kiai Muslih membawa datuk dan saya melawat ke kawasan sekitar kampungnya. Saya dapati parit dan sungai semuanya kering kontang, tanah sawah kelihatan gersang dan merekah.
Menurut Kiai Muslih, sudah tiga bulan hujan tidak turun. Tetapi penduduk-penduduk di situ tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan air minum kerana pihak Jabatan Kerjaraya yang berpusat di Teluk Intan membekalkan air sehari dua kali iaitu pada sebelah petang dan pagi. Air yang dikhaskan untuk diminum itu juga digunakan untuk membasuh dan mandi. Masalah besar yang dihadapi oleh para penduduk ialah tanah sawah yang menjadi punca rezeki mereka tidak dapat diusahakan. Saya dan datuk hanya dapat menyatakan rasa simpati terhadap nasib malang yang menimpa penduduk di situ. Datuk juga berjanji pada Kiai Muslih untuk berikhtiar bagi mengatasi masalah tersebut.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2012 12:37 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 38 ~
Suara azan dari dalam kolam

Pada sebelah malamnya, datuk dan Kiai mengadakan perundingan untuk mengajak para penduduk mengadakan sembahyang hajat. Belum pun Kiai Muslih memberi kata putus mengenai cadangan datuk itu, seorang penduduk mengetuk pintu rumah Kiai Muslih. Cepat-cepat Kiai Muslih membuka pintu.

"Kenapa?", tanya Kiai Muslih pada orang yang datang.

"Ketua kampung suruh berkumpul di dewan, ada mesyuarat"

"Dah malam baru mengadakan mesyuarat, kenapa tak buat pada sebelah siang?"

"Saya tak tahu. Kalau mahu ikut datang ke dewan, jangan banyak cakap”, balas orang yang datang lalu menghilangkan diri.

Datuk dapat mempengaruhi Kiai Muslih untuk patuh dengan arahan ketua kampung itu. Tanpa membuang masa lagi, kami terus menuju ke dewan. Waktu kami sampai di dewan orang sudah ramai berkumpul di bawah sinaran tiga buah lampu gasolin. Tidak sampai dua minit kami duduk di dalam dewan, ketua kampung pun tiba dan terus memberikan ucapan. Ketua kampung meminta orang yang hadir memberikan pandangan untuk mengatasi masalah kemarau panjang yang melanda kampung mereka.

Sebaik sahaja ketua kampung berhenti bercakap, Kiai Muslih terus bangun dan berkata: “Masalah hujan sebenamya adalah kekuasaan Allah. Tetapi Allah juga telah memberikan fikiran dan akal pada manusia untuk berikhtiar supaya tidak menyerah diri begitu saja pada alam”, Kiai Muslih berhenti bercakap.

Dia merenung setiap wajah yang ada di dalam dewan.

"Kita sebagai manusia wajib berikhtiar dan berusaha untuk menguasai alam demi untuk meneruskan hidup kita, berjaya atau tidaknya terletak pada kuasa Allah. Anehnya, bila saya mengajak tuan-tuan berusaha semuanya tidak mahu”, Kiai Muslih menambah.

Tiba-tiba perhatian orang yang ada di dalam dewan tertumpu ke arah seorang anak muda yang secara mendadak menumbuk dinding dewan. Anak muda itu meluru ke tengah dewan. Berdiri di situ.

"Orang tua ini menyuruh kita berdoa. Dari dulu lagi dia suruh kita berbuat demikian. Apa dengan berdoa hujan boleh turun dari langit”, kata anak muda dengan suara yang cukup lantang.

Orang yang berada dalam dewan berpandangan sama sendiri. Tetapi ketua kampung anggukkan kepala seolaholah bersetuju dengan pendapat anak muda itu. Kiai Muslih kelihatan tenang sambil meraba-raba janggutnya.

"Allah Maha Pemurah”, balas Kiai Muslih dengan penuh keyakinan.

“Allah selalu memperhatikan doa orang yang takwa serta beriman”, tambah Kiai Muslih.

Seorang penduduk bangun lalu bertanya, "Apa yang patut kita lakukan Kiai?"

Belum pun sempat Kiai Muslih memberikan jawapan, datuk segera berkata: "Bagi mereka yang percaya dan yakin, marilah kita melakukan sembahyang Istisqa untuk memohon pada Allah supaya segera diturunkan hujan rahmat, hujan yang memberikan air kehidupan pada manusia, insyallah permintaan kita akan dikabulkan"

Anak muda yang menumbuk dinding segera merenung ke wajah datuk.

"Awak siapa?"

"Saya kawan Kiai Muslih"

"Awak tahu ini bukan urusan awak"

"Saya tahu, apa awak tidak sedar sesuatu yang baik memang dituntut oleh Allah untuk dilakukan oleh umatnya"

Anak muda itu terdiam mendengar kata-kata dari datuk. Ketua kampung segera menyuruh anak muda itu duduk. Setelah diadakan perbincangan selanjutnya, mesyuarat pun ditamatkan dengan dua kumpulan. Kumpulan pertama orang yang mahu melakukan sembahyang Istisqa. Kumpulan kedua orang yang tidak mahu melakukannya yang terdiri dari orang yang tidak ada pendirian dan jarang melakukan ibadah. Kumpulan kedua ini diketuai oleh anak muda dan ketua kampung yang menganjurkan pada orang-orang kampung supaya menggali telaga dan kolam sebanyak-banyaknya untuk mengatasi masalah kemarau.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-9-2012 12:37 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 38 ~
Suara azan dari dalam kolam

Pada waktu yang dijanjikan, kedua kelompok ini menjalankan rancangan masing-masing. Sembahyang memohon hujan turun dilakukan di halaman surau kampung tersebut. Yang bertindak selaku imam ialah Kiai Muslih sendiri. Manakala kelompok anak muda membawa cangkul ke tengah sawah menggali kolam dharurat. Beberapa hari kemudian, terdapat tanda- tanda hari akan hujan.

Langit kelihatan mendung dan gerimis mula turun yang diikuti kemudiannya dengan hujan yang amat lebat. Semua penduduk merasa gembira menyambut kedatangan hujan terutama mereka yang melakukan sembahyang tempohari.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-1-2025 10:20 AM GMT+8 , Processed in 0.154739 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list