CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 27-9-2012 01:47 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 39 ~
Dendam orang sabar

Selama satu minggu saya dan datuk berada di kampung Kiai Muslih,boleh dikatakan hari- hari hujan turun. Kalau tidak sebelah pagi, sebelah petang pasti hujan. Orang-orang mula mengerjakan sawah masing- masing. Walaupun masalah kemarau yang melanda kampung itu sudah berakhir, tetapi Kiai Muslih meminta datuk tinggal disitu untuk beberapa bulan lagi. Kiai Muslih menjadikan datuk teman rapatnya untuk mengajar agama di beberapa buah kampung sekitar daerahnya.


"Kenapa datuk terima permintaannya?",saya menyoal datuk pada suatu pagi.


Datuk tersenyum dan memberitahu saya, dia terpaksa berbuat demikian kerana dia merasakan keselamatan diri Kiai Muslih tidak terjamin.Tetapi, datuk sendiri tidak dapat mencari siapakah orang yang mahu menjahanamkan diri Kiai Muslih.


"Alamat dan petua yang aku pakai bagaikan memberitahu sesuatu yang tidak baik. Apa salahnya kita tengok dan lihat dulu Tamar. Lagi pun Kiai Muslih tu orang berilmu, banyak yang boleh aku belajar darinya”, demikian datuk memberitahu saya.


Dan saya tidak membantah apa juga kemahuan datuk. Sepanjang masa saya dan datuk tinggal di rumah Kiai Muslih, ternyata rumahnya tidak putus-putus di kunjungi oleh para penduduk.Mereka datang menemui Kiai Muslih dengan berbagai-bagai maksud. Kebanyakan yang datang itu adalah orang-orang sakit dan sudah puas menemui doktor tetapi, sakit yang di tanggung tidak juga mahu sembuh. Bila mereka menemui Kiai Muslih dengan izin Allah penyakit yang di rawat itu terus sembuh. Biasanya, Kiai Muslih akan memberikan orang yang sakit itu minum air sejuk yang sudah dijampinya terlebih dahulu. Kemudian tangannya bergerak sendiri mencari bahagian-bahagian yang sakit. Bila sudah bertemu, disempurnakan dengan membaca ayat suci dari Al-Quran. Kemudian pesakit itu akan diubat dengan ramuan tradisional. Perbuatannya itu seperti tidak masuk di akal. Tetapi anehnya, kebanyakan pesakit yang dirawatnya sembuh atau bertambah kurang penyakitnya. Kerana kebolehannya yang luar biasa itu, Kiai Muslih amat dihormati oleh para penduduk disitu, dia dianggap sebagai orang tua yang berilmu tinggi. Saya amat kagum dengan sikap Kiai Muslih yang tidak pernah membesarkan diri. Dia amat menghormati datuk.Melihat keadaan itu, mustahil ada orang lain yang mahu memusuhi dirinya.


"Aku gagal mengubat dan memulih semangat seorang lelaki di Tanjung Malim”, Kiai Muslih mengadu pada datuk.


"Apa sakitnya?"


"Bila bulan terang dia akan menjerit, penyakitnya cukup ganjil. Aku yakin dia dirasuk syaitan. Rumahnya besar dan pada setiap malam dia tidur dengan perempuan cantik. Aku harap kau dapat menolong aku"


"Tengoklah dulu"


"Aku harap benar-benar pertolongan kau"


"Begini saja, minggu depan kita ke sana”, datuk memberikan jawapan.


Kiai Muslih cukup gembira sambil memandang ke halaman rumahnya.Datuk mengeliat lemah dan saya melihat jam di tangan. Sudah pukul tiga petang.Kerana keadaan cuaca agak baik, Kiai Muslih mengajak datuk melihat tanah sawahnya. Datuk memenuhi permintaan itu. Ketika berjalan di tepi sawah itu,anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih muncul di hadapan kami. Anak muda ituterus menahan perjalanan kami. Dia rapat pada Kiai Muslih.


"Pinangan saya ditolak, apa kurangnya saya dengan anak muda dari Langkap tu”, nada suara anak muda itu keras.


"Suriati yang tidak mahu. Lagi pun jodoh kau dengannya tak ada"


"Sudahlah muka sial”, anak muda itu terus meninggalkan kami.


Kiai Muslih masih tersenyum menghadapi peristiwa itu. Dua hari kemudian sesudah peristiwa di tepi sawah itu terjadi, penduduk-penduduk kampung Kiai Muslih jadi gempar. Seorang wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan ditemui mati di pinggir sawah. Seluruh badannya hitam. Perempuan malang itu ialah sepupu dengan anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih di dewan dulu. Serentak dengan itu tercetus khabar-khabar angin yang mengatakan perbuatan itu dilakukan oleh Kiai Muslih.

Orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita itu mengatakan, Kiai Muslih memelihara syaitan dan perbuatannya itu dilakukan sebagai membalas dendam pada anak muda yang menjatuhkan air mukanya di khalayak ramai. Golongan yang tidak bertanggungjawab itu lalu mengapi-apikan anak muda yang sememangnya memusuhi Kiai Muslih, supaya melakukan sesuatu. Anak muda yang sudah hilang perhitungan itu lalu bertindak liar. Anak muda itu terus mendatangi rumah Kiai Muslih. Kerana Kiai Muslih tidak ada di rumah, anak muda itu terus memukul isteri Kiai Muslih kemudian menikam cucu Kiai Muslih iaitu, Suriati hingga mati. Anak muda itu terus mencari Kiai Muslih yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai.
Last edited by rdzaccess on 27-9-2012 02:46 AM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 27-9-2012 02:49 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 39 ~
Dendam orang sabar

Anak muda itu tanpa berkata sepatah apa pun terus menikam Kiai Muslih. Kiai Muslih rebah ke bumi. Saya dan datuk secara kebetulan pula tidak pulang bersama Kiai Muslih dari kedai petang itu. Bila kami sampai ke tempat kejadian itu, Kiai Muslih masih bernyawa. Kami segera membawanya ke rumah. Sampai di rumah Kiai Muslih mendapati cucunya sudah tidak bernyawa lagi dan kepala isterinya berdarah. Datuk terus merawat Kiai Muslih. Datuk juga menasihatkan Kiai Muslih supaya bersabar. Saya disuruh oleh datuk supaya tinggal di rumah Kiai Muslih kerana datuk mahu melaporkan kejadian itu pada pihak berkuasa. Saya terus duduk disisi Kiai Muslih yang terbaring di dalam rumahnya. Tiba-tiba saya terkejut, Kiai Muslih bangun. Mukanya merah. Dia boleh berjalan macam orang sihat.

"Kau uruskan bersama datukmu jenazah cucu aku”, katanya pada saya.

"Mahu ke mana ?", tanya saya.

Kiai Muslih tidak menjawap dan terus keluar rumah. Kehilangan Kiai Muslih merunsingkan hati datuk. Walaupun isterinya sudah dihantar ke Hospital Teluk Intan dan jenazah cucunya sudah di kuburkan, Kiai Muslih tidak juga muncul-muncul. Kesempatan itu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak yang menyebarkan fitnah. Kononnya Kiai Muslih melarikan diri kerana tidak sanggup menghadapi kemarahan orang kampung terhadap perbuatannya. Datuk menafikan semua tuduhan itu, akibatnya datuk dituduh bersuhabat sama dalam kerja terkutuk itu. Datuk di beri kata dua untuk membuktikan kebenaran cakapnya itu dalam tempoh dua hari oleh ketua kampung. Jika datuk gagal, ketua kampung minta datuk dengan hormatnya keluar dari kampung tersebut.

"Tamar, inilah ujian yang berat buat aku, kita harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya Tamar”, kata datuk pada saya, sebaik sahaja dia pulang dari menemui ketua kampung kira-kira pukul dua petang.

Selepas sembahyang Zuhur di kampung tersebut, datuk terus menuju ke rumah Kiai Muslih. Dia terus duduk bersila di anjung rumah tersebut. Kedua belah tapak tanganya terlekap atas tempurung lututnya. Datuk bertafakur.

"Keimanan Kiai Muslih tercabar, sabarnya sudah hilang. Dia mahu membalas dendam yang sepatutnya tidak boleh dilakukan olehnya, kemarahan yang dipengaruhi syaitan sudah menguasai dirinya”, dengan mendadak datuk bersuara, wajahnya kelihatan muram.

Datuk mengajak saya pergi ke arah kawasan bukit yang terdapat di situ. Cuaca yang tadi terang mula muram dengan awan hitam di langit. Datuk dan saya terus meredah hutan tebal. Akhirnya, kami sampai di situ kawasan lapang. Di atas batu besar kelihatan Kiai Muslih duduk bersila bertafakur.

"Mantera hitam, mantera putih bersatulah”, kedengaran suara Kiai Muslih.

Kemudian Kiai Muslih menumpukan kekuatan batinnya, menyatukan rasa dengan alam. Dari mulutnya terkeluar bermacam-macam mantera yang kian lama kian keras diucapkannya.

"Kiai berhentikan perbuatan itu, kau sudah dipengaruhi syaitan”, jerit datuk berkali- kali.

Kiai Muslih mempersetankan larangan datuk. Dia terus membaca manteranya. Awan hitam di langit semakin menebal dan guruh mula bersahut-sahutan. Datuk menggunakan kekuasaaan batin untuk menghubungi diri Kiai Muslih. Saya lihat dahi datuk berpeluh dan mukanya merah, macam udang kena bakar. Tiba-tiba datuk tersungkur atas bumi macam dihentak sesuatu. Saya mula resah tidak menentu. Dalam keadaan yang cemas itu hujan pun turun bersama dengan petir. Hujan bagaikan dicurah- curah lakunya, cukup lebat bersama dengan angin dan petir. Datuk saya lihat bergerak dan merangkak ke perdu pokok besar. Saya mengikutinya berteduh di situ. Datuk menangis tersedu- sedu. Dia tidak putus-putus menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan Kiai Muslih yang terburu-buru itu.

"Semuanya sudah menjadi bubur Tamar, aku tidak berdaya menahan kemarahan orang yang paling sabar”, ujar datuk dalam sedu sedan yang memanjang.

Hujan lebat terus mencurah- curah, beberapa kawasan rendah mula dinaiki air. Menjelang waktu Maghrib seluruh kampung dilanda banjir besar. Gelombang banjir yang besar itu menghancurkan apa saja yang merintanginya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-9-2012 02:51 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 39 ~
Dendam orang sabar

Kiai Muslih terus membaca manteranya tanpa mempedulikan hujan dan petir yang meledak di atas kepalanya. Datuk masih juga berusaha untuk memulihkan semangat Kiai Muslih ke alam nyata. Datuk menggunakan segala kepandaian yang ada pada dirinya. Usahanya gagal. Saya sudah menggigil, kulit badan terasa kecut tetapi, datuk saya lihat tidak mengalami apa yang saya alami. Badannya sentiasa panas dan nampak berasap.

"Kiai, kau sudah sesat", pekik datuk dengan sekuat hati.

Serentak dengan itu Kiai Muslih menoleh kearah datuk. Tiba-tiba kilat menyambar dengan kuatnya di kepala Kiai Muslih. Lidah petir yang tajam menyambar kearah Kiai Muslih. Terdengar satu gegeran yang amat kuat, seluruh kawasan itu dijilat api. Seluruh tubuh Kiai hangus terbakar. Saya terus pengsan. Bila saya sedar dari pengsan, saya dapati datuk duduk bertafakur atas bahu di tempat Kiai Muslih duduk. Datuk membaca ayat-ayat Quran dengan nyaring dan kuat, hujan beransur-ansur teduh dan akhirnya berhenti terus.

"Allah yang Maha Besar telah menunjukkan pada kita bahawa perbuatan membalas dendam sesama manusia tidak diperkenankan. Dalam membalas dendam orang yang tidak berdosa akan terkorban”, kata datuk pada saya, kemudian datuk melihat mayat Kiai Muslih yang hangus.

Esoknya, bila banjir beransur surut, datuk pun menemui ketua kampung dan menceritakan perkara yang telah berlaku. Ketua kampung mula sedar dan insaf. Ketua kampung mengakui yang dirinya telah banyak membuat kesilapan dan percaya pada khabar-khabar angin, akibatnya banyak anak buahnya yang tidak berdosa menjadi korban. Ketua kampung juga memberitahu datuk, anak muda yang menjadi musuh Kiai Muslih hilang di bawa air yang melanda kampung tersebut.
Walaupun begitu, datuk tetap menasihatkan ketua kampung supaya bersabar. Ketika saya dan datuk meninggalkan kampung tersebut menuju ke Tanjung Malim, kami mendapat khabar yang ketua kampung juga menemui ajalnya secara ngeri. Ketua kampung mati ditimpa pokok kelapa ketika membersihkan kawasan rumahnya dari sampah sarap yang dibawa oleh air ketika banjir. Datuk hanya terdiam mendengar berita itu dan terus menghadiahkan Al- Fatihah pada roh ketua kampung.

Saya tahu, datuk pergi ke Tanjung Malim untuk menunaikan permintaan arwah Kiai Muslih untuk mengubati penyakit ganjil yang dihadapi seorang lelaki di tempat tersebut. Kerana kami sampai ke pekan Tanjung Malim pada waktu senja, kami terus menuju ke masjid. Setelah menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak di Masjid Tanjung Malim, kami terus pergi ke sebuah kedai makan di pekan tersebut. Datuk terus bertanya pada tuan punya kedai tentang seorang lelaki yang tinggal di rumah besar dan mengidap penyakit ganjil. Tuan punya kedai itu memberikan jawapan yang menghampakan tetapi, dia berjanji pada datuk untuk menemukan datuk dengan penghulu.

"Barangkali penghulu tahu, kalau dia tidak tahu saya akan membantu encik”, ujar tuan punya kedai.

Setelah membayar harga makanan dan minuman, datuk dan saya pun segera beredar dari kedai tersebut. Saya kira datuk akan menginap di hotel malam itu. Kiraan saya itu tidak tepat. Datuk mengambil keputusan untuk tidur di masjid sahaja.

"Kita tidur di masjid saja, buat amalan sikit. Sementara kita masih hidup ni buatlah mana patut untuk bekalan hari akhirat”, kata datuk pada saya.

Ketika itu kami sedang melintasi landasan keretapi yang dibina atas dada jalan raya. Beberapa buah lori dan kereta membunyikan hon menyuruh kami berjalan ke tepi. Hati saya tiba-tiba jadi marah dengan sikap pemandu kenderaan itu. Mereka memandu agak laju sambiI memasang lampu besar, tanpa memikirkan keselamatan orang-orang yang berjalan kaki. Pemandu-pemandu kenderaan itu merasakan jalanraya tersebut adalah hak mereka saja. Mereka seolah- olah berlumba dijalanraya sama ada mereka datang dari arah Kuala Lumpur atau arah lpoh (masa itu lebuhraya Slim River-Tanjung Malim masih belum ada) masing-masing mahu sampai segera ke tempat yang di tuju. Mata saya dan datuk jadi silau akibat suluhan lampu kenderaan.

"Kadang-kadang manusia ni, bila dapat kemudahan tidak pernah bersyukur pada Allah dan tidak pula mahu memikirkan tentang orang lain yang tidak ada kemudahan”, rungut datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-9-2012 02:54 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 39 ~
Dendam orang sabar

Saya menggigit bibir sambiI memijak rerumput di tepi jalan. Sesekali saya merenung kearah tiang dan lampu jalan yang setia memancarkan cahaya. Waktu saya dan datuk masuk ke kawasan masjid, kami bertemu dengan seorang lelaki berumur sekitar tujuh puluhan memakai kain dan baju Melayu serta memakai serban hijau. Orang tua yang kelihatan gagah itu memberi salam. Datuk membalas salamnya dan terus berjabat tangan.

"Ke mana?", tanya orang tua itu pada datuk.

"Cadang tu nak bermalam di masjid ni"

"Memang baguslah tu, berlindung di rumah Allah nanti awak dapat syafaatnya. Tetapi sebelum tu eloklah awak merepotkan diri ke balai polis dan nyatakan awak nak bermalam di masjid"

"Apakah ini undang-undang?"

Orang tua yang berserban hijau itu terdiam sejenak dan memalingkan mukanya ke arah pekan Tanjung Malim. Saya tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas kerana cahaya dari lampu jalan tidak berapa kuat menyinari kawasan masjid.

"Bukan udang-undang, tapi untuk keselamatan diri awak. Bukan awak tak tahu kawasan sekitar Tanjung Malim belum jadi kawasan putih, sekarang zaman darurat, musim orang komunis mengamuk”, jelas orang tua itu tanpa memandang wajah datuk.

"Saya faham sekarang. Terima kasihlah atas nasihat awak"

"Sama-sama, nama saya Haji Ramli, saya nak balik sekarang" Sebaik saja dia mengakhiri kata-kata itu, dia terus berjalan menuju ke arah jalan raya.

Datuk terpinga-pinga ada semacam kekesalan terbayang di wajah datuk kerana tidak sempat memperkenalkan dirinya pada orang tua itu. Tetapi, datuk mematuhi nasihatnya. Kami terus menuju ke balai polis. Salah seorang anggota polis yang bertugas pada malam itu menyambut kedatangan kami dengan ramah. Saya melihat jam yang tersangkut di dinding balai polis sudah hampir pukul dua belas tengah malam.

"Apa halnya pakcik?"

"Saya dan cucu saya ni nak repot diri, kami nak tidur di masjid”, kata datuk.

"lnilah yang sebaiknya untuk faedah bersama. Waktu darurat begini kadang-kadang ada pemeriksaan mengejut waktu malam yang masanya tidak menentu."

Siapa yang suruh pakcik kemari?"

"Haji Ramli"

"Haji Ramli?”, anggota polis itu nampak resah sambil mengerutkan dahinya.

Anggota polis itu merenung wajah datuk penuh keraguan.

"Kenapa encik?"

"Haji Ramli tu sebenarnya sudah mati kira-kira enam bulan yang lalu dalam serangan hendap komunis di Behrang.

"Siapa dia Haji Ramli yang sebenarnya encik?"

"Dia sebenarnya sarjan di balai polis ni. Dia orang Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Agaknya pakcik ni silap orang. Pakcik dah mengantuk agaknya”, anggota polis yang bercakap dalam loghat Kedah itu mengetawakan datuk.

Sesungguhnya datuk tidak tersinggung dengan sikap anggota polis itu. Dan datuk tidak mahu mempertahankan kenyataan yang dilihatnya. Barangkali datuk memikirkan perbuatan itu satu perbuatan yang sia-sia. Cukup sukar menerangkan sesuatu tanpa bersandarkan pada kenyataan yang lojik.

"Barangkali cakap encik betul”, kata datuk sebaik saja anggota polis itu berhenti ketawa.

Anggota polis itu minta kad pengenalan (kad pengenalan lama yang bentuknya kembar dua dari kertas biasa, ukuran gambarnya besar sedikit dari ukuran gambar kad pengenalan sekarang). Anggota polis itu menatap gambar datuk sejenak. Kemudian mencatatkan sesuatu di kertas. Kad pengenalan datuk dikembalikan. Saya sudah dua tiga kali menguap panjang.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-9-2012 02:57 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 39 ~
Dendam orang sabar

"Pakcik ni mahu ke mana sebenarnya?", soal anggota polis itu lagi.

"Saya datang kemari, nak menolong orang sakit, saya cuma menunaikan amanat seorang kawan"

"Pakcik ni, Tuk Pawanglah?"

"Tidak"

"Dukun?"

"Tidak"

"Bomoh?"

“Juga tidak, saya sekadar mahu membuat jasa sesama manusia"

"Pakcik ni ganjil orangnya"

"Dalam dunia ni tak ada manusia yang ganjil, semuanya sama belaka"

Anggota polis itu tersenyum sinis. Kemudian dia menyerahkan sekeping kertas kuning yang tercatat nama datuk dan nombor repot. Kertas itu datuk masukkan ke dalam saku bajunya.

"Terima kasih encik"

"Sama-sama. Bila pakcik mahu meninggalkan masjid untuk pergi ke mana-mana sila laporkan diri"

"Baik encik"

Datuk dan saya pun meninggalkan balai polis menuju ke masjid. Bila berada dalam perut masjid datuk terus membaca Al-Quran dan saya pun mencari tempat yang sesuai untuk merebahkan badan. Tempat yang sesuai saya temui, badan pun saya rebahkan dalam beberapa saat saja saya sudah tidak dapat mendengar suara datuk. Rasa marah dan geram mula menguasai diri saya. Kerana terlalu geram saya genggam penumbuk lalu menekan penumbuk ke dinding masjid, hingga buku lima saya terasa sejuk menyentuh simen dinding. Siapa tidak meradang sedang nyenyak tidur dipaksa bangun.

"Sial”, pekik saya.

"Jangan biadab!”, balas datuk serentak dengan itu tangan kanan datuk menekan rahang mulut saya.

Lepas itu, dia menekan pangkal pelipat kaki kanan saya beberapa minit, hingga muka dan badan saya berpeluh. Badan terasa segar dan bertenaga rasa mengantuk dan malas terus hilang. Datuk terus menarik tangan saya menuju ke pintu masjid. Di situ sudah sedia menanti dua orang lelaki. Mereka tersenyum merenung pada kami. Salah seorang dari lelaki itu saya kenali, iaitu anggota polis yang kami temui di balai polis. Dan seorang lagi tidak saya kenali. Orangnya kurus memakai baju kemeja putih dan berseluar kuning. Wajahnya nampak muram.

"Ada apa encik? Encik nak periksa kami?”, tanya saya.

“Tidak"

"Jadi kenapa encik datang ke mari?”, datuk menyoal pada anggota polis.

Saya lihat anggota polis yang menyandang senjata api di bahunya tersenyum.

"Begini pakcik. Dia ni kawan saya dan kerjanya pun macam saya juga. Dia nak minta tolong tengokkan anaknya tidak berhenti-henti menjerit”, anggota polis itu menjelaskan tujuannya yang sebenar.

Datuk termenung sejenak.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-9-2012 02:59 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 39 ~
Dendam orang sabar

Ada rasa kurang senang hati terpamir di wajahnya. Memang, datuk tidak berapa suka orang lain tahu tentang kebolehannya. Datuk gigit bibir.

"Saya minta Tuk Pawang tengokkan saja”, rayu lelaki yang memakai baju putih sambil merenung wajah datuk.

Anggota polis di sebelahnya tidak berkata apa-apa.

"Saya bukan pawang, saya bukan bomoh”, kata datuk serius.

Wajah lelaki yang berbaju putih itu segera berubah.

"Kami minta tolong pakcik”, anggota polis pula merayu.

Lagi sekali datuk termenung panjang.

"Saya bukan bomoh dan bukan pawang , saya cuma boleh berikhtiar saja. Allah yang menentukan”, nada suara datuk lemah.

"Kami faham dan apa yang kami buat ni adalah ikhtiar kami”, sahut anggota polis.

Setelah meraba pangkal telinga kanannya dua kali berturut-turut, datuk memberi persetujuan untuk memenuhi permintaan mereka. Kami pun meninggalkan kawasan masjid. Dalam jangkaan saya waktu itu sudah pukul tiga pagi kerana bintang-bintang di langit sudah berkurangan angin pula tidak sekuat tadi bertiup. Akhirnya, saya dan datuk sampai ke rumah yang di tuju. Anggota polis tidak turut sama, dia kembali ke balai menyambung tugasnya.
Masa berada di rumah itu, kami terdengar bunyi tembakan yang bertalu-talu dari arah barat laut. Lelaki yang berbaju putih itu memberitahu datuk ada pertempuran di hutan antara pasukan keselamatan dengan pihak komunis. Datuk hanya anggukkan kepala mendengar penjelasan itu. Tetapi, saya bagaikan terasa ada sesuatu yang ganjil, lalu saya membuat kesimpulan bahawa diri saya dan datuk sudah dipermainkan. Saya membuat kesimpulan itu, kerana saya tidak terdengar suara orang menangis.

Suasana dalam rumah itu terasa tenang dan damai sekali lampu letrik bersinar dengan terangnya. Saya dan datuk duduk bersila dekat pintu sementara lelaki berbaju putih duduk tidak jauh dari datuk membelakangi ruang rumah.

"Mana dia anak awak?", tanya datuk.

"Begitulah keadaannya, ada masa dia diam ada masa dia menangis"

"Bawa dia kemari"

Lelaki berbaju putih itu terus memerintahkan isteri membawa anaknya ke ruang tamu. Isteri lelaki berbaju putih itu dalam lingkungan usia tiga puluhan berkulit cerah dan tinggi lampai orangnya. Kelopak matanya kelihatan bengkak, barangkali terlalu lama menangis. Dia pun meletakkan anak yang dipangku di hadapan datuk. Anak itu cukup nyenyak tidur.

Tiba-tiba anak itu menangis dengan sekuat hatinya. Matanya terbeliak macam melihat sesuatu yang amat menakutkan, sedangkan kaki dan tangannya bergerak- gerak macam orang menari mengikuti irama gendang yang di palu. Datuk tidak melakukan sesuatu terhadap anak perempuan itu. Budak perempuan itu cukup comel rupa parasnya, berusia kira-kira sepuluh tahun, berambut ikal yang dipotong separas bahu. Kulitnya cerah macam ibunya juga. Dia kelihatan menarik dengan pakaian baju kebaya merah dan berkain hijau. Budak comel itu terus menjerit dan menangis hingga wajahnya kelihatan agak kebiru-biruan.

Datuk membaca sesuatu lalu memegang tumit kaki gadis comel. Tangisan dan jeritan budak comel itu terhenti. Dia kembali tidur. Datuk terus diberi penjelasan oleh lelaki yang berbaju putih. Menurut lelaki itu, anaknya sudah dua hari dua malam berkeadaan demikian. Sudah di bawa ke klinik swasta dan doktor mengesahkan anaknya tetap normal. Beberapa orang dukun tempatan pula mengatakan anaknya itu terkena sampuk ketika melintasi sebuah busut jantan sekembalinya dari seko¬ lah. Dukun-dukun itu cuma mengubatinya. Semuanya tidak berjaya keadaan anaknya tetap macam itu.

"Tolong saya tuan. Anak saya cuma dua orang saja, dialah yang tua. Seorang lagi lelaki. Apa yang tuan syaratkan saya tunai, ambillah emas di badan saya ini sebagai cagaran”, isteri lelaki berbaju putih merayu datuk sambil menangis.

Keadaan dalam rumah sudah jadi hara biru, beberapa orang jiran kiri kanan bangunan sederet itu terjaga. Mereka lalu datang ke tempat kami.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 27-9-2012 03:01 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 39 ~
Dendam orang sabar

"Begini saja. Saya minta awak membaca Al-Fatihah dan Surah Al-Iklas seberapa banyak boleh. Jangan menangis dan meratap. Perbuatan itu tidak baik, memberi peluang syaitan menguasai hati awak”, kata datuk dengan tenang.

Isteri lelaki berbaju putih itu terdiam. Kemudian datuk meminta jiran-jiran tetangga yang datang supaya pulang ke rumah masing-masing. Datuk memberitahu mereka selagi mereka berada disitu, datuk tidak dapat melakukan sesuatu. Permintaan itu dipatuhi oleh jiran-jiran yang datang. Suasana dalam rumah kembali tenang. Datuk terus menepuk lantai rumah tiga kali. Mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu, kemudian datuk meletakkan ibu jarinya atas dahi gadis comel. Ditekannya dahi anak comel itu hingga berbekas.

"Saya minta maaf. Anak awak ni suka sangat melihat kera berjoget”, kata datuk sambil memandang wajah lelaki yang berbaju putih dan isterinya.

Mereka kelihatan tercengang. Datuk tersenyum lalu meminta isteri lelaki berbaju putih itu membangunkan anak lelakinya yang berusia lapan tahun. Permintaan itu di tunaikan. Bila budak lelaki yang berusia lapan tahun itu berada di depan datuk, wajahnya kelihatan cemas. Datuk pun memegang tapak tangan kanannya sebentar.

"Jangan takut. Cakap perkara yang betul dengan tuk”, kata datuk sambil melepaskan tangan budak lelaki yang dipegangnya. Budak lelaki itu anggukkan kepala.

"Cucu sama kakak ada tengok tarian kera?"

"Ada”

"Seronok tak?"

"Seronok. Kera tu menari joget ikut gendang. Dia menari dekat kakak sambil memeluk pinggang kakak"

Datuk puas hati dengan penjelasan budak lelaki itu. Datuk menyuruh isteri lelaki berbaju putih membawa anaknya ke kamar tidur semula. Bila isteri lelaki yang berbaju putih datang semula dan duduk di sisi suaminya, datuk pun memperkemaskan silanya. Datuk pun mengedutkan dahinya hingga pangkal ke dua keningnya seakan-akan bertemu. Mata datuk saya lihat kian mengecil.

"Mengapa dibiarkan anak perempuan awak dipegang oleh kera yang menari?", pertanyaan itu datuk ajukan pada lelaki yang berbaju putih.

Lelaki itu kelihatan resah, kemudian secara terus terang dia memberitahu datuk bahawa perkara yang terjadi itu di luar pengetahuan isteri dan dirinya. Datuk lalu menggesa lelaki berbaju putih mencari kera dan tuannya. Lagi sekali wajah lelaki itu cemas, bukanlah mudah untuk mencari kera dan tuannya waktu begini.

"Saya tak kenal dengan tuannya?"

"Begini. Aku rasa kera dan tuannya tu bermalam di kaki lima kedai, cubalah pergi ke sana. Tetapi ingat, jangan kau apa-apakan dia, bawa dia kemari”, beritahu datuk.

Lelaki berbaju putih itu segera keluar dari rumah menuju ke balai polis. Dengan di temani oleh anggota polis yang bertugas di situ dia pergi ke tempat tersebut. Sementara menanti kepulangan mereka, datuk terus merawat gadis comel secara kebatinan. Datuk tidak menyentuh kulit gadis comel itu. Datuk hanya memusingkan hujung bajunya dengan jari kelingking. Setiap kali hujung baju itu dipusingkan, gadis comel itu akan menjegilkan biji matanya, macam orang ketakutan.

Saya hanya melihat saja apa yang berlaku di hadapan mata. Sementara dalam kepala saya tergambar permainan tarian kera yang pernah saya lihat. Tarian kera ini selalunya dipertunjukkan di kawasan yang menjadi tempat lalu lintas orang ramai. Kera yang menari itu dikenakan baju cantik, macam baju orang perempuan serta di beri kipas yang di buat dari bilah buluh. Tuan punya kera akan memukul gendang dan kera itu akan menari mengikut rentak dan irama gendang yang dipalu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-9-2012 03:01 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 40 ~
Pemuda menjerit malam
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 29-9-2012 12:30 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 40 ~
Pemuda menjerit malam

Setelah selesai menari kera itu akan membawa tempurung menemui orang yang melihatnya. Orang ramai akan mencampakkan wang ke dalam tempurung. Bila bertemu dengan budak perempuan yang comel kera itu akan menarik baju atau memeluk pinggang gadis comel sebagai tanda persahabatan. Tarian kera ini pada mulanya diperkenalkan oleh orang-orang India yang datang dari Madras. Orang Melayu juga ada menjalankan pertunjukan ini dengan tujuan mencari wang. Kalau kera itu bertuankan orang-orang India tarian yang dipersembahkan tetap berunsurkan tarian India, kalau orang Melayu yang jadi tuannya, kera itu pandai menari joget atau inang. Kalau kera betina akan dinamakan Minah dan kera jantan dinamakan Mulung atau Meletik. Kata orang tarian kera ini ada unsur-unsur sihir yang dapat menarik perhatian orang ramai serta rasa simpati untuk menghulurkan bantuan, sejauh manakah kebenaran kata-kata itu tidak dapat dipastikan oleh sesiapapun. Akhirnya, lelaki berbaju putih itu pun pulang. Rambutnya kelihatan kusut masai dan matanya merah serta berair.

Isterinya terus bertanya: "Mana keranya bang?"

"Ada di luar"

"Bawa masuk”, tingkah datuk sambil bangun.

Beberapa saat kemudian kera dan tuannya muncul di muka pintu. Datuk mempersilakan tuan punya kera duduk disisinya. Setelah bercakap sebentar dengannya, datuk sudah dapat mengetahui serba sedikit tentang latar belakang tuan punya kera itu.

"Saya nak ambil sehelai bulu tengkuk kera ini”, ujar datuk.

Saya jadi hairan mendengar cakap datuk itu. Kalau hanya memerlukan sehelai bulu tengkuk kera, tidak wajar tuan punya kera itu di bawa bersama. Suruh saja lelaki berbaju putih itu mencabut sehelai saja bulu kera tersebut. Ini lebih mudah dan tidak menyusahkan tuan punya kera . Kadang-kadang saya jadi bodoh dengan sikap datuk. Tuan punya kera tidak membantah dengan hasrat yang disuarakan oleh datuk. Dia pun menolak kera ke depan datuk. Dengan tenang datuk mencabut bulu kera tersebut . Isteri lelaki berbaju putih nampak resah.

"Bulu kera ini saya rendam dalam gelas kira-kira setengah jam, kemudian air diminumkan pada anak awak, dengan izin Allah setelah air diminum anak awak akan sembuh. Saya yakin anak awak ni kena sihir bulu kera dan inilah ubatnya”

Lelaki berbaju putih dan isterinya mendengar cakap datuk dengan teliti. Tuan punya kera yang berbadan tegap itu terus melurut-Iurut badan keranya. Dia macam buat tidak kisah dengan apa yang terjadi di depan matanya. Dia sanggup menanti di situ hingga ke pagi asalkan diberi wang.
Masa terus berlalu, semuanya menanti waktu yang di janjikan dengan dada yang berdebar. Gadis comel itu sudah dua kali menjerit sekuat hati . Datuk masih lagi bertahan, dia tidak akan melakukan sesuatu selagi belum sampai waktu setengah jam. Saya melihat ke gelas, tempat merendam bulu kera.
Sementara itu tuan punya kera terus bercerita tentang pengalaman manis dan pahit sepanjang waktu dia menjaja tarian kera, merantau dari satu tempat ke satu tempat. Dia berasal dari Burma dan menetap bertahun-tahun di India sebelum datang ke Tanah Melayu. Dia tidak menganut sebarang fahaman agama. Namanya juga sering berubah-ubah mengikut keadaan.

"Bila masuk ke pekan yang banyak orang Melayu, saya jadi Melayu, kalau masuk estate saya jadi India, kalau pergi ke tempat Cina saya jadi Cina, nama saya ada tiga, saya tidur tidak kira di mana-mana, kadang-kadang di masjid, kadang-kadang dikuil atau tokong Cina”, demikian tuan punya kera menceritakan perihal dirinya penuh bangga dalam bahasa Melayu pasar yang tonggang langgang tapi boleh difahami.

"Sekarang sudah sampai masanya”, tekanan suara nada datuk penuh yakin.

Dia lalu mengambil gelas yang berisi air dan bulu kera. Dengan sedikit paksaan datuk berjaya memaksa gadis comel itu minum air bulu kera.

"Kita tunggu setengah jam lagi, kalau dia tidak menjerit bererti anak encik sudah sembuh. Tetapi, kalau dia tidak sembuh atau akan maut kerana sakitnya ini, kera ini terpaksa di sembelih, darahnya di beri pada anak encik untuk di minum”, semua yang ada disitu bertambah kecut mendengar penjelasan datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-9-2012 12:33 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 40 ~
Pemuda menjerit malam

Lebih-Iebih tuan punya kera. Lelaki berbaju putih dan isterinya mula didatangi butir- butir peluh di dahi, mereka sering kali melihat jam di dinding. Gadis comel terbujur di atas lantai pucat lesi. Masa terus berlalu, kedinginan kian kuat terasa menyapa tubuh badan saya.

"Limat minit lagi”, kata datuk.

Isteri lelaki berbaju putih anggukkan kepala. Empat minit, tiga minit, dua minit dan akhirnya tepat setengah jam. Gadis comel itu tidak menjerit, dia bangun dari tempat baringnya. Datuk menyuruh gadis comel itu membaca Al-Fatihah dan mengucap dua kalimah syahadah. Gadis itu dapat melakukan segala-galanya dengan lancar dan teratur. Datuk gembira. Tetapi, kegembiraan hanya berlaku sebentar saja.
Lelaki berbaju putih dan tuan punya kera bertengkar. Tuan punya kera itu tidak patuh dengan janjinya.

"Waktu saya ajak datang tadi dia mengenakan bayaran sepuluh ringgit, sekarang dia mahu dua puluh ringgit”, keluh lelaki berbaju putih.

Isterinya pula mula membuka gelang dan kalung di leher untuk diserahkan pada tuan punya kera. Perbuatan itu segera ditegah oleh datuk. Cepat-cepat datuk menepuk bahu tuan punya kera dan terus mengambil wang sepuluh ringgit dari lelaki berbaju putih, lalu diserahkan pada tuan punya kera yang bagaikan terkena pukau, menerima dan mendengar cakap datuk. Datuk, saya dan tuan punya kera meninggalkan rumah lelaki berbaju putih.

Bila sampai di luar kawasan balai polis, datuk terus memegang bahu tuan punya kera.
Tiba-tiba kera yang didukung oleh tuan punya menyerang datuk dengan menggigit lengan datuk. Ternyata gigi kera yang tajam itu tidak mampu menembus kulit lengan datuk. Dalam malam yang dingin itu, saya lihat muka tuan punya kera berubah, dari wajah seorang yang agak bodoh dan tolol menjadi bengis dan garang. Dia mengarahkan keranya menyerang di.mana-mana bahagian tubuh datuk. Datuk terus bertahan. Tiba-tiba badan saya mengeletar, bukan kerana rasa sejuk yang di bawa oleh angin subuh, tetapi, kerana kera yang saya lihat kecil itu berubah jadi besar. Lebih tinggi dari datuk, kera itu membuka mulutnya dengan luas , kedua-dua taring yang panjang dan tajam itu menyeringai. Datuk masih bertenang, dia mengelak bila kera itu menyerang. Tuan punya kera terus mengeluarkan arahan. Tiba-tiba datuk berjaya menangkap ekor kera itu.

Dalam beberapa saat saja kera itu kembali kepada keadaan asalnya. Tuan punya kera pula mula menyerang dari sebelah kanan. Datuk mengelak setapak, kemudian memukul pangkal leher tuan punya kera hingga tersungkur. Ketika itu, beberapa orang anggota polis yang dapat melihat keadaan di luar balai segera keluar. Masa anggota polis itu sampai ke situ, datuk sudahpun membangunkan tuan punya kera. Dengan nada suara yang merayu-rayu tuan punya kera minta datuk jangan mengapa-apakan dirinya.

"Awak jahat. Awak sengaja menggunakan ilmu halus awak untuk memperdayakan orang. Saya tahu, awak sengaja kenakan pada budak perempuan itu. Bila dia sakit awak tahu menawarnya dan awak kenakan bayaran yang tinggi, ini kerja awak”, kata datuk sambil memulas tangan tuan punya kera.

"Saya cari makan tuan”

"Bukan cara ini awak cari makan, lagi sekali awak buat kerja ni, awak mati tahu?”, ugut datuk sambiI memeriksa badan tuan punya kera.

Datuk menemui sekeping kulit kera yang sudah kering yang dibalut dengan beberapa rajah serta tulisan Burma. Datuk bakar kulit keras dan pembalutnya, datuk tidak peduli dengan rayuan dari tuan punya yang menyembah-nyembah kakinya.

"Awak balik”, kata datuk.

Tanpa banyak cakap tuan punya kera beredar dari situ dengan wajah yang muram. Pada anggota polis yang berada di tempat tersebut ,datuk menasihatkan mereka supaya jangan membenarkan anak-anak perempuan mereka melihat tarian kera dalam jarak dekat, apa lagi membiarkan kera memanjat atau memeluk badan anak-anak mereka.

"Tarian tu selalu digunakan oleh tuan punya menyerapkan semangat kera. Tetapi, tidak semua pula tuan punya tarian kera berperangai begitu. Kita harus berjaga- jaga. Tarian itu ada unsur- unsur pemujaan roh ghaib”, datuk membuka rahsia di sebalik tarian kera.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-9-2012 12:37 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 40 ~
Pemuda menjerit malam

Kemudian kami terus ke masjid. Tidak lama lepas itu waktu subuh sudah tiba, kami pun bersembahyang subuh dengan orang-orang yang datang ke masjid tersebut. Kerana memikirkan saya dan datuk orang musafir yang menumpang tidur di masjid, tidak banyak yang mahu bercakap dengan kami, walaupun kami bersikap ramah pada mereka. Mereka datang ke masjid hanya untuk sembahyang saja dan melupakan ajaran agama yang menyuruh pengikutnya menjalin persahabatan dan kemesraan dengan orang yang seagama dengan mereka. Lebih kurang pukul lapan pagi kami pun keluar dari masjid menuju ke kedai tempat kami makan malam tadi. Sepanjang jalan ke kedai datuk terus merungut kerana dia tidak melakukan kebiasaannya mandi embun.

Kedatangan kami di sambut oleh tuan punya kedai makan ramah sekali. Malah, dia turut makan semeja dengan kami. Banyak perkara yang ditanyakannya pada datuk. Saya kira tuan punya kedai itu seorang yang bijak kerana sambil bercakap itu dia sebenarnya mengemukakan pertanyaan yang tidak begitu ketara terhadap diri datuk. Secara tidak langsung datuk sendiri membuka rahsia tujuan sebenarnya mahu mengubati lelaki yang dikatakan mengidap penyakit aneh itu.

"Sebenarnya, lelaki tu ada hubungan keluarga dengan saya. Tetapi, saya tidak begitu yakin berubat cara tradisional ni “, kata tuan punya kedai sambil menghirup air kopi.

Datuk pandang muka saya seolah-olah datuk memberitahu bahawa, dirinya terperangkap dalam kemanisan budi dan tutur bicara tuan punya kedai.

"Kenapa awak tidak berterus terang dengan saya sejak semalam?”,datuk melahirkan rasa kurang senangnya.

Tuan punya kedai terdiam. Datuk hirup kopi dengan tenang. Beberapa orang pelanggan terus keluar dan masuk.

"Minta maaf, kalau saya katakan kebanyakan orang- orang kita ni terutama yang mendakwa dirinya bomoh dan pawang, selalunya cari kesempatan, kebolehan tidak setinggi mana cakap saja yang melambung”, tuan punya kedai meluahkan apa yang tersirat dalam hatinya.

Datuk tersenyum sambil menjentik badan cawan dengan jari manisnya. Tuan punya kedai menyepitkan sebatang rokok cap tembak (Rough Rider) ke bibirnya. Hujung rokok itu di bakarnya dan disedutnya panjang- panjang. Asap rokok yang diluahkannya berlegar-Iegar dalam ruang kedai sebelum hilang di bawa angin pergi.

"Hubungan keluarga macam mana tu?", datuk menyoal tuan punya kedai sambil menghabiskan sisa-sisa kopi yang ada di dalam cawan.

"Pangkat dua pupu dengan saya”


"Awak kenal dengan Kiai Muslih?"

"Kenal tu tidak, saya cuma kenal pada namanya saja. Kiai itu juga pemah mengubatnya. Tapi, tidak juga mahu sembuh”

"Apa pendapat awak tentangnya?"

"Dia tu saya rasa jujur orangnya”

"Awak tahu dia dah meninggal?"

"Saya tak tahu, bila dia meninggal?", tuan punya kedai terkejut.

Datuk terus menerangkan pada tuan punya tentang kedudukan yang sebenarnya. Wajah tuan punya kedai kelihatan cemas sedikit, bila datuk menyatakan kedatangannya ke situ adalah untuk menunaikan amanat Kiai Muslih.

"Kita sekadar mahu menunaikan permintaan kawan, itu pun kalau kaum keluarga si pemuda tu setuju. Kita sekadar mahu menolong dan kita bukannya pawang atau dukun. Kita tidak mencari makan atas nama pawang atau bomoh”, cukup tentang datuk berkata.

Tuan punya kedai terdiam. Datuk pun bangun untuk membayar harga makanan serta bersedia mahu meninggalkan kedai tersebut.

"Nanti dulu, maafkan saya kalau tersinggung”

"Saya tak tersinggung, itu hak awak”

"Saya tahu itu hak saya tapi, perbuatan itu kurang baik. Lagi sekali saya minta maaf. Sebab zaman sekarang, banyak orang menyamar jadi bomoh”

"Selalunya yang asli tetap asli, jarang mahu menunjuk kebolehan”

"Saya setuju”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-9-2012 12:42 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 40 ~
Pemuda menjerit malam

Bila datuk mahu membayar harga minuman dan makanan, tuan kedai itu tidak menerimanya. Malah tuan punya kedai itu membawa saya dan datuk ke sebuah bilik khas di bahagian belakang kedainya. Tuan punya kedai itu memberitahu pada datuk yang saudaranya (Lelaki berpenyakit ganjil) berusia lebih kurang tiga puluh lapan tahun. Tidak suka menerima tetamu datang ke rumah walaupun ibubapanya.

“Hati-hatilah awak bila kesana. Banyak orang yang cuba mengubati dikejar dengan parang panjang, kecuali Kiai Muslih”, tuan punya kedai mengingatkan datuk.

"Aneh juga perangainya”, balas datuk.

"Dia bukan sakit tapi kemasukan syaitan”

"Barangkali”, jawab datuk pendek.

Datuk terus memberitahu tuan punya kedai yang dirinya tidak dapat pergi dengan segera ke rumah lelaki aneh itu. Paling cepat dua hari lagi. Datuk perlu membuat beberapa persiapan tertentu. Dan datuk tetap memilih masjid sebagai tempat menginap sementara menanti masa yang di tunggu itu tiba. Sejak menginap di masjid datuk terus menjalin persahabatan dengan anggota-anggota polis disitu. Dan datuk sudah pun mendapat kebenaran untuk berjalan pada setiap subuh di kawasan pinggir pekan Tanjung Malim yang terdapat pokok-pokok tumbuhan. Sebelum pergi ke tempat tersebut datuk dikehendaki melaporkan diri kepada pihak berkuasa di balai polis. Walaupun tujuan datuk pergi ke kawasan hutan tersebut untuk mandi embun.

Tarikh yang dijanjikan pun tiba. Datuk dijemput oleh tuan punya kedai dengan kereta menuju ke kawasan perkampungan Melayu yang terletak ke selatan bandar Tanjung Malim. Bila sampai ke kawasan tersebut datuk pun diperkenalkan dengan kaum kerabat pemuda yang malang itu. Saya dengan datuk sampai di kampung tersebut pada sebelah pagi. Dan pada sebelah petangnya saya dan datuk sudahpun mengetahui kedu¬ dukan rumah batu tempat pemuda aneh itu tinggaI. Kawasan sekeliling rumah batu itu ditumbuhi pohon- pohon besar. Halaman rumahnya lapang dengan pokok-pokok bunga raya. Dibelakang rumah terdapat kolam besar. Petang itu juga datuk menghampiri rumah batu tersebut.
Dari jauh lagi pemuda ganjil melambai- Iambaikan tangan pada datuk. Datuk terus masuk ke kawasan rumah tersebut. Pemuda ganjil mendekatinya.

"Apa hajat kemari?" tanya pemuda ganjil.

Wajahnya cengkung. Matanya merah, misai dan janggut serta jambang tumbuh liar di wajahnya. Datuk cuba tersenyum kepadanya.

"Saya nak memancing ikan”, datuk berbohong.

"Pergilah ke tempat lain. Kawasan ni kawasan saya dan tuan puteri”, ujarnya serius.

"Minta maaf, saya tak tahu”, kata datuk.

Pemuda ganjil itu tersenyum dan terus menghalau datuk dari kawasan rumahnya dengan maki hamun. Datuk terus menemui ke dua orang tua lelaki ganjil itu. Datuk memberitahu mereka segala usaha akan diikhtiarkan pada waktu malam hari Selasa ketika bulan mengambang. Sebelum usaha itu dilancarkan, datuk perlu mengetahui gerak-gerinya. Datuk merasa senang hati kerana kedua orang tua lelaki ganjil itu sanggup membantu datuk. Sementara menanti musim bulan mengambang, saya dan datuk perlu tinggal di kampung tersebut selama dua hari lagi.

"Malam ni tiga belas Syaaban, malam esok empat belas dan malam lusa baru lima belas”, kata datuk pada saya sambil menggigit ibu jarinya.

Saya anggukkan kepala dengan harapan datuk akan terus duduk di tebing sungai itu. Saya sudah tidak sanggup lagi untuk berjalan di kawasan yang penuh semak samun itu. Selain dari itu, hati saya sentiasa bimbang dan cemas. Manalah tahu, tiba-tiba pemuda yang tinggal di rumah batu akan keluar membawa parang untuk memotong leher saya dan datuk. Dan bermacam-macam perkara bermain dalam kepala saya.

"Memang elok, malam Jumaat”, tambah datuk lagi sambil merenung ke arah rumah batu yang sudah jauh tertinggal di belakang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-9-2012 12:47 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 40 ~
Pemuda menjerit malam

Saya terus menggigit bibir sambiI merenung ke langit. Saya lihat awan petang itu cukup bersih. Datuk berhenti melangkah. Dengan teliti dia meletakkan punggungnya atas batu besar yang terdampar di bibir Sungai Bernam.

Tidak jauh dari batu besar itu terdapat sepohon pokok ara yang akarnya terjuntai ke dalam air sungai. Perdu pokok ara itu cukup besar, kira-kira dua pemelok. Air Sungai Bernam yang mengalir itu seakan-akan berpusing-pusing di bahagian akar pokok ara itu sebelum mengalir ke selatan. Kerana air Sungai Bernam yang mengalir itu cukup jernih, pasir dan batu-batu yang terdapat di dasarnya boleh dilihat dengan jelas. Datuk saya lihat merenung air sungai yang seakan-akan berpusing berhampiran dengan akar ara yang terjuntai itu. Datuk macam mencari sesuatu. Dahinya saya lihat berkedut bersama bintit-bintit peluh yang tumbuh di kiri kanan pipinya. Saya merasa hairan dan takjub dengan sikap datuk yang tiba-tiba berubah itu.

"Kita harus mencari akar-akar kayu, pucuk-pucuk kayu dan batu-batu yang terdapat dalam sungai ni Tamar”, ujar datuk sambil merenung muka saya.

Macam ada sesuatu yang timbul dalam diri saya untuk menentang apa yang datuk cakapkan. Apa perlunya batu dan akar kayu itu? Apakah datuk tidak tahu hari sudah petang? Apakah dia tidak terfikir pemuda yang berada di rumah batu itu akan sampai ke tempat saya dan datuk duduk sekarang? Saya mengeluh dalam hati.

"Semuanya ada guna untuk kita Tamar. Aku tahu apa yang kau fikirkan dan kau jangan cuba membantah cakap aku”

Mendengar suara datuk itu, muka saya segera berubah. Saya malu pada diri saya sendiri. Datuk sudah tahu apa yang tersirat dalam hati saya. Datuk renung muka saya sebentar.

Kemudian dengan tenang datuk Lipatkan kedua belah kaki seluarnya hingga separas kepala lutut. Datuk terus turun ke dalam sungai. Meranduk air sungai dengan tenang sambil membongkokkan badan mengutip batu-batu yang berada betul-betul di tengah sungai. Kebanyakan batu yang dikutip itu berbentuk leper dan bersegi tiga. Datuk masukkan batu-batu itu ke dalam saku bajunya. Jumlah batu yang dikutip oleh datuk lebih kurang tiga puluh tiga biji. Datuk memanjat tebing sungai dan terus menghampiri saya.

"Mari kita ke sana”, ujar datuk sambil menuding jarinya ke arah matahari terbit.

Saya pun segera bangun dan mengeliat dua tiga kali. Datuk terus langkah. Saya tidak ada pilihan lain dan terpaksa mengikutnya saja. Matahari petang kian condong, bebayang pokok memanjang di tanah.

Awan saya lihat tetap berarak tenang. Kami masuk ke kawasan hutan kecil yang bersambung dengan kaki sebuah bukit. Pokok-pokok yang tumbuh di kaki bukit itu agak subur . Dengan menggunakan tangannya datuk pun mematahkan beberapa dahan kayu yang berdaun lebat. Kami kian jauh mara ke dalam hutan dipinggir bukit itu, matahari kian mengecil membuat suasana di sekitar kawasan tersebut agak muram. Dan datuk dengan menggunakan kekuatannya berjaya mencabut beberapa akar kayu hutan.

"Balik”, kata datuk .

Kepalang gembiranya hati saya mendengar cakap datuk itu. Kami berpatah balik menuju ke tebing sungai, tempat kami mula bergerak tadi. Sebaik saja sampai di bawah pokok ara tempat saya dan datuk duduk tadi, terdapat kesan-kesan darah pada akar pokok tersebut. Datuk melihat kesan darah itu dengan teliti.

"Darah apa agaknya?", rungut datuk sambil merenung muka saya.

Cepat-cepat saya gelengkan kepala. Ketika itu saya lihat di kaki langit, cahaya merah dan kekuningan mula bangkit, menandakan tidak lama lagi waktu Maghrib akan tiba. Tanpa banyak cakap, datuk pun menutup kesan darah di akar kayu ara dengan daun kering. Tiba-tiba saya lihat wajah datuk berubah. Ekor matanya menjeling tajam ke kiri dan ke kanan, macam kucing mengamati langkah mangsanya. Saya segera menggigit bibir, bila melihat ada titisan darah jatuh dari dahan pokok ara. Darah itu menitik atas lengan datuk dan mengalir perlahan-Iahan menuju ke hujung jarinya.

"Ambilkan daun keladi dan sapukan darah di lengan ini”, kata datuk.

Saya pun segera mematuhi perintahnya. Sebaik saja darah di lengan itu saya sapukan dengan daun keladi, datuk pun mengambil daun keladi dari saya lalu diletakkan atas tanah dengan keadaan yang terlentang. Macam kilat datuk melompat lalu membuka silat langkah pertama sambil melepaskan buah silat kiri dan kanan. Pergerakan datuk cukup cepat dan tangkas. Bila datuk mematikan langkahnya, saya lihat daun keladi yang diletakkan dalam keadaan terlentang hancur. Akhirnya datuk dongakkan kepala dan sepasang matanya merenung tajam ke arah salah satu dahan ara.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-9-2012 12:48 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 40 ~
Pemuda menjerit malam

Urat-urat di mata datuk kelihatan seakan- akan timbul dan berwarna merah. Dari kedua-dua belah bibir matanya, saya lihat keluar asap yang nipis macam kabus.
Dahi datuk berpeluh begitu juga kulit pipinya, dagu datuk bergerakgerak. Datuk terus menenung dahan ara itu. Tiba-tiba dahan yang ditenungnya patah dan jatuh ke bumi.

"Selesai”, kata datuk lalu menarik tangan saya ke arah kesan kena bakar.

Daun yang terdapat di dahan itu semuanya layu dan kecut. Datuk tidak menceritakan apa-apa pun berhubung dengan dahan yang patah dan darah yang menitis pada lengannya. Kami pun meninggalkan kawasan tersebut. Hari sudah beransur gelap. Kerana kami ditempatkan di sebuah rumah khas oleh keluarga pemuda ganjil itu membuat saya dan datuk terasa agak selesa dan bebas bergerak. Malam itu, datuk membuat keputusan yang amat menakjubkan. Dia mahu meninjau keadaan kawasan sekitar rumah batu. Dia mahu melihat apa yang dilakukan oleh pemuda itu ketika bulan menggambang.

"Siapkan keris kecil untuk aku”, datuk mengeluarkan perintah.

Sebaik saja dia selesai menunaikan sembahyang Isyak, saya segera mengeluarkan keris kecil dari tempatnya dan terus menyerahkan pada datuk. Datuk gulung keris itu dengan kain hitam dan terus diselitkan ke pinggangnya. Sebelum meninggalkan rumah khas tempat kami menginap, datuk terlebih dahulu duduk bersila di muka pintu sambil membaca sesuatu. Saya di suruhnya melihat bulan di langit. Saya berdiri dimuka tingkap melihat langit dan awan. Datuk terus bertafakur, kepalanya sudahpun dililit dengan kain merah.

"Malam ni baru 13 Syaaban, bulan tidak begitu besar”, ujar datuk sambil menepuk lantai tiga kali.

Dia terus mundar-mandir di ruang rumah. Saya biarkan datuk dengan keadaannya. Saya tidak mahu campur dalam urusannya. Saya tersenyum, di langit bulan mula timbul, awan nipis yang melitupinya mula bergerak, terpisah dengan bulan yang sebesar buah kelapa sulung itu. Datuk segera menghampiri dan berdiri dekat muka tingkap. Wajahnya kelihatan berseri- seri.

"Malam ni mulakan dulu”, kata datuk.

"Terlalu cepat datuk bertindak?"

"Apa salahnya, menguji dulu sebelum masuk gelanggang”

"Saya takut kerja datuk jadi kerja yang sia-sia?"

"Kita sekadar mencuba”, jawab datuk.

Tiba-tiba datuk dan saya terdengar lolongan anjing sayup-sayup. Bulan di langit kian menyerlah. Awan kian bersih dan bergerak-gerak perlahan-Iahan mengikut arah angin. Suara lolongan anjing kian kuat dan menyeramkan. Pokok-pokok sekitar kawasan rumah tempat kami menginap mula bergerak- gerak disentuh angin.

"Aku dengar bunyi suara orang menjerit”, bisik datuk ke telinga saya.

Dan datuk menyuruh saya mengamati arah mana suara orang menjerit itu datang. Saya pun pasang telinga dengan teliti. Dada saya mulai berdebar.

"Dari arah rumah batu tuk”

"Aku rasa pun begitu juga”

"Apa yang patut kita buat tuk?"

"Kita pergi ke sana, meninjau”

Saya menarik nafas panjang bila mendengar cakap datuk itu. Suara lolongan anjing kian kuat, angin juga mula bertiup agak kencang. Saya merasa hairan, kenapa hal itu terjadi dengan mendadak. Bila dilihat keadaan hari, memang tidak wajar angin boleh bertiup begitu kencang. Suara orang menjerit kian galak, bersambung-sambung dalam lolongan yang memanjang. Datuk menyuruh saya turun dahulu. Dia mahu menguncikan daun pintu. Saya terus turun. Bila kaki saya memijak bumi, dada saya terasa berdebar-debar.

Dalam keadaan yang resah itu, sebiji pisang muda macam dibaling orang tertentu mengenai dahi saya. Pandangan saya jadi berpinar- pinar. Badan saya terhuyung- hayang. Dalam keadaan yang tidak keruan itu datuk terus memeluk saya. Datuk dudukkan saya atas anak tangga. Dengan perlahan-lahan datuk menepuk dahi saya tiga kali berturut-turut. Pandangan saya kembali normal. Dan badan saya tidak lagi terhuyung-hayang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-9-2012 12:56 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 41 ~
Berkasih dengan Langsuir

“Air apa tok?"

"Air kencing langsuir”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-10-2012 02:41 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 41 ~
Berkasih dengan Langsuir

Datuk terus duduk di sisi saya di kaki tangga. Kami merenung suasana malam yang kelam itu. Suara lolongan anjing terus sambung menyambung, tingkah meningkah dengan suara cengkerik dan katak. Angin malam yang bertiup melanggar dedaun dan dahan- dahan pokok sekitar kawasan rumah, melahirkan bermacam-macam bunyi. Sekejap terdengar semacam orang berlari, sekejap terdengar semacam suara orang mengerang kerana menahan kesakitan.

"Selalunya perbuatan ni, perbuatan syaitan”, kata datuk lalu bangun, menuju ke kawasan yang di duga tempat buah pisang muda jatuh.

Seluruh kawasan itu datuk periksa. Tidak ada buah pisang muda yang ditemui, kecuali pelepah pisang yang panjangnya kira-kira lima inci. Datuk ambil pelepah pisang itu lalu diramasnya hingga hancur.

"Mari kita pergi ke rumah batu tu”, datuk tarik tangan saya.

Kerana datuk menarik agak kasar dan kuat, saya hampir tersungkur mencium tanah. Memang, ada ketikanya datuk kadang-kadang bersikap kasar dengan saya Dan saya tidak pernah tersinggung dengan perbuatannya itu, kerana saya tahu kasih sayangnya terhadap saya tidak pernah surut dari hari nuraninya. Kami pun berjalan dengan hati-hati. Tidak ada kesukaran yang kami hadapi kerana cahaya bulan malam tiga belas Syaaban yang mengeluarkan cahaya yang samar-samar banyak menolong kami.

Setelah berjalan kira-kira sepuluh minit, kami pun sampai di kawasan rumah batu dua tingkat itu. Datuk membuat keputusan untuk masuk ke kawasan rumah batu itu dari bahagian belakang yang dipagari dengan pokok-pokok buluh. Datuk mengalami kesulitan kerana bahagian sebelah dalam pokok-pokok buluh itu dilapisi dengan kawat berduri. Dalam jarak lima atau sepuluh kaki dari pohon-pohon buluh yang di tanam itu terdapat pula pokok besar yang tumbuh merimbun bersama dengan akar-akar yang berjuntaian. Suasana di situ terasa amat menyeramkan. Ada bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Dengan pertolongan cahaya bulan saya dapat melihat beberapa ekor ular, lipan dan kala jengking merayap-rayap atas daun buluh yang kemudian memanjat akar yang berjuntaian dari pokok besar.

"Bagaimana kita nak masuk tok?”, tanya saya dengan jujur.

Datuk terdiam. Matanya mula melihat bulan tiga belas Syaaban yang kian bersinar di dada langit. Ketika itu juga, saya terasa angin malam mula bertiup. Dedaun tua dari pokok besar kelihatan melayang-Iayang dan terus jatuh di atas daun buluh. Suara lolongan anjing kian hebat. Dalam saat-saat begitu saya terdengar suara burung hantu bersahut-sahutan di atas pokok besar. Bunyi angin yang menyentuh dedaun dan dahan-dahan kayu amat menakutkan. Bunyinya kadang kala macam orang menangis, macam orang mengeluh. Semua terpaksa saya hadapi dengan tenang kerana datuk tetap dengan cita-citanya untuk masuk ke dalam kawasan rumah batu dua tingkat itu.

Sayup-sayup saya terdengar bunyi lonceng jam dari rumah dua tingkat itu berbunyi sebanyak dua belas kali. Badan saya mula menggigil akibat dijamah angin malam. Suara jeritan anjing liar bersahut-sahutan memanjang bagaikan merayu-rayu hiba. Datuk mula berdiri kemas-kemas sambil memeluk tubuh. Datuk lalu menyuruh saya berdiri di sisinya dan berpeluk tubuh. Datuk mula membaca sesuatu. Dalam keadaan yang tenang itu tiba-tiba badan saya dan datuk ditimpa oleh air, macam air hujan sedangkan hari tidak hujan, cuaca cukup baik, langit cerah bersama bulan yang sedang mengambang.

"Air apa tok?" saya menyoal datuk.

Pertanyaan saya tidak mendapat jawapan. Angin kian kuat bertiup, lolongan anjing dan suara burung hantu berpadu menguasai malam yang sudah berganjak ke subuh. Air dari langit itu datang lagi, menimpa muka saya.

“Air apa tok?"

"Air kencing langsuir”

"Ha, saya takut tok”

"Diamlah”, pekik datuk.

Saya terdiam terus. Datuk segera mengangkat kedua belah tangannya separas dada, lurus, kemudian kedua belah tangannya itu dibengkukkannya hingga sepuluh jarinya menghala ke dada. Datuk menggerak- gerakkan kepalanya. Sebaik saja datuk meletakkan tapak tangan kirinya ke atas bahu kanan, pokok besar ber¬ goyang dengan hebatnya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 1-10-2012 02:44 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 41 ~
Berkasih dengan Langsuir

Ranting-ranting kering jatuh ke bumi bertalu-talu. Bila saja pokok besar itu berhenti bergoyang, terdengar suara orang perempuan mengilai panjang. Selain dari suara itu terdengar juga bunyi orang memukul pangkal peha dengan tapak tangan bertalu-talu, suara ketawa itu sambung menyam¬bung dan bertingkah pula dengan suara anjing liar yang menyalak panjang. Lagi sekali pokok besar itu bergoyang. Datuk masih bertenang. Dia tidak peduli dengan suara perempuan yang ketawa itu. Datuk menarik nafas panjang serentak dengan itu suara perempuan mengilai segera berhenti dan diganti dengan suara perempuan menangis panjang.

"Jangan perdayakan aku”, suara datuk mula meninggi.

Datuk terus melompat ke arah pokok besar. Perdu pokok besar itu dipeluknya kuat- kuat. Dengan kekuatan yang luar biasa datuk mengegarkan pokok tersebut hingga daun dan dahan pokok itu jatuh ke tanah. Suara perempuan mengilai dan menangis terus hilang. Suasana di sekeliling luar rumah batu dua tingkat itu terasa sunyi sekali. Datuk masih lagi berada di bawah pokok besar. Dengan tenang datuk menikam perdu pokok besar dengan jari kelingking, saya lihat jari kelingking datuk terbenam dalam perdu pokok tersebut. Bila jarinya dicabut, saya terdengar suara jeritan yang memanjang di atas pokok. Datuk melompat kembali ke sisi saya. Datuk terus duduk bersila di atas tanah membaca sesuatu. Dalam keadaan yang kelam kabut itu, suara jeritan di atas pokok berhenti. Dari perdu pokok saya lihat seorang wanita berjalan ke arah kami, wanita itu memakai kain serba putih. Bila wanita yang memakai pakaian serba putih itu sampai di tempat saya dan datuk duduk, perempuan itu terus mengilai sambil mengibas- ngibas pakaian putihnya ke kiri dan ke kanan, ketika itu juga bunyi suara burung hantu bertambah kuat bersama lolongan anjing. Perempuan yang memakai pakaian serba putih itu bagaikan terangkat dari bumi bergerak menuju ke bumbung rumah batu dua tingkat

"Apa benda tu tuk?"

"Itulah langsuir”

"Dia nak ke mana tok?”

"Entah”, suara datuk pendek.

Saya terdiam dan tidak mahu mengemukakan pertanyaan padanya. Datuk dan saya terus berlegar-legar di tepi pagar pokok buluh. Saya tidak tahu apakah yang akan datuk lakukan. Saya selalu saja cemas melihat ular yang menjalar di atas pokok buluh. Datuk terus menepuk bumi tiga kali. Seluruh kawasan tempat saya berdiri jadi berasap tebal. Dua tiga kali saya terbatuk, kepala saya mula terasa pening. Lagi sekali datuk menampar bumi, kali ini saya lihat pagar-pagar dari pokok buluh terbelah dua terbentang jalan berpasir menuju ke dalam kawasan rumah batu dua tingkat.

"Masuk”, kata datuk.

"Ya, saya ikut”

Saya pun mengikut langkah datuk. Datuk melangkah tiga langkah ke depan. Bila langkah yang keempat dimulai, datuk merendahkan badannya ke kiri dan tumit kakinya diangkat setinggi empat inci. Sementara kaki sebelah kanan di angkat separas lutut. Apa yang datuk lakukan saya buat dengan teliti. Datuk terus menampar tapak kaki kirinya dengan tangan kanan tiga kali berturut-turut. Bila datuk me¬letakkan ibu jari kirinya ke pangkal hidungnya, saya terdengar satu letupan kecil dan diikuti dengan kepulan asap yang tebal. Bila kepulan asap itu hilang, pokok buluh yang terpisah tadi bercantum kembali. Dan kami sudah pun berada di dalam kawasan rumah batu dua tingkat. Saya dan datuk duduk di bawah pokok Bunga Tanjung. Tingkap bilik tidur di rumah batu dua tingkat itu terbuka. Lampu masih terpasang.

"Kita tengok apa yang akan berlaku. Kau jangan tegur”, datuk mengingatkan saya, sambil melilitkan secebis kain hitam di pergelangan tangan kanan saya.

Angin malam, terus juga bertiup, embun jantan mula turun. Saya mula terasa kesejukan, bibir saya mengeletar. Tiba-tiba lampu di bilik tidur dipadamkan buat beberapa minit. Bila lampu itu di hidupkan, pemuda yang dikatakan mengalami penyakit ganjil mendepankan kedua belah tangannya sambil menguap panjang. Lepas itu dia menekan jenang tingkap. Kerana dia tidak memakai baju, bulu dadanya jelas kelihatan begitu juga dengan bulu ketiaknya. Walaupun malam terasa amat dingin tetapi pemuda yang tinggal di rumah batu dua tingkat itu tidak terasa dingin.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-10-2012 02:46 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 41 ~
Berkasih dengan Langsuir

Pemuda itu merenung ke langit pada bulan yang kelihatan bersinar di dada langit. Dengan mendadak saja pemuda itu menjerit terlolong macam anjing menyalak kucing di atas pokok. Bila pemuda itu selesai menjerit dia terus memadamkan lampu biliknya. Dalam beberapa minit kemudian saya dapat lihat lampu di bahagian bawah menyala. Serentak dengan itu pemuda tersebut terus membuka pintu. Sinar lampu di bahagian depan itu sampai ke kawasan pokok Bunga Tanjung, saya dan datuk terpaksa berlindung di balik batang pokok tersebut, dengan berbuat demikian kami harap pemuda tersebut tidak akan dapat melihat kami. Apa yang kami harapkan memang menjadi, pemuda itu tidak merenung ke arah kami.

"Wangi”, bisik saya pada datuk, kerana saya terhidu bau yang wangi datuk segera menekup mulut saya dan memberitahu saya supaya jangan menegur sesuatu yang dirasakan ganjil.

Cakap datuk itu saya patuhi. Bau wangi itu terus menusuk lubang hidung saya. Tiba-tiba pemuda yang tinggal dirumah batu dua tingkat itu muncul di muka pintu dengan pakaian yang cukup rapi. Dia berdiri sambil menyandarkan badannya ke tiang pintu. Dia merenung ke depan sambiI menarik nafas dengan tenang. Seolah-olah dia cukup senang menyedut udara yang berbau harum itu. Dari kejauhan saya dan datuk mula terdengar lolongan anjing yang mendayu-dayu. Di tengah suara anjing yang mendayu- dayu itu pemuda ganjil itu menari sambil menyanyi dengan kuatnya dan matanya tetap melihat bulan yang mengambang.

Saya mengeluh panjang, dari arah jalan yang menuju ke pintu rumah batu dua tingkat itu, saya melihat seorang perempuan bergaun putih menuju kearah tempat pemuda ganjil itu berdiri. Angin malam yang berhembus membuat gaun perempuan berkibar-kibar, seakan-akan menari dijalan menuju ke rumah yang sepi itu. Datuk menyuruh saya membaca beberapa potong ayat Al-Quran dengan tujuan menghalau syaitan. Saya jadi kelam kabut, tidak ada satu ayat pun yang dapat saya ingati. Seluruh badan saya mengeletar. Datuk segera membaca beberapa mantera peneguh semangat, kemudian datuk hembus cuping telinga sebelah kanan saya tiga kali berturut- turut. Rasa cemas dan darah gemuruh saya mula terkawal.

Saya dapat menumpukan perhatian saya pada lelaki ganjil dan perempuan yang bergaun putih. Saya lihat perempuan bergaun putih itu sudah berdiri di hadapan pemuda tersebut sambil menghulurkan tangannya. Pemuda itu menyambut tangan perempuan yang bergaun putih dengan senang hati. Mereka berpeluk-pelukan. Suara anjing terus menyalak mendayu-dayu, angin terus bertiup tenang, bau harum menguasai seluruh kawasan rumah batu dua tingkat itu.

"Perempuan itu syaitan menjadikan dirinya wanita cantik”, bisik datuk pada saya.

"Mana boleh begitu, dia manusia”, saya membantah.

"Kau baring rapatkan telinga kanan kau ke bumi, dan mata kau renung ke arahnya”, ujar datuk.

Saya patuh dengan cakapnya. Bila saya sudah meniarap datuk pun memegang buku lali kaki kiri saya, dia menyuruh saya melihat ke arah perempuan yang memakai gaun puith. Lagi sekali saya menarik nafas panjang, perempuan yang bergaun putih memang berwajah hodoh. Matanya merah, kepalanya tanpa rambut, hidungnya panjang macam sumbu badak dari kedua belah rehangnya terjulur gigi yang panjang macam gading gajah.

"Sudah, jangan tengok lama- lama, nanti kau tak boleh tidur”, datuk terus menepuk pangkal ketiak saya.

Semua yang saya lihat hilang, perempuan yang bergaun putih yang sebentar tadi saya lihat dalam keadaan yang amat menakutkan, sudah kembali normal pada penglihatan macam manusia biasa. Pemuda dan perempuan bergaun putih itu melangkah ke arah bangku yang terletak dibawah pokok Cempaka, mereka duduk di situ dan bercengkerama.

"Kau cantik macam kawan kau juga Mariatun”, kata pemuda itu sambil memeluk pinggang wariita yang bergaun putih.
Percakapan mereka dapat saya dengar dengan jelas, setelah datuk dan saya berkisar tempat duduk iaitu ke arah angin datang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-10-2012 02:48 AM | Show all posts

Bercakap dengan jin ~ 41 ~
Berkasih dengan Langsuir

Datuk juga mengikat secebis kain hitam pada sebatang kayu yang dipacakkan dihadapan kami. Memang menakjubkan, kain hitam yang sebesar dua jari itu bagaikan ada kuasa menghantarkan buah bicara pemuda ganjil dan perempuan bergaun putih kepada saya dan datuk.

"Jangan kau tinggalkan aku dan kawan-kawanku”, suara perempuan bergaun putih.

Si pemuda terus ketawa terkekeh mendengar cakap kekasihnya itu. Tiba-tiba pemuda itu terus mendukung perempuan bergaun putih, dibawanya ke rumah iaitu di tingkat atas. Beberapa saat kemudian lampu dibilik tidur menyala, saya lihat perempuan bergaun putih membuka gaunnya lalu merangkul pinggang pemuda. Kedua-duanya rebah di atas ranjang, apa yang saya dengar ialah suara ketawa pemuda dan perempuan bergaun putih penuh mesra. Datuk terus mengajak saya pulang, saya tidak membantah. Waktu saya dan datuk keluar dari kawasan rumah batu dua tingkat itu, bau harum masih lagi berleluasa di situ, suara salakan anjing mendayu- dayu, dan lampu di bilik tidur pemuda ganjil itu terus menyala.
Sebaik saja saya dan datuk sampai ke kaki tangga rumah khas, saya terdengar suara jeritan orang perempuan, lalu di ikuti oleh suara orang lelaki, cukup nyaring dan meremangkan bulu tengkuk. Jeritan dari lelaki itu memanjang dan bergema di tengah malam yang dingin. Suara jeritan itu berlanjutan hingga beberapa jam. Bila bulan di langit diliputi awan dan tidak boleh mengeluarkan sinarannya, suara jeritan pemuda itu akan berhenti. Datuk tidak menghiraukan semuanya itu. Datuk sandarkan badan ke dinding. Saya rebahkan badan di atas lantai. Beberapa minit kemudian saya terlena, tidak ada sesuatu yang saya takutkan, bila tidur sudah menguasai diri.
Pagi itu, datuk sengaja mengajak saya pergi mandi embun berhampiran kawasan rumah batu dua tingkat itu. Kemudian datuk dan saya terus menceroboh ke kawasan rumah pemuda yang di anggap oleh orang-orang kampung mengalami penyakit ganjil. Saya dan datuk masuk ikut sebelah kanan bangunan tersebut. Kerana banyak pokok-pokok tumbuhan yang tumbuh di situ, kami tidak begitu sukar untuk memperolehi air embun. Menurut datuk, kebanyakan pokok yang tumbuh di situ semuanya dari jenis daun yang ada khasiat.
Sedang saya dan datuk asyik mandi embun, tiba-tiba secara mengejut seekor kucing hitam muncul dari celah-celah rimbunan pokok buluh. Rupa kucing itu amat ganjil sekali. Seluruh bulu di badannya berwarna hitam. Tetapi dibahagian mukanya terdapat buluh putih yang tumbuh melintang. Kucing itu menerkam ke arah datuk dan mahu membaham ibu jari kaki kiri datuk. Cepat- cepat datuk mengelak, kucing itu segera pula melompat ke arah datuk dan bersedia untuk menggigit jari tangan kiri datuk. Datuk menggigit bibir, dia terasa ada sesuatu yang ganjil pada kucing hitam itu. Kucing hitam itu bukan kucing sebarangan. Matahari pagi terus bangkit dan mengeluarkan sinarnya lalu memanah ke setiap dinding rumah batu dua tingkat itu. Saya mula terasa kulit muka pedih, akibat sinaran matahari.

"Bersedia”, kata datuk.

Serentak dengan itu datuk menghentakkan tumit kaki kanannya ke bumi sebanyak tujuh kali. Kucing hitam itu mengiau , saya lihat kucing hitam itu sudah tidak mampu untuk bergerak tetapi dia masih mampu memperlihatkan gigi dan taringnya pada kami.

"Berambus kau”, suara datuk keras, dia lantas memetik ibu jari tangannya.

Kucing hitam itu bagaikan ditolak oleh sesuatu, tercampak ke dalam perdu buluh dan mengiau panjang di situ.

"Mari kita mandi lagi”, datuk tolak badan saya.

Saya terdorong ke hadapan. Kami sudah berada betul-betul di hadapan pintu rumah batu dua tingkat. Datuk meneliti keadaan pintu rumah tersebut, macam mencari sesuatu. Saya dan datuk terkejut. Pintu rumah batu dua tingkat itu terbuka. Pemuda ganjil muncul di hadapan kami dengan senyum.

"Mengacau saya?"

"Tidak, kami tersesat”

"Huh, sila masuk”

Datuk dan saya terus menunaikan jemputan pemuda itu. Pagi itu pemuda tersebut nampak kemas, rambutnya disikat rapi lurus ke belakang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-10-2012 02:50 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 41 ~
Berkasih dengan Langsuir

Orangnya tinggi kurus. Wajahnya agak pucat dan kurang bermaya bila melangkah. Kelopak matanya se akan-akan mahu tertutup macam orang keletihan dan kurang tidur.

"Nak minum apa?", tanya pemuda itu pada kami.

"Tak payah, kami sudah minum”

"Saya kurang tidur, malam tadi isteri saya datang”

"Isteri?”

"Ya, kenapa?"

Datuk tidak menjawab pertanyaan orang muda itu. Tanpa di minta oleh datuk, pemuda itu menceritakan orang-orang kampung menyingkirkan dirinya kerana berkahwin sendirian. Datuk hanya anggukkan kepala sahaja. Ternyata cerita pemuda itu amat berbeza dengan cerita orang tua dan orang kampung sendiri. Kemudian pemuda itu membawa saya dan datuk ke dapurnya. Dia menunjukkan periuk dan kuali yang selalu di gunakan oleh isterinya. Pemuda itu juga menunjukkan beberapa helai rambut isterinya yang disimpan dalam botol. Tetapi, bila datuk mahu memasukkan paku ke dalam botol yang ada rambut isterinya, pemuda itu melarangnya.

"Pesan isteri saya, jangan bawa paku bila datang ke sini, rambutnya tak boleh kena paku, nanti rumah terbakar”

"Maafkan saya, berapa bini awak?”

“Tiga orang”

"Bila dia datang melawat awak?"

"Sebelah malam, bila bulan mengambang mereka datang bergilir-gilir”

Dialog yang terjadi antara datuk dengan pemuda itu amat menarik hati saya. Dari percakapannya itu, tidak nampak pemuda itu seorang yang ganjil. Dia adalah manusia biasa. Soalnya, kenapa dia menjerit bila bulan mengambang dan tinggal sendirian di rumah batu dua tingkat? Pertanyaan itu berlegar-Iegar dalam kepala saya.
Akhirnya, datuk meminta diri dari pemuda itu untuk pulang. Pemuda ganjil menghantar kami ke pintu pagar. Baru tujuh tapak datuk melangkah dari pintu pagar rumah batu, dia segera memusingkan badannya menyebabkan langkah saya yang rancak terhenti. Datuk merenung ke pintu pagar dan saya lihat pemuda ganjil melambai-Iambaikan tangan ke arahnya.

"Dia bagaikan tahu gerak-geri aku”, keluh datuk dan memusingkan badannya ke tempat asal, membelakangi pintu pagar dan rumah batu.

Datuk dan saya meneruskan perjalanan tanpa menoleh ke arah pintu pagar rumah batu. Matahari pagi terus kembang, cahayanya jatuh ke daun- daun pokok yang dilekati air embun, sekali pandang air embun yang di panah oleh sinar matahari kelihatan berkilau-kilauan bagaikan batu berlian. Hati saya terasa senang mendengar kicauan berburung dihujung dahan.

"Berhenti dulu”, kata datuk dan langkah saya terus kaku.

Datuk terus mengeliat sambil meramas daun ketapang dengan tangan kanan. Datuk melihat pokok-pokok ketapang yang berdaun lebat tumbuh di situ. Tanpa memberitahu saya, datuk terus memeriksa setiap batang pokok ketapang .yang terdapat di situ.

"Apa yang tok cari?", tanya saya setelah datuk berada di samping saya.

Datuk mengedutkan dahi sambil menggigit bibirnya.

"Tak ada apa-apa”

"Kalau tak ada apa-apa, kenapa diperiksa?"

"Ah, kau ni banyak cakap sangat, jalanlah”, suara datuk agak keras.

Dia terus menolak bahu kanan saya. Walaupun saya tidak melahirkan sebarang bantahan atas tindak-tanduk datuk itu, tetapi hati saya tetap tidak puas. Cara yang paling selamat ialah melihat tindak-tanduk datuk selanjutnya itu lebih baik dari memaksa dirinya bercerita, fikir saya dalam hati. Saya dan datuk terus mengatur langkah, meninggalkan pokok-pokok ketapang, pokok buluh dan keduduk di belakang. Badan saya mula berpeluh dan perut sebelah kanan saya mula terasa sakit kerana penat berjalan. Tetapi, datuk tidak nampak letih. Langkahnya masih rancak, mukanya kelihatan merah dan berseri, macam orang muda yang baru berusia tiga puluhan. Kami sampai ke rumah yang dikhaskan untuk kami.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-1-2025 10:17 AM GMT+8 , Processed in 0.047549 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list