|
Dah lama dah abis, skrg tengah tayang citer Keluarga Iskandar
Konflik keluarga moden
Oleh Nor Akmar Samudin
[email protected]
SEBAGAI tanda sokongan kepada pembangunan di Pusat Maklumat Iskandar Malaysia (IMIC) yang kini sedang rancak dijalankan, syarikat penerbitan KL Motion Picture Company Sdn Bhd merakamkan keindahan tempat itu dalam drama komedi 15 episod yang berjudul Keluarga Iskandar.
Sitkom itu berkisar mengenai Mak Jah (Kismah Johar) seorang ibu yang tegas tetapi penyayang serta nenek yang bertindak menyatukan anak-anak, menantu dan cucunya walaupun terdapat perbezaan di kalangan mereka.
Keluarga Iskandar diarahkan oleh Syed Khairul Fariz Syed Khairuldin. Buat kali pertama juga, sitkom itu dipersembahkan dengan cara terbaru apabila disisipkan elemen ‘mockumentari’. Elemen itu memaparkan setiap watak bercerita dan menjelaskan apa yang berlaku kepada keluarga mereka.
Barangkali, pada episod awal ia kelihatan janggal kepada penonton namun ia sebenarnya amat menarik. Keluarga Iskandar mengisahkan kehidupan sebuah keluarga Melayu yang diketuai oleh Mak Jah dan menetap di Iskandar, Johor.
Menurut Khairul, dalam keluarga itu ada Abang Long yang bernama Aziz Iskandar (Hilal Azman) dan dia ada seorang anak, diikuti oleh Azman Iskandar (Sobri Anuar) yang berkahwin dengan Kamariah Abdullah (Susan Lankaster) dan Azura (Anita Baharum) yang bersuamikan Kamal (Azhar Sulaiman). Tiga lagi anak Mak Jah ialah Uda berada di luar negara, Azlan (Zain Ruffedge) yang beristerikan Nur (Kuni) dan si bongsu Adibah (Hiera Hassan).
“Ia mengisahkan pergolakan dalam keluarga Iskandar dan apa yang dipaparkan dalam sitkom adalah perkara seharian yang berlaku dalam rumah tangga dan keluarga kita sendiri. Bagaimana Mak Jah yang sangat mengambil berat mengenai anak dan cucunya. Antaranya kisah Azlan yang ingin mengahwini Nur tetapi dia tak mahu bersanding.
“Abang Long yang menduda pula selalu beralah dan dia sanggup berkorban tinggal bersama Mak Jah kerana adik-adiknya yang lain mempunyai keluarga sendiri. Kamal pula baru saja berhenti kerja tetapi dia beritahu kepada isterinya.
“Dia berlagak seperti biasa apabila dia keluar awal pagi dan balik petang kononnya sibuk bekerja. Menjelang hari raya, Kamal juga takut bermain bunga api kerana tragedi yang menimpanya ketika kecil.
“Memandangkan IMIC sebuah bandar moden dan terkini serta untuk menonjolkan kecanggihan hidup masyarakat sekarang, saya selitkan juga penggunaan gajet seperti telefon bimbit pintar dan laman sosial facebook (FB). Suatu hari Mak Jah mendapat hadiah telefon pintar daripada salah seorang anaknya demi memudahkan mereka berhubungan.
“Malangnya pemberian hadiah itu menyusahkan semua anaknya kerana Mak Jah selalu mengirim SMS kepada mereka untuk bertanya apa yang mereka lakukan dan di mana mereka berada. Mak Jah juga sudah pandai menggunakan FB dan perkembangan terbaru itu membuatkan anak-anaknya berasa rimas,” katanya.
Tambah Khairul, dia sedaya upaya menyampaikan sitkom itu dalam keadaan santai dan bersahaja.
“Azura ditampilkan sebagai suri rumah yang sibuk menguruskan dua anaknya, tanpa solekan tebal dan rambut bertocang. Saya mahu ‘lari’ daripada klise di mana duduk di rumah pun masih bersolek mampan. Saya yakin penonton akan menyukai sitkom ini kerana itulah yang berlaku dalam kehidupan sehari kita,” katanya.
Konsep sitkom itu adalah idea penerbit KL Motion, Wan Hasliza Wan Hassan.
Keseluruhan penggambaran mengambil masa 36 hari di mana 70 peratus dirakamkan di IMIC dan selebihnya di Kuala Lumpur. Lokasi yang menjadi tarikan dia sekitar bandar raya Johor Bharu, Kota Iskandar, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Danga Bay, Puteri Harbour, Horizon Hills dan Port Tanjung Pelepas.
Keluarga Iskandar akan disiarkan di Astro Prima mulai 3 Julai selama sejam setiap episod.
Khairul ditemui pada sidang media yang diadakan di IMIC Johor, baru-baru ini. Acara itu diadakan di sana kerana KL Motion dan pihak pengurusan IMIC mahu memperkenalkan media kepada persekitaran IMIC dan melihat sendiri pembangunan yang sedang rancak dibina.
Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Eksekutif IMIC, Datuk Ismail Ibrahim; Ketua Unit Drama Astro, Saniboey Ismail dan Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzi Haris.
Sementara itu, kata Ismail, sememangnya menjadi hasrat pihak pengurusan tertinggi IMIC untuk mewujudkan lokasi penggambaran drama dan filem yang baru di negara ini.
“Selaras dengan pelancongan filem sebagai industri global terkini, IMIC menggalakkan produksi filem dan drama tempatan serta antarabangsa untuk meneroka rantau ini sebagai salah satu lokasi penggambaran filem yang baru.
“Kami yakin industri kreatif boleh membantu meningkatkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan. Kita sudah melihat bagaimana keindahan landskap New Zealand yang menakjubkan berjaya menarik perhatian peminat filem di seluruh dunia dan kejayaan Sir Peter Jackson dalam filem trilogi Lord of The Rings.
“Saya yakin landskap semula jadi IMIC bersama bandar raya baru yang diwujudkan, projek di tepi perairan dan pembangunan utama yang bakal siap seperti Leegoland Malaysia, Pusat Hiburan Keluarga Puteri Harbour dan Educity akan menyediakan latar yang menarik untuk tujuan penggambaran.
“Industri kreatif adalah salah satu daripada sembilan sektor yang digalakkan dalam IMIC dan Iskandar Malaysia Pinewood Studios yang sedang dibangunkan di Nusajaya bertindak sebagai infrastruktur pemangkin dengan menyediakan pembikin filem perkhidmatan kemudahan pasca produksi. Kemudahan fasa pertama dijangka siap pada suku pertama 2013,” katanya. |
|