|
Andai engkau takut meninggalkannya kerana risau,
Risau tiada lagi mesej yang akan engkau terima,
Yang akan menemani malam mu,
Yang akan menghilangkan penatmu pada kesibukan kehidupan siangmu,
Usahlah kau bimbang,
Kerana telah ALLAH coretkan sebuah warkah yang jauh lebih indah buatmu,
Terkandung mesej yang lebih mampu menenangkan hatimu,
Yang bukan sahaja mampu meredakan keresahan,
Tapi kalamullah itu bisa menjadi peneman hati sepanjang hayatmu,
Menjadi cahaya untuk perjalananmu di sini dan juga di sana.
Jika engkau takut tiada lagi suara kekasih yang menjadi halwa telingamu,
Yang engkau rasakan merdu lagi menggembirakan,
Yang nadanya engkau rasakan sungguh menusuk kalbu,
Mampu meleraikan rindu yang tersimpul,
Pada sebuah hati yang kononnya dipenuhi cinta,
Cinta bersulam kelalaian pada kehadiran bukan muhrimmu,
Sedarlah, engkau tak perlukan suara itu,
Engkau tak perlu suara-suara sumbang itu,
Kerana engkau mampu mengalunkan sendiri,
Kalimah ketenangan dengan kemerduan nadamu,
Jadi alunkan ayat-ayat indah itu,
Lafazkan dengan lidahmu bersama tajwidnya,
Supaya setiap apa yang terluah dari tuturmu,
Menusuk terus ke dalam jiwamu,
Membersihkan hati yang penuh noda,
Menambah bekalan ke sana yang kekal selamanya,
Dalam meleraikan sebuah rindu yang lebih agung maknanya.
Kalau engkau khuatir dengan meninggalkannya,
Tiada lagi tempat untuk kau mengadu,
Tiada lagi tempat untuk kau bermanja,
Usahlah engkau gusarkan,
Kerana ALLAH sentiasa rindu untuk mendengar suara rintihanmu,
Mendengar aduan dari hati sekeping hati penuh pengharapan,
Sedarlah, betapa kasihnpun dia kepadamu,
Betapa dalampun cintamu padanya,
Adakalanya dia akan pergi,
Adakalanya dia tidak memahami,
Tidak mampu engkau baca hatinya,
Tidak mampu juga engkau katakan,
Dia akan setia di sisimu untuk selamanya,
Kerana hatimu dan hatinya dipegang oleh kuasa yang sama,
Yang mampu berubah sekelip mata,
Tapi, ALLAH yang satu itu,
Sentiasa ada pada saatmu,
Memberi penyelesaian terbaik pada setiap masalahmu,
Kerana dia yang telah menciptakanmu,
Pastinya DIA lebih mengerti kehendak hatimu,
Lalu tumpahkanlah kesedihanmu padaNYA,
Dan akan engkau rasakan ketenangan yang mengalir bagaikan air,
Mencuci setiap tompok resah,
Sesungguhnya ALLAH maha mendengar.
Namun adakah dengan meninggalkannya,
Bermakna engkau menidakkan fitrahmu?
TIDAK! Jangan fikir begitu,
Cuma sebuah pesanan dari seorang hamba,
Pada seorang hamba yang menerima,
Agar kasih yang ALLAH kurniakan,
Agar cinta yang ALLAH hadiahkan,
Tidak kau semaikan pada tanah songsang,
Yang akhirnya akan membuahkan penyesalan,
Lalu layu dimamah kelalaian dan dosa,
Dan rebah dalam naungan nafsu,
Lorongkanlah ia ke jalan syariat,
Halalkan kasih itu dengan munakahat,
Agar sebuah cinta itu bermakna pada ertinya,
Supaya ia menjadi mahar untuk kamu ke syurga,
Bukan menjadi tiket untuk engkau ke neraka,
Kerana pada setiap jiwa itu ada rasa kasih,
Untuk dicurahkan pada yang berhak dan halal buatmu,
Agar ia menjadi anugerah terindah dalam usiamu,
Yakinlah cinta ALLAH itu paling indah,
Milikilah cinta itu dan yang lain akan turut mencintaimu,
Engkau tidak pernah terlambat untuk kembali,
Kerana Dia maha Pengampun Maha Penyayang,
Kasihnya sentiasa ada di situ,
Cuma menunggu detik engkau membuka lembaran baru,
Sebuah lembaran taubat pada kisahnya,
Agar engkau menjadi seorang yang mengerti,
Erti kasih pada sebuah kisah hamba yang berjuang di medan kehidupan.. |
|